Monday 16 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 4 ... Phillip Island



Malam ketiga di Melbourne, kami semua keletihan selepas mengharungi perjalanan yang jauh dan lama dari Mt Buller. Malam itu kami cuma makan mi segera yang kami bawa dari Malaysia. Selepas solat isyak, masing-masing tidur keletihan.

Hari ke empat di Melbourne aku bangun seawal jam 4.30 pagi kerana telah kekenyangan tidur. Selepas solat subuh jam 6.00 pagi, aku mula membuat perancangan untuk aktiviti-aktiviti hari ke empat. Seperti hari sebelumnya, isteriku sempat memasak nasi dan juga lauk untuk dibawa sebagai bekalan makan tengah hari.

Tempat pertama yang kami tuju ialah Hosier Lane. Dari tempat penginapan, aku memandu berpandukan GPS terus ke Flinders Lane dan meletak kenderaan di tepi jalan sahaja berhampiran simpang ke Hosier Lane. Kemudian kami meronda-ronda di Hosier Lane sambil melihat berbagai corak dan warna didinding bangunan sepanjang Hosier Lane.

 
Hosier Lane adalah salah satu daripada jalan-jalan di Melbourne CBD dimana dinding-dinding bangunannya di sembor cat dengan berbagai corak yang begitu kreatif. Tidak pula mendapat bantahan dari pemilik bangunan ataupun pihak berkuasa tempatan.

 
Lukisan-lukisan seperti ini pun dipromosikan dan dijadikan sebagai satu tarikan pelancong. Semasa kami sampai ke Hosier Lane, hanya kami yang sahaja manakala pengunjung lain belum tiba lagi. 

 
Lebih sepuluh minit kami mundar mandir di Hosier Lane, kami terus berjalan kaki ke Flinders Sreet iaitu satu jalan yang terkenal di Melbourne CBD.

 
Tarikan utama di Flinders St ialah Federation Square yang merupakan pembangunan bercampur merangkumi kawasan seluas 3.2 hektar terletak dipersimpangan Flinders St dan Swanston St. Berhampiran Federation Square adalah ACMI (The Australian Centre for the Moving Image) dan The Ian Potter Centre.


Di Federation Square juga terdapat Melbourne Visitor Centre yang sedia membantu para pelancung yang berkunjung ke Melbourne khususnya dan Victoria amnya.


Stesen keretapi tertua di Melbourne yang dikenali sebagai Flinders Sreet Railway Station (gambar atas kanan) juga terletak di Flinders St berhadapan dengan Federation Square. Gambar kurang terang sebab waktu masih lagi pagi dan kebetulan hari itu adalah hari cuti umum di Australia sempena hari ulang tahun Queen Elizabeth II.


Dari Hosier Lane, kami terus menuju ke Dendy St Beach di Wilayah Brighton yang terkenal dengan “The Brighton Bathing Boxes” . Pasir pantainya begitu bersih dan halus dan merupakan tempat tumpuan pengunjung pada era 90an. Terdapat banyak pondok-pondok kecil yang dicat berbagai warna tersusun sepanjang pantai tersebut. Kelihatannya pondok-pondok tersebut seperti gerai untuk menjual makanan atau cenderahti, tetapi semuanya tutup. Mungkin akan digunakan sekiranya ada aktiviti-aktiviti tertentu di pantai tersebut.


Puas berjemur di pantai The Brighton Bathing Boxes, kami menaiki kereta semula untuk ke Phillip Island. Namun aku singgah sebentar di Masjid Emir Sultan yang terletak di 139-141, Cleeland St, Dandenong VIC 3175. Pembinaan masjid tersebut masih belum siap sepenuhnya. Hajat untuk masuk kedalam tidak kesampaian kerana pagar keselamatannya berkunci. Aku hanya merakam gambar masjid dibahagian luarnya sahaja. Semuga aku dapat datang semula untuk bersolat didalam masjid Emir Sultan satu hari nanti. Aminn.

Aku lantas beredar dari kawasan masjid dan meneruskan pemanduan ke arah Phillip Island. Phillip Island ni agak jauh juga sekitar 110 kilometer dari Port Melbourne. Sama seperti di laluan ke Mt Buller hari sebelumnya, laluan ke Phillip Island juga terdapat banyak kamera perangkap laju yang telah melatih aku untuk jadi pemandu berhimah.

 
Di penghujung tanah besar Australia sebelum melalui jambatan ke Phillip Island, kami singgah sebentar di San Remo Fisherman’s Cooperative dengan tujuan melihat angsa di bawah jambatan. Oleh kerana kami sampai agak lewat iaitu jam 1.00 tengah hari, angsa-angsa tersebut sudah tiada kerana angsa-angsa tersebut pada kebiasaannya akan datang ke bawah jambatan sekitar jam 12.00 tengah hari.

 
Setelah tidak dapat melihat angsa, kamipun mencari lokasi untuk membuka juadah makan tengah hari disalah satu meja di taman berhampiran pantai. Semasa kami menikmati makan tengah hari, kami melihat beberapa orang muslim sedang bersolat iaitu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa keadaan sekalipun.

 
Selesai makan tengah hari, kami menyeberangi jambatan untuk ke Phillip Island. Destinasi pertama yang kami singgah ialah The Big Wave. Dibina dari konkrit berbentuk golongan ombak berwarna biru putih, dibina ditepi sebelah kiri jalan utama, the big wave kelihatannya sangat menarik dan tidak akan terlepas pandang. Binaan yang sungguh mudah ini pun dipromosikan sebagai tarikan pelancong.


Destinasi kedua yang kami singgah ialah Philip Island Chocolate Factory terletak ditepi sebelah kanan jalan utama. Berbagai jenis coklat di kilang di sini, namun  isteriku kata harganya agak mahal dan rasanya kureng sikit. Tidak lama kami berada di kilang coklat , kami terus beredar.

 
Kami kemudian meneruskan perjalanan dan singgah di National Vietnam Veterans Museum. Muzium ini menyimpan hazanah tinggalan pasukan tentera Australia yang menyertai perang di Vietnam. Dibuka hari rabu hingga isnin sahaja dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran AUD15.00 untuk dewasa dan AUD10.00 untuk kanak-kanak.


Seterusnya kami singgah di A Maze’N Things iaitu sebuah rumah ajaib yang menyeronokkan. Lihat sahaja kepala paip yang besar diatas rumah yang tidak bersambung ke paip air tetapi mengeluarkan air masuk kedalam rumah dan airnya terus keluar melalui bukaan didinding rumah. Memang ajaibkan!. Rumah ajaib ini dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran AUD21.00 untuk dewasa dan AUD14.50 untuk kanak-kanak. Mengambil gambar didalam rumah ajaib ini adalah dilarang (nanti rahsia terbongkar). Dihadapan rumah ajaib tersebut terdapat taman dan padang golf mini. Disatu sudut di Maze'N Things kami menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

 
Dari rumah ajaib kami terus ke destinasi paling hujung di Phillip Island iaitu Nobbies Centre. Didalam Nobbies Centre di pamirkan perihal kehidupan laut dan dari dataran Nobbies Centre dibina laluan daripada kayu sepanjang kawasan tebing untuk memudahkan para pengunjung melihat keadaan sebenar pantai dan laut. Namun bahagian menuruni pantai telah ditutup bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini kepada para pengunjung dan supaya keaslian batu batan dan habitat pantai tidak terjejas. Dikawasan ini jugalah adakalanya kelihatan Singa Laut dan Ikan Paus berenang-renang. Angin yang bertiup kencang menambah lagi kesejukan di kala hari menjelang petang.

 Lebih setengah jam menunggu singa laut dan ikan paus tetapi tidak muncul di Nobbies Centre, kami bergerak ke Kitty Miller Bay. Kitty Miller Bay menjadi terkenal apabila sebuah kapal layar S.S. Speke yang membawa barang dagangan telah dipukul gombak dan terhempas ke batu di pantai Kitty Miller pada 8hb. November 1905. Kapal dengan tiga layar yang dibina di Wales dalam tahun 1891 sepanjang hampir 32 meter yang sedang dalam pelayarannya telah di badai angin kuat dan ombak besar selama 12 hari sebelum akhirnya tewas di pantai Kitty Miller.

Selepas lebih seratus tahun, bangkai kapal layar tersebut hanya tinggal rangka besi buruk sahaja.
 

 
Tempat terakhir yang kami singgahi di Phillip Island ialah Pyramid Rock yang terletak di bahagian paling selatan pantai Phillip Island. Juga disediakan laluan dibina dari kayu untuk para pengunjung menyusuri tebing pantai bagi melihat Pyramid Rock dari jarak yang lebih dekat.

Kami tidak sempat singgah didestinasi lain saperti Churchill Island Heritage Farm, Cape Woolamai Walk, Koala Consevation Centre, Phillip Island Grandprix Curcuit, The Penguin Parade, Anchor Belle Holiday Park dan lain-lain kerana kesuntukan masa disebabkan anak sulungku akan balik ke Malaysia pada sebelah malamnya. Jadi aku terpaksa bergegas menghantarnya ke lapangan terbang.



No comments:

Post a Comment