Malam pertama di Melbourne begitu
sejuk. Walaupun berada didalam bilik, cuaca sejuk tetap dapat menerobos sampai
kedalam tulang. Mujurlah penginapan yang aku sewa ada menyediakan alat pemanas
udara (heater), jadi kurang sikit sejuknya. Sementara menunggu isteriku masak
untuk makan malam, aku telah membuat perancangan perjalanan bagi memudahkan
pergerakan untuk hari esuk iaitu hari kedua berada di Melbourne.
Satu perkara yang perlu diingat, ialah
berkenaan tempat letak kereta, walaupun banyak tetapi harganya sangat mahal,
ada yang sampai 1 jam AUD8.00 sehingga satu hari berpuluh-puluh AUD. Jadi aku
terpaksa mencari-cari tempat letak kereta yang paling murah.
Pagi-pagi lagi pada hari kedua kami
telah keluar rumah menuju ke pusat bandar Melbourne dan terus ke tempat letak
kereta CBD, di 58, Franklin St. Inilah tempat letak kereta yang paling murah yang
aku dapat cari iaitu AUD12.00 (early bird) untuk sehari, itupun terpaksa masuk
sebelum jam 9.00 pagi dan keluar selepas jam 3.00 petang. Memang pada hari
kedua kami hanya akan ronda-ronda sekitar Melbourne CBD dengan menaiki Trem No.
35 iaitu trem percuma.
Dari tempat letak kereta CBD, kami
berjalan kaki lebihkurang 200 meter melalui Franklin St ke arah Queen St untuk
sampai ke Queen Victoria Market. Waktu itu orang masih belum ramai lagi.
Kami datang lagi ke Queen Victoria Market
kerana semalam tidak sempat membeli belah sebab dah tutup. Bermacam-macam
barang dijual di QVM. Yang paling seronok anak-anak perempuanku. Membeli sakan
sehingga lupa duit dah habis, mujurlah ada mesin ATM di QVM, nasib baik mesin
ATM itu tak minta maaf “maaf baki anda tidak
mencukupi”.
Isteriku sempat juga membeli beberapa helai
baju dan cenderahati untuk rakan-rakannya dan membelikan topi koboi untuk aku.
Sejak waktu tu, aku sentiasa bergaya dengan topi koboi tu. Sebelum meninggalkan
QVM, kami berjalan-jalan dan tak sangka bertemu dengan seniman jalanan yang
sedang menghiburkan orang ramai disatu sudut QVM (gambar bawah kanan bawah).
Setelah selesai membeli belah di QVM, kami
kembali ke tempat letak kereta untuk menyimpan barang bagi meringankan
perjalanan seterusnya. Dari tempat letak kereta kami berjalan kaki melalui
Franklin St ke arah Victoria St untuk ke Old
Melbourne Gaol. Bila sampai di Victoria St kami sudah nampak Old Melbourne
Gaol berada disebelah kanan kami iaitu di no. 377
Russell St. Kami berjalan lebihkurang 300 meter dari CBDpark.
Old Melbourne
Gaol terdiri daripada penjara tertua di Melbourne, Mahkamah Magistrit paling
bersejarah dan Balai Polis semenjak tahun 1840an dan banyak kes-kes jenayah
berat telah diselesaikan dan hukuman gantung juga dijalankan di dalam penjara
tersebut. Kini dijadikan tapak warisan sejarah untuk dikunjungi oleh pelancong
dari seluruh dunia. Dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang
dan dikenakan bayaran masuk sebanyak AUD25.00 untuk dewasa dan AUD13.50 untuk
kanak-kanak. Masuk kedalam tidak dibenarkan mengambil gambar.
Selesai melakukan lawatan kami menunaikan
kewajipan kepada Allah swt solat zohor dan asar secara qasar dan jamak diatas
pangkin disebelah kanan tempat kami duduk diluar Old Melbourne Gaol (gambar
atas bawah paling kanan).
Dari Old Melbourne Gaol, kami berjalan kaki
menyusuri Victoria St ke arah Rathdowne St untuk ke Royal Exibition Building yang terletak di no. 9, Nicholson St, Carlton VIC 3053. Royal
Exibition Building telah di iktiraf sebagai salah satu bangunan Warisan Dunia
yang perlu dipelihara. Pada hari itu tidak ada apa-apa pameran di adakan, jadi
ianya ditutup. Tak dapatlah kami masuk untuk melihat-lihat. Kami hanya
bergambar disekitar bangunan yang dipenuhi dengan pepohon rendang, rumput yang
menghijau disamping taman bunga yang dihias cantik.
Berhadapan dengan Royal Exibition Building adalah Melbourne
Museum yang terletak di no. 11, Nicholson St, Carlton VIC 3953. Bangunan
muzium tersebut telah direkabentuk oleh Denton Corker Marshall Architects dan
pembinaannya telah disiapkan dalam tahun 2001. Muzium tersebut dibuka pada
setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran masuk
sebanyak AUD24.00 untuk dewasa dan AUD12.00 untuk kanak-kanak. Pada hari kami
datang, ada promosi bayaran masuk iaitu hanya AUD 10.00 untuk dewasa manakala
percuma untuk kanak-kanak.
Antara bahan yang dipamerkan di Muzium
Melbourne ialah tulang rangka ikan paus, binatang purba dan juga berbagai
binatang yang telah dikeraskan.
Disatu bahagian yang lain pula dipamerkan
replika kereta kuda zaman dahulu dan keretapi lama, mesin jahit lama dan juga
mesin taip lama.
Disudut yang lain terdapat galeri lukisan,
sejarah sains dan manusia dan di ruang legar di tempatkan sebuah kereta antik
sebagai tarikan kepada para pengunjung.
Selesai melihat-lihat di Muzium Melbourne,
kami berjalan kaki melalui Rathdowne St ke arah La Trobe St untuk ke perhentian
trem terdekat iaitu lebihkurang 500 meter yang terletak di La Trobe St. Kami
menaiki Trem no. 35 iaitu trem
percuma yang mengelilingi Pusat Bandar Melbourne sahaja.
Tempat menunggu trem mudah sahaja hanya di
pembahagi jalan. Semua trem akan melalui laluan yang sama, namun hanya trem no.
35 yang percuma. Tidak lama menunggu, trem pun sampai. Kami menaiki trem no. 35
untuk ke Harbour Town Shopping Centre
yang terletak di Wilayah Dockland. Naik trem no. 35 sama macam naik LRT di KL,
tempat duduknya terhad, lebih ramai yang berdiri, setiap akan sampai di
perhentian seterusnya akan dimaklumkan. Jadi kami taklah terlajak walaupun
pertama kali naik trem no. 35. Macam dah biasa je.
Kami sampai di Harbour Town Shopping Centre
lebihkurang jam 4.00 petang. Harbour Town merupakan kawasan beli belah terbaru
di Melbourne. Beratus-ratus kedai menjual pakaian, kasut, barangan cenderahati,
tetapi di sini lebih eklusif berbanding Queen Victoria Market.
Juga terdapat berpuluh restoran antaranya
restoran Chilli Padi dan terdapat
sebuah hotel iaitu Harbour Town Hotel.
Tarikan utama di Harbour Town ialah Melbourne Star Flight of Discovery,
juga sebuah sebuah Mini Olympic Stadium.
Harbour Town sebenarnya tidak jauh dari
Waterfront City. Jadi sementara
menunggu isteri dan anak-anakku shopping, aku berjalan kaki menuju ke Water
Front City yang hanya lebihkurang 200 meter dari Harbour Town.
Sempat juga aku merakam beberapa
pemandangan yang cantik di sekitar Water Front City. Lebih kurang jam 5.00
petang kami menunggu Trem no. 35 di Docklands Dr untuk ke CBD park. Dari CBD
park aku memandu kereta untuk balik ke rumah penginapan kerana siang mulai melabuhkan tirai.
No comments:
Post a Comment