Monday 25 November 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Terapung An-Nur



Selepas meninggalkan Gua Tempurung, aku terus memandu sehingga ke persimpangan dengan Jalan Persekutuan. Aku membelok kekiri dan memandu terus sejauh lebihkurang 5km dimana terdapat satu persimpangan sebelum sampai ke Pekan Kuala Dipang. Kali ini aku membelok kekanan dan terus memandu melewati Kg Pulai Bergading, Kg Tebing Tinggi, Taman Bina Jaya dan Kg Changkat Baru sejauh lebihkurang 16km. Aku berhenti sebentar untuk bertanya arah ke Bandar Sri Iskandar kerana sepanjang pemanduan tadi tidak terdapat satupun papan tanda menunjukan arah ke UTP mahupun Bandar Sri Iskandar. Satelah dapat sedikit maklumat, aku terus memandu dan disatu persimpangan aku membelok ke kanan ke arah Kg Batu 8. Kira-kira 4 km memandu lagi iaitu selepas Kg. Batu 7, aku membelok ke kiri di satu simpang untuk menuju ke Lebuhraya Ipoh-Lumut. Daripada persimpangan tersebut ke Lebuhraya Ipoh-Lumut kira-kira 10km jaraknya. Di Lebuhraya Ipoh-Lumut aku membelok ke kiri ke arah Lumut. Selepas lebihkurang 2km aku sudah nampak papan tanda dibawah.


Universiti Teknologi Petronas (singkatannya UTP) telah ditubuhkan pada 10 Januari 1997 bilamana Petronas telah dijemput oleh Kerajaan Malaysia untuk membina sebuah universiti. UTP bermula dengan penubuhan Institute of Technology Petronas (ITP) iaitu sebuah institusi latihan khas untuk kakitangan Petronas di bawah pantauan Petronas Management & Training Sdn. Bhd. (PERMATA) yang beroperasi di Bangi, Selangor.

Apabila kompleks akademik di Bandar Sri Iskandar, Tronoh, Perak siap dibina pada tahun 2004, operasi UTP mula berpindah ke kampus baru. Kampus universiti tersebut juga di lengkapi dengan kompleks sukan yang menyediakan kemudahan untuk sukan renang, bola sepak, sepak takraw, futsal, bola keranjang, tenis, bola tampar, squash, badminton, bola jarring serta laluan untuk berjoging.

Sebuah masjid juga telah dibina untuk kemudahan kakitangan university, para pelajar dan penduduk tempatan berhampiran bagi menjalankan aktiviti keagamaan. Dinamakan Masjid An-Nur dan terletak berhampiran bulatan selepas pintu masuk utama ke kampus UTP. Dikelilingi dengan tasik buatan manusia yang sentiasa dipenuhi dengan air, menjadikannya seolah-olah terapung di atas air.

Sebaik sahaja aku melepasi pintu pagar utama UTP aku sudah nampak dengan jelas Masjid An-Nur yang tersergam indah.

Dikelilingi dengan tasik buatan manusia dikanan-kiri dan bahagian belakang, menjadikan masjid An-Nur kelihatan seolah-olah terapung.



Masjid An-Nur telah dirasmikan pada hari Jumaat bersamaan 14hb. Julai 2006, oleh DYMM Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni AlMarhum Sultan Yussof Izzuddin Shah iaitu Yang DiPertuan Agung ketika itu. Papan tanda peringatan ini terletak didinding hadapan ruang lobi masjid.







   Aku terus ke ruang wuduk yang terletak di sebelah kiri lobi utama masjid.
Ruang untuk mengambil wuduk agak luas dan dilengkapi dengan kerusi dengan reka bentuk yang agak unik, untuk memberi kemudahan terutamanya kepada golongan tua yang menghadapi masaalah sakit lutut.

Dari tempat wuduk, aku melintasi dataran masjid yang agak luas iaitu dibahagian belakang dewan solat utama. Lantainya dikemasi dengan jubin seramik dan berbumbung beberapa kubah kecil berwarna putih. Ruang dataran ini tidak berhawa dingin.

Aku masuk ke dewan solat utama melalui pintu yang terbuka sendiri apabila papan kekuncinya di sentuh dengan tangan.Pada anggaran aku, dewan solat utama boleh menampung lebihkurang 300 jemaah, lantainya dikemasi dengan karpet, berdinding cermin dikanan-kiri dan bahagian belakang, manakala bahagian depan dilengkapi dengan mihrab dan mimbar yang dikemasi dengan jubin seramik berbagai corak yang menarik. Silingnya dilengkapi dengan sebuah kubah yang sederhana besar. Keseluruhan dewan solat utama dipasang dengan sistem penghawa dingin berpusat. Semasa kami sampai di Masjid An-Nur iaitu kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu solat asar, jadi dewan solat utama masih kosong dan dapatlah aku merakam beberapa gambar.


 Gambar kiri … kubah ditengah-tengah siling yang dipasang sistem lampu jenis “down light”. Gambar kanan … kelihatan lubang sistem penghawa dingin disekeliling kaki kubah yang menjadikan suasa didalam dewan solat utama terasa sangat nyaman.


Gambar kiri … ini adalah ruang solat di tingkat atas yang berdindingkan cermin manakala gambar kanan adalah ruang solat muslimat yang juga terletak di tingkat atas.

Kami menunggu sehingga masuk waktu ‘asar untuk solat ‘asar secara berjemaah, namun jemaahnya tidak penuh satu saf, mungkin disebab cuti semester dimana ramai para pelajar yang balik kampung.

Sebelum meninggalkan Masjid An-Nur aku sempat merakam beberapa gambar dari bahagian kiri dan kanan masjid. Masjid An-Nur, satu-satunya masjid terapung yang terdapat di Negeri Perak ketika ini, semuga kehadiranmu dapat menggamit ramai jemaah mengimarahkannya.

Aku merasa puas meninggalkan Masjid An-Nur kerana misiku untuk menziarahi masjid baru sahaja bermula. Aku meneruskan pemanduan ke Bandar Ipoh untuk singgah bermalam di Hotel Heritage yang terletak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh.



No comments:

Post a Comment