Tuesday, 26 November 2013

Pertunangan Dalam Islam



Musim cuti sekolah telah bermula. Biasanya dalam musim-musin cuti sekolah begini, ramai kalangan ibubapa mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis-majlis pertunangan , majlis pernikahan atau pun majlis perkahwinan untuk anak-anak mereka. Semasa aku mengikuti kelas  IUD di UM kira-kira 6 tahun yang lepas, aku telah menyiapkan satu tugasan yang bertajuk Pertunangan Dalam Islam. Jadi aku nak kongsi bersama, mudah-mudahan ada manafaatnya. Kepada sesiapa yang ingin mencedoknya, silakanlah.


Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan, serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.

PENGENALAN

Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah.

Perkahwinan adalah salah satu sunnatullah yang umum berlaku pada semua makhluk Tuhan, baik pada manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

Dalam suatu hadis diterangkan bahawa seorang sahabat Rasulullah saw iaitu Anas r.a. telah berkata bahawa Nabi saw telah bersabda yang bermaksud “bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku”.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maha Suci Tuhan yang telah menjadikan segala sesuatu berpasang-pasangan, baik tumbuh-tumbuhan maupun diri mereka sendiri dan lain-lain yang tidak mereka ketahui” [Yaasin: ayat 36]

“Wahai manusia, Kami telah jadikan kamu sekalian dari laki-laki dan perempuan” [al-Hujarat: ayat 13]

”Dan segala sesuatu Kami jadikan berjodoh-jodohan, agar kamu sekalian mau berfikir” [Adz-dzariat: ayat 49]

Tuhan tidak mahu menjadikan manusia itu saperti makhluk lainnya, yang hidup bebas mengikut nalurinya dan berhubungan antara lelaki dan wanita tanpa batasan saperti haiwan yang tiada akal fikiran. Demi menjaga kehormatan dan kemuliaan martabat manusia, Allah swt telah mengadakan hukum yang sesuai dengan martabat marnusia sehingga hubungan antara lelaki dan perempuan diatur secara terhormat dan berdasarkan saling ridha meridhai dengan upacara perkahwinan (ijab dan qabul) yang menghalalkan hubungan diantara lelaki dan perempuan.

Pertemuan di antara dua insan berlainan jantina dalam suatu ikatan suci perkahwinan ini adalah permulaan kepada suatu proses membina keluarga bahagia, harmoni yang diwarnai oleh Mawaddah dan Rahmah. Keluarga bahagia ini bakal melahirkan zuriat yang baik dan membentuk bersama zuriat lain, masyarakat dan ummah terbaik pula. Maka permulaan pertama proses ini dinamakan peminangan atau pertunangan .

Meminang bermaksud seseorang lelaki menyatakan keinginannya untuk berkahwin kepada wanita yang ingin dikahwininya[1],  dengan cara-cara yang sudah umum berlaku di tengah-tengah masyarakat. Pertunangan biasanya diadakan mengikut adat resam dalam sesebuah masyarakat dimana ia dianggap sebagai langkah permulaan kepada perkahwinan.

Adat pertunangan ini boleh diikuti selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam, selaras dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud ” Sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap sebagai baik oleh masyarakat Islam adalah baik disisi Allah swt”.


PEREMPUAN YANG BOLEH DIPINANG

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan tidak ada dosa ke atas kamu meminang wanita (yang kematian suami dan masih dalam iddah) dengan cara sindiran, atau kamu menyembunyikan (keinginan terhadap wanita itu) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka. Dalam pada itu janganlah kamu mengadakan perjanjian perkahwinan dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang makruf (sindiran yang baik). Dan janganlah kamu berazam untuk bernikah sebelum habis iddahnya. Dan ketahuilah bahawasanya Allah swt mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya dan ketahuilah bahawa Allah swt Maha Pengampun Lagi Maha Penyantun”[2] [Al-Baqarah : ayat 235]

Muhammad Ali Ash-Shabuni dalam Tafsir Ayat Ahkam [3], menjelaskan bahawa ayat di atas mengandungi hukum pinangan terhadap perempuan itu ada tiga macam iaitu:

i.                    Peminangan Secara Terang atau Sindiran
Perempuan-perempuan yang boleh dipinang dengan terang-terangan dan dengan sindiran iaitu perempuan yang masih bujang (belum pernah berkahwin) dan perempuan yang pernah berkahwin tetapi bukan dalam masa iddah (tempoh iddah telah tamat).  Ini disebabkan kalau perempuan tersebut boleh dikahwini, sudah pasti boleh dipinang terkecuali perempuan yang sedang dalam proses pinangan orang lain.

Meminang secara terang-terangan (tasrih) bermaksud menggunakan lafaz yang hanya mempunyai satu tafsiran sahaja iaitu keinginannya untuk berkahwin, saperti contohnya ”aku ingin mengahwini kamu” atau ”selepas habis iddah, aku akan mengahwinimu”.

Manakala meminang secara sindiran (ta’rid) iaitu lafaz yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran, sama ada sebagai keinginan untuk berkahwin atau sebaliknya saperti contoh ”awakni cantiklah” atau ”ramai orang sukakan awak” atau seumpamanya.[4]

ii.                  Peminangan Secara Sindiran Sahaja
Perempuan yang boleh dipinang secara sindiran, tidak boleh dengan secara terang-terangan, iaitu perempuan yang kematian suami tetapi masih dalam iddah saperti yang diisyaratkan al-Qur’an : ”Dan tidak ada dosa atas kamu meminang perempuan itu dengan sindiran”. Ini termasuk perempuan yang ditalak bain (talak tiga)

iii.                Peminangan Yang Di Haramkan
Perempuan yang tidak boleh dipinang, baik dengan terang-terangan atau pun dengan sindiran iaitu perempuan yang masih mempunyai suami, semua perempuan yang haram dikahwini sama ada haram untuk selama-lamanya atau haram untuk sementara waktu, hukumnya haram kerana ianya boleh merosakkan rumahtangga mereka.

Begitu juga perempuan yang telah ditalak raja’i yang masih dalam iddah, kerana dia masih lagi bergelar isteri dan suaminya masih boleh rujuk  pada bila-bila masa (dalam tempoh iddah) dan perempuan yang sedemikian dihukum masih dalam ikatan perkahwinan.

Perkara di atas berdasarkan  kepada Firman Allah swt yang bermaksud:

”Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika mereka (suami-suami) bertujuan hendak berdamai” [Al- Baqarah: ayat 228]

Diharamkan seseorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain sekiranya pinangan tersebut telah diterima, ini kerana ia telah menyerang hak dan menyakiti hati peminang pertama serta memecahkan kekeluargaan dan menggangu ketenteramannya. Walaupun begitu peminangan boleh dilakukan sekiranya lelaki pertama memberi keizinan kepada lelaki kedua untuk meminang.

Dalam sebuah hadis daripada Uqbah bin ’Amir berkata bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ” Orang mukmin satu dan lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya, dan meminang pinangan saudaranya sebelum ia tinggalkan”[5]

Dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ”seseorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya (saudara seIslam) sehinggalah dia meninggalkan (membatalkan pinangannya) atau dia mengizinkan peminangaan itu”.[6]

Sekiranya pinangan lelaki pertama masih belum diberi jawapan (sama ada diterima atau ditolak), maka harus lelaki kedua masuk meminang.



MEMILIH CALON

Sesungguhnya bahagianya rumah tangga, lahirnya anak-anak yang baik dan cerdik serta kekalnya kehidupan rumahtangga adalah terletak kepada pemilihan suami isteri yang baik. Didalam sesebuah keluarga, isteri merupakan tempat penenang bagi suaminya, tempat menyemaikan benihnya, pengatur rumah-tangganya, ibu dari anak-anaknya, tempat tambatan hatinya, tempat menumpahkan rahsianya dan mengadukan nasibnya. Oleh itu sebelum mengambil keputusan untuk bertunang wajarlah dipastikan beberapa kualiti gadis yang bakal dirisik.

Islam menganjurkan agar memilih perempuan yang salih sebagai isteri untuk menjadi perhiasan yang terbaik yang semestinya dicari dan diusahakan mendapatkannya dengan bersungguh-sungguh.

Dalam suatu hadis daripada Abdullah bin Umar, Nabi saw telah bersabda yang bermaksud ”Dunia itu laksana perhiasan dan perhiasan yang terbaik adalah isteri (perempuan) yang salihah”.[7]

Didalam hal memilih calon yang bakal dipinang, ulama Mazhab Shafie, telah menyimpulkan ciri-ciri gadis saperti berikut yang perlu diberi perhatian oleh laki-laki yang ingin menyuntingnya.

i.                 Gadis yang mempunyai pegangan agama yang kuat kerana dengan agama itulah akal dan jiwa akan dapat terpimpin. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ”Perempuan itu dikahwini  kerana empat perkara; kerana cantiknya atau kerana keturunannya atau kerana hartanya atau kerana agamanya, tetapi pilihlah yang beragama agar selamatlah dirimu”.[8]

Dalam suatu hadis yang lain Rasululullah saw bersabda yang bermaksud ”Barang siapa diberi rezeki oleh Allah swt dengan seorang isteri yang salih, sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah swt pada separuhnya lagi”.[9]

Rasulullah saw pun menggariskan ketentuan tentang perempuan yang salih itu adalah yang cantik, patuh, baik lagi amanah.

ii.         Gadis yang dipercayai subur iaitu yang boleh melahirkan anak dengan berpandukan kepada latar belakang adaikberadik perempuannya serta ibu-ibu saudaranya. Dalam suatu hadis apabila seorang sahabat telah meminang seorang perempuan mandul, lalu Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ”Kawinlah dengan perempuan pennyayang dan boleh melahirkan banyak anak, agar nanti aku dapat membanggakan jumlahmu yang banyak di hadapan para Nabi pada hari akhirat nanti”.[10]

iii.                Gadis yang masih dara (perawan) kerana umumnya masih segar dan belum pernah mengikat cinta dengan laki-laki lain, sehingga kalau beristeri dengannya akan lebih harmoni rumahtangganya. Dalam satu riwayat, tatkala Jabir bin Abdullah berkahwin dengan seorang janda, Rasulullah saw bersabda kepadanya yang bermaksud ”Alangkah baiknya seorang gadis yang masih perawan, engkau dapat bergurau senda dengannya dan diapun dapat bergurau senda denganmu”.[11]

iv.                 Gadis yang terdiri daripada keluarga yang taat beragama dan hidup sederhana kerana perempuan yang sedemikian boleh menyayangi anak-anaknya dan mengurus kepentingan suami dengan baik. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ”Perempuan yang terbaik iaitu bila kau lihat, menyenangkan; bila kau perintah, ia mematuhimu; bila kau beri janji diterima dengan baik dan bila kau pergi (musafir), dirinya dan hartamu dijaganya dengan baik”.[12]

v.                  Gadis dari keturunan yang baik-baik, tenang dan selamat dari gangguan kejiwaan kerana gadis yang sedemikian boleh melahirkan anak yang pintar, menyayangi anak-anaknya dan mengurus kepentingan suami dengan baik.  Dalam satu hadis daripada Anas r.a. katanya Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud ”Barangsiapa mahu bertemu dengan Allah swt dalam keadaan bersih lagi suci, maka kawinlah dengan perempuan yang terhormat”.[13]

Pokok yang baik biasanya akan menumbuhkan cabang yang baik juga.

vi.                 Gadis yang mempunyai paras rupa yang cantik kerana telah menjadi lumrah alam bahawa manusia itu suka dan senang kepada yang indah dan cantik dan apabila ia berjaya mendapatkannya, pasti ia akan merasa puas dan bahagia serta jiwanya menjadi tenteram dan tidak menginginkan kepada yang lain. Dalam sebuah hadis sahih disebutkan yang bermaksud ”Sesungguhnya Allah swt itu indah, dan menyukai keindahan”.

vii.              Gadis yang tidak daripada ahli keluarga terdekat kerana dikhuatiri perkahwinan dari kalangan keluarga terdekat saperti sepupu biasanya melahirkan anak yang lemah. Ini berlaku kerana syahwat terhadap kaum-kerabat yang terdekat adalah lemah.

Syarbini didalam huraiannya terhadap ”matan minhaj” karangan Imam Nawawi menyatakan satu riwayat bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud ”Jangan (tidak sayugia) kamu kahwini keluarga terdekat kerana anak hasil perkahwinan sedemikian (biasanya) kurus (kurang cergas)”.[14]

Walaubagaimanapun, perkahwinan seumpama ini tidaklah dicela kerana Nabi saw telah mengahwinkan anaknya Fatimah dengan Ali bin Abi Talib r.a. untuk menerangkan bahawa hukum perkahwinan diantara keluarga terdekat adalah harus.

Selain daripada yang telah disebutkan di atas, harus diperhatikan juga tentang perbedaan umur, kedudukan sosial, pendidikan dan keadaan ekonomi antara lelaki dan perempuan tersebut. Sekiranya perbedaan dalam soal-soal tersebut adalah kecil, maka hal ini akan memudahkan mereka membina sebuah rumah tangga yang aman dan tenteram. Sebaliknya jika perbedaan dalam soal-soal tersebut adalah jauh sudah pasti sedikit sebanyak akan menggugat keharmonian rumahtangganya.  

Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. pernah meminang Fatimah anak Rasulullah saw tetapi baginda menyatakan anakya itu masih kecil tetapi sewaktu Ali bin Abu Talib yang memintanya, Baginda mengkahwinkan Fatimah kepadanya.

Demikianlah diantara ciri-ciri yang diajarkan oleh Islam dalam memilih calon gadis yang ingin dipinang agar keluarga yang bakal dibina menjadi keluarga sebagai taman syorga yang dapat dinikmati anak-anak, tempat bersenang-senang bagi suami dan tempat latihan bagi anak-anak untuk menjadi orang yang baik sehingga masyarakat dapat hidup dengan baik dan terhormat.

Dalam soal memilih calon, tidak terbatas kepada memilih calon isteri sahaja malah golongan perempuan juga berhak untuk memilih calon suami iaitu orang yang akan meminangnya. Kebijaksanaan para wali dalam memilih calon suami untuk anak-anak perempuan mereka adalah sangat penting. Hendaklah ia memilih lelaki yang berakhlak, mulia dan baik keturunannya, serta kuat pegangan agamanya iaitu yang sekufu (persamaan) dengan anak perempuan mereka. Ini kerana firman Allah swt yang bermaksud ”Adakah orang yang beriman sama saperti orang fasik? Mereka tidaklah sama”. [As-Sajadah: ayat 18]

Bagi wali yang mengkahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang zalim atau fasik atau ahli bid’ah atau pemabuk berarti ia telah berbuat derhaka kepada agamanya dan rela menerima kutukan Allah swt kerana ia telah memutuskan tali kekeluargaan dengan memilih suami yang jahat kepada anaknya. Nabi saw bersabda yang bermaksud ”Barangsiapa menikahkan saudara perempuannya dengan laki-laki fasik, berarti memutuskan tali kekeluargaannya”[15]

Ibnu Taimiyah berkata ”Laki-laki yang selalu berbuat dosa tidak patut dijadikan suami”[16]

Oleh yang demikian, para wali memainkan peranan yang penting dalam memilih calon suami bagi anak-anak atau saudara perempuan mereka sehingga dalam hal ini Rasulullah saw memperingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud ” Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi”

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin berkata ”Berhati-hati dalam menjaga hak anak perempuan itu lebih penting, sebab dengan berkahwin ia menjadi perempuan yang tidak mudah lepas, sedang suaminya boleh menceraikannya bila-bila masa ia suka”

Saiyidatina Aisyah berkata ”Kahwin berarti perhambaan. Kerana itu hendaklah seseorang perhatikan di tempat mana ia lepaskan anak perempuannya”.


MELIHAT BAKAL TUNANGAN

Allah menggariskan agar masing-masing pasangan yang mahu berkahwin, lebih dahulu saling mengenal sebelum dilakukan akad nikah sehingga pelaksanaan perkahwinannya nanti benar-benar berdasarkan pandangan dan penilaian yang jelas.[17]

Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh kepada adat resam kerana ia adalah budaya atau cara hidup. Jika tidak dilakukan, akan berasa janggal dan mungkin dikata orang sekeliling. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, sebelum sesuatu peminangan itu dijalankan, adat merisik bakal menantu juga mesti dijalankan. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seseorang lelaki itu masih belum berpunya disamping untuk menyelidik sedikit sebanyak tentang latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa, cacat celanya serta pengetahuan agamanya.

Di dalam Islam, melihat serta merisik perempuan-perempuan yang bakal dipinang adalah sunnah dan dianjurkan saperti hadis-hadis berikut:

Dari Jabir bin Abdullah, Rasulullha saw bersabda yang bermaksud:
”Jika seseorang daripada kamu mahu meminang seseorang perempuan, kalau boleh lihat lebih dahulu apa yang menjadi daya tarik untuk mengawininya, maka hendaklah dilakukan”.[18]     

Jabir r.a. berkata ”Maka akupun meminang seorang perempuan dari Bani Salamah, tetapi sebelumnya aku rahsiakan maksudku itu kepadanya sehingga dapatlah kusaksikan bahagian-bahagian yang kerananya aku tertarik kepadanya.

Dari Mughirah bin Syu’bah: Ia pernah meminang seorang perempuan, lalu kata Rasulullah saw kepadanya:” Sudahkah engkau melihat dia ? Jawabnya : Belum. Nabi bersabda : Lihatlah dia lebih dahulu agar nantinya kamu bisa hidup bersama lebih bahagia”.[19]

Dari Abu Hurairah ra, pernah seorang sahabat meminang seorang Anshar, lalu kata Rasulullah saw kepadanya : ”Sudahkan engkau lihat ? Jawabnya : ”Belum”. Sabdanya : Pergilah dan lihatlah dia, kerana pada mata orang Anshar ada cacatnya”.[20]

Sahal bin Saad r.a. berkata ”Seorang perempuan datang menemui Nabi saw dan berkata ”Wahai Rasulullah saw! Aku datang untuk menyerahkan diriku kepadamu”. Nabi saw memerhatikan perempuan itu atas dan bawah kemudian Baginda menundukkan kepalanya”. [21]

Syarak membenarkan seseorang lelaki melihat perempuan yang bakal dipinangnya tanpa meminta kebenaran dan tanpa pengetahuannya supaya dia tidak berhias terlebih dahulu kerana jika perempuan itu berhias, maka tujuan melihat tidak akan tercapai.

Abu Humaid as-Saidi r.a. berkata bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “ Jika salah seorang daripada kamu ingin meminang seorang wanita, dia tidak berdosa jika melihat wanita tersebut untuk meminangnya, sekalipun perempuan itu tidak mengetahuinya”. [22]

Seseorang lelaki itu boleh melihat bakal tungannya dua atau tiga kali jika dia perlu melihat keadaan perempuan tersebut dengan lebih jelas lagi untuk mengelakkan kekecewaan selepas berkahwin. Tetapi perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga dengan maksud untuk meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa infor yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang haram dibuat dan dilihat).

Walaubagaimanapun, hadis-hadis tentang melihat pinangan tidak menentukan secara khusus tempat-tempat yang boleh dilihat. Jumhur ulamak berpendapat bahagian yang boleh dilihat iaitu muka dan tapak tangan kerana muka dan tapak tangan adalah anggota zahir yang dimaksudkan oleh firman Allah swt yang bermaksud:
”Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan yang zahir padanya”.[An-Nur: ayat 31]

Dengan melihat mukanya dapat diketahui kecantikan seseorang dan dengan melihat tapak tangannya dapat diketahui akan kesihatan badan serta kelembutannya secara amnya.

Pendapat ini adalah berdasarkan kepada riwayat dari Abdul Razak dan Said bin Mansur, bahawa Umar r.a. pernah meminang putri Ali r.a.yang bernama Ummu Kaltsum. Ali menjawab bahawa putrinya itu masih kecil. Ali berkata lagi ”Nanti akan saya suruh Ummu Kaltum datang berjumpa anda, bilamana anda suka dapat dijadikan calun isteri anda.

Setelah Ummu Kaltum datang kepada Umar r.a., lalu ia membuka pahanya. Ummu Kaltum berkata ”Seandainya Tuan bukan seorang khalifah, tentu sudah saya cocok (tusuk) kedua mata tuan”

Sekiranya seseorang lelaki itu tidak berpeluang untuk melihat perempuan yang bakal dipinang, dia boleh menghantar seorang wanita untuk melihat perempuan tersebut. Rasulullah saw pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang wanita dan Baginda saw berkata kepadanya ”Lihatlah kedua-dua ketingnya dan ciumlah bau badannya”.

Daripada hadis diatas dapat difahami bahawa wanita yang dihantar oleh seseorang lelaki untuk melihat bakal tunangnya boleh melihat lebih daripada apa yang boleh dilihatnya sendiri. Faedahnya tentulah lebih banyak lagi.

Mesti diingat bahawa bilamana seseorang lelaki yang melihat pinangannya dan ternyata tidak berkenan dihati hendaklah dia diam dan jangan mengatakan sesuatu yang boleh menyakiti hatinya, sebab boleh jadi perempuan yang tidak disukainya itu, disukai oleh lelaki lain.

Melihat bakal pinangannya tidak khusus untuk lelaki sahaja, bahkan perempuan juga boleh melihat lelaki yang berhasrat meminangnya supaya dapat dipastikan keadaan sebenar lelaki tersebut yang mungkin dapat mendatangkan kesukaan atau sebaliknya terhadap lelaki tersebut.

Dalam hal ini Umar r.a. pernah berkata “Janganlah kamu nikahkan anak-anak perempuan kamu dengan seorang laki-laki yang tidak menarik, kerana hanya lelaki tersebut yang akan merasa senang, sedangkan anak-anak perempuan kamu tidak menyukainya”.[23]



MEMINANG

Pada kebiasaannya, pihak lelaki yang akan melakukan peminangan terhadap perempuan. Tetapi didalam Islam, pihak perempuan juga boleh melakukan lamaran terhadap pihak lelaki. Ini berdasarkan kepada hadis-hadis berikut:

Bahawa Anas r.a. berkata disisi anak perempuannya : ”telah datang seorang wanita kepada Rasulullah saw lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda)”; berkatalah wanita itu ”Adakah dikau punyai hajat kepadaku ?”, maka anak perempuan Anas r.a. menyampuk, ”Alangkah kurangnya malu siwanita itu dan amat malunya perbuatannya” maka Anas menjawab ”Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi saw lalu menawarkan dirinya kepada Baginda saw.[24]

Imam Ibnu Hajar menegaskan bahawa tiada cacatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki. [25]

Khawlah binti Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi saw [26]

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, kebiasaannya urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki yang akan menghantar rombongan ke rumah calon isteri yang telah di sepakati. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi.

Menurut syarak disunatkan orang yang meminang supaya berkhutbah sebelum meminang dan sebelum akad nikah. Khutbah dimulakan dengan memuji Allah saw dan bersalawat kepada Nabi saw kerana Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ” Semua perkara yang ada nilai tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat”.[27]

Kemudian dia hendaklah berpesan supaya bertaqwa kepada Allah dan barulah melahirkan tujuannya saperti umpamanya ”Kami datang untuk meminang anak perempuan kamu”.

Wali perempuan juga disunatkan berkhutbah yang dimulai dengan memuji Allah swt dan bersalawat serta berpesan supaya bertaqwa dan kemudiannya baru menjawab pertanyaan pihak lelaki dengan umpamanya ”Saya terima pinangan kamu”.

Dan diantara perkara-perkara yang dibincangkan dalam majlis pertunangan ini adalah saperti jumlah mas kahwin, hantaran dan tarikh akad nikah.


LARANGAN DALAM PERTUNANGAN

Bertunang adalah janji untuk perkahwinan dan boleh membawa fitnah dengan mudah. Kedua-dua mereka tetap dalam kongkongan ajnabi dan dilarang serta diharamkan berdua-duan atau bertemu tanpa ditemani oleh anggota keluarga mahram saperti bapa, abang atau bapa saudara gadis tersebut.

Bergaul mesra dan berdua-duan (khalwat) antara pasangan yang bertunang sebelum akad nikah adalah haram serta tidak diredhai oleh Allah swt. Dalam satu hadis, Rasullah saw bersabda yang bermaksud ”Tidak boleh sama sekali lelaki dan perempuan berkhalwat (duduk berdua-duan secara sunyi) melainkan mahram ada bersama mereka”.[28]

Daripada Jabir r.a., katanya Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud ”Barangsiapa beriman kepada Allah swt dan hari kemudian maka janganlah sekali-kali menyendiri dengan seoarng perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang yang ketiganya adalah syaitan”

Daripada ’Amir bin Rabiah, katanya Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud ”Jangan sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya”[29].

Perempuan yang berakal dan cerdik ialah perempuan yang tidak memperlihatkan dirinya di hadapan tunangnya sehinggalah selesai akad nikah. Ini kerana dia mesti memikirkan masa depannya dan mengambil kira kemungkinan yang mungkin berlaku yang mesti dihadapi. Dia juga perlu memikirkan jika pertunangannya terputus, lelaki lain tidak akan meminangnya lagi setelah mereka mengetahui perhubungannya dengan bekas tunangnya.



PUTUS TUNANG

Pertunangan merupakan langkah pendahuluan dan hanya satu bentuk perjanjian untuk mengadakan perkahwinan sahaja dan tidak mengujudkan perkahwinan itu dengan sendirinya. Oleh itu mana-mana pihak berhak untuk membatalkan perjanjian jika ada sebab yang sah bagi membolehkannya berbuat demikian.

Sekiranya tiada sebab yang munasabah maka perjanjian saperti itu tidak harus dibatalkan berdasarkan kepada Firman Allah swt yang bermaksud:

”Wahai orang-orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian-perjanjian kamu”.[al-Maidah: ayat 1]
Selain itu Nabi Muhammad saw juga telah bersabda yang bermaksud ”Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mana mereka bersetuju”.

Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ”Sifat orang munafik itu ada tiga: Apabila berbicara ia dusta, bila berjanji ia memungkiri dan bila dipercayai, ia khianat”

Dalam satu riwayat diceritakan bahawa ketika Abdullah bin ’Umar menghadapi maut ia berkata ”Lihatlah sifulan (sambil menunjuk seorang lelaki Quraisy) bahawa saya telah pernah berkata kepadanya tentang anak perempuanku yang dapat dikatakan sebagai janji, dan aku tidaklah senang akan menghadap kepada Tuhan sambil membawa sepertiga sifat kemunafikan. Kerana itu saksikanlah bahawa sekarang saya kahwinkan anak perempuanku dengan dia”

Mahar atau mas kahwin yang telah diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan semasa majlis pertunangan boleh diminta untuk dipulangkan kerana mahar diberikan sebagai ganti dan imbalan perkahwinan. Selagi perkahwinan itu belum terlaksana, maka pihak perempuan belum mempunyai hak sedikitpun terhadap pihak lelaki.

Pandangan ini di dasarkan dari satu hadis daripada Salim, dari bapaknya katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ”Barangsiapa memberikan hibah, maka dia masih tetap lebih berhak terhadap barangnya, selama belum mendapatkan imbalannya”

Berkenaan dengan hadiah barangan yang berdulang-dulang dihukumkan sama dengan hibah iaitu tidak boleh diminta kembali kerana ia merupakan suatu pemberian sukarela dan telah menjadi milik penerima barangan hadiah tersebut sama ada sebelah pihak lelaki atau pihak perempuan, ianya tidak bersifat sebagai penggantian dari sesuatu.

Hal ini didasarkan kepada beberapa hadis saperti berikut:

Dari Ibnu Abbas r.a. , Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ”Tidak halal seorang yang telah memberikan sesuatu, atau menghibahkan sesuatu lalu meminta kembali barangnya, kecuali ayah terhadap anaknya[30]

Dari Ibnu Abbas r.a.,, Rasulullah saw bersabda yang bermaksudd ” Orang yang menarik kembali barang yang diberikannya, adalah laksana orang yang menarik kembali sesuatu yang dimuntahkannya”

Menurut golongan Syafie, barang-barangan hadiah harus dikembalikan samada yang masih berkeadaan baik ataupun yang telah rosak, dan jika telah rosak harus diganti dengan harganya  (nilainya).


PENUTUP

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah swt sebagai pokok utama kesejahteraan sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan sahaja sebagai syarat yang akan mengsejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.

Tidak hairanlah selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi ”queen control” kepada suami dan suami hilang khemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut syariat Islam.

Untuk mendapat keberkatan Allah swt, dari awal proses peminangan lagi kita mesti menjaga adab dan tatasusila menurut yang dibenarkan syarak. Keberkatan Allah swt ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai kehari tua.

Namun, kalau dalam sesuatu majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak ’tidak cantik’ dan tidak bahagia. Ada sahaja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal dirumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.

Sebab itu sangat penting menjaga suasana majlis peminangan, biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah swt dapat kita jaga dengan baik semuga mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah swt.  Mudah-mudahan pengumpulan maklumat-maklumat di atas dapat dijadikan panduan dalam melaksanakan sesuatu majlis pertunangan menurut syariat Islam.

Wallahu’alam.


RUJUKAN

1.     Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahannya, Edisi Indonesia, Cetakan Mujamma’al Malik Fahd Li Thiba’at Al Mush-Haf Asy-Syarif Madinah Al-Munawarah.

2.       Fiqhus Sunnah (Sayyid Sabiq),  Edisi Terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, PT Alma’arif, Bandung, Indonesia.

3.        Rawai’ul Bayan Fi Tafsiri Ayatil Ahkam Minal Qur’an, Muhammad Ali as-Shabuni [Edisi terjemahan; Tafsir Ayat Ahkam oleh Mu’ammal Hamidy & Drs Imron A Manan, PT Bina Ilmu, Surabaya]

4.       Tafsir Fi Zilalil Qur’an, Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah [Edisi terjemahan: Di Bawah Bayangan Al-Qur’an oleh Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, Kota Bharu, Kelantan]

5.       Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam as-Syafie’ Dr Mistofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugha dan Ali asy-Syarbaji [Edisi terjemahan oleh Ustazin Ismail dan Ustaz Mohd Asri bin Hashim, Pustaka Salam Sdn Bhd]

6.         Shahih Muslim, Edisi Terjemahan.

7.         Shahih Bukhari, Edisi Terjemahan.


Salam hormat …. as-samaki ..


[1] Dr Mustofa Al-Khin, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam Sdn Bhd, ms 776, jld 4.
[2] Terjemahan dipetik dari Al Qur’an dan Terjemahnnya, Mujamma’ Al-Malik Fahd Li Thiba’at Al Mush-Hafasy Syarif.
[3] Edisi Terjemahan oleh Mu’ammal Hamidy & Drs Imron A. Manan, PT Bina Ilmu, Surabaya, Indonesia
[4] Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jld 4, ms 778
[5] Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim
[6] Hadis Riwayat Bukhari, Bab tidak boleh meminang perempuan yang telah dipinang, nombor 4848.
[7] Riwayat Muslim
[8] Riwayat Bukhari, Kitab Nikah, Bab Kufu, hadis 4802; Muslim, Bab Galakan Kahwin, hadis 1466
[9]  Riwayat Thabrani dan Hakim dengan sanad yang sah.
[10] Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Haim, dikatogorikan sebagai sahih.
[11] Riwayat Bukhari, Kitab Nikah, Bab Kahwin Janda. Riwayat Muslim, Kitab Penyusuan.
[12] Riwayat Nasa’I, dikatogorikan sebagai hadis sahih.
[13] Riwayat Ibnu Majah, dikatogorikan sebagai hadis dhaif.
[14] Menurut Ibnu Solah, hadis tersebut tidak mempunyai sandaran yang kuat. Hadis ini disebut oleh Ibnu Athir dalam kitabnya ‘An-Nihayah fi Gharib al-Hadis wal Athar’
[15] Hadis Riwayat Ibnu Hibban, dikatogorikan sebagai hadis dhaif.
[16] Sayid Sabiq, Fiq Sunnah 6, ms 30, edisi terjemahan, Victory Agencie, KL.
[17] Sayid Sabiq, Fiq Sunnah 6, ms 31, edisi terjemahan – Victory Agencie, KL.

[18] Riwayat Abu Daud
[19] Riwayat Nasa’I, Kitab Nikah; Ibnu Majah, Kitab Nikah; Tirmidzi, Kitab Nikah, dikatogorikan sebagai hadis hasan.
[20] Riwayat Muslim, Kitab Nikah, Bab sunat memandang perempuan yang ingin dikahwini.
[21] Riwayat Bukhari, Kitab Nikah, nombor 4833; Muslim, Kitab Nikah , nombor 1524.
[22] Riwayat Ahmad, hadis 5/424.
[23] Fiqih Sunnah, Sayid Sabiq Jilid 6
[24] Riwayat al-Bukhari, 7/17… dipetik daripada penulisan oleh ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
[25] Fath al-Bari, 9/175 .. dipetik daripada penulisan oleh ustaz Zaharuddin Abd Rahman
[26] Riwayat al-Bukhari, 7/15
[27] Riwayat Ibnu Majah, Kitab Nikah, bab Khutbah Nikah.
[28] Riwayat Nukhari, Kitab Nikah, hadis 4935; Muslim, Kitab Haji, hadis 1341.
[29] Riwayat Ahmad.

[30] Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmidzi dan Nasa’i.

No comments:

Post a comment