Thursday, 19 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 6 ... Menyusuri Great Ocean Road ... bahagian 2



Kami memang tidak merancang bahawa kami akan bermalam di Princetown, jadi kami tak bawa lebih pakaian. Pagi itu kami pakai semula pakaian yang kami pakai hari sebelumnya.


Princetown adalah sebuah pekan kecil yang hanya terdapat sebuah restoran dan rumah penginapan (gambar atas kanan) dan sebuah pasar mini yang juga menjual minyak petrol (gambar atas bawah kiri), namun berkeadaan bersih dan menyamankan.


Dibahagian hujung dibina kawasan untuk melihat dan meninjau bahagian belakang yang terdapat sungai dan kawasan lapang dimana kebiasaanya kawanan kangaroo akan bermain-main.

Pagi itu kami bersiap awal untuk menyambung penjelajahan Great Ocean Road yang terpaksa kami hentikan kerana malam bertandang awal.


Tempat pertama yang kami singgahi ialah Gibsons Steps yang berjarak 5 kilometer dari Princetown. Dikawasan ini telah dibina 86 anak tangga untuk turun ke tepi pantai oleh Hugh Gibson mengikut laluan asal yang berliku yang telah dirintis oleh Kirrae Whurrong (gambar atas kiri bawah).

 
Kami menuruni anak-anak tangga dengan berhati-hati kerana ia melalui tebing yang curam dan berliku. Angin bertiup kencang membawa ombak yang deras ke pantai yang berpasir halus dan bersih. Tebing batu yang menegak kelihatan disepanjang pantai. Bongkah batu yang kelihatan dibelakang kami, yang seolah-olah tumbuh dari dasar laut diberi nama Gog dan Magog oleh penduduk setempat.

Sekitar lima belas minit berada di Gibson Steps, kami beredar untuk ke Twelve Apostles dan hanya beberapa minit memandu kami sudah sampai ke tempat letak kereta Twelve Apostles.


Gambar atas kiri, kelihatan para pekerja sedang membaiki bumbung bangunan yang menempatkan pusat penerangan, kafe dan tandas. Pusat penerangan masih belum dibuka kerana waktu masih awal pagi. Agaknya kami pengunjung terawal pagi itu. Dibelakang bangunan inilah laluan untuk melihat Twelve Apostles (gambar atas bawah kanan) yang jaraknya lebih kurang 400 meter sahaja.

 
Inilah dia yang dikenali sebagai Twelve Apostle, gambar atas kanan dahulunya terdapat sepuluh bongkah batu di kelompok kanan tetapi kini hanya tinggal lapan sahaja kerana dua lagi telah terhakis oleh ombak yang setia menghempas pantai. Beberapa bongkah batu tidak kelihatan kerana terlindung oleh bongkah batu yang besar. Gambar atas kiri, dua lagi bongkah batu di kelompok kiri yang semakin menirus hanya menunggu masa untuk ditelan arus.

 
Terdapat papan penerangan bagaimana terjadinya bongkah-bongkah batu tersebut. Akibat hempasan ombak laut ke tebing batu yang lama kelamaan tebing-tebing batu terhakis sedikit demi sedikit. Prosesnya mengambil masa ratusan atau ribuan tahun.


Dipenghujung tempat meninjau (gambar atas), dibelakangku adalah kelompok sebelah kanan, manakala di belakang isteriku adalah kelompok sebelah kiri.

Beberapa kilometer memandu ke arah Port Campbell, kami singgah di satu tempat untuk melihat Loch Ard Gorge. Ia merupakan sebuah teluk kecil yang dikelilingi tebing batu yang tegak dengan bukaan mengadap laut yang sempit.


Diberi nama sempena karamnya sebuah kapal dagang bernama Loch Ard berhampiran Muttonbird Island pada 1 Jun 1878 yang sedang dalam pelayaran dari England ke Melbourne. Daripada 54 orang penumpang dan anak kapal, hanya dua orang sahaja yang terselamat, Iaitu Tom Pearce yang berusia 15 tahun seorang pelatih pelayaran, dan seorang wanita Irish berusia 17 tahun bernama Eva Carmichael yang berpindah bersama keluarga ke Australia.


Kami menuruni anak-anak tangga untuk sampai kebawah dan merakamkan gambar kenangan sebelum kami kembali ke kereta.

Setelah memandu sekitar lapan kilometer, akhirnya kami sampai di satu lagi pekan kecil bernama Port Campbell iaitu satu penempatan berhampiran tepi pantai yang dilingkungi kawasan menghijau yang nyaman dan aman. 


Aku mengambil kesempatan untuk memenohkan minyak kereta di kedai minyak Caltex manakala isteriku cuba mencari makanan untuk sarapan pagi.


Dari Port Campbell aku memandu ke arah Peterborough di jalan yang lengang sambil sekali sekala menikmati sarapan pagi. Kami sampai di The Arch sepuluh minit kemudian.  The Arch terhasil daripada hakisan ombak yang sentiasa memhempas dan membadai tebing batu tanpa jemu.


Baiknya dikawasan-kawasan tarikan pelancong seperti ini, disedia tangga dan juga pelantar untuk para pelancong meninjau kawasan sekitar. Kami pun tidak ketinggalan bergaya bersama The Arch.

Lebih kurang satu kilometer daripada The Arch, satu lagi pemandangan yang menarik iaitu London Bridge.


Pada asalnya tebing batu yang terhakis ribuan tahun memanjang tirus ke laut membentuk seolah-olah jambatan (gambar atas kiri bawah). Pada 15 Januari 1990, sebahagian daripadanya telah runtuh dan jauh kelaut meninggalkan sebahagiannya seolah-olah “pulau batu”. Semasa kejadian ada dua orang yang sedang meninjau terperangkap di ”pulau batu” tersebut dan hanya diselamatkan dua jam kemudian.

 
Demikian al-kisah “London Bridge is falling down” dan kalau tak bergambar bersama London Bridge memang rugi.

Satu lagi tempat menarik yang kami singgahi ialah The Grotto, lebih kurang 2 kilometer dari London Bridge.


Untuk dapat sampai ke dasar “telaga” yang terbina selepas kejadian tanah mendap dan hakisan air laut, terpaksa berjalan dan menuruni anak-anak tangga sejauh lebih 700 meter dari tempat letak kereta. Walaupun “telaga” tersebut bersambung dengan lautan melalui lubang yang terhasil dari hakisan air laut yang sentiasa menghempas tebing batu kapor semasa proses air pasang dan surut.  Air yang bertakung di dalam “telaga” tersebut adalah air tawar yang jernih. Rasa puas menghilangkan segala keletihan sewaktu menaiki tangga.

Aku memandu lagi sehingga sampai ke pekan kecil Peterborough. Di sebelah kanan jalan adalah lapangan untuk helikopter yang membawa pelancong meninjau tempat-tempat menarik melalui udara.


Sampai di satu simpang aku membelok ke kiri ke Irvine St sehingga ke penghujung jalan yang terdapat tempat letak kereta dan kawasan meninjau. Dari tempat tinjauan aku dapat melihat disebelah kiri adalah kawasan dimana beberapa kapal pernah karam dibadai ombak besar.


Di paparkan tiga peristiwa kapal karam ditempat berkenaan. Pada 26 Disember 1855, sebuah kapal dalam pelayaran sulungnya dari England ke Australia,  telah karam di badai ombak besar dan terhempas ke Schomberg Rock berhampiran Peterborough. Pada 28 Mei 1877 kapal yang dikenali sebagai The Young Australian, telah karam dihempas ombak besar di Curdies Inlet, Peterborough semasa dalam pelayarannya dari Maryborough, Queensland ke Adelaide. Pada 29 Ogos 1892 sebuah kapal dengan 26 anak kapal belayar dari Sharpness, Scotland ke Brisbane telah karam dihempas ombak di Newfield, Port Campbell.

Sebelum meninggal Peterborough, aku memandu melewati pasar mini dan pam minyak mini yang ada di Peterborough sebelum meneruskan perjalanan ke Bay of Martyrs.


Bay of Martyrs hanya 2 kilometer dari Peterborough merupakan sebahagian dari Bay Of Island.


Lokasi terhujung yang kami kunjungi ialah Bay of Island iaitu 4 kilometer dari pekan kecil Peterborough iaitu kira-kira 310 kilometer dari Melbourne melalui Great Ocean Road.

Oleh kerana hari itu adalah hari terakhir kami berada di Melbourne dan akan kembali ke Malaysia pada malam itu, aku memutuskan untuk berpatah balik ke Melbourne. Aku memandu dengan pertolongan GPS menggunakan jalan yang berbeza iaitu melalui Princes Highway dan M1 Highway. Great Ocean Road aku tinggalkan dengan seribu kenangan.



No comments:

Post a comment