Wednesday 13 March 2013

Turki Kami Datang Dis 2012 .. (2) .. hari pertama .. Bursa ….



Tepat jam 6.10 pagi waktu tempatan, penerbangan Mas MH 0030 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kamal Atartuk Istanbul, Turki. Lega rasanya setelah duduk hampir 11 jam dalam pesawat, justru para penumpang tidak sabar-sabar lagi untuk keluar. Aku dan isteri tetap duduk dan memberi laluan kepada para penumpang yang ingin bergegas keluar… pada aku tidak perlu tergesa-gesa untuk keluar kerana untuk melepasi imigresen dan menunggu bagasi keluar pun mengambil masa dan kami pun telah “solat hormati waktu” semasa pesawat hampir mendarat. Waktu subuh pada pagi itu mulai jam 5.40 pagi berdasarkan kepada jadual solat yang dibekalkan oleh PNL Travel. Aku mengambil pendekatan hanya “solat hormat waktu” kerena berpegang kepada pendapat berikut.

"Di dalam penerbangan penumpang tidak dibenarkan mengambil wuduk kerana akan menyebabkan air tertumpah ke lantai yang akan membahayakan penerbangan. Di masa-masa tertentu, penumpang juga hendaklah mematuhi arahan supaya duduk dan memasang tali pinggang keledar di kerusi masing-masing bagi menjaga keselamatan semasa penerbangan. Oleh itu sebahagian ulama berpendapat memadai dengan solat dilakukan bagi menghormati waktu ditempat duduk dan tidak perlu ada wuduk, walaubagaimanapun, solat tersebut wajib diqada’kan".

"Ini diperkuatkan dengan ada sebahagian ulama berpendapat tidak wajib solat semasa berada di udara kerana tidak cukup syarat untuk solat. Kewajipan untuk sujud hanya semasa berada di bumi, seperti dalam hadith.“Bumi itu telah dijadikan bagiku masjid (tempat sujud) dan pembersih. Barang siapa dari umatku mendapat waktu solah, hendaklah dia solah [di situ].”(Hadith Riwayat Bukhari). Hujah mereka iaitu menetap adalah syarat sah solat. Begitu juga dengan menghadap kiblat kerana kita tidak akan mungkin menghadap kiblat ketika berada di dalam kapal terbang".

"Ulama tidak dapat memastikan samada udara itu boleh menggantikan bumi sebagai tempat sujud kerana udara tidak padat dan tidak dapat menahan kapal terbang daripada jatuh apabila kapal terbang tersebut berhenti diudara. Berlainan kalau solat diatas perahu, kerana dibawah perahu adalah air yang padat sehingga mencecah bumi, kalau sekiranya perahu tersebut berhenti sekalipun, perahu tidak akan tenggelam".

"Antara situasi yang dibolehkan melakukan solat hormat waktu ialah apabila waktu solat sudah masuk tetapi tidak cukup syarat untuk solat, misalnya (i) tiada pakaian yang bersih atau tiada kain untuk menutup aurat, (ii) tiada tempat yang bersih untuk solat, semua kawasan untuk sujud terkena najis, (iii) tidak berada di bumi untuk sujud, misalnya menaiki kapal terbang atau menaiki roket ke angkasa lepas".

"Oleh itu solat hormat waktu sah (dari segi ‘taqarrub’, mendekatkan diri dengan Allah) tetapi tidak menggugurkan kewajibannya. Hendaklah diulang solat itu apabila berupaya melakukannya dengan sempurna syaratnya. Misalnya setelah ada pakaian bersih atau kapal terbang telah mendarat di bumi, hendaklah diulangi solat atau kadha solat itu jika sudah habis waktu".

Setelah hampir semua penumpang berjalan keluar, aku dan isteri pun berjalan keluar sehinggalah sampai ke tempat pemeriksaan paspot (imigresen) yang masih beratur panjang. Kemudian kami ke tempat mengambil bagasi. Beberapa peserta rombongan serta isteriku bergegas ke kaunter menukar wang dari US dollar ke Turki Lira. Kadar tukarannya 1 US dollar = 1.65 T.L. Waktu pada ketika itu pun sudah melewati jam 7.30 pagi.

Apabila kami keluar dari dewan ketibaan, pemandu pelancung tempatan telah sedia menunggu dan mengalu-alukan kedatangan kami. Setelah semua ahli rombongan berkumpul, kami terus dibawa menaiki bas kerana jadual perjalanan pada pagi itu ialah menaiki bas untuk pergi ke Bursa. Kami agak terkejut kerana suhu diluar begitu sejuk. Bas bergerak perlahan-lahan melalui jalan yang sesak di awal pagi.

Pemandu pelancung memperkenalkan dirinya dengan panggilan Luna yang akan bersama kami selama kami berada di Turki. Luna meminta rombongan kami memperkenalkan diri supaya lebih mesra dan mudah untuk berkomunikasi. Bermula dengan satu keluarga enam orang yang berasal dari Setia Wangsa, Kuala Lumpur, kemudian Encik Azizan dan isteri dari Kuala Terengganu, keluarga encik Mohamad seramai sembilan orang dari Bangsar, KL dan Ipoh dan terakhir keluarga kami. Luna pula memperkenalkan pemandu bas yang akan membawa kami bernama Encik Abdullah yang berusia awal 50an.

Bas yang dipandu oleh Encik Abdullah terus bergerak perlahan kerana melalui jalan yang sesak di awal pagi. Begitulah kebiasaannya, menurut Luna kecuali pada hari ahad. Bas terus bergerak untuk melalui jambatan gantung sepanjang lebih kurang 1.2 km menyeberangi Selat Bosphoros yang memisahkan Turki Wilayah Eropah dengan Turki Wilayah Asia.

Ms Luna terus bercerita, Bursa adalah Bandar ke empat terbesar di Turki yang dihuni hampir dua juta orang. Tanahnya yang subur sangat sesuai dengan aktiviti pertanian saperti berbagai jenis pokok buah-buahan, sayuran, bungaan dan juga gandum. Walaubagaimanapun, pembangunan industri yang pesat telah mengurangkan sedikit aktiviti pertanian. Bandar ini terkenal sebagai pusat automobil kerana berbagai jenama kereta terkenal didunia di pasang disini dan juga kain sutera yang halus buatannya.

Terletak di kaki banjaran Uludag, dan dikelilingi oleh bukit bukau dan tanah pertanian yang luas menerima hujan yang cukup , dengan suhu antara –16°C dimusim sejuk sehingga ke 40°C dimusim panas. Terkenal dengan keindahan taman dan tumbuhan semula jadi menjadikan Bursa dikenali sebagai “Yesil Bursa” yang bermaksud “Green Bursa”.

Bursa yang terletak dibarat Laut Turki (kira-kira 230 km di tenggara Istanbul) menjadi pusat pentadbiran Wilayah Bursa, adalah ibu negara Turki pertama semasa zaman Pemerintahan Islam Uthmaniyah dalam tahun 1326M.

Semasa didalam bas, aku melihat kanan dan kiri, aku begitu kagum kerana terdapat banyak masjid diserata tempat. Gambar kanan adalah salah sebuah masjid yang terdapat disepanjang jalan menuju ke Bursa. Binaannya begitu unik dan mempunyai menara yang cantik. Perjalanan pintas ke Bursa akan menyeberangi sebatang sungai menggunakan feri.

Bas kami tiba di pangkalan feri pada jam 9.19 pagi (kiri), dan bas terus dibenarkan masuk kedalam feri (macam feri Pulau Pinang), memang dah lama aku tidak menaiki feri Pulau Pinang. Semasa di atas feri semua penumpang turun dari bas dan naik ke bahagian atas feri dimana terdapat tempat duduk yang selesa serta kafé yang menjual berbagai jenis minuman dan makanan. Seronok rasanya menaiki feri … tapi jaga-jaga jangan sampai ada yang mabuk pula.

Gambar kanan ... Tiga mak dara ni  tersenyum lebar bila aku membuka kisah lama bab menaiki feri dari Kota Kinabalu ke Labuan semasa berkunjung ke Kota Kinabalu beberapa tahun dulu. Masing-masing mabuk laut dan muntah-muntah, Mak Pon sampai tunggu didepan tandaslahhhh…aku pun pening kepala, tapi tak sampai muntah … kadang-kadang mengenangkan kisah lama memang menyeronokkan. 
 
 



Isteriku pula terpaksa mengasingkan diri dan duduk diluar kerana telah mulai pening dan rasa nak muntah. Aku Alhamdulillah, kalau naik feri setakat 30 minit insyaallah tak mabuk, tapi kalau lama lagi boleh jadi mabuk juga. 


Kira-kira 30 minit kemudian, feri tiba diseberang, kami menaiki bas semula dan meneruskan perjalanan ke Bursa. Aku terus terlelap kerana kepenatan mengharungi perjalanan yang panjang serta lapar kerana tiada sarapan pagi sehingga tidak sedar yang bas kami telah sampai ke Bandar Bursa. Rombongan kami di bawa terus kesebuah restoran untuk makan tengahhari.

Gambar kanan ... Mak Pon yang kelaparan dapat makanan dulu, Mak Lang pula terpaksa makan roti keras, Mak Ngah, Pak Lang, aku dan isteri sedang menunggu makanan dihidangkan. Makanan pembuka selera yang dihidangkan adalah sup, kerana lapar aku habis telan, makanan utamanya ialah nasi berlaukkan kebab kambing panggang tanpa kuah tetapi adalah salad. Itu pun masing-masing lahap bukan kerana sedap… tetapi kerana lapar. Dah kenyang … Alhamdulillah.


 

Gambar kiri ... Inilah dia restoran tempat kami makan tengah hari tadi. Dari luar menu-menunya nampak rasa sedap, bila dah habis makan ada saja komen mereka … ada yang takda selera makan dan macam-macam… aku bersyukur, walaupun pertama kali makan menu Turki, Alhamdulillah sedap saja … rezeki itu daripada Allah .


 

Selesai makan tengahhari, kami menaiki bas semula untuk memulakan lawatan di Bandar Bursa. Tempat pertama yang kami lawati adalah Yesil Turbe (Green Mausoleum yang bermakna Makam Hijau) yang terletak di atas bukit yang agak tinggi, jadi kami terpaksalah naik tangga untuk sampai ke atas, mengah juga rasanya (gambar kanan) ... sebab perut masih lagi penuh.. tetapi sebenarnya memang dah lama tak buat "exercise" pun...


Gambar kiri ... “Yesil Turbe” (Green Mausoleum = Makam Hijau), merupakan binaan sebuah kubah berbentuk segi lapan yang diliputi dengan jubin berwarna hijau telah dibina dalam tahun 1421. Dalam tahun 1860 replika makam sultan Mehmut I (Sultan ke lima Kerajaan Uthmaniyyah) serta 7 ahli keluarganya termasuk anak-anaknya telah dibina didalam kubah ini (gambar atas kanan) , selepas makam yang asal musnah semasa gempa bumi tahun 1855. Demikianlah kisahnya saperti diceritakan oleh ms Luna.



Sedari tadi sebut nama ms Luna, inilah orangnya yang memegang bunga (gambar kiri) yang fasih berbahasa Inggeris dan juga Malaysia (telo indonesia) sedang memberi penerangan berkenaan Makam Hijau. Bab cerita-cerita sejarah ni memang aku minat, jadi aku mendengarnya dengan khusuk untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat yang berharga itu ... sebagai kenangan

Sebelum beredar, kami mengambil kesempatan untuk bergambar berlatar belakang mihrab didalam ruang makam “Yesil Tomb” (gambar kecil kanan). Hiasan didinding bahagian dalam Makam Hijau memang cantik dan menarik. Kami kemudian meninggalkan “Yesil Tomb” untuk berkunjung ke “Yesil Camii” atau Masjid Hijau yang terletak dihadapan “Yesil Tomb”.

Ms Luna menerangkan, Yeşil Camii atau Green Mosque=Masjid Hijau (gambar kiri) juga dikenali sebagai Masjid Sultan Mehmet I, dibina antara tahun 1419~1421, rekabentuknya telah dihasilkan oleh seorang akitek bernama Ivaz Pasha. Masjid ini mengalami kerosakan yang teruk semasa gempa bumi 1855, dan telah diperbaiki oleh akitek Leon Parvilee. Dinamakan Masjid Hijau kerana bahagian dalaman masjid tersebut dikemasi dengan jubin berwarna hijau. Governor Bursa pada ketika itu iaitu Ahmet Vefik Pasha, tidak mempunyai keewangan serta pekerja mahir yang mencukupi untuk membaik-pulih keseluruhan masjid tersebut saperti binaan yang asal.



Gambar kiri .. tempat wuduk ini sebenarnya untuk orang lelaki yang terletak dihadapan Masjid Hijau , tetapi kerana tempat wuduk wanita terletak agak jauh dan cuaca pun sejuk, tiga mak dara ni pun wuduk ditempat lelaki juga … kemudian kami memasuki Masjid Hijau melalui pintu utama (gambar atas kanan) untuk menunaikan kewajipan bersolat dengan melaksanakan solat zohor dan asar secara qasar dan jama’ takdim.

Semasa di dalam Masjid Hijau, kami telah berkenalan dengan muazzin masjid tersebut, jadi sebelum meninggalkan Masjid Hijau, kami mengambil kesempatan untuk berposing dengannya. Dia pun telah dengan sukarela memperdengarkan bacaan al-Quran kepada kami. Kemerduaan suaranya sangat mengasikkan dan menusuk jiwa semasa membaca Surah Ad-Dhuha .. semuga berjumpa lagi.

Selesai bersolat sambil melawat Masjid Hijau, kami dibawa untuk meronda di Silk Bazaar (gambar bawah kiri) yang berhampiran dengan Masjid Hijau.



Setelah meronda dua tiga kedai di Silk Bazaar (gambar atas kiri), kami keluar kerana reka bentuk barangannya tidak berapa cantik dan harganya begitu mahal. Kami pergi kesebuah kedai yang menjual alas kaki (gambar atas kanan). Mak Lang dan Mak Pon tidak ketinggalan membeli beberapa helai alas kaki kerana harganya murah. Selesai menabur TL di Bazaar berhampiran, tepat jam 2.00 petang kami berkumpul untuk menaiki bas semula bagi menuju ke tempat lawatan terakhir pada hari itu iaitu Ulu Camii (Grand Mosque).


Ketika kami sampai di masjid tersebut (gambar kiri), azan asar sedang dilaungkan, jadi ramai orang berpusu-pusu datang untuk menunaikan solat asar. Kami dinasihatkan supaya menunggu mereka habis solat, kerana kami telah solat secara jamak takdim di Masjid Hijau. Menurut Luna, Masjid ini dibina atas arahan Sultan Bayezid I pada tahun 1396- 1399. Senibinanya merupakan senibina awal Kerajaan Bani Uthmaniyyah tetapi lebih mengikut style senibina Turki Seljuk. Mengikut sejarah, Sultan Bayezid telah berjanji akan membina 20 masjid jika mereka menang dalam peperangan. Mereka menang dalam peperangan itu tetapi peruntukan untuk membina 20 masjid tidak mencukupi,oleh itu sultan mengarahkan membina 20 kubah dan 2 menara di Ulu Camii.


Setelah para Jemaah selesai solat, aku pun masuk dan mendirikan solat tahiatul masjid, aku melihat keindahan seni bina masjid tersebut dibahagian dalam, mihrab, mimbar, ruang solatnya luas (gambar kiri). Di tengah-tengah dewan solat terdapat pancuran tempat wuduk (gambar kecil atas kanan). Menurut cerita daripada Luna, semasa Sultan Bayezid mengambil tanah untuk membina masjid, tanah ditengah-tengah kawasan untuk membina masjid adalah kepunyaan penganut kristian, dan dia tidak membenarkan tanahnya dijadikan tempat orang solat. Sultan telah berjanji tanahnya tidak akan digunakan sebagai tempat solat dan dibina pancuran tempat wuduk diatas tanah penganut kristian tersebut.

Sebelum meninggalkan Ulu Camii (Grand Mosque), aku sempat berposing dihadapan pintu masuk masjid sementara isteri sempat berkenalan dan bergambar dengan seorang gadis Turki, walaupun sekadar berbalas senyuman, kerana komunikasi mereka macam ayan dengan itek. Selesai melawat Ulu Camii, bas kami pun sampai untuk membawa kami terus ke hotel.


 

Kami tiba dihotel lebih kurang jam 3.30 petang. Di hotel inilah (Gold Majesty Hotel, Bursa) yang bertaraf empat bintang, kami menginap pada malam itu. Kami tidur dengan nyenyaknya pada malam itu kerana kepenatan mengharungi perjalanan yang panjang … pengembaraan akan bersambung pada hari kedua di Turki



No comments:

Post a Comment