Hari
ini 27 Mac 2014, hari terakhir kami berada di Bumi Acheh dan masih ada beberapa tempat yang
perlu kami lawati. Selepas sarapan pagi, kami terus mendaftar keluar dari Hotel
Sulthan International dan En. Nazir pun telah sedia menunggu. Tanpa membuang
masa, kami dibawa menuju ke Desa Lamreueng, Kecamatan Ingin Jaya, Acheh Besar
untuk menziarahi Makam Teuku Nyak Arif.
1) Makam Teuku Nyak Arief
Teuku Nyak Arief dilahirkan pada 17
Julai 1899 di Ulee Lheue, Banda Acheh. Beliau adalah salah seorang Pahlawan
Nasional Indonesia yang memperjuangkan Kemerdekaan Indonesia daripada Belanda.
Pada 16 Mei 1927, semasa Dewan Rakyat dibentuk oleh pemerintah Belanda, Teuku
Nyak Arief terpilih sebagai wakil pertama dari Aceh. Beliau telah diberhentikan
daripada menjadi ahli Dewan Rakyat pada tahun 1931 kerana sering menentang
Belanda. Beliau pulang ke Acheh dan meneruskan penentangan terhadap Belanda.
Semasa Moehammad Hasan yang berasal dari Acheh menjadi Governor Sumatra
pertama, beliau telah melantik Teuku Nyak Arief sebagai Governor Acheh pada 3
Oktober 1945. Teuku Nyak Arief yang menderita penyakit kencing manis telah meninggal
dunia pada 26 April 1946.
2)
Universitas Syiah Kuala
Kami berpeluang memasuki kampus
Universiti Syiah Kuala yang terletak lebih kurang 8 km dari pusat Banda Acheh.
Universiti ini dinamakan Syiah Kuala bersempena gelaran Syiah Kuala yang
diberikan kepada ulama terkenal Acheh iaitu Syeich Abdul Rauf bin Ali Al-Fansuri.
Universitas Syiah Kuala ditubuhkan
pada 2 Jun 1961 dengan Fakulti Ekonomi, Fakulti Kedoktoran Haiwan dan
Penternakan sebagai permulaan. Pada tahun 1962 telah ditubuhkan pula Fakulti
Perguruan dan Ilmu Pendidikan serta Fakulti Undang-undang. Unversitas Syiah
Kuala terus berkembang maju hingga tertubuhnya Fakulti Teknik, Pertanian,
Kedoktoran, Ilmu Sosial dan Politik dan beberapa Fakulti lain lagi.
3)
Universitas Ar-Raniry
Selepas memasuki kampus Universitas Syiah Kuala, kami di bawa pula melihat-lihat sekitar kampus Universitas
Islam Negeri Ar-Raniry terletak kira-kira 8 km dari Pusat
Banda Acheh iaitu bersebelahan dengan kampus Universitas Syiah Kuala. Dinamakan
Ar-Raniry sempena mengambil nama seorang ulama penasihat Kesultanan Acheh semasa pemerintahan Sultan Iskandar Tsani,
yang bernama Ar-Raniry.
Ditubuhkan pada tahun 1960 sebangai
cawangan Kolej Islam Negeri Ar-Raniry Sunan Kalidjaga di Jokjakarta. Bermula
dengan Fakulti Syari’ah diikuti dengan Fakulti Tarbiyah dan Fakulti Usuluddin
(1962) dan terus berkembang maju. Akhirnya pada 5 Oktober 2013, Kolej Islam
Negeri Ar-Raniry telah mendapat kelulusan untuk menjadi Universitas Islam
Negeri Ar-Raniry.
4)
Pesawat Tempur
Dalam perjalanan ke Indrapuri, kami
berhenti rehat di Persimpangan Aneuk Galong, Kecamatan Sukamakmur untuk
membasahkan tekak yang telah mulai kering. Aku mengambil kesempatan untuk
meninjau satu tugu yang berdiri kukuh berhampiran sebuah warkop (warung kopi).
Tugu tersebut dinamakan Tugu Maimun Salleh. Sebuah Jet Pejuang Hawk 200 milik
Angkatan Tentera Udara Indonesia mendarat diatasnya. Tugu tersebut dibina
sebagai memperingati juruterbang Jet Pejuang pertama daripada Acheh yang
bernama Maimun Salleh.
Menurut
ceritanya, Maimun Salleh telah dilahirkan di Aneuk Galong, Sibreh, Aceh Besar pada 14 Mei
1929. Pada 1 Februari 1951, beliau berjaya memperolehi ijazah penerbangan dan diterima menjadi anggota Squadron
IV (Pengintip Darat) angkatan Tentera Indonesia dan turut serta dalam semua
operasi yang dijalankan oleh Squadron tersebut.
Hayatnya
tidak panjang apabila beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 1 Ogos 1952 setelah
jet pejuang yang dipandunya mengalami kemalangan di Pangkalan Udara Semplak,
Bogor.
5)
Masjid Indrapuri
Perjalanan ke Indrapuri di teruskan
kerana masih ada lokasi yang belum dilawati. Lebih kurang 30 minit kemudian
kami sampai di hadapan Masjid Kuno Indrapuri yang terletak di Kecamatan
Indrapuri iaitu kira-kira 30 km dari pusat Banda Acheh.
Masjid
Kuno Indrapuri ini dahulunya adalah sebuah kuil dari Kerajaan Hindu Lamuri
sekitar abad ke-12M sebelum kemasukkan Islam. Dalam satu peperangan menentang
pasukan bajak laut dari Cina, Kerajaan Hindu Lamuri telah dibantu oleh seorang
Pengeran Islam dari Lingga bernama Meurah Johan sehingga mendapat kemenangan.
Dengan pengaruh Meurah Johan, akhirnya Kerajaan Hindu Lamuri menjadi kerajaan Islam.
Bangunan kuil hindu tersebut telah diubahsuai menjadi masjid hingga ke hari
ini.
Gambar
atas bahagia atas kiri adalah pandangan dari hadapan masjid yang terdapat kolah
untuk berwuduk. Gambar atas bahagian tengah bawah menunjukkan ruang solat serta
mihrab dan mimbar masjid.
6)
Makam Teuku Chik Ditiro
Untuk ke Makam Teuku Chik Ditiro, kami
terpaksa melalui jalan yang sempit dan berliku, namun atas kecekalan En. Nazir,
akhirnya kami sampai juga ke tempat tujuan yang terletak di Desa Mureu, Lam
Glumpang, Kecamatan Indrapuri, Acheh Besar.
Teuku Chik Ditiro atau nama sebenarnya
Muhammad Saman adalah seorang Pahlawan Nasional yang berasal dari Aceh. Di
lahirkan pada tahun 1836 di Dajah Jrueng, Tiombok Laml, Tiro di Daerah Pidie, Acheh.
Perjuangan beliau melawan penjajah Belanda dikenali dengan nama "Perang
Sabi". Beliau Berjaya menawan semula beberapa benteng dan wilayah yang
telah diduduki Belanda seperti benteng Belanda Lambaro dan Aneuk Galong. Ini
telah menimbulkan kemarahan pemerintah Belanda yang akhirnya Belanda berjaya
meracun Teuku Chik Ditiro. Beliau meninggal pada bulan Januari 1891 di benteng
Aneuk Galong.
Makam Teuku Chik Ditiro ditempatkan
ditengah-tengah bangunan beratap merah (gambar atas sebelah kiri bawah).
Makamnya dilingkungi oleh binaan konkrit berjubin hitam (gambar atas tengah
bawah) yang terdapat dua liang hahad (gambar atas tengah atas) didalam
lingkungan tersebut dan salah satunya adalah liang untuk Teuku Chik Ditiro.
Didalam komplek makam yang berpagar,
juga terdapat surau dan tempat wuduk serta kamar kecil (gambar atas sebelah
kanan atas).
7)
Makam Panglima Polem
Agak susah mencari lokasi Makam
Panglima Polem kerana tiada papan tanda di tepi jalan utama. En. Nazir terpaksa
bertanya beberapa kali sebelum menjumpai arah ke makam yang terletak di Desa
Lamsie, Kecamatan Kuta Cot Glie, Acheh Besar. Makam Panglima Polem kelihatan
agak terbiar tidak seperti Makam Teuku Chik Ditiro yang dijaga rapi.
Nama
asal Teuku Panglima Polem adalah Teuku Panglima Polem Sri Muda Setia Perkasa
Muhammad Daud. Beliau yang berasal daripada Acheh adalah salah seorang Pahlawan
Nasional yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada Penjajah Belanda.
“Panglima Polem” adalah gelaran yang diberikan secara turun-temurun kepada anak
lelaki Panglima Polem I hingga Panglima Polem IX. Panglima Polem Sri Muda Setia
Perkasa Muhammad Daud adalah Panglima Polem yang ke VIII.
Makam
Panglima Polem berada agak tinggi dan disediakan laluan bertangga (gambar atas
kiri bawah) untuk sampai ke atas. Gambar atas tengah adalah bangunan dimana
makam ditempatkan manakala gambar atas sebelah kanan atas adalah liang pusara
bagi Panglima Polem.
8)
Kota Jantho
Dari Makam Panglima Polem, kami terus
menuju kearah Kota Jantho yang merupakan pusat pentadbiran Kabupaten Acheh
Besar. Dibina sebuah pintu gerbang yang indah sebelum memasuki Kota Jantho yang
terletak dikawasan agak tinggi iaitu pergunungan Seulawah.
Sebelum Banda Acheh dinaik taraf
menjadi Bandaraya, ia merupakan pusat pentadbiran Acheh Besar. Apabila Banda
Acheh berpisah dengan Acheh Besar dan mempunyai pusat pentadbirannya sendiri,
Pusat pentadbiran Acheh Besar di pindahkan ke Kota Jantho pada 29 Ogos 1983.
Antara tarikan di Kota Jantho adalah
sebuah masjid yang indah dikenali sebagai Masjid Al-Munawarah yang menjadi
pusat kegiatan keagamaan penduduk Kota Jantho. Satu majlis maulid secara
besar-besaran baru sahaja dilangsungkan dimasjid tersebut pada 20 Mac 2014 yang
lepas.
Rekabentuk masjid agak menarik dengan
kubah besar ditengah-tengah yang melindungi dewan solat utama yang luas, ruang
mihrab dan mimbar yang cantik dengan koridor dibahagian kiri dan kanan serta
belakang (lihat gambar dibawah).
Di Kota Jantho juga terdapat Stesen
Pemancar untuk Television Repablik Indonesia untuk Wilayah Acheh Besar dan
kawasan sekitarnya.
9)
Perpustakaan Kuno Tanoh Abe
Lebih kurang jam 2.30 petang, kami
bergegas untuk menuju ke Bandar Udara Sultan Iskandar Muda kerana penerbangan
kami ke Kuala Lumpur dijangka berlepas jam 4.50 petang. Dalam pada itu aku
masih tercari-cari lokasi yang menempatkan Perpustakaan Kuno Tanoh Abe. En.
Nazir sekali lagi terpaksa bertanya kepada beberapa penduduk kampong sebelum berjumpa
laluan ke perpustakaan tersebut.
Gambar di atas menunjukkan bangunan Perpustakaan
Kuno Tanoh Abe yang sudah mulai uzur di mamah usia.
Perpustakaan ini merupakan tempat
penyimpanan buku-buku dan catatan peninggalan ulama-ulama Aceh zaman dahulu,
yang ditulis dalam bahasa Arab. Judul buku yang telah ditulis dianggarkan
antara 3.000 hingga 4000 judul, yang kesemuanya ditulis dengan tangan, dan
mencakupi bidang ilmu pengetahuan
tentang Islam, Sejarah dan kebudayaan Aceh dari abad 16 hingga 19. Perpustakaan Tanoh Abe terletak di dalam
kompleks Pesantren Tanoh Abee yang didirikan oleh keluarga Fairus yang mencapai
kemuncak kejayaannya pada masa pimpinan Syekh Abdul Wahab yang terkenal dengan panggilan
Teungku Chik Tanoh Abe. Beliau meninggal dunia pada tahun 1894. Pengumpulan manuskrip
telah dimulakan semenjak Syekh Abdul Rahim iaitu datuk kepada Syekh Abdul
Wahab.
Semasa aku sampai, pimpinan
perpustakaan tiada dirumah, namun aku sempat bertemu dengan isteri beliau dan
oleh kerana kesuntukan masa, tidak banyak yang dapat diterangkan dan aku terus
memohon diri untuk bergegas ke lapangan terbang. Aku telah menyampaikan kiriman
sumbangan untuk Perpustakaan Kuno Tanoh Abe sebanyak 500,000 rupiah.
Aku masih khuatir kerana ditanganku
masih ada sebanyak 2.5 juta rupiah wang kiriman sumbangan untuk disampaikan
kepada Pesantren Dayah Ulee Titi. Aku berserah kepada kuasa Allah swt kerana
masa sudah semangkin singkat, dan rakan-rakan lain sudah mulai rimas
takut-takut terlepas penerbangan ke Malaysia. Allhamdulillah, jam 3.40 petang
aku berjaya menyampaikan kiriman sumbangan sebanyak 2.5 juta rupiah kepada
pimpinan Dayah Ulee Titi dan jam 4.00 petang kami semua telah berada di
Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda. Kami tidak perlu beratur untuk check-in
kerana aku telah uruskan semuanya dan kami hanya perlu membayar cukai lapangan
terbang sebanyak 100,000 rupiah seorang di kaunter yang lengang. Kami terus
masuk melewati pemeriksaan imigresen dan terus menuju ke dewan menunggu. Kami
tiba di LCCT Sepang jam 7.30 malam.
Berakhir pengembaraan kami selama 4 hari 3 malam di Banda Acheh Bumi
Serambi Mekah. InsyaAllah jumpa lagi pada pengembaraan yang akan datang … ziarah 9 Makam Wali Songo…semoga impian direalitikan oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment