Wednesday 18 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 5 ... Menyusuri Great Ocean Road ... bahagian 1



Malam keempat di Melbourne, selepas menghantar anak sulungku ke Lapangan Terbang Melbourne, aku terus balik ke tempat penginapan. Dalam cuaca yang sangat sejuk, aku terus masuk tidur kerana esuk akan mengharungi perjalanan yang jauh.

Pagi-pagi lagi selepas bersiap, atas permintaan isteri dan anak-anak, aku membawa mereka sekali lagi ke Queen Victoria Market, katanya ada lagi barang yang nak dibeli ... tak habis-habis bershopping ... aku mengeluh dalam diam.


Aku memberi mereka masa dua jam untuk meronda dan bershopping di QVM. Macam-macam barang yang mereka beli, aku cuma risau berat bagasi melebehi had yang kami tempah iaitu 60 kg untuk kami berempat.


Dari Queen Victoria Market, aku terus memandu mengikut arahan GPS untuk ke Geelong seperti yang aku rancang agar dapat solat zohor di Masjid Geelong.


Tepat jam 12.30 tengah hari, kami sampai di Masjid Geelong setelah menempuh perjalanan sejauh 75 kilometer. Alhamdulillah, waktu zohor telah masuk, namun azan tidak dilaungkan di Masjid Geelong. Aku mengambil kesempatan merakam beberapa gambar bahagian luar masjid untuk kenangan sebelum mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid untuk mendirikan solat.

Aku dapati bahagian dalam Masjid Geelong begitu rapi dan teratur, namun tiada jemaah yang datang awal untuk solat berjemaah. Selepas aku selesai mendirikan solat zohor dan asar secara jamak dan qasar, dua orang warga tempatan masuk untuk bersolat. Mereka bersolat secara berjemaah. Sementara itu aku mengambil kesempatan untuk merakam beberapa gambar bahagian dalaman masjid.


Menurut ceritanya, masjid tersebut asalnya adalah sebuah gereja yang telah dibina pada tahun 1887, tetapi telah dibeli oleh komuniti islam kawasan Geelong dan dijadikan masjid.


Jam 1.00 tengah hari kami meninggalkan Masjid Geelong untuk menyusuri Great Ocean Road. Sambil memandu, aku mencari-cari lokasi sesuai untuk “port” makan tengah hari kerana perut sudah mulai berkeroncong.


Semasa memandu melalui pekan kecil Anglesea, aku ternampak kawasan rehat disebelah kiri jalan dan aku terus meletak kereta di situ. Tempat tu sungguh nyaman kerana terletak ditepi tasik yang airnya sangat jernih. Kami makan tengah hari disalah satu meja yang terdapat di situ.

Setengah jam kemudian kami melanjutkan perjalanan ke satu lagi pekan kecil iaitu Aireys Inlet yang jaraknya lebih kurang 12 kilometer dari Anglesea. Di Aireys Inlet terdapat sebuah rumah api yang bersejarah yang telah dipromosikan sebagai tarikan pelancong.


Menghampiri Aireys Inlet, aku memandu berhati-hati sambil mencari-cari papan tanda Split Point Lighthouse. Aku membelok kekiri ke arah rumah api tersebut dan meletak kenderaan ditempat yang disediakan, agak jauh dari rumah api Split Point. Kami berjalan kaki sekitar 200 meter kerana hanya kenderaan OKU sahaja yang dibenarkan masuk ke dataran rumah api.

Split Points Lighthouse juga dikenali sebagai “white lady” dikalangan penduduk tempatan (agaknya kerana berwarna putih), rumah api tersebut terletak disatu kawasan tinggi berhampiran dengan pantai. Dibina pada tahun 1891 dengan ketinggian 34 meter dari aras bumi.

Para pengunjung yang ingin naik ke atas akan ditemani oleh petugas atau penjaga rumah api dan dikenakan bayaran AUD14.00 untuk dewasa dan AUD8.00 untuk kanak-kanak. Aku tidak mahu mengambil risiko untuk memanjat tangga setinggi 34 meter kerana tidak biasa berbuat demikian.


Dari rumah api Split Point, aku memandu meredahi Great Ocean Road sehingga sampai ke pintu gerbang Great Ocean Road. Jalan yang dibina bagi mengingati jasa-jasa pelayar serta tentera yang terlibat dengan perang besar tahun 1914 hingga 1919. Dibina berjajaran dengan pantai secara berperingkat mulai tahun 1918 dan siap keseluruhannya pada tahun 1932. Aku Cuma berhenti sekejap untuk merakam gambar kerana hari sudah semakin petang.


Sewaktu kami sampai di Apollo Bay yang jaraknya 190 kilometer dari Melbourne, waktu sudah hampir jam 4.00 petang sedang perjalanan untuk sampai ke tarikan utama di GOR seperti Twelve Apostles, Loch and Gorge dan lainnya masih jauh lagi. Setelah berbincang, kami membuat keputusan untuk bermalam dimana-mana penginapan sekiranya tidak sempat balik ke Port Melbourne.

Aku meneruskan pemanduan tanpa henti dalam suasana hari sudah semakin gelap, namun agar sukar memandu laju walaupun tiada kamera perangkap had laju, tetapi perjalanan seterusnya bukan sahaja melalui jalan yang sangat berliku tetapi juga jalan yang mendaki bukit yang agak tinggi.


Ketika kami sampai di Princetown, matahari sudah separuh terbenam. Oleh kerana hari sudah gelap kami membuat keputusan untuk menginap di Princetown dan menyambung penjelajahan Great Ocean Road pada hari esuknya. Princetown adalah sebuah pekan kecil yang jaraknya 270 kilometer dari bandar Melbourne.


 

Inilah unit kediaman yang kami sewa di Princetown, satu katil kembar dibilik utama untuk aku dan isteri, satu katil bertingkat dilaluan tengah untuk dua orang anak-anak ku, bilik air dan ruang rehat dihadapan. Kesemuanya berharga AUD100.00 untuk satu malam. Setelah berehat sebentar, aku menghabiskan bekalan makanan yang kami bawa, manakala isteri dan anak-anak ku membeli “fish & chips” di kafe berhampiran.



No comments:

Post a Comment