Kami memang tidak merancang bahawa kami akan bermalam di
Princetown, jadi kami tak bawa lebih pakaian. Pagi itu kami pakai semula
pakaian yang kami pakai hari sebelumnya.
Princetown adalah sebuah pekan kecil yang hanya terdapat
sebuah restoran dan rumah penginapan (gambar atas kanan) dan sebuah pasar mini
yang juga menjual minyak petrol (gambar atas bawah kiri), namun berkeadaan
bersih dan menyamankan.
Dibahagian hujung dibina kawasan untuk melihat dan
meninjau bahagian belakang yang terdapat sungai dan kawasan lapang dimana
kebiasaanya kawanan kangaroo akan bermain-main.
Pagi itu kami bersiap awal untuk menyambung penjelajahan
Great Ocean Road yang terpaksa kami hentikan kerana malam bertandang awal.
Tempat pertama yang kami singgahi ialah Gibsons Steps yang berjarak 5 kilometer
dari Princetown. Dikawasan ini telah dibina 86 anak tangga untuk turun ke tepi
pantai oleh Hugh Gibson mengikut laluan asal yang berliku yang telah dirintis
oleh Kirrae Whurrong (gambar atas kiri bawah).
Kami menuruni anak-anak tangga dengan berhati-hati kerana
ia melalui tebing yang curam dan berliku. Angin bertiup kencang membawa ombak
yang deras ke pantai yang berpasir halus dan bersih. Tebing batu yang menegak
kelihatan disepanjang pantai. Bongkah
batu yang kelihatan dibelakang kami, yang seolah-olah tumbuh dari dasar laut
diberi nama Gog dan Magog oleh penduduk setempat.
Sekitar lima belas minit berada di Gibson Steps, kami
beredar untuk ke Twelve Apostles dan hanya beberapa minit memandu kami sudah
sampai ke tempat letak kereta Twelve
Apostles.
Gambar atas kiri, kelihatan para pekerja sedang membaiki
bumbung bangunan yang menempatkan pusat penerangan, kafe dan tandas. Pusat
penerangan masih belum dibuka kerana waktu masih awal pagi. Agaknya kami
pengunjung terawal pagi itu. Dibelakang bangunan inilah laluan untuk melihat
Twelve Apostles (gambar atas bawah kanan) yang jaraknya lebih kurang 400 meter
sahaja.
Inilah dia yang dikenali sebagai Twelve Apostle, gambar
atas kanan dahulunya terdapat sepuluh bongkah batu di kelompok kanan tetapi
kini hanya tinggal lapan sahaja kerana dua lagi telah terhakis oleh ombak yang
setia menghempas pantai. Beberapa bongkah batu tidak kelihatan kerana
terlindung oleh bongkah batu yang besar. Gambar atas kiri, dua lagi bongkah
batu di kelompok kiri yang semakin menirus hanya menunggu masa untuk ditelan
arus.
Terdapat papan penerangan bagaimana terjadinya
bongkah-bongkah batu tersebut. Akibat hempasan ombak laut ke tebing batu yang
lama kelamaan tebing-tebing batu terhakis sedikit demi sedikit. Prosesnya
mengambil masa ratusan atau ribuan tahun.
Dipenghujung tempat meninjau (gambar atas), dibelakangku
adalah kelompok sebelah kanan, manakala di belakang isteriku adalah kelompok
sebelah kiri.
Beberapa kilometer memandu ke arah Port Campbell, kami
singgah di satu tempat untuk melihat Loch
Ard Gorge. Ia merupakan sebuah teluk kecil yang dikelilingi tebing batu
yang tegak dengan bukaan mengadap laut yang sempit.
Diberi nama sempena karamnya sebuah kapal dagang bernama
Loch Ard berhampiran Muttonbird Island pada 1 Jun 1878 yang sedang dalam
pelayaran dari England ke Melbourne. Daripada 54 orang penumpang dan anak kapal,
hanya dua orang sahaja yang terselamat, Iaitu Tom Pearce yang berusia 15 tahun
seorang pelatih pelayaran, dan seorang wanita Irish berusia 17 tahun bernama
Eva Carmichael yang berpindah bersama keluarga ke Australia.
Kami menuruni anak-anak tangga untuk sampai kebawah dan
merakamkan gambar kenangan sebelum kami kembali ke kereta.
Setelah memandu sekitar lapan kilometer, akhirnya kami
sampai di satu lagi pekan kecil bernama Port Campbell iaitu satu penempatan
berhampiran tepi pantai yang dilingkungi kawasan menghijau yang nyaman dan
aman.
Aku mengambil kesempatan untuk memenohkan minyak kereta
di kedai minyak Caltex manakala isteriku cuba mencari makanan untuk sarapan
pagi.
Dari Port Campbell aku memandu ke arah Peterborough di
jalan yang lengang sambil sekali sekala menikmati sarapan pagi. Kami sampai di The Arch sepuluh minit kemudian. The Arch terhasil daripada hakisan ombak yang
sentiasa memhempas dan membadai tebing batu tanpa jemu.
Baiknya dikawasan-kawasan tarikan pelancong seperti ini,
disedia tangga dan juga pelantar untuk para pelancong meninjau kawasan sekitar.
Kami pun tidak ketinggalan bergaya bersama The Arch.
Lebih kurang satu kilometer daripada The Arch, satu lagi
pemandangan yang menarik iaitu London
Bridge.
Pada asalnya tebing batu yang terhakis ribuan tahun
memanjang tirus ke laut membentuk seolah-olah jambatan (gambar atas kiri
bawah). Pada 15 Januari 1990, sebahagian daripadanya telah runtuh dan jauh
kelaut meninggalkan sebahagiannya seolah-olah “pulau batu”. Semasa kejadian ada
dua orang yang sedang meninjau terperangkap di ”pulau batu” tersebut dan hanya
diselamatkan dua jam kemudian.
Demikian al-kisah “London Bridge is falling down” dan
kalau tak bergambar bersama London Bridge memang rugi.
Satu lagi tempat menarik yang kami singgahi ialah The Grotto, lebih kurang 2 kilometer
dari London Bridge.
Untuk dapat sampai ke dasar “telaga” yang terbina selepas
kejadian tanah mendap dan hakisan air laut, terpaksa berjalan dan menuruni anak-anak
tangga sejauh lebih 700 meter dari tempat letak kereta. Walaupun “telaga”
tersebut bersambung dengan lautan melalui lubang yang terhasil dari hakisan air
laut yang sentiasa menghempas tebing batu kapor semasa proses air pasang dan
surut. Air yang bertakung di dalam
“telaga” tersebut adalah air tawar yang jernih. Rasa puas menghilangkan segala
keletihan sewaktu menaiki tangga.
Aku memandu lagi sehingga sampai ke pekan kecil Peterborough. Di sebelah kanan jalan
adalah lapangan untuk helikopter yang membawa pelancong meninjau tempat-tempat
menarik melalui udara.
Sampai di satu
simpang aku membelok ke kiri ke Irvine St sehingga ke penghujung jalan yang
terdapat tempat letak kereta dan kawasan meninjau. Dari tempat tinjauan aku
dapat melihat disebelah kiri adalah kawasan dimana beberapa kapal pernah karam
dibadai ombak besar.
Di paparkan tiga
peristiwa kapal karam ditempat berkenaan. Pada 26 Disember 1855, sebuah kapal
dalam pelayaran sulungnya dari England ke Australia, telah karam di badai ombak besar dan
terhempas ke Schomberg Rock berhampiran Peterborough. Pada 28 Mei 1877 kapal
yang dikenali sebagai The Young Australian, telah karam dihempas ombak besar di
Curdies Inlet, Peterborough semasa dalam pelayarannya dari Maryborough,
Queensland ke Adelaide. Pada 29 Ogos 1892 sebuah kapal dengan 26 anak kapal
belayar dari Sharpness, Scotland ke Brisbane telah karam dihempas ombak di
Newfield, Port Campbell.
Sebelum meninggal Peterborough, aku memandu melewati
pasar mini dan pam minyak mini yang ada di Peterborough sebelum meneruskan
perjalanan ke Bay of Martyrs.
Bay of Martyrs hanya 2 kilometer dari Peterborough
merupakan sebahagian dari Bay Of Island.
Lokasi terhujung yang kami kunjungi ialah Bay of Island
iaitu 4 kilometer dari pekan kecil Peterborough iaitu kira-kira 310 kilometer
dari Melbourne melalui Great Ocean Road.
Oleh kerana hari itu adalah hari terakhir kami berada di
Melbourne dan akan kembali ke Malaysia pada malam itu, aku memutuskan untuk
berpatah balik ke Melbourne. Aku memandu dengan pertolongan GPS menggunakan jalan
yang berbeza iaitu melalui Princes Highway dan M1 Highway. Great Ocean Road aku
tinggalkan dengan seribu kenangan.
No comments:
Post a Comment