Sunday, 10 March 2013

Ikhlas


“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasehani” … maksud firman Allah swt, surah Al-Fatihah ayat 1.

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan, serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.

Allah swt menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepada-Nya. Ini dijelaskan oleh Allah swt dengan firman-Nya yang bermaksudnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku” .. surah al-Dhariyat(51): ayat 56.

Muhammad Ali al-Sabuni menjelaskan bahawa melalui ayat tersebut, Allah swt menerangkan matlamat kejadian manusia dan jin iaitu untuk beribadat kepada Allah swt dan mentauhidkan-Nya. Apakah yang dimaksudkan dengan beribadat yang menjadi matlamat manusia diciptakan ?

Mengikut kamus bahasa Arab, perkataan ibadat (al-‘ibadah) itu bererti taat yang disertakan dengan kerendahan diri (keikhlasan hati).

Sayyid Qutb menjelaskan bahawa pengertian ibadah terdapat di dalam dua cabang, iaitu teguhnya kefahaman perhambaan diri kepada Allah dalam jiwa seseorang dan penumpuan kepada Allah dalam setiap gerak hati, gerak anggota dan gerak kehidupan yang disertakan dengan keikhlasan hati.

Allah swt telah berfirman yang bermaksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah swt dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar” … Surah al-Bayyinah (98): ayat 5.

Jelasnya, ibadat itu ialah segala perlakuan dan tindak tanduk seseorang disebabkan ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt dengan sepenuh keikhlasan hati, dengan sama ada melakukan suruhan Allah swt atau meninggalkan larangan-Nya.

Manakala ikhlas membawa maksud rela, jujur, tulus atau suci hati dalam melakukan sesuatu amal kebaikan tanpa mengharapkan sesuatu balasan atau ganjaran.

Dengan maksud yang demikian setiap individu muslim tidak akan mempunyai sedikit pun muslihat duniawi ketika melakukan sesuatu amalan atau pekerjaan samada ianya berbentuk ibadah khusus atau perbuatan umum yang lain. Keikhlasan kita hanyalah kepada Allah swt, semua yang kita lakukan adalah untuk mendapat keredhaan Allah swt.

Seorang ahli tasawwuf terkemuka dari Baghdad (wafat 243H) Harith bin Asad al-Muhasabi berkata bahawa ikhlas itu ialah engkau maksudkan ta’at kepada Allah swt dan engkau tidak memerlukan kepada lainnya

Syeikh al-Khushairi seorang pengasas tasauf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin memperdekatkan diri kepada Allat swt bukan kerana untuk mencari kesayangan orang atau sesuatu hal yang lain selain daripada mengtakarufkan diri kepada Allah swt, Tuhan yang menjadikan kita.
 
Imam Nawawi membahagikan amal yang ikhlas kepada tiga bahagian iaitu Pertama, amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah swt dan dinamakan “ibadat hamba”. Kedua, amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala dan dinamakan “ibadat saudagar” dan, Ketiga ialah amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah swt dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu samada amalnya diterima atau ditolak oleh Allah swt. Amal sebegini dinamakan “ibadat yang merdeka”.

Amal ibadat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw sewaktu menjawab sungutan ‘Aisah r.a. yang berkata: “Mengapakah Rasulullah saw bersusah payah mendirikan sembahyang malam hingga bengkak-bengkak kedua belah kakinya padahal Allah swt telah mengampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang?”. Rasulullah saw dalam jawapannya bersabda yang bermaksudnya: “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur”

Amal atau pekerjaan yang ikhlas ialah amal pekerjaan yang diqasadkan kepada Allah swt dan tidak kepada yang lainnya. Dalam sebuah hadis ada diceritakan bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah saw lalu berkata: “Ya Rasulullah saw, ada seorang lelaki yang bersedekah dan ia suka supaya dipuji dan diberikan pahala kepadanya”. Rasulullah saw tidak berkata-kata kepada orang tersebut sehingga diturunkan ayat yang bermaksudnya: “Maka barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah kerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya”… Surah al-Kahfi (18): ayat 110.

Dalam ayat tersebut, Allah swt memperingatkan manusia supaya apa saja amal pekerjaan yang di lakukan hendaklah semata-mata kerana Allah swt dan tidak kerana selain daripada Allah swt.

Dalam riwayat yang lain, dari Sufyan dari Habib dari Abi Salih berkata: Seorang datang kepada Nabi saw dan berkata: Ya Rasulullah saw, saya berbuat suatu amal pekerjaan yang saya sembunyikan kemudian diketahui orang, maka saya merasa senang, apakah masih mendapat pahala? Nabi saw bersabda yang bermaksudnya: “Ya, bagimu pahala rahsia dan terang”

Nyatalah keikhlasan melakukan sesuatu amal atau pekerjaan adalah bertolak dari niat seseorang itu mengerjakan amal pekerjaan tersebut. Ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dengan hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah swt dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia iangin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan”.

Keikhlasan hati dalam melakukan sesuatu amal pekerjaan adalah menjadi syarat penerimaan amal pekerjaan tersebut oleh Allah swt sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu”. Dengan ini jelas bahawa Allah swt melihat hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya.

Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amal pekerjaan dan sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan didalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah saw yang maksudnya: “Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas bagi-Nya dan bertujuan mendapat keredaan-Nya”. Tiap amal yang tidak ikhlas kepada Allah swt, maka tidak sampai kepada-Nya, kerana itu tiap amal yang dikerjakan tidak kerana Allah swt dan kerana lain-Nya, maka Allah swt lepas tangan daripadanya.

Ikhlas bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Tidak semua orang boleh mencapai tahap keikhlasan . Sesungguhnya amat payah bagi seseorang untuk membebaskan diri daripada runtunan nafsu yang meluap-luap samada zahir atau bathin yang memang tersembunyi didalamnya. Memang menjadi lumrah manusia suka kepada habuan dan pujian. Oleh itu setiap individu muslim mestilah mendisiplinkan diri dan berusaha keras untuk melawan pelbagai tipu helah syaitan yang sentiasa melakukan rancangan jahatnya untuk memesongkan niat seseorang.

Maka untuk mencapai keikhlasan yang tulin, tiap amalan hendaklah dilakukan dengan niat yang suci dan mujahadah yang berterusan, kerana akan menempuhi berbagai godaan nafsu dan syaitan. Jika ada niat yang bercampur aduk adalah dikhuatiri amalan tadi tidak diterima oleh Allah saw. Dan rugilah seseorang yang melakukan amalan tidak ikhlas. Apalah ertinya amalan yang telah dilakukan dengan susah-payah sedangkan ianya tidak dipandang dan tidak diterima oleh Allah swt dan ia menjadi amal yang sia-sia saperti firman-Nya yang bermaksudnya: “Dan Kami periksa segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan”... Surah al-Furqan (25): ayat 23.

Allah swt memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sapertimana firman Allah swt yang bermaksudnya: Katakanlah: “ Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. Dan (katakanlah): “Luruskanlah muka (diri) mu disetiap shalat dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan keta’atanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah) kamu akan kembali kepadaNya”… Surah al-A’raaf (7): ayat 29.

Dalam Surah Yunus (10): ayat 105, Allah berfirman, yang maksudnya: “dan (aku telah diperintah): Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik” ... Surah Yunus (10): ayat 105. Berkata Ali bin Abu Talib k.a.w. “Jangan susah hati kerana amal yang sedikit, tetapi usahakanlah agar amal yang sedikit itu diterima oleh Allah swt”.

Rasulullah saw telah bersabda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Ikhlaskan amal itu, cukuplah walaupun sedikit”. Sesungguhnya amal yang sedikit dengan ikhlas lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak ikhlas, sebab amal yang diterima oleh Allah swt dilipatgandakan pahalanya serta mendapat balasan baik dari Allah swt saperti firman-Nya yang bermaksudnya: “Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (yaitu) surga yang mengalir sungai-sungai didalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan (yang ikhlas keimanannya)”... Surah al-Maidah (5): ayat 85.

Dan lagi firman-Nya yang bermaksud “Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar” … Surah An-Nisaa’ (4): ayat 146.

Dan lagi firman-Nya yang bermaksudnya: “Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha kearah itu dengan sungguh-sungguh serta ikhlas sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik” ... Surah al-Israa’ (17): ayat 19.

Adapun amal yang tidak ikhlas maka tidak ada pahalanya dan tempatnya adalah dalam neraka jahannam seperti firman Allah swt, maksudnya: “Siapa yang menginiginkan dunia dengan amalnya, Kami berikan kepadanya dari kekayaan dunia bagi siapa Kami kehendaki kebinasaanya, kemudian Kami masukkan ia ke dalam neraka jahannam sebagai seorang terhina dan terusir jauh dari rahmat Allah sw” … Surah al-Israa’ (17): ayat 18.

Oleh kerana itu untuk melengkapkan diri dengan ikhlas mestilah terlebih dahulu mematahkan dorongan-dorongan hawa nafsu dan membersihkan diri dari perasaan tamak kepada dunia disamping menyediakan diri untuk menempa faedah-faedah akhirat sehingga perhatian terhadap akhirat itu menguasai hati kita.

Kita hendaklah sentiasa memeriksa dan memperhatikan diri kita dengan penuh teliti agar amalan-amalan yang kita usahakan itu benar-benar untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata dan tidak sekali-kali untuk mempersekutukan sesuatu dengan Allah swt. Firman Allah swt yang maksudnya: “dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatau dengan Dia. Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh” ... Surah al-Hajj (22): ayat 31.

Orang yang ikhlas ialah orang yang menyembunyikan perbuatan baiknya sebagaimana menyembunyikan kejahatannya. Mengikut ulama, ikhlas ini ada tiga peringkat. Pertama dengan niat “Aku melakukan amal pekerjaan ini semata-mata kerana Allah swt”. Ini adalah tingkatan ikhlas paling rendah.  Kedua dengan niat “Allah swt lah yang membolehkan aku melakukan amal pekerjaan ini”. Ketiga dengan niat “Allah swt lah yang mengaturkan segala-galanya untuk aku. Aku sesungguhnya tidak berdaya melakukan sesuatu apapun”. Ini adalah tingkatan ikhlas paling atas.

Benteng amal itu ada tiga; pertama, harus merasa bahawa itu hidayah dan taufiq dari Allah swt (untuk mematahkan rasa ujub), kedua, harus niat untuk mendapatkan ridho Allah swt (untuk mematahkan hawa nafsu), ketiga: Harus mengharap pahala dari Allah swt (untuk menghilangkan rasa tamak, rakus dan riya’).

Diantara tanda-tanda sesuatu amal atau perbuatan itu adalah ikhlas dan diterima oleh Allah swt adalah yang pertama, seseorang yang benar-benar ikhlas takut untuk menjadi terkenal kerana bimbang kesan dan pengaruhnya terhadap diri dan agama. Ibrahim bin Adham seorang tokoh zuhud ada berkata: “Orang yang mengejar kemashuran memang tidak jujur dengan Allah swt”. Kemashuran itu sendiri tidak tercela, tetapi yang tercela ialah perbuatan orang yang mengejar kemashuran, gila kemegahan dan rakus untuk mendapatkan kemuliaan.Sebab itu seorang yang ikhlas sentiasa ingat dan yakin bahawa Allah swt tidak melihat rupa wajah, tetapi melihat hakikat yang terdapat di dalam hati seseorang. Ini dinyatakan oleh Rasulullah saw sebagaimana sabdanya yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu”

Yang kedua, orang yang ikhlas setiap masa akan menyalahkan dirinya apabila ia lalai dan cuai dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah swt. Hatinya tidak dikuasai oleh rasa riya’ dan ujub terhadap sebarang kebaikan yang pernah dilakukan. Sebaliknya ia sentiasa merasa bimbang jika amalannya tidak diterima dan dosanya tidak diampunkan oleh Allah swt. Cuba renungkan kisah seorang yang soleh yang menangis ketika sakit tenat, orang yang menziarahinya bertanya: “Bukankah tuan telah berjuang, berpuasa, bersolat malam, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan memberi tazkirah” beliau menjawab: “Bagaimana saya hendak tahu samada amal saya itu diterima atau ditolak oleh Allah swt”.

Yang ketiga, orang yang ikhlas suka melakukan amal bakti kepada masyarakat dengan cara yang senyap, tidak suka disebut-sebut. Mereka tidak mahu dikenali dan diketahui. Amal mereka umpama asas bangunan yang kukuh didalam bumi. Orang mungkin boleh melihat kecantikan bangunan tersebut yang tersergam indah tetapi tidak dapat melihat asasnya yang menjadi pasak dibumi.

Yang keempat, orang yang ikhlas tidak akan dahagakan pujian manusia kerana ia menyedari hakikat sebenar tentang dirinya. Sebaliknya jika diberikan pujian atau gelaran, mereka tidak pula mudah terpesona, tertipu atau menjadi angkuh, sombong dan membesar diri.

Yang kelima, orang yang ikhlas sentiasa istiqomah dalam segala amalnya asalkan mendapat keredaan Allah swt. Mereka melakukannya tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagi pengikut, sama ada bersendirian atau berkumpulan, mereka tetap istiqomah dalam usahanya sebagaimana yang dituntut oleh Allah swt dengan firman-Nya yang bermaksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu hal saja, yaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kamu fikirkan (tentang Muhammad) tidak ada penyakit gila sedikitpun pada kawanmu itu. Dan tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras” ... Surah Saba’ (34): ayat 46.

Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata: “Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tidur, kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur dihujung tanduk”.

Marilah kita sama-sama menghayati sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Hurairah yang bermaksud:

“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bahawasanya apabila hari kiamat maka Allah akan menghukum di antara semua makhluknya dan diantara semua makhluk-makhluk tersebuat golongan pertama yang dipanggil ialah orang yang mengerti dan hafaz al-Qur’an, dan orang yang mati sahid, dan orang yang berharta. Maka Allah swt bertanya kepada orang yang pandai al-Qur’an: “Tidakkah Aku telah mengajarkan kepadamu apa yang Aku turunkan (al-Qur’an) kepada utusanKu (Nabi Mohammad saw)?. Jawab orang itu: “Benar ya Tuhanku. Allah swt bertanya lagi: “Lalu apa yang engkau buat dengan ilmu al-Qur’an yang telah engkau ketahui ?. Jawabnya: Saya telah mempelajarinya diwaktu malam dan mengajarkannya diwaktu siang. Firman Allah swt: “Dusta engkau”, malaikat juga berkata: “Dusta kau, sebaliknya engkau hanya ingin disebut seorang Qari dan hafaz dalam al-Qur’an dan sudah dikatakan sebegitu”

Lalu dipanggil orang yang berharta dan ditanya : “Engkau telah berbuat apa dengan harta yang Aku berikan kepadamu?”. Jawabnya: Aku telah gunakan untuk membantu ahli keluarga dan bersedekah. Dijawab oleh Allah swt: “Dusta engkau”. Juga para Malaikat berkata: “Dusta engkau, kau berbuat itu hanya ingin disebut seorang yang dermawan dan sudah terkenal sedemikian itu”.

Lalu dihadapkan orang yang mati sahid dan ditanya: “Kenapa engkau terbunuh?”. Jawabnya: Saya telah berperang untuk menegakkan agamaMu sehingga terbunuh. Allah swt berfirman: “Dusta engkau”, dan malaikat juga berkata: “Dusta engkau, kau hanya ingin disebut pahlawan yang gagah berani dan sudah disebut yang sedemikian”.


Kemudian Nabi saw memukul lututku sambil bersabda: “ Hai Abu Hurairrah r.a., ketiga-tiga orang itulah yang pertama-tama yang dibakar dalam api neraka pada hari kiamat”.

Apabila berita tersebut sampai kepada Mu’awiyah maka ia menangis dan berkata: Benar Firman Allah swt dan Rasulullah saw kemudian membaca ayat 15 & 16 Surah Hud yang bermaksudnya: “Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka didunia itu tidak akan dirugikan (15). Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan (16)” … Surah Huud (11): ayat 15-16.

Demikianlah balasan orang berbuat amal tetapi tidak ikhlas kerana Allah swt, maka balasannya adalah api neraka.

Wallahu A’lam

Rujukan
1. Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahannya.
2. Shahih Muslim, Edisi Terjemahan, Ma’mur Daud, Klang Book Centre.
3.  Bimbingan Mukmin, Edisi Terjemahan, Syed Ahmad, Pustana Nasional, Singapore.
4.  Mencapai Maqam Shiddiqun & Rabbaniyun, Sa’id Hawa, Edisi terjemahan, Imran Affandi, Pustaka Dini Sdn Bhd, 2001).
5.  Hadith 40 Imam Nawawi, Edisi terjemahan, Mustafa Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 1996
6.  Pengantar Dakwah Islamiah, Ab. Aziz Mohd Zin, Penerbit UM, 1999.
7.  Peringatan Bagi Yang Lupa, Abullaits Assamarqandi, Edisi terjemahan, H. Salim Bahreisy, PT Bina Ilmu, Jakarta, 1977).

No comments:

Post a Comment