Daripada Masjid India Muslim, aku memandu melalui
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab untuk ke Masjid Negeri yang tidak berapa
jauh. Aku membelok kekiri ke Jalan Sagor dan meletak kenderaan betul-betul di depan
papan tanda masjid.
Pada tahun 1951, semasa Orang
Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Abdul Wahab menjadi Menteri
Besar Perak, beliau menginginkan agar sebuah masjid yang besar dibina untuk
menampung bilangan jemaah yang semakin ramai khususnya sewaktu solat Jumaat dan
solat sunat hari raya. Untuk itu satu tapak masjid telah dicadangkan
berhampiran stadium Ipoh.
Akhirnya, pembinaan Masjid Negeri Perak
telah dimulakan pada 16 Mei 1966 diatas sebidang tanah seluas kira-kira 2.6 hektar
yang terletak di persimpangan Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dengan
Jalan Sultan Iskandar. Batu asas untuk masjid tersebut telah diletakkan oleh
Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Haji Abdul Razak Bin Hussain. Masjid tersebut
akhirnya siap dibina pada 26 Ogos 1968 dengan kos sekitar Rm 1.84 juta.
Masjid Negeri Perak telah dirasmikan
pada 15 September 1978 oleh Sultan ldris Iskandar Shah II , sempena dengan
perayaan ulangtahun hari keputeraan baginda yang ke-33. Sultan Idris Iskandar
Shah II telah menaiki tahta pada tahun 1963. Apabila baginda kembali ke
Rahmatullah pada tahun 1984, nama baginda telah diabadikan untuk Masjid Negeri
Perak dengan nama Masjid Sultan Idris Shah II.
Rekabentuk masjid ini berbentuk empat persegi bujur dengan panjangnya
84 meter dan lebarnya 42 meter. Ia mengandungi dua tingkat. Tingkat atas bangunan menempatkan
dewan solat utama, dewan solat muslimat dan juga bilik mesyuarat. Manakala
tingkat bawah menempatkan pejabat pentadbiran, kawasan wuduk, bilik air dan ruang
solat tambahan.
Sebuah menara juga telah dibina di masjid
ini dengan ketinggian 31 meter yang dilengkapi dengan tangga besi dan lif untuk
muatan 6 orang. Pemandangan dari puncak menara ini meliputi seluruh kawasan
bandaraya Ipoh.
Oleh kerana aku masih lagi dalam keadaan berwuduk, aku terus naik ke
tingkat satu melalui tangga ... gambar atas kiri. Di kanan kiri lobi tangga
adalah ruang solat muslimat yang juga digunakan sebagai tempat pengajian,
manakala dihadapan tangga adalah dewan solat utama untuk muslimin.
Aku terus masuk ke dewan solat utama yang luas dan dihias cantik. Dewan
solat utama ini berbentuk empat segi sama dengan kelebaran 36 meter dan
dianggarkan boleh menampung sehingga 1500 jemaah. Lantainya dihiasi dengan
permaidani yang empok, dikanan kiri adalah dinding cermin namun telah dipasang
langsir, silingnya tidak kurang menariknya.
Bumbung masjid ini diperbuat daripada konkrit
dan ditengah-tengah
dewan solat utama, terdapat sebuah kubah yang sederhana besar yang telah dihias
dengan cantik dan menarik.
Gambar atas kiri ...
pemandangan dari bahagian hadapan ke arah pintu masuk ke dewan solat. Gambar
atas kanan ... mihrab dan mimbar masjid yang dihiasi dengan kaligrafi ayat-ayat suci
al-Quran yang begitu cantik.
Gambar kiri ... Ini adalah ruang solat di tingkat bawah untuk kemudahan para musafir singgah
bersolat dan juga untuk menampung para jemaah yang ramai semasa solat jumaat
dan solat dua hari raya.
Masjid
merupakan salah satu intitusi yang berperanan sebagai tempat beribadat saperti
solat berjemaah dan pusat pengembangan ilmu pengetahuan bagi umat Islam. Namun
keindahan sesebuah masjid masih lagi gagal menggamit para jemaah untuk memenuhi
saf-saf semasa lima solat fardhu dilaksanakan. Walaupun solat berjemaah mempunyai kelebihan yang tersendiri, namun kehadiran jemaah hanyalah
bermusim.
Dari Abdullah Ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sembahyang berjemaah adalah 27 kali lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian" .. Hadis Riwayat Imam Muslim.
No comments:
Post a Comment