Sunday 15 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 2 ... Ronda-Ronda CBD



Malam pertama di Melbourne begitu sejuk. Walaupun berada didalam bilik, cuaca sejuk tetap dapat menerobos sampai kedalam tulang. Mujurlah penginapan yang aku sewa ada menyediakan alat pemanas udara (heater), jadi kurang sikit sejuknya. Sementara menunggu isteriku masak untuk makan malam, aku telah membuat perancangan perjalanan bagi memudahkan pergerakan untuk hari esuk iaitu hari kedua berada di Melbourne.

Satu perkara yang perlu diingat, ialah berkenaan tempat letak kereta, walaupun banyak tetapi harganya sangat mahal, ada yang sampai 1 jam AUD8.00 sehingga satu hari berpuluh-puluh AUD. Jadi aku terpaksa mencari-cari tempat letak kereta yang paling murah.


Pagi-pagi lagi pada hari kedua kami telah keluar rumah menuju ke pusat bandar Melbourne dan terus ke tempat letak kereta CBD, di 58, Franklin St. Inilah tempat letak kereta yang paling murah yang aku dapat cari iaitu AUD12.00 (early bird) untuk sehari, itupun terpaksa masuk sebelum jam 9.00 pagi dan keluar selepas jam 3.00 petang. Memang pada hari kedua kami hanya akan ronda-ronda sekitar Melbourne CBD dengan menaiki Trem No. 35 iaitu trem percuma.

Dari tempat letak kereta CBD, kami berjalan kaki lebihkurang 200 meter melalui Franklin St ke arah Queen St untuk sampai ke Queen Victoria Market. Waktu itu orang masih belum ramai lagi. 


Kami datang lagi ke Queen Victoria Market kerana semalam tidak sempat membeli belah sebab dah tutup. Bermacam-macam barang dijual di QVM. Yang paling seronok anak-anak perempuanku. Membeli sakan sehingga lupa duit dah habis, mujurlah ada mesin ATM di QVM, nasib baik mesin ATM itu tak minta maaf “maaf baki anda tidak mencukupi”.

Isteriku sempat juga membeli beberapa helai baju dan cenderahati untuk rakan-rakannya dan membelikan topi koboi untuk aku. Sejak waktu tu, aku sentiasa bergaya dengan topi koboi tu. Sebelum meninggalkan QVM, kami berjalan-jalan dan tak sangka bertemu dengan seniman jalanan yang sedang menghiburkan orang ramai disatu sudut QVM (gambar bawah kanan bawah).


Setelah selesai membeli belah di QVM, kami kembali ke tempat letak kereta untuk menyimpan barang bagi meringankan perjalanan seterusnya. Dari tempat letak kereta kami berjalan kaki melalui Franklin St ke arah Victoria St untuk ke Old Melbourne Gaol. Bila sampai di Victoria St kami sudah nampak Old Melbourne Gaol berada disebelah kanan kami iaitu di no. 377 Russell St. Kami berjalan lebihkurang 300 meter dari CBDpark.


 Old Melbourne Gaol terdiri daripada penjara tertua di Melbourne, Mahkamah Magistrit paling bersejarah dan Balai Polis semenjak tahun 1840an dan banyak kes-kes jenayah berat telah diselesaikan dan hukuman gantung juga dijalankan di dalam penjara tersebut. Kini dijadikan tapak warisan sejarah untuk dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia. Dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang dan dikenakan bayaran masuk sebanyak AUD25.00 untuk dewasa dan AUD13.50 untuk kanak-kanak. Masuk kedalam tidak dibenarkan mengambil gambar.

Selesai melakukan lawatan kami menunaikan kewajipan kepada Allah swt solat zohor dan asar secara qasar dan jamak diatas pangkin disebelah kanan tempat kami duduk diluar Old Melbourne Gaol (gambar atas bawah paling kanan).

 
Dari Old Melbourne Gaol, kami berjalan kaki menyusuri Victoria St ke arah Rathdowne St untuk ke Royal Exibition Building yang terletak di no. 9,  Nicholson St, Carlton VIC 3053. Royal Exibition Building telah di iktiraf sebagai salah satu bangunan Warisan Dunia yang perlu dipelihara. Pada hari itu tidak ada apa-apa pameran di adakan, jadi ianya ditutup. Tak dapatlah kami masuk untuk melihat-lihat. Kami hanya bergambar disekitar bangunan yang dipenuhi dengan pepohon rendang, rumput yang menghijau disamping taman bunga yang dihias cantik.


Berhadapan dengan Royal Exibition Building adalah  Melbourne Museum yang terletak di no. 11, Nicholson St, Carlton VIC 3953. Bangunan muzium tersebut telah direkabentuk oleh Denton Corker Marshall Architects dan pembinaannya telah disiapkan dalam tahun 2001. Muzium tersebut dibuka pada setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran masuk sebanyak AUD24.00 untuk dewasa dan AUD12.00 untuk kanak-kanak. Pada hari kami datang, ada promosi bayaran masuk iaitu hanya AUD 10.00 untuk dewasa manakala percuma untuk kanak-kanak.

 
Antara bahan yang dipamerkan di Muzium Melbourne ialah tulang rangka ikan paus, binatang purba dan juga berbagai binatang yang telah dikeraskan.

Disatu bahagian yang lain pula dipamerkan replika kereta kuda zaman dahulu dan keretapi lama, mesin jahit lama dan juga mesin taip lama.


Disudut yang lain terdapat galeri lukisan, sejarah sains dan manusia dan di ruang legar di tempatkan sebuah kereta antik sebagai tarikan kepada para pengunjung.


Selesai melihat-lihat di Muzium Melbourne, kami berjalan kaki melalui Rathdowne St ke arah La Trobe St untuk ke perhentian trem terdekat iaitu lebihkurang 500 meter yang terletak di La Trobe St. Kami menaiki Trem no. 35 iaitu trem percuma yang mengelilingi Pusat Bandar Melbourne sahaja.


Tempat menunggu trem mudah sahaja hanya di pembahagi jalan. Semua trem akan melalui laluan yang sama, namun hanya trem no. 35 yang percuma. Tidak lama menunggu, trem pun sampai. Kami menaiki trem no. 35 untuk ke Harbour Town Shopping Centre yang terletak di Wilayah Dockland. Naik trem no. 35 sama macam naik LRT di KL, tempat duduknya terhad, lebih ramai yang berdiri, setiap akan sampai di perhentian seterusnya akan dimaklumkan. Jadi kami taklah terlajak walaupun pertama kali naik trem no. 35. Macam dah biasa je.


Kami sampai di Harbour Town Shopping Centre lebihkurang jam 4.00 petang. Harbour Town merupakan kawasan beli belah terbaru di Melbourne. Beratus-ratus kedai menjual pakaian, kasut, barangan cenderahati, tetapi di sini lebih eklusif berbanding Queen Victoria Market.


Juga terdapat berpuluh restoran antaranya restoran Chilli Padi dan terdapat sebuah hotel iaitu Harbour Town Hotel.

 
Tarikan utama di Harbour Town ialah Melbourne Star Flight of Discovery, juga sebuah sebuah Mini Olympic Stadium.

Harbour Town sebenarnya tidak jauh dari Waterfront City. Jadi sementara menunggu isteri dan anak-anakku shopping, aku berjalan kaki menuju ke Water Front City yang hanya lebihkurang 200 meter dari Harbour Town.

 
Sempat juga aku merakam beberapa pemandangan yang cantik di sekitar Water Front City. Lebih kurang jam 5.00 petang kami menunggu Trem no. 35 di Docklands Dr untuk ke CBD park. Dari CBD park aku memandu kereta untuk balik ke rumah penginapan kerana siang mulai melabuhkan tirai.




No comments:

Post a Comment