Thursday 19 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 7... detik terakhir



Dari Bay of Island aku memandu dengan pertolongan GPS melalui jalan yang lebih dekat iaitu Princes Highway dan M1 Highway untuk terus balik ke Melbourne. Aku masih ada misi yang belum tercapai sedangkan masa sudah semakin sengkat. Sepanjang pemanduan di jalan yang kurang selekoh dan lengang, seperti dikebanyakan kawasan, hanya terdapat kawasan padang ragut yang luas dengan ribuan ekor biri-biri dan lembu. Pemandangan yang menghijau membuatkan aku sentiasa fokus dalam pemanduanku.


Di satu kawasan hentian sebelah, aku berhenti sebentar untuk ke tandas dan mendirikan solat zohor dan jamak takdim asar.


Aku tidak membuang masa, lantas meneruskan pemanduan tanpa berhenti dan akhirnya kami menghampiri Bandar Melbourne.


Seperti yang telah kami persetujui, isteri dan anak-anakku akan menyambung shoppingnya di Harbour Town manakala aku ingin menziarahi beberapa masjid sebelum hari menjelang malam.

Setelah menghantar isteri dan anak-anakku ke perhentian trem no. 35 yang terdekat, aku terus menuju ke no. 765, Drummond St, Carlton North, VIC, dimana tersergam indah sebuah masjid yang dikenali sebagai Albanian Mosque atau Carlton Mosque.


Aku mengambil wuduk di tempat wuduk yang terletak dibahagian kiblat masjid dan masuk ke dewan solat untuk mendirikan solat tahiyatul masjid dan melakukan sujud syukur. Masjid Albania telah siap dibina pada tahun 1969 oleh komuniti Islam Albania yang telah berhijrah ke Australia. Masjid tersebut juga dijadikan sebagai pusat perhidmatan dan pembelajaran bagi komuniti Albania dikawasan Carlton khususnya.

Daripada Masjid Albania, aku bergegas ke no. 90, Cramer St, Preston disana terletaknya Masjid Omar Bin Khattab.


Sesampai di masjid, aku terus masuk (gambar atas kiri .. salah satu pintu masuk) ke dewan solat utama (gambar atas kanan) untuk mendirikan solat tahiyatul masjid. Dewan solat utamanya agak besar, manakala dibahagian belakang dewan solat adalah ruang berbumbung sebagai tambahan (gambar atas kiri bawah).


Kawasan masjid ini agak luas yang boleh menempatkan beberapa petak letak kereta untuk kemudahan para jemaah. Sebelum meninggalkan Masjid Omar Bin Khattab, aku merakam gambar bahagian luar masjid.

Hasrat untuk menziarahi masjid seterusnya terpaksa aku lupakan kerana terpaksa bergegas ke Queen Victoria Market untuk menjemput isteri dan anak-anakku seperti yang dijanjikan lantas balik ke rumah penginapan di Port Melbourne untuk bersiap-siap.

Jam 8.00 malam, kami meninggalkan rumah penginapan di Port Melbourne untuk menuju ke Lapangan Terbang Melbourne untuk pulang ke Malaysia.


Dalam perjalanan, kelihatan MelbourneStar Flights of Discovery yang cantik diwaktu malam sebelum kami melalui jambatan berbumbung yang pertama kali aku temui. Jam 8.45 malam kami sampai di Lapangan Terbang Melbourne. Setelah memulangkan kereta yang aku sewa di kaunter Europcar, kami bersama bagasi berjalan menuju ke kaunter check-in namun aku dapati sudah panjang orang beratur walaupun kaunter belum di buka.

Penerbangan Air Asia D7213 berlepas dari Lapangan Terbang Melbourne jam 12.45 malam dan selamat mendarat di KLIA2 jam 8.10 pagi. Percutian selama enam hari lima malam ke Melbourne seakan terlalu singkat namun banyak membawa kenangan dan pengajaran tentang kekuasaan Allah SWT yang telah menciptakan langit dan bumi serta seluruh isinya.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering) -nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan”.Surah Al-Baqarah ayat 164.

  
Dulu di LCCT, kini di KLIA2 ... perhidmatanmu sentiasa di ingati dan dirindui ....



No comments:

Post a Comment