Destinasi
pertama lawatan hari ke tujuh, kami dibawa menziarahi masjid sahabat Nabi Mohamad
saw yang terkenal iaitu Abu Ayyub Al-Ansori. Dalam peristiwa hijrah, setelah
Nabi saw tiba di Madinah, ramai dikalangan orang islam berebut-rebut mengajak
Nabi saw menginap di rumah mereka. Sementara itu Abu Ayyub Al-Ansori telah
mengheret unta Nabi saw sehingga sampai di depan rumahnya. Lalu Nabi saw
bersabda, orang yang bermusafir mengikut barangannya. Maksudnya dimana unta dan
barang Nabi saw berhenti, disitulah Nabi saw akan menginap. Jadi rumah Abu
Ayyub Al-Ansori menjadi penginapan sementara Nabi saw.
Masjid Abu Ayyub Al-Ansori |
Abu Ayyub al-Ansori atau nama
sebenarnya Khalid bin Zaid bin Khulaib berasal dari Bani Najjar dan lahir 16
tahun setelah kelahiran Nabi saw. Abu
Ayub al-Ansori tidak pernah terlepas daripada menyertai
sebarang peperangan sejak zaman Nabi saw sehingga ke zaman Khulafa ar-Rashidin
dan seterusnya menginjak ke zaman Kekhalifahan. Abu
Ayyub adalah seorang yang bercita-cita tinggi untuk menawan Kota Constantinople
sehingga sanggup berpindah dari Madinah ke Constantinople walaupun usianya
telah mencecah 80 tahun.
Semasa peperangan berlaku antara
tentera Islam & tentera Rom untuk merebut Constantinople, 2 hari sebelum
pelancaran serangan terhadap tentera Rom, semua tentera Islam diwajibkan
berpuasa. Kekuatan rohani sangat kuat dalam diri mereka. Dalam
peperangan membebaskan Constantinople itu, berjatuhanlah para syuhada bagai
kembang-kembang seri yang gugur di Taman Syurgawi.
Pada hari itu bermati-matian Abu
Ayub bertempur dari terbit matahari sampai tenggelam. Akhirnya Abu Ayub jatuh
sakit. Terbaring lesu tanpa boleh bergerak-gerak lagi. Ketika sakitnya semakin tenat,
Abu Ayub pun berwasiat agar jasadnya disemadikan di benteng Kota Constantinople.
Semasa kematiannya peperangan masih bergelora. Jenazah sahabat yang mulia itu
dibawa ke benteng Constantinople untuk disemadikan. Ternyata beliau bukanlah
orang yang dijanjikan Tuhan untuk menawan kota Constantinople itu.
Setelah 600 tahun berlalu, Sultan Muhammad Al Fateh berjaya
membebaskan kota Constantinople iaitu pada tahun 1453. Beliaulah yang menepati
Hadis Nabi SAW yang bermaksud “Constantinople
akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang
baik.”
Kami diturunkan dari bas agak jauh daripada Masjid Abu
Ayyub, oleh itu kami terpaksa berjalan kaki menyusuri lorong-lorong kecil. Kami
juga melewati kandang biri-biri dan perkuburan Islam yang luas sebelum sampai
ke Masjid Abu Ayyub.
Satelah
berjalan agak jauh, kami melalui satu lorong yang membawa kami ke Masjid Abu
Ayyub Al-Ansori dimana terdapat air pancut dihadapan masjid tersebut.
Aku
merakam gambar isteri yang membelakangi air pancut di luar pintu gerbang Masjid
Abu Ayyub Al-Ansori. Satelah mengambil wuduk, aku masuk ke dalam masjid, dewan
solatnya agak luas, dilengkapi dengan mihrab dan mimbar yang dihias indah.
Mereka
sempat merakam gambar sementara menunggu rakan-rakan yang lain mendirikan
solat tahiyatul masjid. Gambar atas kanan … selesai
solat dan ronda-ronda dalam masjid, aku pun keluar melalui pintu utama Masjid
Abu Ayyub Al-Ansori.
Sebelum
meninggalkan perkarangan masjid, aku sempat menziarahi makam Abu Ayyub
Al-Ansori iaitu disebalik pintu yang berlangsir warna hijau yang terletak dibahagian belakang masjid
(gambar kanan). Aku hadiahkan bacaan Fatihah kepadanya dan tidak lupa kepada Nabi Muhammad saw, dan aku berdoa mudah-mudahan aku dapat mengikut jejak Abu Ayyub Al-Ansori.
Aku juga merakam papan tanda ni walaupun aku tak faham maknanya.
Daripada Masjid Abu Ayyub Al-Ansori, kami
dibawa ke pengkalan jeti di Kasimpasa untuk
menaiki bot menyurusi Selat Bosphorus. Semasa kami tiba di jeti tersebut, bot
kami belum sampai lagi. Kira-kira 30 minit kemudian baru bot kami sampai,
kelihatannya agak besar dan cantik. Bot dua tingkat.
Apabila bot telah rapat ke jeti, kami pun mulai naik. Seorang
demi seorang mula menaiki bot dengan dibantu oleh Ms Luna. Gambar atas kanan .. pemandangan
pengkalan jeti dari tengah selat…. kelihatan sayup-sayup Hagia Sophia dan
Topkapi Palace dibahagian belakang.
Pelayaran
bermula dengan menyusuri tepi pantai Selat Bosphorus sebelah Eropah. Bot
kami terus bergerak menyusuri Selat Bosphorus menghala kearah Laut Hitam,
sekarang bot kami baru melewati Yeni
Camii (Masjid Yeni), gambar atas kanan.
Menurut cerita Ms Luna, masjid ini dibina tahun 1597 oleh Sultan Murad III atas permintaan
permaisuri Safiye terletak diperkampungan yahudi supaya pengaruh islam mudah
tersebar. Namun pembinaannya mengambil masa yang terlalu lama sehingga akhirnya
terbengkalai apabila Sultan Murad III meninggal dunia. Setelah terbiar begitu
lama, bonda kepada Sultan Mehmet IV telah mengarahkan supaya pembinaannya
disambung semula dan akhirnya telah siap pada tahun 1663 dan dibuka dengan
rasminya pada tahun 1665. Nota: Semasa dalam pelayaran, aku banyak merakam
gambar menggunakan hand phone sahaja.
Menyusuri
Selat Bosphorus yang membelah Turki kepada wilayah Asia dengan Eropah menggunakan bot
adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. Namun bagi mereka yang mudah terkena
mabuk laut, baginya agak memualkan, begitu juga dengan isteriku yang sudah
mulai mabuk walaupun baru beberapa minit belayar dan selat pun tidak bergelora.
Bot
terus bergerak perlahan-lahan, di belakang kami adalah Istanbul Museum of
Modern Arts, bangunan yang panjang.
Pemandangan seterusnya adalah Mimar Sinnan Fine Arts University (gambar
atas kiri) yang terletak di kawasan Findikli,
Istanbul. Ditubuhkan tahun 1882 sebagai Sekolah Seni Halus oleh pelukis
terkenal Turki ketika itu bernama Osman Hamdi Bey. Mula mengambil pelajar tahun
1883. Tahun 1928 dinaik taraf kepada Akademi Seni Halus. Tahun 1982 dinaik
taraf menjadi Mimar Sinnan University. Tahun 2003 bertukar kepada Mimar Sinnan
Fine Arts University. Tidak
jauh dari Mimar Sinnan University iailah Masjid
Dolmabahce (gambar atas kanan) yang mempunyai dua menara dan dibina antara tahun
1853 hingga 1855 oleh permaisuri kepada Sultan Bezmi Alem Valide.
Seterusnya
Dolmahbache Palace .Terletak di daerah Besiktas di pinggiran Selat Bosphorus iaitu di
Bahagian Eropah Turki. Dibina antara tahun 1843 hingga 1856 semasa pemerintahan
Sultan Abdul Majid I yang direka bentuk oleh arkitek Garabat Balyan. . Bangunan
tiga tingkat yang mengandungi 285 bilik dan 43 dewan menjadi pusat pentadbiran
Kerajaan Islam Uthmanniyyah dari tahun 1856 hingga 1922 kecuali semasa tempoh
1887 hingga 1909 dimana Istana Yildiz dijadikan pusat pentadbiran. Apabila tumbangnya kerajaan Islam
Uthmanniyyah dan pembentukan Republik Turki oleh Mustaffa Kamal Ataturk pada
March 3, 1924 dan Mustaffa Kamal Ataturk menjadi presiden, beliau hanya menduduki
istana ini dimusim panas sahaja, namum pada hari-hari terakhir kehidupanya beliau telah
ditempatkan di istana ini sehingga meninggal dunia pada 10 November 1938.
Seterusnya adalah Ciragan
Palace. Satu lagi pemandangan indah yang dapat dilihat daripada bot kami
yang merupakan salah satu istana Kesultanan Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Terletak disebelah Eropah iaitu diantara
Daerah Besiktas dan Ortakoy. Dibina oleh Sultan Abdul Aziz diantara tahun 1863
hingga 1867 dan direkabentuk oleh Nogogayos Balyan seorang akitek bangsa
Armenia. Walaubagaimanapun pembinaannya diteruskan untuk menghiasi bahagian
dalam sehingga tahun 1872.
Apabila siap, Sultan Abdul Aziz hanya sempat bersemayam
sekitar empat tahun sebelum ia dijumpai mati didalam istana tersebut pada 30 May
1876. Semasa pemerintahan Sultan Mehmet V, baginda membenarkan persidangan
parlimen diadakan didalam istana ini, namun hanya untuk tempoh dua bulan apabila
istana tersebut musnah terbakar pada 19 Januari 1904 yang tinggal hanya
bahagian dinding luar sahaja. Bangunan yang tinggal telah dijadikan stadium
bola sepak untuk kelab Besiktas JK dan dikenali sebagai Stadium Seref selama
berpuluh-puluh tahun. Dalam tahun 1991, bangunan yang tinggal telah diubahsuai dengan
penambahan bangunan baru disebelahnya yang menjadikannya Hotel Mewah bertaraf
lima bintang yang dimiliki oleh
Rangkaian Hotel Kempinski.
Ini pula Bahcesehir
University yang bersebelahan dengan bangunan Four Seasons Hotel (gambar sebelah kanan). Hotel mewah mempunyai 65
bilik mewah dan 11 suites.
Bot bergerak terus
sehingga menghampiri Kompleks Galatasary
University. Galatasaray Universiti telah ditubuhkan tahun 1992 selepas
perjanjian persefahaman ditandatangai antara Turki dan Perancis untuk
menaiktaraf Sekolah Tinggi Galatasaray yng ditubuhkan tahun 1481. Terletak di
Ortakoy dalam Daerah Besiktas, bangunan asalnya ialah Ferive Palace, istana musim
panas, dibina tahun 1871 semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz oleh akitek
Sarkis Balyan. Bangunan digunakan sebagai asrama untuk pelajar wanita sekolah
tinggi Galatasaray sehingga 1992 bila dinaik taraf menjadi university.
Sebuah lagi hotel mewah yang terletak dipantai sebelah Eropah
iaitu Radisson Blue Bosphorus Hotel yang
mempunyai 120 bilik dan suite.
Ini pula Masjid Ortakoy
(Ortakoy Camii) yang sedang diubah suai. Gambaran sebelum diubah suai adalah
saperti foto di sebelah kanan. Masjid ini merupakan masjid Sultan Abdul Majid terletak di Besiktas, Istanbul, Turkey. Dibina antara tahun 1854 dan 1856 atas arahan Sultan Abdul
Majid. Nota: Jambatan yang kelihatan adalah Jambatan Bosphorus, salah satu
daripada dua jambatan yang menyeberagi Selat Bosphorus.
Gambar
atas kiri … bot kami membuat pusingan U selepas melepasi Jambatan Bosphorus dan menyusuri pantai sebelah Asia pula. Jambatan
ini adalah jambatan pertama dibina menyambungkan bahagian Eropah dan Asia
menyeberangi Selat Bosphorus dan telah dibina dalam tahun 1973. Sebelum tahun
1973 perhidmatan feri digunakan bagi menyeberangi Selat Bosphorus. Gambar atas kanan … bangunan pertama yang sempat saya
rakam ialah Kuleli Military High School
di Daerah Cengelkoy, Uskudur, Istanbul.
Berhampirannya dengan Kuleli Military High School adalah
sebuah masjid iaitu Masjid Haji Omer,
agak cantik tapi nampaknya macam dalam keadaan uzur.
Ini pula Istana Beylerbeyi yang terletak
berhampiran Jambatan Bosphorus. Dibina
antara tahun 1861 hingga 1865 sebagai istana musim panas dan juga rumah
persinggahan ketua-ketua negara luar. Sultan Abdul Hamid II menduduki istana
ini dari tahun 1912 hingga kematiannya pada tahun 1918.
Sebaik melepasi
Jambatan Bosphorus, ada dua bangunan ni yang aku sendiri tak tahu namanya tapi,
sebab rakam gambar tak perlu bayar, aku pun rakam je.
Disepanjang pantai sebelah Asia Selat Bosphorus banyak terdapat masjid,
antaranya selepas dua bangunan yang tak
tahu nama ialah Masjid Uryanizade (kiri)
dan Masjid Sultan Mihrimah (kanan)
Satu lagi masjid ialah Masjid Semsi Pasha, sebuah masjid yang
kecil dibina tahun 1580 hingga 1581.
Dibelakang menara air ini pun ada sebuah lagi masjid iaitu Salacak Fatih Camii yang terletak
diatas bukit. Gambar kanan adalah Maiden
Tower (macam rumah api).
Gambar atas kiri … sebuah
cruise mewah sedang berlabuh di pengkalan. Sebelum bot kami berlabuh untuk
menurunkan kami, rombongan kami sempat bergambar beramai-ramai di atas bot.
Menyusuri Selat Bosphorus menggunakan bot adalah satu pelayaran yang
menyeronokkan, kenangan saperti ini jarang aku dapati yang sudah pasti
menggamit memori bila aku balik ke Malaysia …..ikuti sambungan lawatan hari ke 7 di bahagia 2 ...
No comments:
Post a Comment