Thursday, 3 May 2012

Akal dan Nafsu

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasehani” … maksud firman Allah swt, surah Al-Fatihah ayat 1.

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan, serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.

Dari sekian banyak ciptaan Allah SWT, manusia adalah makhluk yang paling sempurna dari segi penciptaannya. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tin (95); ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”. Salah satu kesempurnaan tersebut ialah bahawa diri manusia mencakup semua unsur yang ada di alam semesta ini. Yang membezakan manusia dari makhluk lainnya adalah akal dan nafsu yang ada dalam diri setiap insan. Kedua unsur tersebut selalu bertentangan dan berbenturan.

AKAL

Pengertian akal ada dua jenis. Pertama, dimaksudkan sebagai pengetahuan terhadap hakikat segala sesuatu. Maka ilmu dalam pengertian ini adalah kajian yang digunakan untuk menyebut sifat ilmu yang tersimpan dalam hati. Sedang erti yang kedua adalah sifat memahami dan mengerti akan pengetahuan. Sehingga kadang-kadang disebut hati. Ketika menyebut istilah ‘akal’ ditujukan untuk menjelaskan unsur pemahaman dan pengetahuan manusia tentang hakikat sesuatu. Kadang-kadang akal juga dipakai sebagai persamaan makna dari hati jasmani yang berada dalam dada manusia

Akal memainkan peranan penting dalam membatasi dan mengendalikan hawa nafsu manusia iaitu agar tidak selalu memenuhi segala ajakan nafsu. Kata ‘aql atau ‘iqal dalam bahasa Arab mempunyai erti ‘ikatan’ dan ‘pembatasan’  dan begitulah peranan yang harus dimainkan oleh akal dalam menghadapi nafsu manusia.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Sesunguhnya akal merupakan pengikat kejahilan. Sedang nafsu bak binatang yang sangat buas.” Manakala Saiyidina Ali bin Abi Talib k.w.  berkata, “Jiwa memendam berbagai hasrat nafsu. Dan akal yang bertugas melarang dan mencegahnya.”

Ertinya, keupayaan menahan dan menundukkan nafsu merupakan tanda sehatnya akal seseorang. Akal dan nafsu sama-sama memainkan peranan penting dalam hidup manusia.  Nafsu menggerakkan hidup manusia manakala akal berperanan sensitive dalam membatasi, mengendalikan serta mencegah kerosakan yang ditimbulkan oleh nafsu.

Peranan Akal;
Rasulullah saw bersabda, “Akal terbahagi kepada tiga bahagian dan barangsiapa menyandangnya maka sempurnalah akalnya, dan yang tidak, dia tidak berakal;

1.        Mengenal Allah swt kerana  Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya seluruh kebaikan hanya di mengerti oleh akal.” dan sabdanya lagi, “Mintalah petunjuk kepada akal, nescaya kamu akan mendapatkannya. Dan jangan menentangnya, nescaya kamu akan menyesal.”

2.       Ketaatan mutlak kepada segala perintah Allah SWT, mengenal rububiyyah Allah dengan baik akan menghasilkan ketaatan dan ubudiyyah. Disinilah keistimewaan akal yang meletakkan manusia dalam melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Orang yang berakal adalah orang yang taat kepada Allah.Manakala Saiyidina Ali k.w. berkata, “Orang paling berakal diantara kamu semua adalah orang yang paling taat kepada Allah”.

3.        Takwa kepada Allah SWT , iaitu melaksanakan segala kewajipan dan mencegah diri dari larangan Allah. Berdasarkan hal ini, akallah yang bertanggungjawab baik dalam menguasai mahupun menundukkan segala kesenangan nafsu.

Saiyidina Ali k.w. berkata, “Bunuhlah nafsumu dengan senjata akalmu.” Dan katanya lagi, “Orang berakal adalah orang yang melawan nafsunya untuk taat kepada Tuhannya.”.


NAFSU

Syeikh Imam Hujjah al-Islam Abu Hamid Muhammad Ibn Muhammad al-Ghazali at-Tusi (Imam Al-Ghazali) dalam bukunya yang berjodol Raudhotut-tholibin wa ‘umdatus-salikin (Darul kutub al-ilmiah – Bairut-Lebanon 1993), telah memberikan dua pengertian kepada kalimah nafsu.

Pengertian pertama, beliau menyatakan bahawa nafsu merupakan segala sesuatu yang mengandungi kemampuan kemarahan yang kuat serta hasrat untuk selalu bersuka cita. Pengertian ini banyak dianggap oleh kalangan sufi sebagai sifat cela dalam diri manusia saperti pemarah, nafsu berahi dan syahwat, hasad dengki, riak dan berbagai. Maka mereka berkata “perang terhadap nafsu dan mengalahkan hawa nafsu adalah suatu keharusan”. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Musuh paling bahaya dalam dirimu adalah nafsu yang berada di antara dua lambungmu.”

Maka sesungguhnya nafsu itu musuh yang paling merbahaya, bala’ yang paling sukar dihindarkan, penyakit yang paling sukar dirawat. Oleh itu kita wajib berwaspada dengannya kerana pertamanya, nafsu itu musuh dari dalam tidak saperti syaitan iaitu musuh dari luar. Keduanya, nafsu itu adalah musuh yang sangat dicintai sedangkan manusia buta daripada keburukan kekasihnya.

Pengertian kedua, nafsu ialah “lathifah rabbaniyyah” iaitu hakikat manusia dengan jiwa dan zatnya. Namun disifati dengan sifat-sifat yang berlainan sesuai dengan keadaannya.

Nafsu adalah sumber akhlak tercela, al-Farabi, Ibn Sina dan al-Ghazali membahagikan nafsu kepada tiga iaitu nafsu nabati (tumbuh-tumbuhan); nafsu haiwani (binatang) dan nafsu insani.

Nafsu nabati adalah kesempurnaan awal bagi benda alami yang organis dari segi makan, tumbuh dan melahirkan. Nafsu haiwani, disamping memiliki daya makan untuk tumbuh dan melahirkan, juga memiliki daya untuk mengetahui hal-hal yang kecil dan daya merasa. Manakala nafsu insani mempunyai kelebihan dari segi daya berfikir.

Sementara ketika nafsu tidak lagi tenang dalam pangkuan-Nya, namun masih mampu menahan nafsu syahwat, ia dinamakan nafsu lawwamah. Sebaliknya, ketika menyerah pada nafsu atau menuruti kehendak syahwat dan ajakan syaitan, disebut dengan nafsu amarah.

Apabila nafsu menyerah dan patuh pada kemauan syahwat dan menurutkan ajakan syaitan, yang memang pada nafsu itu sendiri ada sifat kebinatangan, maka ia disebut nafsu yang menyuruh berbuat kejahatan. Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf (12), ayat 53 yang bermaksud: Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku…

Apabila nafsu selalu dapat menentang dan melawan sifat-sifat tercela, di disebut nafsu pencela, sebab ia selalu mencela manusia yang melakukan keburukan dan lalai berbakti kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qiyaamah (75), ayat 2 yang bermaksud: “dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri…

Tetapi apabila nafsu dapat terhindar dari semua sifat-sifat yang tercela, maka ia berubah menjadi nafsu yang tenang … Firman Allah SWT dalam Surah al-Fajr (89), ayat 27-30 yang bermaksud: Hai nafsu yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas lagi diredai, dan masuklah kepada hamba-hambaku, dan masuklah kedalam syurgaKu”

Nafsu ini dinamakan nafsu muthmainnah iaitu nafsu yang telah mencapai tingkat kesucian, ketenangan dan ketenteraman dan mendapat jaminan Allah SWT untuk masuk syurga. Nafsu muthmainnah selalu berhubungan dengan ruh. Ruh bersifat Ketuhanan sebagai sumber moral mulia dan terpuji, dan ia hanya mempunyai satu sifat iaitu suci.

Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syams (91), ayat 7&8 yang bermaksud: Demi nafsu serta kesempurnaannya , maka Allah mengilhamkan kepada  jiwa itu jalan kebaikan dan keburukan.” Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat”.

Maka apabila seseorang telah menganggap baik semua keburukan yang lahir daripada nafsu dirinya, sudah pasti dia tidak dapat melihat keaiban dirinya sendiri. Dan punca segala fitnah, keaiban, kehinaan, kerosakan, dosa dan kebinasaan yang telah menimpa manusia semenjak awal kejadiannya hingga kehari kiamat, semuanya daripada nafsu, samaada daripada nafsu sahaja, atau dengan pertolongannya atau penyertaan dan bantuannya.

Dari Abi Muhammad Abdillah bin Amru bin al-‘As r.a katanya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tiada beriman seseorang kamu sehingga hawanya (kecenderungan atau kemahuannya) mengikut apa yang aku bawa.” … Hadis Hasan Sahih

Tetapi yang dibawanya tidak dapat diterima oleh hawa nafsu seseorang begitu sahaja dengan cara yang mudah dengan alasan yang bermacam-macam. Inilah sebabnya Allah telah mensifatkan mereka sebagaimana yang diterangkan pada firman-Nya dalam surah al-Qasas : ayat 50 yang bermaksud,  Jika mereka tidak dapat memperkatakan bagi engkau, maka ketahuilah bahawa mereka hanya menurut hawa-hawa nafsu mereka, dan siapakah orang yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak ada petunjuk daripada Allah?

Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. telah melanggar larangan Allah SWT adalah dengan pertolongan dan penyertaan nafsunya yang ingin kekal hidup dalam syurga Allah hasil daripada hasutan dan tipu muslihat oleh syaitan laknatullah. Begitu juga pembunuhan pertama didunia dalam kisah Qabil dan Habil adalah berpunca daripada nafsu hasad dengki dan bakhil.

Dalam kisah Harut dan Marut, mereka juga tidak terlepas daripada dorongan nafsu syahwat sehingga melakukan zina dengan seorang perempuan cantik. Begitulah seterusnya manusia melakukan segala kejahatan adalah hasil daripada godaan nafsunya sendiri dan seandainya tiada nafsu, sudah pasti manusia akan berada dalam keadaan selamat dan baik.

Nafsu adalah musuh yang sangat merugikan, dan untuk melawannya sangatlah sukar. Maka harus diikat dengan tali ketakwaan dan wara’ agar kita sanggup menjalankan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Imam al-Ghazali didalam nukilannya bertajuk “Pembersih Kalbu”, telah berkata, untuk menundukkan hawa nafsu dan memecahkan keinginan jahatnya ialah dengan tiga perkara:-

1.                  Menahankan keinginan nafsu syahwat, kerana binatang yang culas dan degil akan menjadi lembut dan lemah bila dikurangkan makannya.

2.                Membebani dengan ibadat yang berat kerana sesungguhnya keldai apabila ditambah beban yang dipikulnya dan dikurangkan makanannya nescaya ia akan tunduk dan menurut perintah.

3.       Memohon pertolongan daripada Allah SWT dan merendah diri dan berdoa kepada-Nya agar dilindungi daripada godaan nafsu durjana.


PERTARUNGAN ANTARA AKAL DAN NAFSU

Hasil pertarungan antara akal dan nafsu inilah yang bakal menentukan kebahagiaan dan kesengsaraan manusia.  Manusia dalam pertarungan ini terbahagi kepada dua kelompok iaitu kelompak orang bertakwa dan kelompok orang yang fasik dan perilaku manusia juga terbahagi menjadi dua iaitu taqwa dan keji. Dipersimpangan antara akal dan nafsu ditentukan nasib manusia, bahagia atau celaka. Sekelompok manusia yang akalnya dapat mengatasi nafsunya, mereka adalah orang-orang yang saleh dan bertaqwa, dan bahagialah mereka.

Manakala sekelompok manusia yang nafsunya menguasai akalnya, mereka adalah orang-orang fasik dan celaka dan kejilah mereka sehingga manusia yang pada mulanya ciptaan terbaik akan merosot derajatnya pada tingkatan yang paling rendah.

Allah berfirman dalam Surah At-Tin (95), ayat 5 yang bermaksud: “Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka)”. Dan firman-Nya lagi dalam Surah Al-Furqan (25), ayat 44 yang bermaksud: “Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).                  

Daripada Saiyidina Ali k.w. katanya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang akalnya mengalahkan hawa nafsunya akan beruntung. Dan barangsiapa yang hawa nafsunya mengalahkan akalnya, maka ia akan celaka”. Saiyidina Ali k.w. juga pernah berkata, “Akal dan syahwat adalah dua hal yang saling berlawanan. Ilmu adalah pembantu akal dan nafsu adalah hiasan syahwat, sedang jiwa merupakan rebutan keduannya. Jiwa akan berada disamping yang menang antara keduanya.

Dalam pertarungan yang menentukan nasib akhir manusia, akal adalah pihak yang lemah sementara nafsu adalah pihak yang kuat. Ini kerana akal adalah alat untuk memahami dan mengetahui sesuatu sementara nafsu adalah kekuatan besar jiwa yang menggerakkan manusia. Nafsu mendorong manusia melalui rayuan dan tipu dayanya sehingga manusia tergelincir bersamanya. Sementara akal, mengajak manusia kepada sesuatu yang dibencinya.

Jalan menuju nafsu dan hal-hal yang hina itu menurun dan mudah diikuti, manakala jalan menuju kepada keutamaan adalah mendaki dan sukar untuk dinaiki. Oleh itu akal selalu berada pada kedudukan yang lemah berbanding kedudukan nafsu. Nafsu memasuki medan pertarungan dalam keadaan menyerang dan akal dalam banyak keadaan lemah menghadapinya. Dengan begitu, nafsu dengan mudah mengalahkan akal dan sepenuhnya menguasai jiwa manusia.

Saiyidina Ali k.w. berkata, “Siapa saja yang syahwatnya dikalahkan oleh akalnya, maka ia lebih baik dari malaikat. Dan siapa saja yang akalnya dikalahkan oleh syahwatnya, maka ia  lebih buruk dari binatang.”.

Tugas akal yang demikian sulit itu telah dibantu oleh Allah SWT dengan menganugerahinya sejumlah kekuatan yang dapat mendukung jerih payahnya.  Diantaranya, kecenderungan-kecenderungan terhadap kasih sayang dan kebajikan yang tersebar, fitrah dan beberapa emosi dalam jiwa manusia yang mampu untuk menggerakkan manusia dalam menghadapi dan mengendalikan naluri dan mengekang nafsu.

Sebagai contoh, dalam tekanan naluri cinta kepada harta benda, akal sememangnya menolak sumber pendapatan harta yang haram. Namun akal sahaja tidak mampu untuk mencegah nafsu dari mencari harta melalui jalan yang hina dan haram. Disini peranan perasaan harga diri manusia dapat membantu akal untuk mengingatkan manusia dari mencarai harta dengan jalan yang haram. Begitu juga, naluri seksual sering memaksa manusia mendapatkan kelazatan seksual melalui cara yang haram dan hina. Namun kesucian diri yang terpendam dalam setiap jiwa manusia yang lurus fitrahnya dapat membantu akal agar menghindarkan perbuatan terkutuk tersebut.

Oleh yang demikian, maka wajiblah seseorang itu berusaha menunduk dan menguasai nafsunya, dan ini adalah satu perjuangan yang utama. Pada suatu masa pernah ditanya orang kepada Rasulullah saw apakah perjuangan yang afdal ? Baginda menjawab yang bermaksud, “ Perjuangan engkau terhadap nafsu engkau”.


Al-KISAH AKAL DAN NAFSU

Setelah suami Rabi’ah al-Adawiyah meninggal dunia, maka Hasan Basri dan teman-temannya datang kerumahnya dan mereka dipersilakan masuk. Kemudian Rabi’ah membentang tabir dan dia duduk dibelakang tabir lalu berkata: “Siapa yang paling pintar antara kalian maka dia adalah suami saya”. Maka mereka menjawab: “Hasan al-Basri”.

Rabi’ah  :          “Bila dapat menjawab pertanyaanku maka aku adalah milikmu”

Hasan     :         “Tanyalah semuga aku dapat menjawab”.

Rabi’ah  :          “Apabila aku mati dan keluar dari dunia, apakah aku nanti keluar dengan beriman atau tidak ?”.

Hasan  :            “Itu masalah ghaib dan tidak seorangpun yang mengetahui kecuali Allah SWT”.

Rabi’ah  :          “Bila aku telah terletak diliang kubur dan ditanya Malaikat Mungkar dan Nangkir apakah aku nanti dapat menjawab atau tidak ?”.

Hasan  :            “Itu juga hal yang ghaib dan tidak ada yang mengetahui kecuali  Allah SWT”.

Rabi’ah  :          “Apabila orang yang telah dikumpulkan di hari Kiamat diberikan kepada mereka catatan amal masing-masing, dengan tangan kananku atau tangan kirikukah aku akan menerima cacatan amalanku ?.

Hasan     :         “Itu pun barang ghaib juga”.

Rabi’ah  :          “Hai Hasan, barang siapa tidak dapat menjawab empat pertanyaan yang saya ajukan jangan berfikir untuk dapat mengahwini saya.”.

Kemudian Rabi’ah berkata untuk terakhir kalinya: “Hai Hasan, dalam berapa bahagiankah Allah menciptakan akal ?”.

Hasan  :            “Sepuluh bahagian, sembilan untuk laki-laki dan satu jenis perempuan.”.

Rabi’ah  :          “Dalam berapa bahagiankah Allah swt menciptakan nafsu ?.

Hasan     :         “Sembilan bahagian untuk wanita dan satu bahagian untuk laki-laki”.

Rabi’ah  :          “Hai Hasan, aku dapat menguasai sembilan nafsu dengan satu bahagian akal, sedangkan kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian nafsu dengan sembilan bahagian akal yang kamu dapat”.

Diriwayatkan, Hasan Basri keluar dari rumah Rabi’ah dengan tangisan dan air mata yang bercucuran.


Wallahu A’lam.


RUJUKAN

  1. Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahannya.
  1. Shahih Muslim, Edisi Terjemahan, Ma’mur Daud, Klang Book Centre.
  1. Jalan Para ‘Abid, Haji Engku Ali Engku Endut, Kuala Terengganu (Terjemahan Minhajul ‘Abidin, Imam Ghazali).
  1. Mencapai Maqam Shiddiqun & Rabbaniyun, Sa’d Hawa (Edisi terjemah oleh Imran Affandi, Pustaka Dini Sdn Bhd, 2001).
  1. Hadith 40, Imam Nawawi (Edisi terjemah oleh Mustafa Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 1996)
  1. Peringatan Bagi Yang Lupa, Abullaits Assamarqandi (Edisi terjemah oleh H. Salim Bahreisy, PT Bina Ilmu, Jakarta, 1977).
  1. Pembersih Kalbu, Imam al-Ghazali (edisi terjemahan oleh Jasmine Enterprise) Berlian Publications, KL, 2005


Nota: Tulisan ini adalah salah satu daripada tugasan yang perlu aku sediakan semasa mengambil Diploma Eksekutif Pangajian Usuluddin daripada Universiti Malaya. Alhamdulillah, aku telah lulus dengan cemerlang.

As-samaki

No comments:

Post a comment