Thursday 21 November 2013

Ya Allah … hanya padaMu aku memohon…



Telah menjadi kebiasaan menjelang bulan Oktober setiap tahun, hampir semua sekolah menengah akan mengadakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Ada sesetengah sekolah yang mengadakan majlis tersebut dengan kerjasama surau atau pun masjid.

Satu hari, aku telah diminta oleh seorang kenalan untuk mengetuai majlis bacaan yassin , solat hajat dan doa dirumahnya kerana anaknya pun akan menghadapi peperiksaan juga. Katanya ramai juga anak-anak rakannya yang akan turut serta. Dalam bab-bab macam ni, aku bukannya arif sangat, runsing juga memikirkan apa doa yang harus aku baca. Fikir punya fikir, teringat “google”, ya tak ya juga! … aku pun “google”lah. Google punya google dapatlah beberapa doa dan oleh kerana pemilik web telah memberi keizinan kepada sesiapa sahaja untuk mengambilnya,  aku pun ceduk beberapa doa yang aku rasa sesuai.

Aku teringat petua isteriku, bila dia beli atau jiran hantar lauk atau makanan tapi kurang “ummp”, isteriku akan masak dan olah semula dengan menambah beberapa perencah dan ternyata petua isteriku biasanya berjaya menjadikan lauk atau makan tu menjadi lebih “ummp”.

Apa lagi, satelah aku ceduk beberapa doa, aku pun kacau sampai lumat, aku tambah sedikit sebanyak, aku susun semula dan hidangkan siap dengan hiasanya sekali. Ini dia doa yang telah aku baca dalam majlis di rumah kenalanku itu.

 Doa ibu bapa untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
َالْحَمْدُ ِللهِ رَبِ الْعَالَمِيْنَ حَمْدًا يُوَافِى نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ يَارَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِيْ لِجَلاَلِ وَجْهِكَ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ
Ya Allah, ya Tuhan kami, rahmatilah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW suatu rahmat yang Engkau lepaskan kami dengannya dari segala kesusahan dan kebinasaan, dan yang Engkau tunaikan bagi kami dengannya segala hajat, dan yang Engkau sucikan kami dengannya dari segala kejahatan, dan yang Engkau angkat kami dengannya di sisi-Mu pada setinggi-tinggi darjat, dan yang Engkau sampaikan kami dengannya sejauh-jauh tujuan segala kebajikan semasa hidup dan sesudah mati. Dan juga selawat ke atas keluarga dan sahabat baginda dan anugerahkanlah mereka salam sejahtera yang banyak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami, hanya Engkau yang mampu memberi taufik dan hidayah kepada hamba-hambaMu, maka anugerahkanlah kepada kami taufiq dan hidayahMu, agar kami menjadi ibu bapa yang dihormati dan dicontohi oleh anak-anak kami, tambahkanlah kasih sayang diantara kami, jauhkanlah rasa benci, hasad dan iri hati, hiasilah diri kami seperti peribadi Nabi, serta lindungilah kami dari syaitan yang dilaknati.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami Yang Maha Pengampun, Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami, jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang berilmu dan orang yang membuat kebaikan, dan janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan orang-orang yang jahat dan orang yang membuat kerosakan. Berkatilah segala ilmu yang telah Engkau pinjamkan, keluarkanlah kami daripada lembah kejahilan dan kegelapan kepada daerah cahayaMu dan ilmu pengetahuan.

 Ya Allah, Ya Tuhan Kami, permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah. Jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima oleh Mu, ya Allah.
 
Ya Allah, Ya Tuhan Kami, ikhlaskan hati anak-anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah.

Ya Allah, kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah. Bukakanlah hati mereka sebagaimana terbukanya hati orang-orang yang arif bijaksana , dan kurniakanlah kepada mereka kefahaman para nabi , hafalan para rasul, ilham para malaikat muqarrabin di dalam keadaan afiat, wahai Tuhan yang maha Pengasih dari segala yang lain yang mengasihani.

Ya Allah, tidak lama lagi, anak-anak kami akan menduduki peperiksaan SPM dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak-anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.

Ya Allah, peliharalah kesihatan anak-anak kami dihari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas-kertas jawapan anak-anak kami nanti. Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak-anak kami. Tutuplah penglihatannya daripada melihat kesalahan yang anak kami lakukan.

Ya Allah,  berilah keputusan yang cemerlang kepada anak-anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka tempuhi agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, mudah-mudahan keputusan yang cemerlang itu menjadi pembuka jalan untuk mereka menghampirkan diri mereka kepada Mu Ya Allah agar menjadi hamba Mu yang soleh dan solehah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah.

Ya Allah,  dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah. Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkanlah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Ya Allah, jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak anak kami. Tanamkanlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buangkanlah sifat mazmumah dalam diri mereka. Ya Allah, jadikanlah anak anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa.

Ya Allah, apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak anak sahabat kami yang lain ya Allah.

Ya Allah,  sesungguhnya, anak-anak kami adalah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Terangilah cahaya pada hati-hati mereka dengan cahaya taufiq dan hidayahMu, sebagaimana Engkau terangi bumi dengan cahaya matahari Mu, dan bukakanlah pintu kemenangan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat , wahai Tuhan yang Maha Pemberi keputusan, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui.
 
Ya Allah, kami tidak mampu untuk mengawasi anak anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak-anak kami untuk berada dibawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami hamba yang lemah lagi hina dan dina ini memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon,  redhailah permohonan kami.

Ya Allah, perkenankanlah doa-doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa-doa kami ini, ya Allah. Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya, ya Allah. Jika Engkau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya, ya Allah. Bantulah kami ya Allah. Redhailah kami Ya Allah, Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin.

{رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ}
 {رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار}ِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ اْلأَبْرَارِ. يَا عَزِيْزُ يَاغَفَّارُ يَارَبَّ الْعَالَمِيْنَ
 وَصَلَّى الله ُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ  وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

Nota: Kepada sesiapa yang ingin mengambil doa ini, silakanlah, semoga ada manafaatnya. Saya izinkan kerana Allah SWT.

No comments:

Post a Comment