Beberapa tahun yang lepas, aku selalu
juga berulang-alik ke utara menggunakan lebuhraya PLUS. Bila terasa penat dan
mengantuk aku akan berhenti di kawasan rehat atau pun hentian sebelah. Antara
hentian sebelah yang pernah aku berhenti adalah Hentian Sebelah Gunung
Tempurung. Tatkala berehat sejenak, pernah juga terpahat dalam fikiranku yang
satu hari nanti aku ingin mengunjungi Gua Tempurung yang terdapat didalam perut
Gunung Tempurung.
Semasa cuti sekolah bulan Mac 2013 yang lepas, aku
berpeluang membawa isteri dan anak bungsuku bercuti ke Ipoh dan Pulau Pinang.
Satelah dipersetujui oleh isteriku, tema percutian kami kali ini adalah
menziarahi masjid-masjid tua dan masjid terapung yang ada di Ipoh dan Pulau
Pinang. Namun sebelum sampai ke Ipoh kami akan melencong sebentar ke Gua
Tempurung sebelum meneruskan perjalan ke masjid terapung An-Nur di UTP.
Aku memandu menggunakan lebuhraya PLUS, jadi aku kena
keluar melalui Plaza Tol Gopeng. Selepas keluar dari Plaza Tol Gopeng, bila
sampai dipersimpangan di Jalan Persekutuan, aku membelok ke kiri dan terus
memandu lebih kurang 2 km, aku sampai ke Kampung Gunung Mesah. Tidak jauh dari
situ, ada simpang disebelah kiri iaitu jalan ke Gunung Tempurung.
Aku tidak
merasa risau kerana terdapat banyak papan tanda di sepanjang jalan menuju ke
Gua Tempurung. Alhamdulillah tidak akan sesat.
Aku terus memandu sehingga aku bertemu dengan satu papan
tanda.
Papan tanda ini walaupun sekadar tembok batu yang bisu,
ia tetap setia mengalu-alukan kedatangan setiap pengunjung ke Gua Tempurung.
Kami dah sampai pun di Gua Tempurung, kelihatan hutannya
begitu menghijau, sejuk mata memandang. Kemudahan tempat meletak kenderaan agak
memuaskan. Kami berjalan kaki menuju ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk
ke Gua Tempurung. Ada beberapa pakej lawatan, tetapi aku mengambil pakej
lawatan yang terdekat, kerana kami ada destinasi lain yang akan dituju selepas
itu.
Berhampiran dengan pintu masuk ke Gua
Tempurung, terdapat satu tugu yang menceritakan sejarah Gunung Tempurung. Aku
pun baca dengan teliti.
Antara
bukit-bukit batu kapur dan marmar yang terindah di Malaysia adalah Gunung
Tempurung yang terletak di Daerah Gopeng, Perak. Tersembunyi di dalam
bukit-bukit batu kapur ini adalah satu rangkaian sistem gua dalam berbagai
dimensi dan berangkaian seolah sarang lebah yang berlengkar di dalam perut
Gunung Tempurung sebagai satu terowong dari timur menembusi ke barat sepanjang
1.9 km. Rangkaian gua ini dinamakan Gua Tempurung yang terdiri daripada lima kubah besar yang
silingnya menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai beribu bentuk
stalagmit dan stalaktit dan lain-lain bentuk ukiran batu yang merupakan warisan
alam yang menakjubkan. Selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras
air, dan kandungan batu kapur dan marmar. Gua
Tempurung merupakan gua utama di banjaran ini. Dipercayai telah wujud semenjak
8000 tahun sebelum masehi dahulu dan namanya diambil sempena bentuknya saperti
tempurung kelapa.
Selain
menyimpan khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia yang
pernah menjadi tempat persembunyian komunis pada masa dahulu iaitu daripada tahun
1950 hingga 1960. Manakala semenjak daripada tahun 1970, Gua Tempurung tersebut
telah dijadikan lombong bijih timah.
Satelah mengetahui sejarah Gua Tempurung, tanpa membuang masa
kami berjalan menuju ke pintu masuk Gua Tempurung (gambar kanan).
Kami menyusuri laluan yang disediakan untuk menuju ke mulut
gua tempurung yang berpagar. Mula-mula melalui mulut Gunung Tempurung, teringat
pula aku akan kisah dongeng batu belah batu bertangkup yang telah menelan Si
Tanjung yang kempunan makan telur ikan tembakul. Seram sejuk juga aku jadinya. Namun
itu hanya kisah dongeng dan aku meneruskan penerokaan ke dalam Guan Tempurung.
Memandangkan
Gua Tempurung telah menjadi salah satu tempat tumpuan pelancong, kerajaan
negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih
menarik dan mesra pelancong. Kini laluan dan tangga berpagar telah
disediakan di dalam sebahagian daripada gua-gua tersebut serta dilengkapi
dengan lampu terang untuk menyinari keadaan asli dan semulajadi gua tersebut.
Dengan adanya kemudahan tersebut (laluan, tangga
dan lampu) lawatan ke dalam gua kini amat mudah dan selesa agar pengunjung
dapat menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah swt dengan lebih dekat
lagi. Lihat sajalah keadaan dalam gua yang terang benderang.
Keadaan dalam gua yang terang benderang menampakkan stalagmit dan
stalaktit
yang terbentuk di bumbung gua.
Lagi keadaan dalam gua yang terang, jelas kelihatan rupa
bentuk permukaan siling gua.
Laluan dan tangga yang dibina didalam gua ada yang mendatar,
ada yang menurun, menaik, membelok kiri dan kanan kerana mengikut rupa bentuk
(profile) gua tersebut.
Aku yang baru pertama kali masuk ke dalam Gua
Tempurung pun merasa selesa dan nyaman dengan udara di dalam. Namun aku agak
gayat apabila menaiki dan menuruni anak-anak tangga yang agak tinggi dan curam
saperti dibelakangku (gambar tengah).
Berbagai bentuk ukiran yang terjadi dipermukaan siling gua
yang menunjukkan bahawa Allah swt Maha Agung lagi Maha Bijaksana. Mahasuci
Allah yang telah menjadikan alam ini untuk dihuni sementara oleh manusia.
Lagi bentuk ukiran dipermukaan siling gua (gambar kiri) dan laluan
yang berliku (gambar kanan).
Dilaluan ini, siling gua agak rendah (gambar kiri), disini
lagi rendah (gambar kanan) sampai aku pun boleh menyentuhnya, jadi perlu berhati-hati apabila melepasinya
supaya kepala kita tidak tersandung di siling gua. Untuk keselamatan pengunjung, lampu
yang lebih terang telah dipasang dikawasan ini supaya semua pungunjung boleh melihatnya
dengan jelas.
Lebih kurang 45 minit kami berada didalam perut gua, kami pun beredar keluar. Sebelum kami keluar dari perut Gua Tempurung, anakku sempat merakam gambar aku dan isteri.
Kami meninggalkan Gua Tempurung lebihkurang jam 4.30 petang dan terus menuju ke UTP untuk menziarahi masjid terapung An-Nur.
Nota: Fakta Stalaktit (Stalactite) dan Stalagmit (stalagmite)
Stalaktit atau dalam bahasa inggerisnya stalactite adalah dari perkataan greek stalasco yang membawa erti menitik iaitu
sesuatu yang menitik daripada siling gua
atau apa sahaja yang akhirnya membentuk satu objek tirus tajam tergantung di
siling gua.
Manakala Stalagmit atau dalam bahasa inggerisnya stalagmite pula berasal dari perkataan greek stalagmias yang bermaksud sesuatu
yang jatuh disatu tempat sehingga membentuk timbunan berbentuk tirus tajam
seolah-olah tumbuh daripada bumi.
No comments:
Post a Comment