Monday 21 July 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 4 ... ku jejaki bumi Ash Shiin ... hari ke 3



zǎoshang hǎo … selamat pagi

Pagi hari ketiga, selepas sarapan di Mahua Western Flavor Restaurant, Ms Eka membawa  kami ke Dataran Tiananmen atau terkenal dengan panggilan Tiananmen Square. Dataran Tiananmen  ialah sebuah dataran terbuka berkeluasan lebih 100 ekar dan yang keempat terbesar didunia. Dinamakan Tiananmen sempena sebuah pintu pagar besar yang bernama Pintu Damai Syurga atau Tiananmen yang terletak di bahagian utara dan memisahkan dataran ini dari Kota Larangan (Forbidden City). Dataran ini penting sekali selaku lambang kebudayaan kerana pernah menjadi tapak peristiwa-peristiwa terpenting dalam sejarah Negara China  dan didataran inilah berlakunya Bantahan Dataran Tiananmen tahun 1989.



Semasa kami sampai di bahagian selatan Dataran Tiananmen, matahari baru sahaja naik. Dalam keadaan sejuk, kami berjalan merentasi dataran yang memang luas. Ms Eka kata kami akan berjalan kaki dari sini menuju ke Kota Larangan.



Binaan pertama yang kami lihat ialah Qianmen Gate  atau Guanchang South Gate yang menjadi pintu masuk dibahagian selatan satu ketika dahulu (gambar atas). Ia berada disebelah kanan perjalanan kami.



Ini pula (gambar atas kiri) bangunan The National Museum of China  yang terletak dibahagian timur  Dataran Tiananmen iaitu disebelah kiri kami. Muzium ini ditadbir oleh Kementerian Kebudayaan Negara China. Bangunan muzium tersebut setinggi empat tingkat dengan panjangnya 313 meter dan lebarnya 149 meter telah siap dibina pada tahun 1959. Muzium tersebut adalah hasil gabungan dua muzium iaitu Museum of the Chinese Revolution yang ditubuhkan pada tahun 1959 dan satu lagi muzium iaitu National Museum of Chinese History yang ditubuhkan pada tahun 1912.

Gambar atas kanan pula merupakan The Great Hall of the People terletak di bahagian barat Dataran Tiananmen iaitu disebelah kanan perjalanan kami. Digunakan sebagai bangunan pentadbiran dan aktiviti-aktivi perayaan rasmi Negara China juga merupakan parlimen Negara China. Bangunan yang panjangnya 356 meter, lebar 206.5 meter dengan ketinggian 46.5 meter telah dibina dalam masa sepuluh bulan sahaja dan siap dibuka pada September 1959.


 
Kami terus berjalan dan sampai di satu tugu dikenali sebagai The Monument to the People's Heroes merupakan tugu peringatan Negara China  yang dibina untuk memperingati zaman revolusi abad 19 dan abad 20. Terletak di bahagian selatan Dataran Tiananmen iaitu disebelah kiri perjalanan kami. Pembinaan tugu setinggi 37.94 meter mengambil masa yang lama untuk disiapkan iaitu dari Ogos 1952 hingga Mei 1958. Kami bergambar dihadapan tugu peringatan tersebut.



Kami masih lagi berjalan di Dataran Tiananmen apabila kami menjumpai papan iklan digital yang begitu panjang, pada jangkaan aku hampir 200 kaki panjang. Di KL belum ada lagi papan iklan digital panjang macam yang ini.



Akhirnya kami menghampiri Pintu Tiananmen. Menurut Ms Eka, Tiananmen Gate mula-mulanya dibina pada 1420-an ketika Dinasti Ming. Sewaktu kejatuhan Dinasti Ming, perbalahan besar di antara Li Zicheng dan maharaja Qing awal telah memusnahkan pintu tersebut. Pada tahun 1651 iaitu diawal Dinasti Qing, Pintu Tiananmen telah dibina semula. Sepanjang zaman-zaman Ming dan Qing, tiada dataran awam di Tiananmen; sebaliknya, hanya ada sebidang taman kecil yang dikelilingi pejabat-pejabat pemerintah. Pada tahun 1958, taman kecil tersebut telah dibesarkan sehingga menjadi saiz sekarang.


Dari Dataran Tiananmen kami dibawa berjalan terus ke Forbidden City atau Kota Larangan yang merupakan kediaman rasmi bagi Mahajara China yang mula digunakan semasa Dinasti Ming sehingga akhir Dinasti Qing. Ia juga menjadi pusat istiadat dan politik kerajaan China selama hampir 500 ratus tahun.

Dibina pada 1406 hingga 1420, kompleks ini mengandungi 980 buah bangunan yang terselamat dan 8,707 buah bilik dan merangkumi kawasan seluas 720,000 meter persegi (7,800,000 kaki persegi). Kota Larangan telah diistiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1987.





Untuk masuk ke kompleks Kota Larangan mesti melalui Tiananmen Gate sebelum melalui dataran yang agak luas untuk menuju ke pintu masuk ke Kota Larangan iaitu Meridian Gate.




Ini dia Meridian Gate iaitu pintu masuk utama ke Komplek Kota Larangan. Nak masuk ke Kota Larangan pun kena bayaran, tetapi Ms Eka dah uruskan semuanya.





Keluar dari Meridan Gate terpaksa melalui jambatan yang dikenali sebagai Golden Water River Bridge untuk menyeberangi Golden Water River (gambar kecil atas, atas) sebelum melalui satu lagi pintu iaitu Gate of Supreme Harmony (gambar kecil atas, bawah). Ketika itu orang begitu ramai tetapi keadaan terkawal, masing-masing ikut barisan untuk menaiki tangga ke Gate of Supreme Harmony.




Sebelum menaiki tangga ke Gate of Supreme Harmony (gambar atas kanan), isteriku sempat bergambar bersama singa besi dan juga diatas tangga (gambar kecil atas).



 

Semasa keluar dari Gate of Supreme Harmony dengan menuruni anak tangga, kelihatan disebelah kiri ialah Hall of Military Eminence (gambar kecil atas, atas) dan disebelah kanan adalah Hall of Literary Glory (gambar kecil atas, bawah), manakala di bahagian hadapan adalah Hall of Supreme Harmony (gambar atas kanan).







Aku bersama isteri bergambar di hadapan Hall of Supreme Harmony (gambar atas kiri) sebelum menaiki anak-anak tangga masuk kedalam.  Kami berjalan terus dan melalui Hall of Central Harmony (gambar kecil atas, bawah) dan kemudian terus ke Hall of Preserved Harmony (gambar atas kanan).






Menuruni anak tangga dari Hall of Preserved Harmony (gambar kecil atas, atas), dihadapan adalah Gate of Heavenly Purity (gambar atas kanan) manakala disebelah kanan adalah Palace of Tranquil Longevity (gambar kecil atas, bawah).




Kami berjalan terus melalui Gate of Heavenly Purity untuk ke Palace of Heavenly Purity (gambar atas). Disini ramai orang yang masuk ke dalam istana sehingga bersesak-sesak.






Selepas bersesak di Palace of Heavenly Purity, kami terus keluar ke satu lagi bangunan yang dikenali sebagai Hall of Union and Peace (gambar atas kiri), disini pun keadaannya sama. Kemudian kami berjalan lagi ke hadapan iaitu ke Hall of Earthly Tranquility (gambar atas kanan). Nota: Tak dapat ambil gambar penuh sebab kedua-dua bangunan ini agak rapat.





Rimas dengan orang yang bersesak-sesak kami terus berjalan tetapi sebelum meninggalkan Hall of Earthly Tranqulity, kami bergambar beramai-ramai. Dibahagian belakang Hall of Earthly Tranquility diantara dua tangga turun terdapat satu ukiran batu naga (gambar atas kanan).






Kami terus menuju ke Gate of Imperial Garden (gambar atas kiri) untuk ke Imperial Garden. Di laman Imperial Garden terdapat Love Tree dan ramai orang bergambar disitu. Aku dan isteri dapat juga bergambar di Love Tree setelah menunggu agak lama.





Kami berjalan terus sehingga melewati Hall of Imperial Peace (gambar kecil atas) dan juga Hill of Accumulated Elegance (gambar atas kanan).





Setelah berada lebihkurang dua jam didalam Komplek Istana Larangan, akhirnya kami sampai ke pintu terakhir iaitu Gate of Divine Prowess. Sebelum keluar, kami sempat juga melepaskan penat kaki sambil duduk dikerusi yang berderet disitu.



Sementara itu aku dan isteri masuk ke dalam satu bilik gambar untuk bergambar dengan berpakaian lengkap maharaja cina zaman dahulu. Kami keluar melalui Gate of Divine Prowess untuk ke destinasi seterusnya pada hari itu.


Selepas makan tengah hari tiba masa untuk menunaikan tanggung jawab kepada Allah SWT, jadi Ms Eka membawa kami ke sebuah masjid yang terkenal di kota Beijing iaitu Masjid Niujie.

Secara ringkasnya, kedatangan Islam ke Negara China bermula pada masa pemerintahan Khalifah Uthman dalam tahun 651 masehi. Baginda telah menghantar Saad bin Abi Waqas dan Thabit bin Qays untuk bertemu pemerintah Dinasti Tang. Maharaja Dinasti Tang menyambut baik kedatangan mereka berdua dan telah memerintahkan satu masjid di bina di Canton sebagai satu peringatan. Beberapa lama kemudian Saad bin Abi Waqas meninggal dunia di Guangzhou manakala Thabit bin Qays meninggal di Xinjiang. Dengan pembukaan Jalan Sutera, ramai pedagang Arab datang ke China bukan sahaja membawa barang dagangan tetapi mengembangkan agama Islam. Dari hari ke hari, Islam semakin berkembang di Negara China dan mereka mula membina masjid.

Masjid Niujie merupakan masjid pertama di bina di Kota Beijing. Masjid yang asal telah dibina pada tahun 996 semasa Dinasti Liao dan Song. Masjid tersebut telah dimusnahkan oleh Genghis Khan pada tahun 1215. Namun kemudian telah dibina semula dan pembangunan masjid ini diteruskan pada tahun 1441 semasa Dinasti Ming dan sekali lagi diperluaskan pada tahun 1696 semasa Dinasti Qing memerintah China. Apabila China menjadi Negara Republik pada tahun 1949, beberapa pengubahsuaian terhadap masjid Niujie telah dilakukan pada tahun-tahun 1955, 1979 dan 1996. Pengubahsuaian terakhir telah dilakukan sebelum Kota Beijing menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tahun 2008.

Terletak di Daerah Xuanwu yang merupakan kawasan paling ramai penduduk Islam di kota Beijing iaitu lebih kurang 10,000 orang. Dinamakan NiuJie sempena nama Jalan Lembu iaitu Jie bererti jalan manakala Niu bererti lembu.


Masjid Niujie dilingkungi oleh tembok batu bata yang agak tinggi, kalau berjalan kaki di tepi jalan memang tak boleh nampak. Hanya terdapat satu papan tanda kecil bertulisan jawi dan cina dengan warna hijau di satu pintu gerbang (gambar atas kiri).  Masuk melalui pintu gerbang kemudian akan menjumpai satu pintu berdaun warna merah (gambar atas tengah) dan masuk kedalam baru boleh nampak Masjid Niujie. Di dalam ada papan tanda menunjukkan arah bilik wuduk, tandas dan bilik solat  (gambar kecil atas, atas).


Aku terus ke bangunan tempat mengambil wuduk lelaki yang bersambung dengan tandas lelaki. Mengikut catatan, bangunan ni telah dibina pada tahun 1921. Ruang wuduknya agak luas, bersih dan selesa dan dilengkapi dengan tempat duduk untuk berwuduk, air panas dan air biasa.



Selepas berwuduk aku masuk ke dalam masjid melalui pintu lelaki (gambar kecil atas) untuk ke dewan solat lelaki. Didalam ada lagi pintu yang memisahkan dewan solat utama dengan bahagian belakang (gambar kecil bawah). Dewan solat utama memang luas, lihat saja seperti gambar di atas (tengah). Tiang-tiangnya berwarna merah, permaidaninya berwarna hijau biru, silingnya dihias cantik, juga terdapat sebuah mimbar (gambar atas kanan). Semasa kami sampai, solat zohor berjemaah telah selesai, tok imam pun sudah balik, jadi masjid agak lengang.



Gambar kecil atas, atas … pintu masuk untuk jemaah wanita yang berasingan dari jemaah lelaki. Dewan solat wanita juga agak luas yang terletak disebelah kiri terkebelakang sedikit dan bersambung dengan dewan solat lelaki.



Selesai solat, aku berpeluang untuk bergambar bersama tok siak masjid Niujie sebelum menjelajah sekitar masjid. Gambar kecil atas, atas adalah bilik pameran yang menyimpan barang peninggalan para imam serta cendera hati dari negara luar  manakala gambar kecil atas, bawah adalah bilik mesyuarat.



Bertentangan dengan pintu masuk ke dewan solat adalah menara masjid (gambar atas tengah) yang telah dibina semula dalam tahun 1496. Gambar atas kiri … satu lagi bangunan dibahagian kiri daripada pintu masuk ke ruang solat.



Sebelum beredar daripada masjid, aku sempat menziarahi makam dua orang imam masjid yang berasal dari Negara Parsi iaitu Imam Ahmad Burdani dan Imam Ali yang telah meninggal dunia dalam tahun 1280 dan 1283. Al-Fatihah untuk keduanya.



Dari Masjid Niujie, Ms Eka membawa kami ke Traditional Chinese Medicine Research Centre untuk menikmati urutan tapak kaki secara percuma. Kami sampai di Research Centre matahari sudah condong ke barat (gambar kecil bawah).
 

Kami dibawa masuk melalui pintu pagar bulat (gambar kecil atas) sebelum ditempatkan didalam sebuah bilik. Mula-mula kakitangan pusat penyelidikan tersebut membawa baldi berisi air suam-suam panas dan mengarahkan kami meremdamkan kaki ke dalamnya. Sementara kaki direndam dalam air, datang seseorang memberi ceramah tentang keberkesanan perubatan traditional China. Lebih kurang lima belas minit kemudian datanglah para tukang urut tapak kaki mengurut tapak kaki kami.

Selesai urut tapak kaki datang pula para doktor perubatan traditional dan merasa denyutan nadi. Dengan merasa denyutan nadi sahaja, doktor tersebut mulalah memberitahu berbagai jenis penyakit yang ada dalam badan seseorang dan menyarankan untuk membeli ubat daripada mereka. Malangnya tidak ada seorang pun daripada kami yang membeli ubat kerana harganya mencecah ratusan malah ada yang ribuan ringgit. Mereka agak kecewa dan kami pun cepat-cepat keluar dari pusat tersebut.



Destinasi terakhir pada hari itu ialah melihat Stadium Sarang Burung dan juga Water Cube. Stadium Nasional Beijing atau terkenal dengan gelaran Stadium Sarang Burung dibina sempena Beijing di pilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2008. Di stadium tersebutlah  acara perasmian pembukaan dan penutupan sukan olimpik 2008 dijalankan selain dari acara sukan olahraga dan bola sepak. Stadium yang boleh menampung sehingga 91,000 penonton itu dibina dengan kos lebih kurang 4 bilion Yuan atau 500 juta USD. Kini menjadi salah satu objek mesti dilawati jika datang ke Beijing


Ketika kami sampai di dataran stadium hari sudah malam dan kami terpaksa berjalan kaki hampir satu kilometer kerana bas tak boleh datang dekat ke kawasan tersebut. Orang sudah mulai membajiri dataran sekitar stadium. Memang kelihatan cantik stadium tersebut ketika malam hari berbanding siang hari (gambar kecil atas, bawah).



Bersetentang dengan stadium sarang burung iaitu diseberang jalan adalah Pusat Akuatik Nasional Beijing atau lebih dikenali dengan panggilan Water Cube. Juga dibina sempena penganjuran sukan olimpik 2008 untuk acara sukan air saperti renang, renang berirama dan terjun. Saperti Stadium Sarang Burung, Water Cube juga kelihatan lebih menarik diwaktu malam daripada waktu siang.

Lebih kurang satu jam kami bersantai di dataran stadium, kami meninggalkan kedua stadium tersebut untuk makan malam dan balik ke hotel untuk berehat. Hari ketiga, sangat meletihkan kerana dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berjalan kaki, mungkin lebih 10 ribu langkah kami berjalan kaki pada hari itu, tetapi kami puas.

wǎnshàng hǎo … selamat malam




Thursday 17 July 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 3 ... ku jejaki bumi Ash Shiin ... hari ke 2



zǎoshang hǎo … selamat pagi (bahasa mandarin)

Pagi hari kedua, Ms Eka membawa  kami ke Ke kilang Jade “Beijing Wang Tiao Zhang” yang dimiliki dan diusahakan oleh kerajaan tempatan. Kilang jade tu memang besar sungguh dan terletak agak jauh dari kota Beijing.


  
Ini dia bangunan kilang jade, bumbungnya berwarna merah, lambang kemakmuran. Pagi itu telah ada beberapa buah bas yang sampai dulu, jadi sudah agak ramai pengunjung yang datang. Bas kami yang paling kiri sekali.



Diluar pintu masuk agak sebok dengan para pengunjung dari berbagai negara. Pengunjung dari Malaysia pun ada. Masuk sahaja ke dalam kilang dan ruang jualan, ada sebuah kolam ikan yang diperbuat daripada jade. Kemudian kami dibawa masuk ke ruang pameran dan jualan yang luas.


 
Memang banyak jade yang dijual, berbagai-bagai jenis, kualiti dan bentuk. Anakku hanya membeli satu bangle berharga lebihkurang rm80.00 sebagai kenangan.



Dari Jade Factory kami meneruskan perjalanan ke Badaling Ski Resort kerana ada diantara kami yang berminat nak berski.

 
Ini dia bahagian hadapan Badaling Ski Resort tempat kami singgah, waktu tu salji belum turun lagi, jadi tak nampak pun salji.


 
Masing-masing dah siap sedia dengan ski masing-masing. Aku dan isteri tak mahu main kerana mengalami sakit belakang yang mungkin menjadi lebih teruk kalau terjatuh. Salji disini adalah salji tiruan, namun boleh untuk meluncur. Mari kita lihat aksi masing-masing.


 
Adik terpaksa mengambil guru untuk mengajar main ski dengan bayaran … lupa pula bayarannya berapa … tetapi memang tak berbaloi langsung, dah bayar guru untuk mengajar pun masih tak boleh nak meluncur, mungkin masaalah bahasa agaknya ... sebab macam ayam dengan itik … tak faham.


 
Sudahnya, aku sendiri yang mengajar adik, dan akhirnya dapat juga dia meluncur agak jauh.



Si abang pula dari awal-awal lagi dah dapat meluncur dengan lajunya, macam dah biasa saja. Nasib baiklah salji belum turun, kalau tak seluruh gunung dikawasan tu di tawannya … inilah baru anak lanang namanya.



Ini keluarga Mak Dara paling bungsu, tiga-tiga cuba main ski namun ... tetapi mereka puas dan gembira.


 
Kelihatan Akeem sedang berehat kerana kepenatan atau kesakitan atau dah ‘give-up’ ... asyik jatuh je. Ms Peah pula walaupun ada guru yang mengajar namun masih belum boleh meluncur sendiri.




Ini pula pasangan baru kahwin dan mengambil kesempatan untuk berbulan madu mengikuti rombongan Mak Dara. Suami mengajar isteri main ski.



 
Akhirnya dapat juga meluncur namun sekejap saja dah jatuh dan cepat-cepat sisuami mengangkatnya, kelihatan begitu romantik sekali, maklumlah masih baru lagi.. memang gitu. Kalau dah lama, bangun sendirilah.


 
Mari kita lihat gelagat Mak Dara yang ni!.., cuba-cuba nak meluncur, tak sampai dua meter dah terlentang ... kan betul bila dah tua tak ada siapa nak angkat, tanggunglah sendiri. Tak mampu nak bangun sendiri terpaksalah petugas resort tu tolong angkat... ops tak terangkat, berat sangat.




Lebih kurang dua jam setengah bermain salji, kami bergambar beramai-ramai sebelum meninggalkan Badaling Ski Resort untuk makan tengah hari.





Disinilah kami makan tengah hari pada hari tersebut. Bangunan ini sangat besar, ditingkat bawah merupakan kilang dan kedai menjual bahan-bahan tembikar, manakala restorannya di ditingkat atas. Menurut Ms Eka tempat ni dikenali sebagai Golden Palace Restaurant. Masuk sahaja kedalam terdapat beberapa buah pasu yang lebih tinggi dari kebanyakan manusia. Apalagi, semua Mak Dara pun bergambar dengan pasu tersebut.



 
Menurut Ms Eka lagi, restoran ni boleh menampung sehingga 5000 pelanggan pada satu-satu masa.  Terdapat tiga bahagian iatu bahagian makanan asia, bahagian makanan barat dan bahagian makanan muslim (halal). Inilah dia menu yang Ms Eka order untuk kami makan tengah hari, sangat menyelerakan. Disini juga disediakan ruang solat ditingkat paling atas untuk pelanggan muslim menunaikan kewajipan kepada Allah swt. Lega rasanya bila perut dah kenyang dan kewajipan dah beres.




Selesai makan dan solat zohor dan jamak asar, kami meronda ditingkat bawah untuk melihat-lihat sahaja. Bermacam-macam jenis barangan tembikar dijual sampai kelabu mata, dan akhirnya kami tak beli pun.





Setelah puas meronda di Golden Palace Restaurant, kami dibawa ke destinasi seterusnya iaiatu JuYong Pass Great Wall untuk mendaki tembok besar Negara China.


Nak panjat dan melawat tembok besar Negara China pun kena beli tiket juga. Berapa harga tiket kami tak tau, semuanya Ms Eka yang uruskan. Kemudian kami masuk melalui pintu masuk yang dikhaskan.



Sebelum kami meronda-ronda tembok besar, ada pulak jurugambar bebas yang mengesorkan supaya kami mengambil gambar kumpulan, kami pun terima tawarannya sebagai kenangan. Kemudian kami mulakan jelajahan tembok besar Negara China.



 
Budak tiga orang ni tak terasa penak agaknya, tau-tau dah separuh jalan. Isteriku berehat keletihan.




Umpama kura-kura jalan merangkak, namun akhirnya kami berenam sahaja yang dapat memanjat sehingga ke puncak paling tinggi dikawasan tersebut, yang lain sekadar setengah jalan atau ada yang hanya menunggu di bawah sahaja. Sakit lutut katanya ... alasan je tu.


 
Pemandangan dari atas ke bawah agak cantik. Aku dan isteri menuruni tembok besar melalui jalan yang berbeza yang telah dibina khas untuk turun sahaja, keadaannya lebih landai dan tidak sebok walaupun agak lebih jauh sedikit. Sampai dibawah, kami berkumpul dan berehat untuk menghilangkan penat.




Kami tinggalkan JuYong Pass Great Wall dengan seribu kenangan untuk ke destinasi seterusnya iaitu Bao Shu Tang Burning Cream Factory. Semasa kami sampai tidak ramai pengunjung berada disana. Kami dibawa kesebuah bilik dimana seorang wanita China yang fasih berbahasa Inggeris telah bersiap sedia untuk memberi penerangan kepada barangan yang dihasilkan di kilang tersebut.


 
Sebelum wanita tersebut memulakan penerangannya, beliau telah meletakkan sebatang rantai besi di atas dapur gas dan membiarkannya terbakar. Sementara beliau menerangkan tentang keberkesanan krim Bau Fu Ling, beliau menjeling ke arah rantai besi yang telah mulai kelihatan merah. Aku tidak tahu untuk apa rantai tersebut dipanaskan sebelum beliau menyatakan yang beliau akan memegang rantai yang sudah merah tersebut sebelum menyapu krim Bao Fu Ling sebagai membuktikan keberkesanan krim tersebut. Aku agak terkejut dan terasa seram, naik bulu roma.

Aku tidak melihat aksi berani beliau memegang rantai panas tersebut kerana tidak sampai hati. Beliau menayangkan tapak tangannya yang kelihatan merah kepada kami semua dan kemudian beliau menyapukan krim Bao Fu Ling. Kelihatan matanya berair mungkin kerana menahan kesakitan.



 
Atas rasa simpati kepada wanita tersebut, aku membeli sebotol krim Bao Fu Ling  dan sebotol “koyok” untuk menampal bahagian belakang badan. Ternyata “koyok” tersebut sangat berkesan dengan izin Allah swt kerana dapat melegakan sakit belakangku dan isteriku.




Selesai di Bao Shu Tang Burning Cream Factory, Ms Eka membawa kami balik ke pusat Bandar Beijing untuk makan malam sebelum balik ke hotel.



Malam itu Ms Eka membawa kami makan malam di Mahua Western Flavor Restaurant, iaitu sebuah restoran muslim yang menjual makanan halal.


 
Gambar atas … antara menu yang kami makan pada malam itu sebelum diakhiri dengan semangkuk ais kerim yang lazat. Kami balik hotel dengan rasa kekenyangan.


Ni you me you che … awak sudah makan ke belum.