Satu hari, tanpa aku duga, tiba-tiba
isteriku menyuruh aku melayari laman web Air Asia, katanya nak tengok-tengok
kalau ada tiket murah ke Melbourne musim cuti sekolah Jun 2014. Tanpa membuang
masa aku terus ke bilik komputer di tingkat atas. Oleh kerana ketika itu sudah
hampir kepada bulan Jun 2014, harga tiket tidaklah begitu murah sangat. Tapi
kali ini isteriku tak kisah sangat, janji dapat pergi. Agaknya dia “jealous”
dengan kakaknya kerana kakaknya akan ke Sydney pada cuti sekolah nanti sempena
kovo anak angkatnya. Jadi aku pun terus beli tiket ke Melboure untuk lima orang,
untuk aku, isteriku dan tiga orang anak-anak perempuanku. Kali ini dua orang
anak perempuan ku yang sudah bekerja dapat pulak cuti. Anak lelakiku yang baru
melangsungkan perkahwinan tidak dapat ikut sama sebab isterinya tak dapat cuti.
Sebelum berangkat ke Melbourne, kami
telah menempah penginapan disebuah pangsapuri dua bilik di kawasan Port
Melbourne iaitu lebih kurang 4km sahaja dari pusat bandar Melbourne. Kami juga
menempah kereta dari Lapangan Terbang Melbourne. Isteriku mendapatkan visa ETA
melalui rakannya dengan bayaran hanya rm20.00 untuk satu visa, murahkan !
Sampai masa yang ditetapkan iaitu pada
5 Jun 2014, kami berangkat dari rumah jam 6.00 petang untuk ke KLIA 2, lapangan
terbang yang baru beroperasi sebulan yang lalu. Memang gah betul, KLIA 2 ni,
penat aku berjalan dibuatnya.
Gambar atas ... kanan bawah sekali, aku
duduk diruang berlepas selepas penat berjalan sementara dipanggil untuk masuk
ke dalam pesawat. Dari ruang menunggu, aku dapat melihat pesawat Air Asia yang
akan membawa kami ke Melbourne.
Pesawat Air Asia D7214 berlepas dari
KLIA 2 sekitar jam 10.35 malam dan sampai di Lapangan Terbang Melbourne jam
8.30 pagi waktu Melbourne. Waktu Melbourne 2 jam lebih awal dari waktu
Malaysia. Selepas melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam yang agak ketat,
aku terus keluar mencari kaunter Europcar. Terkejut aku kerana cuaca di luar
begitu sejuk sekali. Rupanya mulai bulan Jun musim sejuk telah bermula.
Kejadian empat musim merujuk kepada fenomena alam yang berlaku kesan
daripada peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbitnya yang tersendiri.
Peredaran bumi ini adalah mengikut lawan pusingan jam dan mengambil masa
kira-kira 365 hari atau setahun. Fenomena ini berlaku pada setiap tahun,
terutamanya di negara-negara yang mengalami iklim empat musim seperti
negara-negara yang berada di hemisfera utara dan hemisfera selatan.
Kejadian empat musim berlaku bilamana bumi yang beredar pada orbitnya
berada pada empat kedudukan pada masa yang tertentu sepanjang peredarannya
mengelilingi matahari.
Pada setiap 21 Mac setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di
Garisan Khatulistiwa dan akan bermula musim bunga di hemisfera utara,
sebaliknya bermula musim luruh di hemisfera selatan. Keadaan ini juga di kenali
sebagai Ekuinoks Musim Bunga. Tempoh siang dan malam adalah sama panjang.
Pada setiap 21 Jun setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di
Garisan Sartan, maka berakhir musim bunga dan bermula musim panas di hemisfera
utara, manakalan di hemisfera selatan, berakhir musim luruh dan bermula musim
sejuk. Keadaan ini dikenali sebagai Solstis Musim Panas. Tempoh siang dan malam
tidak sama panjang. Dikutub utara akan mengalami siang 24 jam manakala dikutub
selatan akan mengalami malam 24 jam.
Pada setiap 21 september setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di
Garisan Khatulistiwa dan berakhir musim panas dan bermula musim luruh di
hemisfera utara. Di hemisfera selatan, musim sejuk akan berakhir dan bermula
musim bunga. Tempoh siang dan malam adalah sama panjang. Keadaan ini dikenali
sebagai Ekuinoks Musim Luruh.
Pada setiap 22 Disember setiap tahun, matahari akan berkedudukan tegak di
Garisan Jadi dan berakhir musim luruh dan bermula musim sejuk di hemisfera
utara. Di hemisfera selatan berakhir musim bunga dan bermula musim panas.
Tempoh siang dan malam tidak sama panjang. Kutub utara akan mengalami malam 24
jam manakala kutub selatan akan mengalami siang 24 jam. Keadaan ini dikenali
sebagai Solstis Musim Sejuk.
Kewujudan musim-musim yang berlainan ini mewujudkan perubahan unik terhadap
ciri-ciri fizikal di muka bumi ini yang sudah pastinya sangat mengujakan dan
mempersonakan. Perbezaan ini sudah tentunya mempengaruhi pelbagai aktiviti
seluruh hidupan yang mendiami muka bumi ini, terutamanya manusia.
Ia juga menunjukkan kepada kita betapa indahnya ciptaan Allah SWT. Oleh
itu, kita sebagai manusia hendaklah sedar akan tanggungjawab besar kita untuk
mengekalkan keindahan yang sedia ada ini dengan sewajarnya.
Aku hanya perlu menyeberang jalan untuk
sampai ke kaunter Europcar. Lebihkurang dua puluh minit, urusan di kaunter
Europcar selesai dan mereka memberi aku kunci kereta. Aku terus membawa isteri
dan anak-anak serta bagasi untuk ke
tempat parkir kereta.
Daripada Lapangan Terbang Melbourne, aku
terus memandu ke rumah tumpangan yang terletak di 57, Bay Street, Port
Melbourne berpandukan GPS. Itulah pertama kali aku memandu dengan bantuan GPS.
Memang canggihlah, dalam masa kurang setengah jam memandu, kami dah sampai ke
tempat tujuan. Tak sesat langsung, macam memandu kat KL je.
Inilah dia pangsapuri yang agak mewah yang aku telah tempah untuk kami
sekeluarga menginap selama berada di Melbourne. Dua buah bilik yang sederhana
besar dilengkapi dengan dapur.
Ruang tamu yang selesa dilengkapi TV
LCD bersaiz 48 inci, ruang makan dan bilik air yang bersih. Kami berehat
sebentar untuk menghilangkan penat dan mengantuk kerana tidak puas tidur dalam
penerbangan.
Bangunan pangsapuri ini dilengkapi lift dan mudahlah kami turun naik walaupun unit kami berada di tingkat empat. Tambah istimewa lagi kerana ada petak letak kereta khusus untuk unit yang aku sewa.
Disebelah petang, kami membuat
keputusan untuk ke Queen Victoria Market yang terletak di Jalan Elizabeth untuk
membeli barangan keperluan makanan untuk dimasak, namun banyak gerai yang telah
tutup hanya tinggal beberapa gerai menjual buah-buahan. Rupanya hari itu, Queen
Victoria Market tutup jam 3.00 petang. Dengan bantuan seorang penjual buah,
kami membeli barangan keperluan dapur di sebuah kedai yang diusahakan oleh
seorang berbangsa Cina yang berasal dari Hongkong. Banyak barang dijual dikedainya,
sos cili Lingham pun ada dijual disana. Kedai Minh Phat terletak tidak jauh
dari Queen Victoria Market.
Semasa bermula musim sejuk di
Melbourne, jam 5.00 petang hari sudah mulai gelap. Jam 5.15 petang sudah masuk
waktu solat maghrib. Jadi kami membuat keputusan untuk balik ke tempat
penginapan. Dalam perjalanan kami sempat singgah di pasaraya Coles untuk
membeli buah-buahan. Aku terpaksa mengenakan pakaian sejuk bersarung kepala
untuk menahan kesejukan malam.
berapa harga satu malam di port melbourne
ReplyDeleteSeingat saya, satu malam Rm480/-.
Delete