Sunday 10 March 2013

Kalau hatiku sedang rindu (1) … Lambaian Kaabah


Telah agak lama aku meninggalkan tanah suci Makkatul Mukarramah setelah selesai mengerjakan ibadat haji pada tahun 2010. Hatiku mulai merindui kedamaian Masjid An-Nabawi di Madinatul Munawarah dan Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah. Rindu untuk mengunjungi Maqam Baginda Rasulullah saw dan dua sahabatnya, rindu untuk berada di Raudhah Taman Syurga di Masjid Nabawi, rindu untuk bertawaf dan bersai di Masjidil Haram, lebih-lebih lagi rindu untuk bersolat fardhu berjemaah di kedua-dua masjid suci tersebut kerana didalam suatu hadith riwayat daripada Ahmad bahawa  Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Solat di masjidku lebih utama seribu kali daripada solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali daripada solat di tempat lain”.

Rinduku kepada kedua masjid suci tersebut melebihi perasaan rinduku ketika zaman muda apabila tidak bertemu dengan buah hati tersayang yang kini menjadi penyeri rumahtanggaku. Hari demi hari kerinduan semakin membara aku tidak sabar untuk berkunjung kesana. Kadang-kadang hatiku menjadi tersangat sayu apabila mendengar bacaan al-Quran oleh Sheikh Abdul Rahman As-Sudais yang dimainkan di sebuah restoran ketika aku bersarapan pagi setelah aku selesai melakukan riadah berbasikal mengelilingi sebuah tasik berhampiran tempat tinggalku.

Pagi itu aku keseorangan kerana rakan berbasikalku masih bekerja sedangkan aku telah membuat keputusan untuk bersara. Satelah selesai bersarapan aku terus balik ke rumah, hatiku masih lagi sayu, lantas aku terus ke bilik mandi untuk membersihkan badan. Selesai mandi aku berpakaian lengkap lalu mengambil wuduk, dan tanpa aku mengelap kesan air wuduk, aku mendirikan solat sunat wuduk dua rakaat kerana didalam hadith riwayat daripada al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal ketika solat Subuh : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku dengan amalan paling baik engkau lakukan disisimu dalam Islam, Sesungguhnya aku mendengar bunyi hentakan seliparmu di hadapanku dalam Syurga. Jawab Bilal : Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan disisiku, aku tidak bersuci (berwuduk) pada satu-satu masa waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat”.

Selesai mendirikan solat sunat wuduk, aku menyambung dengan solat sunat dhuha,  telah diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Rasullullah saw pernah bersabda yang maksudnya: “Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha dan dalam satu riwayat yang lain Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” hadith riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi … dan aku berdoa “Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”Amin ya Rabbal’alamin”.

Aku mengalihkan pandanganku kedinding yang tergantung rapi sebuah jam dinding yang senantiasa setia “baru pukul 10.30 pagi” bisik hati kecilku, tanpa membuang masa aku terus bersiap dan mengambil kunci kereta, aku menghidupkan enjin kereta dan membaca doa Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali” ... surah Az-Zukhruf ayat  13-14 … aku terus memandu dengan jiwa yang tenang ke destinasi tujuan.

Aku memandu terus hingga memasuki ke kawasan meletak kenderaan, setelah pasti bahawa aku telah mengunci kereta dengan rapi, aku berjalan menuju ke suatu pejabat, tak sampai lima minit aku berjalan, aku sudah sampai lalu aku masuk, “Assalamu’alaikum” aku memberi salam … “Wa’alaikumussalam, sila duduk pakcik, boleh saya bantu” begitu jawapan daripada salah seorang kakitangan di dalam pejabat tersebut. Aku menerangkan tujuan kedatanganku. Setelah itu mereka memberikan aku beberapa broser untuk aku lihat dan pilih, sekejap sahaja aku melihat broser tersebut aku sudah tertarik pada satu tarikh, aku bertanya kalau-kalau masih ada kekosongan pada tarikh yang aku maksudkan dan aku dimaklumkan hanya tinggal beberapa kekosongan sahaja dan aku perlu segera menempah sekiranya aku ingin memilih tarikh tersebut. Aku memaklumkan kepada mereka bahawa aku perlu berbincang dengan isteri dan dua orang sahabat yang ingin mengikuti kami dan berjanji akan segera memberikan jawapan, lantas aku bergegas pulang kerana aku perlu sampai di rumah jam 12.00 tengah hari untuk menghantar anak bungsuku ke sekolah menengah. Demikianlah rutin harianku manakala sebelah petang aku mengambilnya dari sekolah.

Dalam pemanduan pulang, aku menalifon isteriku yang masih mengajar untuk memaklumkan tarikh yang aku maksudkan. Isteriku dan juga rakannya (seorang saudara baru) bersetuju kepada tarikh tersebut kerana jatuh pada permulaan cuti sekolah, namun rakan isteriku perlu memaklumkan kepada suaminya terlebih dahulu kerana suaminya perlu memohon cuti untuk dapat pergi bersama.Hari itu adalah hari khamis dan aku perlu menunggu beberapa hari untuk mendapat jawapan. Namun aku tetap sabar menunggu.

No comments:

Post a Comment