Sunday 15 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 1 ... Sedingin Salju




Satu hari, tanpa aku duga, tiba-tiba isteriku menyuruh aku melayari laman web Air Asia, katanya nak tengok-tengok kalau ada tiket murah ke Melbourne musim cuti sekolah Jun 2014. Tanpa membuang masa aku terus ke bilik komputer di tingkat atas. Oleh kerana ketika itu sudah hampir kepada bulan Jun 2014, harga tiket tidaklah begitu murah sangat. Tapi kali ini isteriku tak kisah sangat, janji dapat pergi. Agaknya dia “jealous” dengan kakaknya kerana kakaknya akan ke Sydney pada cuti sekolah nanti sempena kovo anak angkatnya. Jadi aku pun terus beli tiket ke Melboure untuk lima orang, untuk aku, isteriku dan tiga orang anak-anak perempuanku. Kali ini dua orang anak perempuan ku yang sudah bekerja dapat pulak cuti. Anak lelakiku yang baru melangsungkan perkahwinan tidak dapat ikut sama sebab isterinya tak dapat cuti.

Sebelum berangkat ke Melbourne, kami telah menempah penginapan disebuah pangsapuri dua bilik di kawasan Port Melbourne iaitu lebih kurang 4km sahaja dari pusat bandar Melbourne. Kami juga menempah kereta dari Lapangan Terbang Melbourne. Isteriku mendapatkan visa ETA melalui rakannya dengan bayaran hanya rm20.00 untuk satu visa, murahkan !



Sampai masa yang ditetapkan iaitu pada 5 Jun 2014, kami berangkat dari rumah jam 6.00 petang untuk ke KLIA 2, lapangan terbang yang baru beroperasi sebulan yang lalu. Memang gah betul, KLIA 2 ni, penat aku berjalan dibuatnya.

Gambar atas ... kanan bawah sekali, aku duduk diruang berlepas selepas penat berjalan sementara dipanggil untuk masuk ke dalam pesawat. Dari ruang menunggu, aku dapat melihat pesawat Air Asia yang akan membawa kami ke Melbourne.

Pesawat Air Asia D7214 berlepas dari KLIA 2 sekitar jam 10.35 malam dan sampai di Lapangan Terbang Melbourne jam 8.30 pagi waktu Melbourne. Waktu Melbourne 2 jam lebih awal dari waktu Malaysia. Selepas melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam yang agak ketat, aku terus keluar mencari kaunter Europcar. Terkejut aku kerana cuaca di luar begitu sejuk sekali. Rupanya mulai bulan Jun musim sejuk telah bermula.

Kejadian empat musim merujuk kepada fenomena alam yang berlaku kesan daripada peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbitnya yang tersendiri. Peredaran bumi ini adalah mengikut lawan pusingan jam dan mengambil masa kira-kira 365 hari atau setahun. Fenomena ini berlaku pada setiap tahun, terutamanya di negara-negara yang mengalami iklim empat musim seperti negara-negara yang berada di hemisfera utara dan hemisfera selatan.

Kejadian empat musim berlaku bilamana bumi yang beredar pada orbitnya berada pada empat kedudukan pada masa yang tertentu sepanjang peredarannya mengelilingi matahari.

Pada setiap 21 Mac setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di Garisan Khatulistiwa dan akan bermula musim bunga di hemisfera utara, sebaliknya bermula musim luruh di hemisfera selatan. Keadaan ini juga di kenali sebagai Ekuinoks Musim Bunga. Tempoh siang dan malam adalah sama panjang.

Pada setiap 21 Jun setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di Garisan Sartan, maka berakhir musim bunga dan bermula musim panas di hemisfera utara, manakalan di hemisfera selatan, berakhir musim luruh dan bermula musim sejuk. Keadaan ini dikenali sebagai Solstis Musim Panas. Tempoh siang dan malam tidak sama panjang. Dikutub utara akan mengalami siang 24 jam manakala dikutub selatan akan mengalami malam 24 jam.

Pada setiap 21 september setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di Garisan Khatulistiwa dan berakhir musim panas dan bermula musim luruh di hemisfera utara. Di hemisfera selatan, musim sejuk akan berakhir dan bermula musim bunga. Tempoh siang dan malam adalah sama panjang. Keadaan ini dikenali sebagai Ekuinoks Musim Luruh.

Pada setiap 22 Disember setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di Garisan Jadi dan berakhir musim luruh dan bermula musim sejuk di hemisfera utara. Di hemisfera selatan berakhir musim bunga dan bermula musim panas. Tempoh siang dan malam tidak sama panjang. Kutub utara akan mengalami malam 24 jam manakala kutub selatan akan mengalami siang 24 jam. Keadaan ini dikenali sebagai Solstis Musim Sejuk.

Kewujudan musim-musim yang berlainan ini mewujudkan perubahan unik terhadap ciri-ciri fizikal di muka bumi ini yang sudah pastinya sangat mengujakan dan mempersonakan. Perbezaan ini sudah tentunya mempengaruhi pelbagai aktiviti seluruh hidupan yang mendiami muka bumi ini, terutamanya manusia.  

Ia juga menunjukkan kepada kita betapa indahnya ciptaan Allah SWT. Oleh itu, kita sebagai manusia hendaklah sedar akan tanggungjawab besar kita untuk mengekalkan keindahan yang sedia ada ini dengan sewajarnya.

Aku hanya perlu menyeberang jalan untuk sampai ke kaunter Europcar. Lebihkurang dua puluh minit, urusan di kaunter Europcar selesai dan mereka memberi aku kunci kereta. Aku terus membawa isteri dan  anak-anak serta bagasi untuk ke tempat parkir kereta.
 



Daripada Lapangan Terbang Melbourne, aku terus memandu ke rumah tumpangan yang terletak di 57, Bay Street, Port Melbourne berpandukan GPS. Itulah pertama kali aku memandu dengan bantuan GPS. Memang canggihlah, dalam masa kurang setengah jam memandu, kami dah sampai ke tempat tujuan. Tak sesat langsung, macam memandu kat KL je.



Inilah dia pangsapuri yang agak mewah yang aku telah tempah untuk kami sekeluarga menginap selama berada di Melbourne. Dua buah bilik yang sederhana besar dilengkapi dengan dapur.



Ruang tamu yang selesa dilengkapi TV LCD bersaiz 48 inci, ruang makan dan bilik air yang bersih. Kami berehat sebentar untuk menghilangkan penat dan mengantuk kerana tidak puas tidur dalam penerbangan.

Bangunan pangsapuri ini dilengkapi lift dan mudahlah kami turun naik walaupun unit kami berada di tingkat empat. Tambah istimewa lagi kerana ada petak letak kereta khusus untuk unit yang aku sewa.

 


Disebelah petang, kami membuat keputusan untuk ke Queen Victoria Market yang terletak di Jalan Elizabeth untuk membeli barangan keperluan makanan untuk dimasak, namun banyak gerai yang telah tutup hanya tinggal beberapa gerai menjual buah-buahan. Rupanya hari itu, Queen Victoria Market tutup jam 3.00 petang. Dengan bantuan seorang penjual buah, kami membeli barangan keperluan dapur di sebuah kedai yang diusahakan oleh seorang berbangsa Cina yang berasal dari Hongkong. Banyak barang dijual dikedainya, sos cili Lingham pun ada dijual disana. Kedai Minh Phat terletak tidak jauh dari Queen Victoria Market.



Semasa bermula musim sejuk di Melbourne, jam 5.00 petang hari sudah mulai gelap. Jam 5.15 petang sudah masuk waktu solat maghrib. Jadi kami membuat keputusan untuk balik ke tempat penginapan. Dalam perjalanan kami sempat singgah di pasaraya Coles untuk membeli buah-buahan. Aku terpaksa mengenakan pakaian sejuk bersarung kepala untuk menahan kesejukan malam.

2 comments: