Tuesday 26 November 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Dato' Panglima Kinta Ipoh

Sebelum aku beredar daripada Masjid Sultan Idris Shah II, aku sempat bertanya dengan salah seoarng kaki tangan masjid untuk meminta arah perjalanan ke Masjid Dato' Panglima Kinta. Ia bersusah payah membuat lakaran arah perjalanan dan aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Aku memandu melalui jalan Sultan Iskandar. Di persimpangan Jalan Sultan Yusoff aku membelok ke kiri dan meneruskan pemanduan sehingga ke persimpangan Jalan Sultan Idris Shah. Aku membelok ke kanan dan meneruskan pemanduan sehingga persimpangan lampu isyarat. Di persimpangan itu aku membelok ke kanan memasuki Jalan Laksamana yang membawa aku ke Jalan Sultan Iskandar. Di Jalan Sultan Iskandar, aku terus mengambil lorong paling kiri dan kira-kira 50m sebelum Jambatan Sultan Iskandar aku membelok ke kiri kearah Jalan Masjid. Selepas 100meter memandu, Masjid Dato' Panglima Kinta sudah kelihatan.
 



Salepas meletak kenderaan, kami berjalan kaki menghampiri Masjid Dato' Panglima Kinta. Menurut catatan sejarah, masjid ini telah dibina oleh Dato’ Panglima Kinta Mohamed Yusof sempena memperingati isterinya yang telah meninggal dunia. Masjid ini merupakan yang pertama sekali didirikan di Ipoh iaitu pada tahun 1898 Masihi. Bahan yang digunakan untuk mendirikan masjid ini ialah daripada batu pejal.

Konsep reka bentuk serta kubahnya menyamai ciri-ciri dan rupa bentuk masjid-masjid pada zaman kegemilangan Moghul di India. Dibina dengan dua menara, anjung dan kubah batu di sebelah timur. Terletak di Jalan Masjid iaitu di tepi Tebing Sungai Kinta dan  berdekatan dengan Jambatan Sultan Iskandar yang menyeberangi Sungai Kinta. Masjid ini juga dikenali sebagai nama "Masjid Tengah".

Pada hari ini, masjid ini masih terus digunakan lagi oleh masyarakat Melayu di Ipoh walaupun terdapat banyak masjid baru di sekitar bandar ini. Menurut sumber Perak Gazet, kos asal pembinaan masjid ini adalah sekitar $15,000.


Gambar kiri … bahagian hadapan Masjid Panglima Kinta, kelihatan pintu masuk utama ke ruang solat. Keseluruhan ruang koridor di masjid ini di pasang jeriji besi, katanya untuk mengelakkan kejadian pecah tabung dari berulang. Semasa aku sampai, pintu pada jeriji besi masih berkunci, jadi takdapatlah aku masuk kedalam. 
 
  



Bertentangan dengan pintu utama masjid terdapat sebuah bangunan lama di perbuat daripada kayu. Menurut ceritanya bangunan ini telah dibina dalam tahun 1950an dan digunakan sebagai madrasah yang dinamakan Madrasah Kamaliah yang merupakan sekolah Arab yang pertama di Ipoh. Walaubagaimanapun, operasi sekolah tersebut telah ditutup sekitar 1970an.



Kompleks makam ini terletak pada bahagian kiri hadapan masjid. Aras tanah perkuburan ini telah ditinggikan untuk mengelakkan hakisan sekiranya berlaku banjir kerana kedudukannya berhampiran dengan Sungai Kinta. Kebanyakan pusara telah melebehi 60 tahun berdasarkan tarikh yang tertera pada permukaan batu nisannya.

Aku agak kecewa kerana tidak dapat melihat bahagian dalam masjid dan tidak dapat melaksanakan solat tahiyatul masjid, namun aku tidak dapat menunggu lama kerana akan pergi ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Kampung Paloh.


Sedikit sejarah ringkas Gelaran Dato’ Panglima Kinta

Dato’ Panglima Kinta adalah satu pangkat bangsawan turun-temurun orang-orang besar Perak khusus untuk pembesar Melayu Perak yang berkuasa ke atas Jajahan Kinta, kawasan yang mengandungi ibu negeri Perak sekarang iaitu bandaraya Ipoh.

Gelaran Dato’ Panglima Kinta bermula semasa pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah II pada tahun 1636. Sebagai menghargai jasa kepada Tok Chandang, beliau telah dilantik menjadi Maharaja Kinta yang kemudiannaya ditukar kepada Dato’ Panglima Kinta (Tok Chandang adalah anak kepada Tok Changkat Piatu). Sementara itu isteri kepada Tok Chandang telah dilantik menjadi Toh Puan yang pertama di Negeri Perak.

Dato' Panglima Kinta memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Perak dan hieraki sosio-politik masyarakat Melayu. Namun kehadiran kuasa British di Perak khususnya di Kinta pada tahun 1878 telah mengurangkan sedikit kuasa sosio-politik pembesar ini di daerah yang kaya dengan bijih timah ini.
Apabila Dato Panglima Kinta kesembilan iaitu Zainal Abidin yang lebih dikenal sebagai Uda Bidin yang berasal dari keturunan keluarga Kepayang meninggal dunia pada tahun 1884, sepupu kepada Uda Bidin iaitu Muhammad Yusuff telah dilantik menjadi Dato’ Panglima Kinta yang ke sepuluh. Semasa Muhammad Yusuff menjadi Dato’ Panglima Kinta antara tahun 1884 hingga kematiannya tahun 1903, beliau telah menggalakkan kedatangan imigran Cina ke Kinta untuk mengusahakan lombong bijih timah sekaligus membangunkan sebuah perkampungan menjadi sebuah pekan yang terbesar di Daerah Kinta yang di kenali sebagai Pekan Ipoh. Pada tahun 1890an, beliau merupakan antara orang Melayu yang terkaya di Tanah Melayu.

Hari ini, gelaran pembesar Melayu Perak ini masih dikekalkan dan berperanan penting dalam hal ehwal masyarakat orang Melayu di Kinta. Kuasa Dato' Panglima Kinta kembali kukuh kerana beliau juga merupakan Orang Besar Jajahan Kinta.

Nota: Dikutip dari sumber sejarah Negeri Perak.


No comments:

Post a Comment