Monday 25 November 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Negeri Ipoh



Daripada Masjid India Muslim, aku memandu melalui Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab untuk ke Masjid Negeri yang tidak berapa jauh. Aku membelok kekiri ke Jalan Sagor dan meletak kenderaan betul-betul di depan papan tanda masjid.

Pada tahun 1951, semasa Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Abdul Wahab menjadi Menteri Besar Perak, beliau menginginkan agar sebuah masjid yang besar dibina untuk menampung bilangan jemaah yang semakin ramai khususnya sewaktu solat Jumaat dan solat sunat hari raya. Untuk itu satu tapak masjid telah dicadangkan berhampiran stadium Ipoh.

Akhirnya, pembinaan Masjid Negeri Perak telah dimulakan pada 16 Mei 1966 diatas sebidang tanah seluas kira-kira 2.6 hektar yang terletak di persimpangan Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dengan Jalan Sultan Iskandar. Batu asas untuk masjid tersebut telah diletakkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Haji Abdul Razak Bin Hussain. Masjid tersebut akhirnya siap dibina pada 26 Ogos 1968 dengan kos sekitar Rm 1.84 juta.

Masjid Negeri Perak telah dirasmikan pada 15 September 1978 oleh Sultan ldris Iskandar Shah II , sempena dengan perayaan ulangtahun hari keputeraan baginda yang ke-33. Sultan Idris Iskandar Shah II telah menaiki tahta pada tahun 1963. Apabila baginda kembali ke Rahmatullah pada tahun 1984, nama baginda telah diabadikan untuk Masjid Negeri Perak dengan nama Masjid Sultan Idris Shah II.



Rekabentuk masjid ini berbentuk empat persegi bujur dengan panjangnya 84 meter dan lebarnya 42 meter. Ia mengandungi dua tingkat. Tingkat atas bangunan menempatkan dewan solat utama, dewan solat muslimat dan juga bilik mesyuarat. Manakala tingkat bawah menempatkan pejabat pentadbiran, kawasan wuduk, bilik air dan ruang solat tambahan.

Sebuah menara juga telah dibina di masjid ini dengan ketinggian 31 meter yang dilengkapi dengan tangga besi dan lif untuk muatan 6 orang. Pemandangan dari puncak menara ini meliputi seluruh kawasan bandaraya Ipoh.


Oleh kerana aku masih lagi dalam keadaan berwuduk, aku terus naik ke tingkat satu melalui tangga ... gambar atas kiri. Di kanan kiri lobi tangga adalah ruang solat muslimat yang juga digunakan sebagai tempat pengajian, manakala dihadapan tangga adalah dewan solat utama untuk muslimin.


Aku terus masuk ke dewan solat utama yang luas dan dihias cantik. Dewan solat utama ini berbentuk empat segi sama dengan kelebaran 36 meter dan dianggarkan boleh menampung sehingga 1500 jemaah. Lantainya dihiasi dengan permaidani yang empok, dikanan kiri adalah dinding cermin namun telah dipasang langsir, silingnya tidak kurang menariknya.


Bumbung masjid ini diperbuat daripada konkrit dan ditengah-tengah dewan solat utama, terdapat sebuah kubah yang sederhana besar yang telah dihias dengan cantik dan menarik.


Gambar atas kiri ... pemandangan dari bahagian hadapan ke arah pintu masuk ke dewan solat. Gambar atas kanan ... mihrab dan mimbar masjid yang dihiasi dengan kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran yang begitu cantik.






Gambar kiri ... Ini adalah ruang solat di tingkat bawah untuk kemudahan para musafir singgah bersolat dan juga untuk menampung para jemaah yang ramai semasa solat jumaat dan solat dua hari raya.









Masjid merupakan salah satu intitusi yang berperanan sebagai tempat beribadat saperti solat berjemaah dan pusat pengembangan ilmu pengetahuan bagi umat Islam. Namun keindahan sesebuah masjid masih lagi gagal menggamit para jemaah untuk memenuhi saf-saf semasa lima solat fardhu dilaksanakan. Walaupun solat berjemaah mempunyai kelebihan yang tersendiri, namun kehadiran jemaah hanyalah bermusim.


Dari Abdullah Ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sembahyang berjemaah adalah 27 kali lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian" .. Hadis Riwayat Imam Muslim.


…. Jooooomm, ramai-ramai kita solat berjemaah, dimasjid-masjid, disurau-surai, dimana-mana …


No comments:

Post a Comment