Tuesday 26 November 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Kampung Paloh Ipoh



Selepas agak kecewa kerana pintu masjid masih berkunci, aku meninggalkan Masjid Dato’ Panglima Kinta untuk menziarahi Masjid Kampung Paloh. Untuk memudahkan perjalanan, dari Masjid Dato’ Panglima Kinta, aku berpatah balik ke Jalan Sultan Iskandar dan memandu terus sehingga sampai di persimpangan “T” Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, aku membelok ke kiri. Dari situ aku memandu terus sehingga sampai ke bulatan kecil dan aku mengambil jalan sebelah kiri iaitu Jalan Leong Boon Swee. Aku meneruskan pemanduan sehingga sampai ke satu lorong kecil disebelah kiri jalan yang dinamakan Jalan Datoh iaitu sebaik sahaja melepasi Sungai Kinta. Aku terus masuk ke Jalan Datoh dan kelihatan Masjid Kampung Paloh berada di sebelah kanan jalan.




Mengikut catatan sejarah, Masjid Kampung Paloh dibina oleh Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Mohamed Salleh Bin Wan Abu Bakar pada tahun 1912. Wan Mohamed Salleh merupakan seorang Ketua Penghulu dan Pembantu Pemungut Hasil Tanah semasa pentadbiran Frank Swettenham. Kampung Paloh adalah penempatan awal di bandar Ipoh.


Pembinaannya di biayai oleh dua orang kaya ketika itu. Salah seorang daripadanya ialah Long Kassim. Sebagai menghargai jasa beliau, pentadbiran masjid telah diserahkan kepada keturunan beliau sehingga sekarang.


Gambar atas kiri … Meskipun Masjid Kampung Paloh telah dibaik pulih namun rekabentuk asalnya masih dikekalkan. Seperti menara lima tingkat dan kawasan perkuburan yang mempunyai atap yang unik masih dikekalkan dalam rekabentuk asal. Gambar atas kanan … Tempat wuduk masih mengekalkan tradisi lama iaitu menggunakan kolah yang luas.



Aku melangkah masuk melalui pintu utama untuk ke ruang solat ... gambar kiri.  Lantainya dihiasi dengan permaidani warna biru gelap ... gambar kanan.  Walaupun masjid ini telah mencecah usia 100 tahun, namun keadaannya masih teratur dan dijaga dengan baik.



Terdapat mihrab yang kecil dilengkapi dengan mimbar daripada kayu yang berukir yang kelihatannya masih lagi kukuh.

Di hadapan masjid ini terdapat sebuah bangunan yang menempatkan Madrasah Sharifah mengambil nama salah seorang penanungnya iaitu Toh Puan Hajjah Sharifah Rodiah.

Gambar atas kiri … ini adalah bangunan lama Madrasah Sharifah. Walaubagaimanapun, bangunan tersebut telah dirobohkan dan telah dibina dua buah bangunan baru ditempat yang sama … gambar atas kanan.


Dua bangunan baru yang dibina menggantikan bangunan lama yang telah terlalu uzur ... gambar kiri.  Papan tanda Masjid Paloh yang telah rosak, mungkin gara-gara vandalism dan tidak diganti ... gambar kanan.


 

Masjid Kampung Paloh dikelilingi oleh tanah perkuburan. Di bahagian kiri masjid terdapat beranda yang menempatkan beberapa makam orang-orang kenamaan ... gambar kiri.


Gamabar kiri ... Dibahagian hadapan masjid (kiblat masjid) terdapat sebuah bangunan kecil yang menempatkan 3 makam. Makam yang paling tinggi yang terletak ditengah-tengah adalah makam  Y.M. Orang Kaya-Kaya Dato’ Seri Adika Raja Wan Mohamed Salleh Bin Wan Abu Bakar.

Kami beredar meninggalkan Masjid Kampung Paloh sekitar jam 12.20 tengah hari untuk meneruskan kembara masjid ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Ubudiah, Taiping.

Sedikit Sejarah Ringkas Seri Adika Raja Wan Muhammad Salleh
Menurut sejarahnya, apabila Seri Adika Raja ke Sembilan iaitu Seri Adika Raja Busu Sega mati dibunuh oleh British semasa perang di Perak, Toh Muda Meor Abdul Raof yang sepatutnya menggantikan beliau menjadi Seri Adika Raja tidak dilantik ke jawatan tersebut. Untuk tempoh hampir sepuluh tahun, jawatan Seri Adika Raja tidak diisi. Hanya selepas tahun 1880an, Wan Muhammad Salleh Bin Wan Abu Bakar telah dilantik menjadi Seri Adika Raja yang ke sepuluh. Wan Muhammad Salleh adalah anak kepada Busu Atikah iaitu adik bungsu kepada Toh Muda Meor Abdul Raof.


Sebagai Seri Adika Raja yang ke sepuluh, Wan Mohammad Salleh telah memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran kerajaan Perak ketika itu sehingga beliau menjadi orang melayu pertama menerima anugerah Imperial Service Order (I.S.O.). Beliau juga merupakan ahli Majlis Kebangsaan (Federal Council) salepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1897. Beliau telah pergi ke United Kingdom mengiringi Sultan Idris Shah semasa pertabalan King Edward VII tahun 1902 dan King George V tahun 1911.


Beliau meninggal dunia semasa mengiringi Sultan Abdul Jalil menziarahi makam Sultan Tajul Arifin di Pulau Semat sempena pemashuran sultan dalam tahun 1917. Jenazahnya telah di kebumikan di dalam kawasan Masjid Paloh, Jalan Dato’, Ipoh. Wan Muhammad Salleh telah digantikan oleh Meor Yeop Mohd Jawi sebagai Seri Adika Raja ke 11.


Semasa hidupnya,  Wan Muhammad Salleh mempunyai tiga orang isteri iaitu Toh Puan Sharifah, Wan Teh Rafeah Binti Wan Abbas dan Teh Sariah.

Nota: Dikutip dari sumber sejarah Negeri Perak.



No comments:

Post a Comment