Wednesday, 20 November 2013

Turki Kami Datang Dis 2012 ..(6) .. hari kelima ... Cappadocia ... Ankara ... Bolu ...

Dua  hari di Cappadocia sudah berakhir. Pengembaraan akan diteruskan menuju ke Bolu iaitu sebuah bandar kecil untuk kami bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul pada keesokan harinya. Ini kerana jarak antara Capadocia ke Bolu sahaja melebehi 500 km.

 
Oleh itu, aku sudah tidak sabar-sabar untuk meneruskan pengembaraan hari ke lima, dan awal-awal lagi aku telah siap menunggu di lobi hotel. Bila bas sampai, terus sahaja aku mengangkut beg-beg masuk ke dalam bas.  Bas kami bertolak jam 7.30 pagi … selamat tinggal Cappadocia.  Dalam perjalanan meninggalkan Hotel Avrasya, aku dapat melihat beberapa belon panas yang terapung-apung diudara, namun aku tidak menyesal kerana tidak menaikinya.
Ms Luna menerangkan di dalam  perjalanan ke Bolu, kami akan berhenti sebentar di Salt Lake (Tasik Garam) dan juga Ankara iaitu ibu negara Turki untuk melawat Muzium Kamal Atartuk. Dalam perjalanan aku mendiamkan diri sahaja namun aku dapat mendengar bermacam-macam cerita yang berkumandang disekitarku.
Lebih kurang dua jam dalam perjalanan, pemandu bas kami melencong ke satu kawasan rehat,  kerana ramai yang ingin ke “bay” dan “bayan”. Kawasan rehat dan rawat mereka tidaklah sehebat R&R yang terdapat di sepanjang lebuhraya PLUS di Malaysia.
Oleh kerana hari masih lagi agak awal, tidak ramai orang yang singgah ke R&R . Kami hanya ke “bay n bayan” kerana restoran pun masih lagi tutup. Sementara menunggu rakan-rakan yang lain selesai, aku dan isteri sempat juga bergambar kenangan di tempat tu. 
Satelah kesemuanya berada didalam bas, perjalanan di teruskan untuk ke Bolu. Tidak lama kemudian, kami pun sampai di Tuz Lake  iaitu tasik garam yang kedua terbesar di Turki dan mempunyai paras air berbeza-beza mengikut musim. Kawasannya memang luas dan kelihatan garam-garam yang memutih di permukaan tasik.



Tasik ini sebetulnya tidak berair, karena tingginya kadar garam di dalamnya. Kononnya garam di tasik  ini bukan sembarangan garam, karena mengandung zat kimia yang bagus bagi kesihatan, terutama kesihatan kulit. Turun sahaja dari bas, isteriku terus ke kedai yang menjual hasil barangan air garam dari tasik tersebut. Berbagai barangan untuk kecantikan di jual dikedai itu. Menurut mereka hampir seluruh barangan hasil garam di Turki dihasilkan di tempat ini.



Kawasan berwarna putih dibelakang aku (gambar kanan)  itulah tasik garam. Kami tidak lama disini kerana perlu segera ke Ankara untuk melihat-lihat muzium Kamal Atartuk.
Lebih kurang jam 2.30 petang, bas kami sampai ke Bandar Ankara iaitu ibu negara Turki.   Bas terus menuju ke Mousoleum Mustafa Kemal Ataturk (Makam Monumen Mustafa Kemal Ataturk) atau Anıtkabir yang terletak di kawasan paling tinggi di Ankara. Ia merupakan tempat persemadian terakhir Presiden Pertama dan pengasas Republik Turki – Mustafa Kemal Ataturk selepas keranda beliau dipindahkan dari makam asalnya yang terletak di Ethnography Museum pada 10 November 1953, lima belas tahun selepas kematiannya.
Untuk memasuki kawasan Anıtkabir ni, kawalan keselamatan yang dikenakan kepada pengunjung sangat ketat. Kami terpaksa melalui dua stesen pengimbas keselamatan sebelum dibenarkan masuk. Pada stesen pengimbas pertama, kami dikehendaki turun dari bas dengan membawa semua beg yang kami pegang dalam bas dan melalui sistem pengimbas macam kat airport seorang demi seorang. Semasa kami semua turun dari bas, akan ada seorang pegawai keselamatan yang naik ke atas bas dan membuat pemeriksaan keselamatan dalam bas.

 Selepas melalui sistem pengimbas pertama, kami naik semula ke atas bas dan meneruskan perjalanan. Tidak jauh dari stesen pertama, kami akan turun semula  dan melalui sistem pengimbas kedua untuk masuk ke kawasan Anıtkabir tersebut. Kami dikehendaki berjalan lebih kurang 200 meter untuk sampai ke kompleks tersebut termasuk menaiki beberapa anak tangga.
  
Gambar kiri, bergambar di luar kompleks sebelum menaiki tangga.

 
Di sini kami diberi penerangan terlebih dahulu oleh Ms Luna  tentang sejarah senibina Anitkabir dan muzium yang terdapat di dalam kompleks. Menurut Ms Luna, Anitkabir merupakan idea dan kemahuan rakyat Turki untuk mendirikan sebuah makam sebagai penghormatan tertinggi kepada Mustafa Kamal Ataturk, pengasas Republik Turki, revolusioner, seorang askar yang berani, seorang pemimpin yang hebat dan seorang tokoh antarabangsa . Beliau dihormati banyak pihak di dunia barat terutamanya pihak Inggeris kerana berjaya membawa perubahan kepada Turki yang pada asalnya gemilang dengan pemerintahan Islam semasa Empayar Uthmaniyyah kepada Turki moden yang demokratik, sekular serta memisahkah aspek agama daripada aspek kehidupan. Nota: walaupun dunia islam mengutuk Kamal Ataturk, tetapi hampir seluruh rakyat Turki menyanjungi beliau.

Anitkabir direka bentuk oleh arkitek Turki bernama Prof. Emin Onat. Terletak di atas bukit yang dikenali sebagai Rasattepe, merangkumi 700,000 meter persegi tanah termasuk Peace Park, yang mengandungi tumbuh-tumbuhan dari semua bahagian Turki dan seluruh dunia. Ia mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Selepas mendengar penerangan dari Ms Luna, kami diberi kebebasan untuk melawat makam dan kawasan sekitarnya. Di sebelah kiri Anıtkabir merupakan Muzium Ataturk yang dibuka pada 21 Jun 1960. Barang-barang peribadi Ataturk seperti almari pakaian beliau dan beberapa hadiah yang diberikan kepadanya terdapat di muzium ini. Pingat, hiasan dan beberapa barangan peribadi seperti sikat rambut, wallet, pen, duit syiling sehingga uniform tentera dan senjata beliau juga dipamerkan di muzium itu.


Walaupun begitu, terdapat syarat yang dikenakan semasa memasuki muzium tersebut. Kami tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. CCTV ada dimerata tempat dalam muzium tu. Pengawal pun ramai yang berkawal di dalam muzium bagi memastikan larangan tersebut dipatuhi. Jadi takdalah gambar yang boleh diabadikan.

Selesai mendengar penerangan daripada Ms Luna, aku pun mulai menaiki anak tanga. Aku terkejut, sebaik sampai diatas untuk ke bangunan Anitkabir, seorang pengawal sedia menunggu. Dia berdiri bagaikan patung di dalam bilik kaca dengan mata yang tidak berkelip. Aku mengabadikan gambar bersamanya pun dia tak sedar agaknya, tapi dia tidaklah marah, kerana itu tugas dia.

  
Inilah bangunan Anitkabir (gambar atas kiri) yang menempatkan keranda sebenar Mustafa Kamal Ataturk yang ditanam 25 meter di bawah binaan batu marmar. Keranda yang dipamerkan di atas batu marmar itu hanya replika sahaja (gambar atas kanan).

Menurut cerita yang tersebar luas, di saat kematian Kamal Ataturk,  Allah SWT telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah SWT berikan di dunia. Antaranya, didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki di mana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan,  sakit jantung ;   darah tinggi,  panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk  sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba  untuk menyiram rumahnya 24jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau namun tidak berkesan. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit-jerit sehingga seluruh istana mendengar jeritannya kemudian beliau dipindahkan ke tengah laut dalam sebuah bot besar dalam usaha untuk menyejukkan beliau, namun tidak berupaya melawan azab Allah SWT.

Akhirnya, pada 26 september 1938, beliau koma  selama 48 jam disebabkan terlalu panas, apabila sedar beliau telah hilang ingatan. Pada 9 November 1938, beliau koma sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau. Mayat beliau diawetkan selama 9 hari 9 malam dan diletakkan di ruang takhta di Istana Dolmabahce, Istanbul sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya.

Menurut cerita selanjutnya, bila mayatnya hendak ditanam, bumi tidak menerimanya. Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dipindahkan ke Ankara serta dipertontonkan di hadapan Grand National Assembly Building. Pada 21 November 1938, dipindahkan pula ke sebuah tempat sementara di Muzium Ethnography di Ankara yang berhampiran Dewan Rakyat.

Selepas 15 tahun iaitu 1953,  mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah SWT tidak mengizinkan, bumi sekali lagi tak menerimanya. Akhirnya pemerintah telah memilih Bukit Rasattepe di Ankara untuk menempatkan binaan batu marmar seberat 44 tan di bahagian atas sementara mayat Kamal Ataturk ditempatkan di bahagian bawah binaan dua tingkat itu.

Gambar atas, aku dan isteri , sebelum beredar meninggalkan komplek muzium Kamal Ataturk untuk menaiki bas menuju ke Bolu.

Perjalanan dari Ankara ke Bolu, melalui jalan yang agak berliku ditemani dengan hujan renyai-renyai hampir sepanjang perjalanan. Di kanankiri jalan, kelihatan salji sudah mulai turun menandakan cuaca diluar sudah begitu sejuk. Untuk mengurangkan kesejukan, bas kami berhenti sekali lagi di R&R untuk menghirup kopi panas. Di kawasan R&R ini agak ramai orang yang singgah untuk memanaskan badan.

     
Malam itu kami ditiba di hotel penginapan agak lewat kerana pemanduan dikendalikan secara berhati-hati, namun alhamdulillah, kami selamat sampai.

   
Hotel Koru adalah hotel kami menginap di Bolu. Selepas makan malam, aku dan isteri berlegar-legar di lobi hotel yang terdapat sebuh jug yang cukup besar. Sementara diluar, hujan renyai-renyai menjadi semakin lebat,  cuaca semakin sejuk , titis-titis salji mulai turun lalu aku dan isteri beredar ke bilik, untuk merehatkan badan dan aku tidak sedar bilamasa aku melelapkan mata.

 ... Ikuti pengembaraan seterusnya ... Bolu ... Ankara ... Instanbul ...


No comments:

Post a comment