Wednesday 20 November 2013

Turki Kami Datang Dis 2012 .. (9) … hari ketujuh ….. ronda-ronda Istanbul ….part 2...



Balik dari menyusuri Selat Bosphorus, kami dibawa terus ke sebuah restoran di perkampungan (sebab banyak sangat) restoran kerana masing-masing telah kelaparan … sampai lupa nak rakam foto). Perkampungan restoran tu berhampiran dengan  di kawasan Kumkapi  Fish Market.


Selepas makan, dalam perjalanan balik (jalan kaki) kami melalui tempat menjual ais kerim yang terkenal di Istanbul. Apa lagi , masing-masing pun menjamu ais kerim sebagai pencuci mulut. Aku tak makan ais kerim sebab sejuk.

Selesai makan tengah hari berdesertkan air kerim, kami menaiki bas semula untuk ke destinasi seterusnya iaitu Hagia Sophia atau Ayasofya dalam bahasa Turki, yang merupakan sebuah  muzium di kota Istanbul. Bangunan yang terletak di Istanbul Archeological Park ini sering dianggap sebagai bangunan yang teragung dan tercantik di dunia. Tahun 1985, Hagia Sophia telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi bangunan yang harus dilindungi.

Hagia Sophia
Hagia Sophia mulai dibina pada tahun 532 oleh Maharaja Justinian dalam zaman pemerintahan Kerajaan Roman untuk dijadikan Gereja Besar Kristian Ortodoks. Maharaja Justinian telah memerintahkan Anthemius dari Tralles seorang ahli Matematik dan Isidore dari Miletus seorang ahli Geometrik dan Mesin untuk merekabentuk dan membina sebuah gereja. Mereka berdua tiada pengalaman sebagai arkitek, namum dengan bantuan lebih sepuluh ribu pekerja, mereka berusaha membangunkan suatu gereja dengan kubah yang sangat besar di bahagian tengah yang bergarispusat 31.87 m dan setinggi 55.60 m yang terletak di atas singgah kubah yang disokong oleh empat tiang utama.

Bahan-bahan binaan didatangkan dari berbagai negara seperti Syria dan Mesir untuk membuatkan bangunan benar-benar kuat dan kukuh serta tahan gempa. Dinding dalam ditutupi dengan batu marmar, mozek emas dan lain-lain. Di bahagian luar, dinding stuko ringkas menyerlahkan lagi kubah-kubah kecil dan kubah besar. Akhirnya pada tahun 537 bangunan gereja tersebut telah disiapkan.

Hagia Sophia menyimpan banyak sejarah di masa pemerintahan Kerajaan Roman. Hagia Sophia telah mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi yang melanda Turki dalam tahun 553 dan 557. Gempa bumi itu menyebabkan bangunan itu rusak teruk sehingga kubah besarnya turut runtuh. Kerja-kerja pembaikan telah dijalankan oleh Isodorus iaitu anak saudara Isidor dengan membina semula kubah besar, menguatkan tapak asas, membina tiang-tiang daripada marmar sehingga ianya menjadi lebih kuat.  Akhirnya Hagia Sophia dibuka semula sebagai gereja untuk Kristen Ortodoks di akhir tahun 562.

Namun beberapa siri gempa bumi telah melanda Turki iaitu pada tahun 869, 989, 1344 dan 1346 juga telah menyebabkan kerosakan kepada Hagia Sophia. Setiap kali berlaku gempa bumi, kerja-kerja pembaikan dijalankan oleh pemerintah Kerajaan Roman ketika itu.

Hagia Sophia Bertukar Menjadi Masjid
Selama lebih 900 tahun, Hagia Sophia menjadi pusat atau gereja kepada penyebaran agama Kristian Ortodoks di Turki akhirnya pada tahun 1453, apabila Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah dibawah pimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya menakluki Kota Constantinople, baginda telah mengarahkan bangunan itu diubahsuai menjadi masjid. Loceng, altar dan lain-lain berkenaan Kristian dibuang sementara lakaran di dinding ditampal. Ini semua diganti dengan unsur-unsur Islam seperti mihrab, mimbar, perpustakaan dan empat menara di luar ditambah. Sekaligus Sultan Muhammad Al-Fatih mengubah nama Constantinnople kepada Istanbul.

Semenjak dari itu, Hagia Sophia telah menjadi masjid utama di Istanbul dan model kepada masjid-masjid lain seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru di Istanbul), Masjid Sehzade, Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Hagia Sophia Bertukar Menjadi  Muzium
Apabila Empayar Islam Turki Usmaniyyah terseret dalam kancah Perang Dunia Pertama bersama dengan Jerman dan berakhir dengan kekalahan bagi pihak Jerman dan Turki. Pada masa inilah tampil Mustapha Kamal Ataturk yang berusaha berjuang menyelamatkan Kerajaan Turki daripada kehancuran dan menyekat perluasan kuasa Eropah. Mustapha Kamal Ataturk yang juga seorang panglima tentera telah membentuk Majlis Agong pada tahun 1922 dan memansuhkan Jabatan Sultan yang kemudiannya mengishtiharkan Republik Turki pada 29 Oktober 1923 dan mengangkat diri sebagai presiden Turki yang pertama.


Sejak tahun 1935 atas arahan Mustafa Kamal Ataturk bangunan kuno Hagia Sophia diubah menjadi muzium. Sejak itu, Hagia Sophia dijadikan salah satu tarikan pelancung terkenal oleh pemerintah Turki di kota Istanbul. Nilai sejarahnya dilitupi oleh gaya arkitektur Byzantium yang indah mempesona.

Kelihatan di belakang kami adalah Hagia Sophia yang tersergam indah di tengah-tengah laman berlanskap yang menghijau dilengkapi dengan air pancut...memang sungguh menyamankan.


Sampai sahaja, kami pun masuk kedalam.
Suasana di Hagia Sophia tidak saperti di Masjid Biru. Di Hagia Sophia, pelancong dilihat berpusu-pusu masuk ke dalam dan kawalannya juga tidak seketat Masjid Biru. Orang bukan Islam juga dilihat masuk ke dalam muzium itu tanpa mengenakan pakaian menutup aurat kerana status bangunan tersebut adalah muzium. Namun orang-orang bukan islam dilarang masuk sehingga ke kawasan mibrab dan mimbar yang berada dii bahagian depan.


Saya agak terkejut melihat dinding bahagian dalam bangunan  yang masih dipenuhi dengan lakaran gambaran Nabi Isa atau Jesus dan lambang-lambang salib. Namun, kebanyakan lambang salib itu telah dikikis dan hanya tinggal gambaran Nabi Isa yang masih dikekalkan.


Kaligrafi kalimah Allah, Muhammad dan empat khalifah ar-rashidin yang telah dipasang semasa Hagia Sophia bertukar menjadi masjid masih kukuh tergantung ditempatnya.


    Mihrab dan mimbar yang dibina begitu indah juga masih dikekalkan.


Saya juga berkesempatan ke tingkat dua masjid itu melalui tangga gelap seperti sebuah gua yang diterangi dengan lampu obor pada setiap penjuru tangga. Di tingkat atas, keadaannya agak lapang. Banyak lagi monumen tinggalan Kristian yang masih dikekalkan.


Satu lagi pemandangan di tingkat atas, kelihatan dinding dan bumbungnya di hias begitu cantik dan menarik. Hagia Sophia yang dilingkungi Istanbul Archeological Park, kelihatannya tersergam indah. Menyusuri setiap sudut Hagia Sophia memang menarik. Walaupun Hagia Sophia telah berusia lebih 1500 tahun, namun ia tetap merupakan bangunan yang indah yang harus dikunjungi apabila berkesempatan datang ke Istanbul.

Hagia Sophia yang masih tetap kukoh berdiri menjadi bukti kehebatan arkitek zaman lampau menunjukkan kehebatan orang-orang zaman  dahulu yang mampu berfikir untuk mewujudkan suatu impian yang boleh dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang.

Apabila hari menjelang gelap, kami pun meninggalkan Hagia Sophia yang penuh bersejarah dengan perasaan sayu. Inilah destinasi terakhir lawatan kami saperti jadual yang diberikan oleh PNL Travel. Aku merasa puas dalam sebak meninggalkan Hagia Sophia tetapi yang pasti Hagia Sophia tidak akan kesunyian…Ikuti perjalanan terakhir kembara di Turki ....

No comments:

Post a Comment