Tuesday 12 March 2013

Pendidikan Islam Dalam Pembangunan Insan



“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasehani” … maksud firman Allah swt, surah Al-Fatihah ayat 1.

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan, serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.

Islam menuntut pengikut-pengikutnya supaya bersandar kukuh kepada akidah Tauhid, dan menjurus penghidupan manusia kearah pengamalan ibadah secara berterusan. Setiap umat Islam diamanahkan memainkan peranan sebagai khalifah dalam masyarakatnya di muka bumi ini. Islam juga menyuruh kepada yang baik dan mencegah yang mungkar.

Segala amalan ibadah setiap orang Islam sebaik-baiknya beroirentasikan “amar-makruf nahi-munkar” terhadap diri sendiri. Misalnya, seseorang Islam itu digalakkan bersembahyang secara berjemaah di saf yang paling hadapan sekali. Untuk mendapatkan saf pertama, dia semestinya melakukan iktikaf di dalam masjid sebelum masuk waktu sembahyang; atau kalau dia mentablighkan orang lain supaya bertaqwa kepada Allah swt, janganlah hendaknya dia dilihat menganiyai kaum kerabatnya sendiri; dan kalaulah dia berdakwah agar orang lain menimba ilmu, tidak manis kalau dia kelihatan menonton televisyen dengan program-program lucu atau ganas; atau kalau dia begitu akrab dengan rakan-rakannya, janganlah hendaknya dia kelihatan menghina ibubapanya sendiri; atau kalau dia kelihatan meraikan tetamu di rumah, janganlah hendaknya dia kelihatan memulau jiran tetangganya; dan kalaulah dia sudahnya berjaya dalam perniagaan hingga menjadi kaya-raya, janganlah pula dia melupakan nasib anak-anak yatim miskin yang duduk berhampiran banglo mewahnya.

Apa yang perlu ialah keperihatinan tentang tanggungjawab kita sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah swt untuk membantu memakmurkan muka bumi ini. Hendaklah kita wujudkan keseimbangan dalam mentadbirkan hal-elwal hidup kita di dunia yang fana ini.

Seruan Belajar Dan Mengajar

Pentingnya Pendidikan Islam dapat difahami dengan baik jika kita memperhatikan kembali wahyu pertama yang turun kepada Nabi Muhammad saw. Firman Allah swt dalam Surah Al-‘Alaq, ayat 1 hingga 4 yang bermaksudnya: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam”.

Seruan “bacalah” yang di ulang-ulang pada wahyu pertama ini adalah petunjuk paling kuat untuk maju dan membangun dengan kunci membaca. Pembacaan yang didorong oleh al-Qur’an, bukan sekadar membaca huruf-huruf abjad semata-mata untuk melepasi keadaan buta huruf tetapi juga pembacaan terhadap kehidupan, alam sekeliling, malah terhadap Tuhan atau seluruh unsur yang wujud.

Ayat-ayat tersebut juga menyatakan bahawa Allah swt disamping menyeru Nabi Muhammad saw membaca, Allah swt juga mengajar Nabi Muhammad saw membaca dengan perantaraan kalam-Nya. Ini dinyatakan melalui firman-Nya dalam surah al-Qalam, ayat 1 yang bermaksud: “Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis”. Seruan “demi kalam dan apa yang mereka tulis” adalah seruan untuk menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu.

Perlu diketahui bahawa perintah pertama kepada Nabi Muhammad saw adalah memajukan dan membangunkan ilmu, seperti firman Allah swt dalam Surah Asy-Syu’araa, ayat 214 yang bermaksud: “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat”.

Keluargaku Syurgaku

Oleh yang demikian, proses pembangunan ilmu mesti dimulakan dari keluarga kita sendiri . Ini adalah cara yang dilakukan oleh para Nabi dan Rasul. Allah swt juga berfirman kepada orang beriman dalam al-Qur’an iaitu melalui Surah al-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”.

Para sahabat bertanya kepada Nabi Muhammad saw, “Bagaimana kita menyelamatkan keluarga kita dari api neraka? Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Dengan memberi mereka Pendidikan Islam”.

Pembaharuan Jiwa

Pendekatan dengan menekankan Pendidikan Islam, memerlukan suatu pembaharuan. Pembaharuan sesuatu masyarakat tidaklah datang dengan tiba-tiba atau secara kebetulan sahaja. Bangsa-bangsa didunia bangun sesudah tidurnya, menjadi kuat sesudah mengalami kelemahan, maju sesudah mundur, adalah setelah melalui pembangunan ilmu yang sihat dan mendalam iaitu sesudah mengalami perubahan jiwa dan berfikir.

Perubahan jiwa ini merupakan suatu revolosi dan pembaharuan, tentang tujuan hidup dan pandangan hidup, cita-cita dan semangat, keinginan dan kebiasaan. Setiap gerakan, kebangkitan, revolusi, politik, ekonomi, hendaklah sejajar dengan pembaharuan jiwa dan semangat. Begitulah sunnatullah, undang-undang Tuhan dalam alam ini, sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu bangsa, sebelum mereka merubah keadaan diri (jiwa) mereka sendiri”.

Melakukan pembaharuan jiwa dan semangat, ini bukanlah sesuatu yang mudah dan ringan, ia adalah suatu pekerjaan yang amat berat dan sulit. Ini disebabkan manusia adalah makhluk yang bertemu dan bercampur aduk dalam dirinya berbagai keadaan dan sifat-sifat yang beraneka ragam.

Bukan perkara yang mudah membentuk manusia sampai mengetahui kebaikan dan mencintai kebaikan itu untuk orang lain, sebagaimana mencintai untuk dirinya sendiri. Tiada manusia yang mahu bersusah payah dan letih untuk memperbaiki mana yang rusak, memanggil orang lain kepada kebaikan, menyuruh berbuat baik, mencegah kemungkaran dan rela berkorban dengan diri dan harta benda di jalan yang hak.

Iman Merubah Jiwa

Tetapi iman satu-satunya yang menimbulkan keajaiban. Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia, untuk menerima buah fikiran yang baik, biarpun didalamnya tersembunyi pikulan kewajiban, pengorbanan dan kesulitan. Iman adalah satu-satunya unsur yang dapat mengadakan perubahan dalam jiwa manusia dan menjadikan manusia dalam bentuk yang baru, sehingga berubah tujuan hidupnya dan jalan yang ditempuhnya, berubah tingkah laku, pandangan hidup, perasaan dan pertimbangannya.

Apabila iman telah mendalam dan telah bersemi dengan jiwa, nescaya ia sanggup merubah tujuan hidup seseorang, merubah pandangan hidupnya tentang alam dan kehidupan, terhadap segala sesuatu dan segala pekerjaan pengaruh iman itu bagi pembaharuan, bukan hanya terbukti dalam kehidupan masyarakat, umat dan bangsa dalam sejarahnya, juga bagi kehidupan peribadi dan perseorangan.Iman dapat merubah haluan, merubah tingkah laku, merubah budi pekerti, bahkan merubah kebiasaan seseorang tentang makan minum. Iman itu memberi pendidikan yang mendalam bagi peribadi seseorang, sehingga menjadi peribadi yang baik.

Sebab itu peribadi yang beriman, kalau dia seorang peniaga, dia peniaga yang jujur. Kalau dia hidup miskin tetap menjaga kehormatan dirinya dan mahu bekerja keras. Kalau dia menjadi seorang yang kaya-raya, dia suka menjadi seorang yang dermawan dan suka menolong. Kalau menjadi pemimpin, dia akan menjadi pemimpin yang ikhlas dan jujur.

Di atas peribadi yang baik ini berdirilah masyarakat Islam yang baik dan memberikan kebaikan, kepada perseorangan dan masyarakat, kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Maka untuk menciptakan masyarakat yang adil, makmur dan beradab , perlu dibina keiman dalam jiwa setiap peribadi yang akan menjadi anggota yang akan menentukan bentuk masyarakat yang diidamkan.

Ada orang mempunyai anggapan yang salah yang mengatakan bahawa iman dan akidah keagamaan itu mengurangi dan melambatkan prestasi kerja atau menjadi penghalang kepada pertumbuhan dan perkembangannya. Kesalahan fahaman ini timbul kerana menurut pendapatnya, apabila iman itu telah masuk ke dalam hati seseorang, dia merasa hidupnya sudah ditentukan dan tidak lagi ada perasaan kebebasan.

Iman Meningkatkan Produktiviti

Iman itu sebenarnya pendorong yang sangat kuat untuk meningkatkan produktiviti dan produktiviti tidak akan maju berkembang melainkan disebabkan bekerja, dan bekerja keras yang dilakukan manusia. Bekerja dengan baik dan sempurna sangat diperlukan untuk pembangunan dan peningkatan produktiviti. Kemajuan itu tidak akan tercapai, melainkan hanya dalam suasana kejujuran dan keikhlasan bekerja. Untuk memperolehi kejujuran dan keikhlasan bekerja itu, tidak ada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya, selain dari iman.

Nabi Muhammad saw telah menerangkan bahawa iman itu bukanlah merupakan harapan dan bukan pula perhiasan lahir, melainkan yang tertanam dalam hati dan dibuktikan oleh perbuatan. Dalam al-Qur’an ada lebih 70 ayat yang menyebutkan iman itu sejajar dengan amal perbuatan.

Tidak cukup pula dengan semata-mata amal perbuatan, melainkan dikehendaki pula amal perbuatan yang baik, dengan erti kata yang lebih luas; memberikan kebaikan untuk keduniaan dan keagamaan, untuk perseorangan dan masyarakat, untuk kehidupan rohani dan kebendaan.

Tiada Paksaan Bagi Orang Yang Beriman

Orang beragama pada umumnya dan orang yang mempercayai aqidah Islam khususnya, dalam melakukan sesuatu pekerjaan dunia tiada merasa terpaksa, tiada didorong oleh kekuasaan pemerintahan atau paksaan dari luar. Orang beriman itu bekerja kerana kehendak jiwanya dan dorongan hatinya, kerana seruan dan perintah dari dalam dirinya. Mereka bekerja dengan dorongan semangat dari dalam, iaitu mempercayai Allah dan risalah-Nya, kerana mengingat tugas dan kewajipan dari Tuhan untuk memakmurkan bumi dan menguasai alam.

Orang beriman menyakini bahawa kebahagian di hari akhirat dan kejayaan dalam kehidupan dunia, bergantung kepada pekerjaan yang dilakukan semasa hidupnya. Syurga di hari akhirat bukanlah diberikan kepada orang-orang yang malas, melainkan untuk orang-orang yang bekerja dengan rajin dan sempurna. Allah telah berfirman yang maksudnya:-

“Taman syurga yang di wariskan kepada kamu , disebabkan perbuatan baik yang telah kamu kerjakan”. (Az-Zukhruf, ayat 72).

Sesungguhnya Kami tiada membuang saja pahala orang-orang yang melakukan perbuatan baik”. [Al Kafhi, ayat 30].

“Dan amat baik balasan untuk orang yang bekerja” [Ali Imran, ayat 136]

Dari keterangan ayat-ayat Allah swt di atas jelaslah bahawa orang yang tidak bekerja dan malas bekerja tidak akan memperolehi apa yang diharapkan sebaliknya orang yang rajin bekerja dan melakukan kebaikan akan mendapat ganjaran yang banyak. Dengan pandangan yang demikian, orang beriman bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh, mengikuti sunnah Allah yang berlaku didalam alam ini.

Melentur Buluh Biar Dari Rebung

Untuk membina dan membangun keimanan dan kehidupan yang sejati dan kukuh, Pendidikan Islam hendaklah di terapkan kepada setiap individu sedari kecilnya supaya ia mampu meresap kedalam jiwa dan mampu memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari demi mencapai pembangunan insan yang hakiki.

Sudah menjadi perkara yang lumrah bagi setiap keluarga Islam mendidik anak-anak mereka mengenai asas-asas Fardhu-‘Ain, Rukun Islam dan Rukun Iman berdasarkan Taqwa kepada Allah swt. Ini semua perlu dihayati dengan istiqomah demi mempertingkatkan dan memantapkan setiap mukmin yang beramal soleh. Dan bagi memanfaatkan lagi peranannya dalam masyarakat, adalah lebih baik lagi disusuli dengan melangsungkan ibadah Fardhu-kifayah.

Seorang doktor jiwa dari Amerika Syarikat dalam bukunya yang bertajuk “Kembali Kepada Iman” menjelaskan pentingnya pendidikan yang berjiwa agama bagi kanak-kanak serta menerangkan kesalahan orang-orang yang hendak menjauhkan jiwa agama dalam pendidikan kanak-kanak. Beliau menerangkan pentingnya kembali kepada agama dan mengikuti cara-cara yang digariskan oleh agama dalam mendidik anak-anak dan memperbaiki budi pekertinya.

Pada pandangan doktor jiwa tersebut, tidak ada jalan lain yang lebih baik untuk mendidik anak-anak, melainkan dengan mengucapkan kepadanya : “Ini baik, kerana Allah menyuruhnya. Allah menyukai dan senang kepada yang baik dan akan memberikan balasan syurga kepada sesiapa yang mengerjakannya. Ini buruk, kerana Allah melarangnya. Allah benci dan murka melihatnya, dan nanti akan menyiksa dengan neraka, siapa yang memperbuatnya”.

Kanak-kanak mempunyai sifat yang berbeda-beda baik dari segi sifat dasar atau pun apa yang mereka warisi (keturunan). Walaupun sifat yang diwarisi itu baik, namun untuk menanamkan kebiasaan yang baik supaya menjadi dasar yang kuat, memerlukan usaha-usaha yang terus menerus dan teratur.

Jika sekiranya memelihara kebiasaan yang baik itu sangat diperlukan, tentu sewajibnya pula mempergunakan segala jalan dan cara, yang dapat memberikan pengaruh dan menarik, sehingga kebiasaan yang baik itu kekal selamanya. Apabila dibahas lebih mendalam, dilihat dalam segi akal dan fikiran, ataupun berkenaan dengan jiwa dan perasaan, dapatlah diambil kesimpulan, bahawa penolong yang paling berjasa dalam hal ini ialah agama (Pendidikan Islam).

Mempercayai bahawa Allah itu ada dan mempercayai Rasul, dapat memberikan kepada ibu bapa bantuan yang kuat dan dapat dipercaya dalam memelihara budi dan jiwa anak-anaknya. Tetapi kalau ibu bapa itu tidak mempunyai pegangan dalam hidupnya, dan tidak mempunyai ukuran dalam menilai buruk dan baik, tentu saja dia tidak akan mendapat jalan untuk membimbing anak-anaknya dalam kehidupan sehari-hari.

Anak-anak yang tidak diberi pegangan yang teguh akan mudah terumbang-ambing menghadapi kekuatan yang bersimpang siur seperti sekolah, jiran tetangga, teman sepergaulan dan masyarakat yang melingkunginya. Maka agamalah satu-satunya kekuatan yang dapat menolong setiap orang dalam menyelesaikan kesulitan-kesulitan mengenai budi pekerti dan padangan hidup.

Iman Mencegah Kemungkaran

Anak-anak yang sejak kecilnya telah mempercayai Allah itu ada dan telah dapat menentukan buruk dan baik, tentulah kepercayaan yang demikian akan mendorongnya lebih cepat menjadi orang baik. Di samping dia hendak melakukan pekerjaan yang disukainya atau yang tidak disukainya, dia nampak mana yang benar dan mana yang salah. Jika terlanjur melakukan kesalahan maka dengan cepat kepercayaannya membisikkan ke dalam jiwanya supaya menghentikan perbuatan yang salah itu dan tidak mengulangnya sekali lagi.

Oleh itu sangatlah dianjurkan supaya tetap memberikan pelajaran agama kepada anak-anak sejak masa kecilnya untuk membina iman yang sejati dan kukuh, biarpun mereka belum memahami dengan cukup apa yang diajarkan kepadanya. Bidalan lama menyebut "lentur buluh biarlah dari rebung". Memberikan pelajaran agama setelah mencapai umur dewasa adalah sudah terlambat dan sangat merugikan .
Wallahhu a'lam.

Rujukan

1. Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahanya Rasm Uthmani.
2. Imtiaz Ahmad, Peringatan Kepada Ulul Albab, Edisi Terjemahan, Ir Hj Ismail Umar & Hj Titie Wibiprianto, Jakarta.
3. Dr Yusuf Al-Qaradawi, Iman dan Kehidupan, Edisi Terjemahan, Dewan Pustaka Fajar (2001), Kuala Lumpur.
4. Ismail Noor & Muhammad Azaham. Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Pelanduk Publication (2000), Kuala Lumpur.
5. Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Islam Hadhari Melahirkan Saintis dan Teknokrat Muslim Penggerak Tamadun Umat, Kementerian Penerangan Malaysia (2004), Kuala Lumpur
6. Ir Permadi Alibasyah, Bahan Renungan Kalbu, Penghantar Mencapai Pencerahan Jiwa, Cahaya Makrifat (2005), Bandung, Indonesia.
7. Bacalah Dengan Nama Tuhanmu, Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, Edisi Terjemahan, Syamil Samad, Jasmin Enterprise (2006), Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment