Saturday, 5 April 2014

Kembara Bumi Acheh Hari Keempat



Hari ini 27 Mac 2014, hari terakhir kami berada di Bumi Acheh dan masih ada beberapa tempat yang perlu kami lawati. Selepas sarapan pagi, kami terus mendaftar keluar dari Hotel Sulthan International dan En. Nazir pun telah sedia menunggu. Tanpa membuang masa, kami dibawa menuju ke Desa Lamreueng, Kecamatan Ingin Jaya, Acheh Besar untuk menziarahi Makam Teuku Nyak Arif.

1) Makam Teuku Nyak Arief


Teuku Nyak Arief dilahirkan pada 17 Julai 1899 di Ulee Lheue, Banda Acheh. Beliau adalah salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia yang memperjuangkan Kemerdekaan Indonesia daripada Belanda. Pada 16 Mei 1927, semasa Dewan Rakyat dibentuk oleh pemerintah Belanda, Teuku Nyak Arief terpilih sebagai wakil pertama dari Aceh. Beliau telah diberhentikan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat pada tahun 1931 kerana sering menentang Belanda. Beliau pulang ke Acheh dan meneruskan penentangan terhadap Belanda. Semasa Moehammad Hasan yang berasal dari Acheh menjadi Governor Sumatra pertama, beliau telah melantik Teuku Nyak Arief sebagai Governor Acheh pada 3 Oktober 1945. Teuku Nyak Arief yang menderita penyakit kencing manis telah meninggal dunia pada 26 April 1946.


2) Universitas Syiah Kuala

Kami berpeluang memasuki kampus Universiti Syiah Kuala yang terletak lebih kurang 8 km dari pusat Banda Acheh. Universiti ini dinamakan Syiah Kuala bersempena gelaran Syiah Kuala yang diberikan kepada ulama terkenal Acheh iaitu Syeich Abdul Rauf bin Ali Al-Fansuri.

Universitas Syiah Kuala ditubuhkan pada 2 Jun 1961 dengan Fakulti Ekonomi, Fakulti Kedoktoran Haiwan dan Penternakan sebagai permulaan. Pada tahun 1962 telah ditubuhkan pula Fakulti Perguruan dan Ilmu Pendidikan serta Fakulti Undang-undang. Unversitas Syiah Kuala terus berkembang maju hingga tertubuhnya Fakulti Teknik, Pertanian, Kedoktoran, Ilmu Sosial dan Politik dan beberapa Fakulti lain lagi.


3) Universitas Ar-Raniry

Selepas memasuki kampus Universitas Syiah Kuala, kami di bawa pula melihat-lihat sekitar kampus Universitas Islam Negeri Ar-Raniry terletak kira-kira 8 km dari Pusat Banda Acheh iaitu bersebelahan dengan kampus Universitas Syiah Kuala. Dinamakan Ar-Raniry sempena mengambil nama seorang ulama penasihat Kesultanan Acheh  semasa pemerintahan Sultan Iskandar Tsani, yang bernama Ar-Raniry.

Ditubuhkan pada tahun 1960 sebangai cawangan Kolej Islam Negeri Ar-Raniry Sunan Kalidjaga di Jokjakarta. Bermula dengan Fakulti Syari’ah diikuti dengan Fakulti Tarbiyah dan Fakulti Usuluddin (1962) dan terus berkembang maju. Akhirnya pada 5 Oktober 2013, Kolej Islam Negeri Ar-Raniry telah mendapat kelulusan untuk menjadi Universitas Islam Negeri Ar-Raniry.


4) Pesawat Tempur

Dalam perjalanan ke Indrapuri, kami berhenti rehat di Persimpangan Aneuk Galong, Kecamatan Sukamakmur untuk membasahkan tekak yang telah mulai kering. Aku mengambil kesempatan untuk meninjau satu tugu yang berdiri kukuh berhampiran sebuah warkop (warung kopi). Tugu tersebut dinamakan Tugu Maimun Salleh. Sebuah Jet Pejuang Hawk 200 milik Angkatan Tentera Udara Indonesia mendarat diatasnya. Tugu tersebut dibina sebagai memperingati juruterbang Jet Pejuang pertama daripada Acheh yang bernama Maimun Salleh.

Menurut ceritanya, Maimun Salleh telah dilahirkan di  Aneuk Galong, Sibreh, Aceh Besar pada 14 Mei 1929. Pada 1 Februari 1951, beliau berjaya memperolehi ijazah  penerbangan dan diterima menjadi anggota Squadron IV (Pengintip Darat) angkatan Tentera Indonesia dan turut serta dalam semua operasi yang dijalankan oleh Squadron tersebut.

Hayatnya tidak panjang apabila beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 1 Ogos 1952 setelah jet pejuang yang dipandunya mengalami kemalangan di Pangkalan Udara Semplak, Bogor.


5) Masjid Indrapuri

Perjalanan ke Indrapuri di teruskan kerana masih ada lokasi yang belum dilawati. Lebih kurang 30 minit kemudian kami sampai di hadapan Masjid Kuno Indrapuri yang terletak di Kecamatan Indrapuri iaitu kira-kira 30 km dari pusat Banda Acheh.

Masjid Kuno Indrapuri ini dahulunya adalah sebuah kuil dari Kerajaan Hindu Lamuri sekitar abad ke-12M sebelum kemasukkan Islam. Dalam satu peperangan menentang pasukan bajak laut dari Cina, Kerajaan Hindu Lamuri telah dibantu oleh seorang Pengeran Islam dari Lingga bernama Meurah Johan sehingga mendapat kemenangan. Dengan pengaruh Meurah Johan, akhirnya Kerajaan Hindu Lamuri menjadi kerajaan Islam. Bangunan kuil hindu tersebut telah diubahsuai menjadi masjid hingga ke hari ini.

Gambar atas bahagia atas kiri adalah pandangan dari hadapan masjid yang terdapat kolah untuk berwuduk. Gambar atas bahagian tengah bawah menunjukkan ruang solat serta mihrab dan mimbar masjid.

 
6) Makam Teuku Chik Ditiro

Untuk ke Makam Teuku Chik Ditiro, kami terpaksa melalui jalan yang sempit dan berliku, namun atas kecekalan En. Nazir, akhirnya kami sampai juga ke tempat tujuan yang terletak di Desa Mureu, Lam Glumpang, Kecamatan Indrapuri, Acheh Besar.
 

Teuku Chik Ditiro atau nama sebenarnya Muhammad Saman adalah seorang Pahlawan Nasional yang berasal dari Aceh. Di lahirkan pada tahun 1836 di Dajah Jrueng, Tiombok Laml, Tiro di Daerah Pidie, Acheh. Perjuangan beliau melawan penjajah Belanda dikenali dengan nama "Perang Sabi". Beliau Berjaya menawan semula beberapa benteng dan wilayah yang telah diduduki Belanda seperti benteng Belanda Lambaro dan Aneuk Galong. Ini telah menimbulkan kemarahan pemerintah Belanda yang akhirnya Belanda berjaya meracun Teuku Chik Ditiro. Beliau meninggal pada bulan Januari 1891 di benteng Aneuk Galong.

Makam Teuku Chik Ditiro ditempatkan ditengah-tengah bangunan beratap merah (gambar atas sebelah kiri bawah). Makamnya dilingkungi oleh binaan konkrit berjubin hitam (gambar atas tengah bawah) yang terdapat dua liang hahad (gambar atas tengah atas) didalam lingkungan tersebut dan salah satunya adalah liang untuk Teuku Chik Ditiro. Didalam komplek makam  yang berpagar, juga terdapat surau dan tempat wuduk serta kamar kecil (gambar atas sebelah kanan atas).


7) Makam Panglima Polem

Agak susah mencari lokasi Makam Panglima Polem kerana tiada papan tanda di tepi jalan utama. En. Nazir terpaksa bertanya beberapa kali sebelum menjumpai arah ke makam yang terletak di Desa Lamsie, Kecamatan Kuta Cot Glie, Acheh Besar. Makam Panglima Polem kelihatan agak terbiar tidak seperti Makam Teuku Chik Ditiro yang dijaga rapi.


Nama asal Teuku Panglima Polem adalah Teuku Panglima Polem Sri Muda Setia Perkasa Muhammad Daud. Beliau yang berasal daripada Acheh adalah salah seorang Pahlawan Nasional yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada Penjajah Belanda. “Panglima Polem” adalah gelaran yang diberikan secara turun-temurun kepada anak lelaki Panglima Polem I hingga Panglima Polem IX. Panglima Polem Sri Muda Setia Perkasa Muhammad Daud adalah Panglima Polem yang ke VIII.

Makam Panglima Polem berada agak tinggi dan disediakan laluan bertangga (gambar atas kiri bawah) untuk sampai ke atas. Gambar atas tengah adalah bangunan dimana makam ditempatkan manakala gambar atas sebelah kanan atas adalah liang pusara bagi Panglima Polem.



8) Kota Jantho

Dari Makam Panglima Polem, kami terus menuju kearah Kota Jantho yang merupakan pusat pentadbiran Kabupaten Acheh Besar. Dibina sebuah pintu gerbang yang indah sebelum memasuki Kota Jantho yang terletak dikawasan agak tinggi iaitu pergunungan Seulawah.


 Sebelum Banda Acheh dinaik taraf menjadi Bandaraya, ia merupakan pusat pentadbiran Acheh Besar. Apabila Banda Acheh berpisah dengan Acheh Besar dan mempunyai pusat pentadbirannya sendiri, Pusat pentadbiran Acheh Besar di pindahkan ke Kota Jantho pada 29 Ogos 1983.

Antara tarikan di Kota Jantho adalah sebuah masjid yang indah dikenali sebagai Masjid Al-Munawarah yang menjadi pusat kegiatan keagamaan penduduk Kota Jantho. Satu majlis maulid secara besar-besaran baru sahaja dilangsungkan dimasjid tersebut pada 20 Mac 2014 yang lepas.

Rekabentuk masjid agak menarik dengan kubah besar ditengah-tengah yang melindungi dewan solat utama yang luas, ruang mihrab dan mimbar yang cantik dengan koridor dibahagian kiri dan kanan serta belakang (lihat gambar dibawah).



Di Kota Jantho juga terdapat Stesen Pemancar untuk Television Repablik Indonesia untuk Wilayah Acheh Besar dan kawasan sekitarnya.



9) Perpustakaan Kuno Tanoh Abe

Lebih kurang jam 2.30 petang, kami bergegas untuk menuju ke Bandar Udara Sultan Iskandar Muda kerana penerbangan kami ke Kuala Lumpur dijangka berlepas jam 4.50 petang. Dalam pada itu aku masih tercari-cari lokasi yang menempatkan Perpustakaan Kuno Tanoh Abe. En. Nazir sekali lagi terpaksa bertanya kepada beberapa penduduk kampong sebelum berjumpa laluan ke perpustakaan tersebut.


Gambar di atas menunjukkan bangunan Perpustakaan Kuno Tanoh Abe yang sudah mulai uzur di mamah usia.

Perpustakaan ini merupakan tempat penyimpanan buku-buku dan catatan peninggalan ulama-ulama Aceh zaman dahulu, yang ditulis dalam bahasa Arab. Judul buku yang telah ditulis dianggarkan antara 3.000 hingga 4000 judul, yang kesemuanya ditulis dengan tangan, dan mencakupi bidang  ilmu pengetahuan tentang Islam, Sejarah dan kebudayaan Aceh dari abad 16 hingga 19.  Perpustakaan Tanoh Abe terletak di dalam kompleks Pesantren Tanoh Abee yang didirikan oleh keluarga Fairus yang mencapai kemuncak kejayaannya pada masa pimpinan Syekh Abdul Wahab yang terkenal dengan panggilan Teungku Chik Tanoh Abe. Beliau meninggal dunia pada tahun 1894. Pengumpulan manuskrip telah dimulakan semenjak Syekh Abdul Rahim iaitu datuk kepada Syekh Abdul Wahab.

Semasa aku sampai, pimpinan perpustakaan tiada dirumah, namun aku sempat bertemu dengan isteri beliau dan oleh kerana kesuntukan masa, tidak banyak yang dapat diterangkan dan aku terus memohon diri untuk bergegas ke lapangan terbang. Aku telah menyampaikan kiriman sumbangan untuk Perpustakaan Kuno Tanoh Abe sebanyak 500,000 rupiah.

Aku masih khuatir kerana ditanganku masih ada sebanyak 2.5 juta rupiah wang kiriman sumbangan untuk disampaikan kepada Pesantren Dayah Ulee Titi. Aku berserah kepada kuasa Allah swt kerana masa sudah semangkin singkat, dan rakan-rakan lain sudah mulai rimas takut-takut terlepas penerbangan ke Malaysia. Allhamdulillah, jam 3.40 petang aku berjaya menyampaikan kiriman sumbangan sebanyak 2.5 juta rupiah kepada pimpinan Dayah Ulee Titi dan jam 4.00 petang kami semua telah berada di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda. Kami tidak perlu beratur untuk check-in kerana aku telah uruskan semuanya dan kami hanya perlu membayar cukai lapangan terbang sebanyak 100,000 rupiah seorang di kaunter yang lengang. Kami terus masuk melewati pemeriksaan imigresen dan terus menuju ke dewan menunggu. Kami tiba di LCCT Sepang jam 7.30 malam.

Berakhir pengembaraan kami selama 4 hari 3 malam di Banda Acheh Bumi Serambi Mekah. InsyaAllah jumpa lagi pada pengembaraan yang akan datang  … ziarah 9 Makam Wali Songo…semoga impian direalitikan oleh Allah SWT.





No comments:

Post a comment