Thursday, 21 November 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Gua Tempurung


Beberapa tahun yang lepas, aku selalu juga berulang-alik ke utara menggunakan lebuhraya PLUS. Bila terasa penat dan mengantuk aku akan berhenti di kawasan rehat atau pun hentian sebelah. Antara hentian sebelah yang pernah aku berhenti adalah Hentian Sebelah Gunung Tempurung. Tatkala berehat sejenak, pernah juga terpahat dalam fikiranku yang satu hari nanti aku ingin mengunjungi Gua Tempurung yang terdapat didalam perut Gunung Tempurung.
 
Semasa cuti sekolah bulan Mac 2013 yang lepas, aku berpeluang membawa isteri dan anak bungsuku bercuti ke Ipoh dan Pulau Pinang. Satelah dipersetujui oleh isteriku, tema percutian kami kali ini adalah menziarahi masjid-masjid tua dan masjid terapung yang ada di Ipoh dan Pulau Pinang. Namun sebelum sampai ke Ipoh kami akan melencong sebentar ke Gua Tempurung sebelum meneruskan perjalan ke masjid terapung An-Nur di UTP.

Aku memandu menggunakan lebuhraya PLUS, jadi aku kena keluar melalui Plaza Tol Gopeng. Selepas keluar dari Plaza Tol Gopeng, bila sampai dipersimpangan di Jalan Persekutuan, aku membelok ke kiri dan terus memandu lebih kurang 2 km, aku sampai ke Kampung Gunung Mesah. Tidak jauh dari situ, ada simpang disebelah kiri iaitu jalan ke Gunung Tempurung.


Aku tidak merasa risau kerana terdapat banyak papan tanda di sepanjang jalan menuju ke Gua Tempurung. Alhamdulillah tidak akan sesat.

Aku terus memandu sehingga aku bertemu dengan satu papan tanda.

Papan tanda ini walaupun sekadar tembok batu yang bisu, ia tetap setia mengalu-alukan kedatangan setiap pengunjung ke Gua Tempurung.
  




Kami dah sampai pun di Gua Tempurung, kelihatan hutannya begitu menghijau, sejuk mata memandang. Kemudahan tempat meletak kenderaan agak memuaskan. Kami berjalan kaki menuju ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk ke Gua Tempurung. Ada beberapa pakej lawatan, tetapi aku mengambil pakej lawatan yang terdekat, kerana kami ada destinasi lain yang akan dituju selepas itu.


  
Berhampiran dengan pintu masuk ke Gua Tempurung, terdapat satu tugu yang menceritakan sejarah Gunung Tempurung. Aku pun baca dengan teliti.

Antara bukit-bukit batu kapur dan marmar yang terindah di Malaysia adalah Gunung Tempurung yang terletak di Daerah Gopeng, Perak. Tersembunyi di dalam bukit-bukit batu kapur ini adalah satu rangkaian sistem gua dalam berbagai dimensi dan berangkaian seolah sarang lebah yang berlengkar di dalam perut Gunung Tempurung sebagai satu terowong dari timur menembusi ke barat sepanjang 1.9 km.  Rangkaian gua ini dinamakan Gua Tempurung yang terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai beribu bentuk stalagmit dan stalaktit dan lain-lain bentuk ukiran batu yang merupakan warisan alam yang menakjubkan. Selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air, dan kandungan batu kapur dan marmar. Gua Tempurung merupakan gua utama di banjaran ini. Dipercayai telah wujud semenjak 8000 tahun sebelum masehi dahulu dan namanya diambil sempena bentuknya saperti tempurung kelapa.


Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia yang pernah menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu iaitu daripada tahun 1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung tersebut telah dijadikan lombong bijih timah. 

Satelah mengetahui sejarah Gua Tempurung, tanpa membuang masa kami berjalan menuju ke pintu masuk Gua Tempurung (gambar kanan).

   
  
Kami menyusuri laluan yang disediakan untuk menuju ke mulut gua tempurung yang berpagar. Mula-mula melalui mulut Gunung Tempurung, teringat pula aku akan kisah dongeng batu belah batu bertangkup yang telah menelan Si Tanjung yang kempunan makan telur ikan tembakul. Seram sejuk juga aku jadinya. Namun itu hanya kisah dongeng dan aku meneruskan penerokaan ke dalam Guan Tempurung.

Memandangkan Gua Tempurung telah menjadi salah satu tempat tumpuan pelancong, kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong. Kini laluan dan tangga berpagar telah disediakan di dalam sebahagian daripada gua-gua tersebut serta dilengkapi dengan lampu terang untuk menyinari keadaan asli dan semulajadi gua tersebut.

Dengan adanya kemudahan tersebut (laluan, tangga dan lampu) lawatan ke dalam gua kini amat mudah dan selesa agar pengunjung dapat menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah swt dengan lebih dekat lagi. Lihat sajalah keadaan dalam gua yang terang benderang.

Keadaan dalam gua yang terang benderang menampakkan stalagmit dan stalaktit
yang terbentuk di bumbung gua.

Lagi keadaan dalam gua yang terang, jelas kelihatan rupa bentuk permukaan siling gua.

Laluan dan tangga yang dibina didalam gua ada yang mendatar, ada yang menurun, menaik, membelok kiri dan kanan kerana mengikut rupa bentuk (profile) gua tersebut.

Aku yang baru pertama kali masuk ke dalam Gua Tempurung pun merasa selesa dan nyaman dengan udara di dalam. Namun aku agak gayat apabila menaiki dan menuruni anak-anak tangga yang agak tinggi dan curam saperti dibelakangku (gambar tengah).

Berbagai bentuk ukiran yang terjadi dipermukaan siling gua yang menunjukkan bahawa Allah swt Maha Agung lagi Maha Bijaksana. Mahasuci Allah yang telah menjadikan alam ini untuk dihuni sementara oleh manusia.

Lagi bentuk ukiran dipermukaan siling gua (gambar kiri) dan laluan yang berliku (gambar kanan).

Dilaluan ini, siling gua agak rendah (gambar kiri), disini lagi rendah (gambar kanan) sampai aku pun boleh menyentuhnya,  jadi perlu berhati-hati apabila melepasinya supaya kepala kita tidak tersandung di siling gua. Untuk keselamatan pengunjung, lampu yang lebih terang telah dipasang dikawasan ini supaya semua pungunjung boleh melihatnya dengan jelas.

 


Lebih kurang 45 minit kami berada didalam perut gua, kami pun beredar keluar. Sebelum kami keluar dari perut Gua Tempurung, anakku sempat merakam gambar aku dan isteri.

Kami meninggalkan Gua Tempurung lebihkurang jam 4.30 petang dan terus menuju ke UTP untuk menziarahi masjid terapung An-Nur.














Nota: Fakta Stalaktit (Stalactite) dan Stalagmit (stalagmite)

Stalaktit atau dalam bahasa inggerisnya stalactite adalah dari perkataan greek stalasco yang membawa erti menitik iaitu sesuatu yang menitik daripada siling gua atau apa sahaja yang akhirnya membentuk satu objek tirus tajam tergantung di siling gua.

Manakala Stalagmit atau dalam bahasa inggerisnya stalagmite pula berasal dari perkataan greek stalagmias yang bermaksud sesuatu yang jatuh disatu tempat sehingga membentuk timbunan berbentuk tirus tajam seolah-olah tumbuh daripada bumi.

Secara bahasa mudahnya, batu-batu berbentuk tirus tajam yang tergantung seolah-olah menajam keluar daripada siling gua yang dipanggil stalaktit dan yang tumbuh dari bumi dibahagian bawah stalaktit dipanggil stalagmit saperti gambar diatas.

No comments:

Post a comment