Balik dari
menyusuri Selat Bosphorus, kami dibawa terus ke sebuah restoran di perkampungan
(sebab banyak sangat) restoran kerana masing-masing telah kelaparan … sampai lupa nak rakam foto). Perkampungan restoran tu berhampiran dengan di kawasan Kumkapi Fish Market.
Selepas makan, dalam perjalanan balik (jalan kaki) kami melalui tempat menjual ais kerim yang terkenal di Istanbul. Apa lagi , masing-masing pun menjamu ais kerim
sebagai pencuci mulut. Aku tak makan ais kerim sebab sejuk.
Selesai makan
tengah hari berdesertkan air kerim, kami menaiki bas semula untuk ke destinasi seterusnya iaitu Hagia Sophia atau Ayasofya
dalam bahasa Turki, yang merupakan sebuah muzium di kota Istanbul. Bangunan yang terletak di Istanbul Archeological Park ini sering dianggap sebagai bangunan
yang teragung dan tercantik di dunia. Tahun 1985, Hagia Sophia telah diiktiraf
sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi bangunan yang harus dilindungi.
Hagia
Sophia mulai dibina pada tahun 532 oleh Maharaja Justinian dalam zaman
pemerintahan Kerajaan Roman untuk dijadikan Gereja Besar Kristian Ortodoks.
Maharaja Justinian telah memerintahkan Anthemius dari Tralles seorang ahli
Matematik dan Isidore dari Miletus seorang ahli Geometrik dan Mesin untuk merekabentuk
dan membina sebuah gereja. Mereka berdua tiada pengalaman sebagai arkitek,
namum dengan bantuan lebih sepuluh ribu pekerja, mereka berusaha membangunkan
suatu gereja dengan kubah yang sangat besar di bahagian tengah yang
bergarispusat 31.87 m dan setinggi 55.60 m yang terletak di atas singgah kubah
yang disokong oleh empat tiang utama.
Bahan-bahan
binaan didatangkan dari berbagai negara seperti Syria dan Mesir untuk membuatkan
bangunan benar-benar kuat dan kukuh serta tahan gempa. Dinding dalam ditutupi
dengan batu marmar, mozek emas dan lain-lain. Di bahagian luar, dinding stuko
ringkas menyerlahkan lagi kubah-kubah kecil dan kubah besar. Akhirnya pada tahun
537 bangunan gereja tersebut telah disiapkan.
Hagia
Sophia menyimpan banyak sejarah di masa pemerintahan Kerajaan Roman. Hagia
Sophia telah mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi yang melanda Turki dalam
tahun 553 dan 557. Gempa bumi itu menyebabkan bangunan itu rusak teruk sehingga
kubah besarnya turut runtuh. Kerja-kerja pembaikan telah dijalankan oleh
Isodorus iaitu anak saudara Isidor dengan membina semula kubah besar,
menguatkan tapak asas, membina tiang-tiang daripada marmar sehingga ianya
menjadi lebih kuat. Akhirnya Hagia
Sophia dibuka semula sebagai gereja untuk Kristen Ortodoks di akhir tahun 562.
Namun beberapa siri gempa bumi telah
melanda Turki iaitu pada tahun 869, 989, 1344 dan 1346 juga telah menyebabkan
kerosakan kepada Hagia Sophia. Setiap kali berlaku gempa bumi, kerja-kerja
pembaikan dijalankan oleh pemerintah Kerajaan Roman ketika itu.
Hagia Sophia Bertukar Menjadi Masjid
Selama
lebih 900 tahun, Hagia Sophia menjadi pusat atau gereja kepada penyebaran agama
Kristian Ortodoks di Turki akhirnya pada tahun 1453, apabila Kerajaan Islam
Turki Uthmaniyyah dibawah pimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya menakluki
Kota Constantinople, baginda telah mengarahkan bangunan itu diubahsuai menjadi
masjid. Loceng, altar dan lain-lain berkenaan Kristian dibuang sementara
lakaran di dinding ditampal. Ini semua diganti dengan unsur-unsur Islam seperti
mihrab, mimbar, perpustakaan dan empat menara di luar ditambah. Sekaligus
Sultan Muhammad Al-Fatih mengubah nama Constantinnople kepada Istanbul.
Semenjak
dari itu, Hagia Sophia telah menjadi masjid utama di Istanbul dan model kepada
masjid-masjid lain seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru di Istanbul),
Masjid Sehzade, Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.
Hagia Sophia Bertukar Menjadi Muzium
Apabila
Empayar Islam Turki Usmaniyyah terseret dalam kancah Perang Dunia Pertama
bersama dengan Jerman dan berakhir dengan kekalahan bagi pihak Jerman dan
Turki. Pada masa inilah tampil Mustapha Kamal Ataturk yang berusaha berjuang
menyelamatkan Kerajaan Turki daripada kehancuran dan menyekat perluasan kuasa Eropah.
Mustapha Kamal Ataturk yang juga seorang panglima tentera telah membentuk
Majlis Agong pada tahun 1922 dan memansuhkan Jabatan Sultan yang kemudiannya mengishtiharkan
Republik Turki pada 29 Oktober 1923 dan mengangkat diri sebagai presiden Turki yang
pertama.
Sejak tahun 1935 atas
arahan Mustafa Kamal Ataturk bangunan kuno Hagia Sophia diubah menjadi muzium. Sejak
itu, Hagia Sophia dijadikan salah satu tarikan pelancung terkenal oleh
pemerintah Turki di kota Istanbul. Nilai sejarahnya dilitupi oleh gaya
arkitektur Byzantium yang indah mempesona.
Kelihatan di belakang kami adalah Hagia Sophia yang tersergam indah di tengah-tengah laman berlanskap yang menghijau dilengkapi dengan air pancut...memang sungguh menyamankan.
Sampai sahaja, kami pun masuk kedalam.
Suasana di Hagia Sophia tidak saperti
di Masjid Biru. Di Hagia Sophia, pelancong dilihat berpusu-pusu masuk ke dalam dan
kawalannya juga tidak seketat Masjid Biru. Orang bukan Islam juga dilihat masuk
ke dalam muzium itu tanpa mengenakan pakaian menutup aurat kerana status
bangunan tersebut adalah muzium. Namun orang-orang bukan islam dilarang masuk
sehingga ke kawasan mibrab dan mimbar yang berada dii bahagian depan.
Saya
agak terkejut melihat dinding bahagian dalam bangunan yang masih dipenuhi dengan lakaran gambaran
Nabi Isa atau Jesus dan lambang-lambang salib. Namun, kebanyakan lambang salib
itu telah dikikis dan hanya tinggal gambaran Nabi Isa yang masih dikekalkan.
Kaligrafi
kalimah Allah, Muhammad dan empat khalifah ar-rashidin yang telah dipasang
semasa Hagia Sophia bertukar menjadi masjid masih kukuh tergantung ditempatnya.
Mihrab dan mimbar yang dibina begitu
indah juga masih dikekalkan.
Saya juga berkesempatan ke tingkat dua masjid itu melalui
tangga gelap seperti sebuah gua yang diterangi dengan lampu obor pada setiap
penjuru tangga. Di tingkat atas, keadaannya agak lapang. Banyak lagi monumen
tinggalan Kristian yang masih dikekalkan.
Satu
lagi pemandangan di tingkat atas, kelihatan dinding dan bumbungnya di hias
begitu cantik dan menarik. Hagia
Sophia yang dilingkungi Istanbul Archeological Park, kelihatannya tersergam
indah. Menyusuri setiap sudut Hagia Sophia memang menarik. Walaupun Hagia
Sophia telah berusia lebih 1500 tahun, namun ia tetap merupakan bangunan yang
indah yang harus dikunjungi apabila berkesempatan datang ke Istanbul.
Hagia
Sophia yang masih tetap kukoh berdiri menjadi bukti kehebatan arkitek zaman lampau
menunjukkan kehebatan orang-orang zaman dahulu yang mampu berfikir untuk mewujudkan
suatu impian yang boleh dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang.
No comments:
Post a Comment