Wednesday 15 May 2013

Turki Kami Datang Dis 2012 .. (5) .. hari keempat .. Cappadocia ….


Pengembaraan hari ke 4 bermula seawal jam 6.30 pagi bagi mereka yang menyertai rombongan menaiki belon panas. Kami berenam serta encik Azizan dan isteri tidak ikut serta kerana kosnya agak tinggi iaitu 230 US dollar (lebih kurang Rm750) seorang. Lepas sarapan pagi aku dan isteri sempat juga meronda-ronda sekitar kawasan hotel sementara menunggu rakan-rakan yang menaiki belon panas kembali yang dijangkakan jam 9.00 pagi.

Gambar kiri adalah kolam renang di hotel yang kami menginap, tiada siapa yang sanggup mandi kerana cuaca yang sangat sejuk, manakala sebelah kanan adalah hotel bersebelahan dengan hotel kami. Aku dan isteri, berjalan-jalan di tempat-tempat terdekat pada pagi itu saperti Ceramic Shopping Centre, tetapi belum buka kerana waktu baru jam 8.00 pagi.
 



Dari jauh aku nampak belon panas sedang terbang membelah keheningan pagi, agaknya itulah belon panas yang mereka naik pagi itu.
    
Lebih kurang jam 9.00 pagi rakan-rakan yang menaiki belon panas pun sampai balik ke hotel. Pagi itu Ms Luna akan membawa kami ke beberapa tempat menarik di sekitar Kappadokya.



Cappadocia (Kappadokya) adalah suatu kawasan menakjubkan yang terletak ditengah-tengah Wilayah Turki diantara Aksaray di sebelah barat, Kayseri di sebelah timur dan Nigde di sebelah selatan. Bentuk muka buminya yang menakjubkan jarang-jarang didapati di tempat lain didunia ini. Menurut cerita ms Luna, beribu-ribu tahun dahulu, beberapa buah gunung berapi saperti Gunung Berapi Erciyes, Hasan dan Melendiz telah memuntahkan laharnya dan menutupi mukabumi sehingga berbatu-batu luasnya. Kesan daripada angin dan hujan tahun demi tahun, telah menjadikan lahar-lahar tersebut berbagai bentuk yang menarik (semuanya dengan izin Allah swt).

Kegiatan manusia zaman dulu juga banyak meninggalkan kesan yang sangat unik dimana mereka telah menjadikan gua-gua batu yang terbentuk daripada muntahan lahar gunung berapi sebagai tempat tinggal, bilik simpanan barangan juga tempat untuk merehatkan kuda-kuda mereka malah mereka telah membina penempatan bawah tanah. Pada hari ini, ada sebahagiannya masih digunakan untuk menyimpan hasil tanaman saperti anggur, limau dan tomato apabila menjelangnya musim panas. Ada juga para penganut kristian zaman dulu yang telah membina berpuluh-puluh gereja mereka didalan gua.

Tempat pertama yang akan kami kunjungi ialah Kaymakli Underground City. Di dalam perjalanan ke Kaymakli underground city, kami melalui satu kawasan yang dipanggil Aciksaray (Open Palace) atau istana terbuka yang merupakan perkampungan rumah-rumah didalam gua yang menjadi penempatan manusia kurun ke 10 atau 11.  Ia meliputi kawasan seluas satu kilometer  persegi. . Aku sempat juga mengambil beberapa gambar yang menakjubkan.
Aku tidak dapat bayangkan macam-mana mereka mengubah bukit bukau serta gua menjadi tempat kediaman yang seolah-olah istana di pinggir bukit.  Kami hanya melihat daripada jauh sahaja  untuk mengambil gambar dan tidak menghapiri kawasan tersebut.

Menurut Ms Luna, terdapat 36 penempatan bawah tanah (underground city) di sekitar Kapadokya, yang paling luas ialah Kaymakli manakala yang paling dalam ialah Derinkuyu. Kaymakli terletak di bawah Bukit Citadel, ia meliputi 8 tingkat bawah tanah dengan lorong masuk yang agak sempit dan mempunyai bilik-bilik untuk tidur, dapur, bilik simpanan dan juga untuk menempatkan kuda-kuda para askar pada zaman itu. Di buka kepada pengunjung pada tahun 1964 tetapi sekadar hingga ke tingkat 4 bawah tanah sahaja. Menurut pakar sejarah, bandar atau penempatan bawah tanah Kaymakli ini boleh menempatkan kira-kira 3500 orang.

Kira-kira jam 9.45 pagi kami dah sampai ke tempat lawatan yang pertama iaitu Bandar Bawah Tanah Kaymakli (Kaymakli Underground City). Sempat juga Mak Pon, isteriku dan Puan Ezany berposing disebelah papan tanda di pintu masuk ke Kaymakli Underground City.

Ms Luna tidak lengah-lengah membeli tiket untuk kami semua, namun ada juga yang tidak mahu masuk kerana sakit lutut.

  

Luas juga bilik-bilik yang ada di tingkat satu bawah tanah, aku terasa seram juga kat bawah ni, takut runtuh. Gambar kecil kanan ialah ruang dapur.
         



Ini pula bilik di tingkat dua bawah tanah (kiri), dan gambar kecil kanan adalah kawasan untuk meletakkan kuda. 



 
 
 
 Ruang-ruang di tingkat satu hingga ke tingkat empat bawah tanah hampir sama sahaja, yang dihubungkan melalui lorong yang agak sempit. Tangga-tangga untuk menuruni dari tingkat ke tingkat juga agak sempit dan perlu berhati-hati, jangan sampai tersandung nanti jatuh.


Pergerakan mesti mengikut arah anah panah supaya tidak tersesat (gambar kanan).

Tujuan lorong-lorong tersebut dibina agak sempit adalah supaya para penjahat sukar untuk memasuki kawasan mereka, begitu kata Ms Luna.


Mak Pon yang ikut menjelajahi Kaymakli Underground City kepanatan semasa tiba di pintu keluar dan terpaksa dipapah oleh Puan Ezany tetapi rasa puas dan gembira (gambar kiri dan kanan). Mak Ngah. Mak Lang dan Pak Lang tidak ikut turun ke dalam bandar bawah tanah kerana khuatir akan sesak nafas.
     
Selesai melawat Kaymakli Underground City, kami semua terus menyusuri kedai-kedai yang berderet sepanjang jalan sehingga sampai ke tempat meletak kenderaan. Apalagi, isteriku tak melepaskan peluang lah. Ada saja barang yang nak dibelinya. Aku sekadar mencuba tarbus yang banyak dijual di situ.
    
Daripada kedai menjual barangan cenderamata sampailah ke pasar buah-buahan, semuanya nak diborong. Pisang kaki katanya murah-murah tapi aku tengok dah tak berapa baik kualitinya.
 



      
Dah puas membeli belah, akhirnya kami menaiki bas semula untuk kedestinasi berikutnya.





Ms Luna kata dia akan membawa rombongan ke tempat yang mengkagumkan. Memang betul kata Ms Luna, aku belum pernah melihat keajaban ciptaan Allah swt yang begitu indah, mungkin kerana aku tidak banyak berkelana ke merata dunia, orang kata “jauh perjalanan, luas pemandangan”.

Dibelakang bangunan (kiri) adalah bukit yang menempatkan beratus-ratu rumah burung merpati, kawasan ini di kenali sebagai Lembah Merpati (Pigeon Valley). Lihat saja bentuk muka bumi dikawasan tersebut, bukitnya bercerucuk macam busut jantan yang besar.
    

Gambar kiri adalah salah satu daripada gereja yang terdapat di kawasan tersebut yang dibina di dalam gua oleh penganut kristian zaman dulu, ada sebahagian daripadanya masih digunakan sehingga sekarang.
Rombongan kami dapat juga mengambil gambar dengan sepanduk "cuti-cuti muslim” bersama PNL Travel, masing-masing rasa gembira, Pak Lang dan Mak Lang tak boleh berenggang.
    

Lagi pemandangan yang menakjubkan disekitar kawasan tersebut. Kami berenam pun tak lupa mengabadikan gambar kami sebagai kenangan (kanan).
 



Isteriku kalau dirumah memang tak suka kucing, tapi kucing di Kapadokya menarik minatnya, katanya sangat comel dan sanggup mendokongnya (kiri).

Sempat juga dia membeli aiskerim sebelum menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya (kanan).


Rombongan kami telah dibawa ke satu kawasan yang dipanggil Pasabag Valley (Lembah Pasabag). Di situ terdapat banyak bukit berbentuk cendawan busut. Anehnya bahagian atas seolah-olah bongkah yang diletakkan diatasnya, hakikatnya ia adalah ciptaan Allah swt.

 Tiada kata-kata yang dapat aku ungkapkan untuk menggambarkan keunikan ciptaan Allah swt.

 Kami berenam sempat juga mengabdikan gambar bersama-sama.

 Sekali sekala aku pun nak berkepit dengan isteri, entah bila agaknya kami akan sampai ke tempat ini lagi.
 
 Ada diantara bukit tersebut yang dijadikan tempat tinggal pada masa lampau.

 
Satelah puas meronda-ronda di Lembah Pasabag, kami akhirnya meniaki bas semula untuk di bawa makan tengah hari.

Makan tengah hari disebuah restoran tempatan, menunya saperti hari-hari sebelumnya.
Selepas selesai solat zuhur dan asar secara jamak, rombongan kami dibawa melawat ke kilang permaidani. Namun dalam perjalanan, Ms Luna menyarankan agar kami semua berhenti sebentar untuk melihat batu unta dan mengambil gambar.




Inilah dia batu berbentuk unta yang jarang didapati dimana-mana di dunia ini (gambar kiri dan kanan).
 


Di satu kawasan lembah yang di kenali sebagai Lembah Devrent atau Dervent, merupakan satu lembah yang dipenuhi dengan batu-batan yang berbagai bentuk binatang. Bentuk binatang yang paling jelas ialah bentuk unta, bentuk ular, anjing laut. 
      
Satelah berada di Lembah Dervent sekitar 30 minit, kami meneruskan perjalanan ke kilang tenunan permaidani yang terkenal di Turki. Kilang tenunan tersebut diuruskan oleh pihak kerajaan Turki dan para pekerja mendapat gaji daripada kerajaan Turki untuk menjaga keaslian tenunan Turki yang terkenal sejak sekian lama.
    


Ini merupakan ulat sutera yang perlu direbus terlebih dahulu sebelum mendapatkan benang-benang sutera untuk membuat permaidani yang begitu halus tenunannya (gambar kiri dan kanan).


 

Antara permaidani yang terdapat di kilang tersebut dan banyak lagi sebenarnya tetapi tak sempat nak ambil gambar semuanya.

Permaidani yang dihasilkan adalah untuk di jual ke luar negara termasuklah Malaysia.

 

 


Sebelum kami mengakhiri pengembaraan pada hari ke empat di Kapadokya, kami dibawa ke kilang membuat permata. Memang banyak permata, tetapi harganya begitu mahal sekali, aku hanya mampu melihat dan keinginan untuk membeli kupendam dalam hati. Dalam pada itu dapat juga aku mengambil gambar bersama salah seorang juru jual yang berminat dengan sarung kepalaku, dia begitu mesra dengan semua pelanggan. Semuga berjumpa lagi.
     



Tanpa kusedari suasana diluar kilang permata sudah mulai gelap walaupun waktu baru jam 5.00 petang, lantas kami pulang ke hotel penginapan.  Berakhir pengembaraan hari ke empat di Kappadokya. Ikuti pengembaraan seterusnya ... Kappadokya ... Ankara ... Bolu ...

No comments:

Post a Comment