Friday 4 April 2014

Kembara Bumi Acheh : Hari Ketiga


Hari ketiga jadualnya agak padat, jadi jam 8.00 pagi En. Nazir sudah sampai di hotel. Daripada Hotel Sulthan, En. Nazir terus membawa kami ke Komplek Muzium Negeri Acheh yang terletak di Jalan Sultan Alaidin Mahmud Syah, Banda Acheh.

1) Komplek Muzium Negeri Acheh

Komplek Muzium Negeri Acheh ini dulunya adalah rumah tradisional Acheh yang telah dibina oleh Governer Belanda H.N.A. Swart pada tahun 1914.

Kami masuk ke Komplek Muzium melalui satu pintu gerbang yang berbumbung rumah Acheh Tradisional (gambar atas kiri). Didalam Komplek Muzium Negeri Acheh terdapat tiga pusat tumpuan iaitu ruang pameran utama (gambar kanan atas), rumah tradisional Acheh (gambar kanan bawah) yang juga disebut sebagai Rumoh Acheh dan tidak kurang menariknya ialah Loceng Cakra Donya (gambar atas sebelah kanan tengah) yang telah dibawa oleh Laksamana Cheng Ho pada tahun 1414 sebagai hadiah kepada Ratu Nahrisyah yang memerintah Kerajaan Samudera Pasai antara tahun 1416 hingga 1428.

Tarikan kedua ialah Rumoh Acheh yang terletak dibahagian tengah komplek muzium. Untuk masuk ke Rumoh Acheh dikenakan bayaran sebanyak 3,000 rupiah seorang dan kami adalah pengunjung pertama pada pagi itu.


Didalam Rumoh Acheh (gambar atas tengah) terbahagi kepada beberapa bahagian seperti ruang tamu (gambar atas sebelah kiri atas), bilik pengantin (gambar atas sebelah kanan bawah), balai persembahan (gambar atas sebelah kiri bawah) dan juga bilik beradu (gambar atas sebelah kanan tengah).


Antara barang yang dipamerkan di dalam Rumoh Acheh adalah gambar Pahlawan Nasional seperti Teuku Umar (gambar atas paling kiri), Teungku Chik Ditiro (gambar atas kedua dari kiri), Teuku Nyak Arif (gambar atas ketiga dari kiri) dan Cut Nyak Dhien (gambar atas kedua dari kanan).
 

 Disamping gambar pahlawan nasional, songkok Acheh, barangan tembikar lama, peralatan upacara yang diperbuat daripada tembaga serta lampu hiasan juga di pamerkan di Rumoh Acheh.
 

Selesai di Rumoh Acheh, kami bergerak ke ruang pameran utama di bangunan sebelah. Masuk sahaja ke dewan pameran, aku terkejut melihat seekor anak kambing berkepala dua yang telah diawetkan dan disimpan diruang pameran. Sesungguhnya kejadian aneh dan ajaib seperti itu harus memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita agar kembali ke jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Barangan lain yang dipamerkan anatarnya ialah kitab-kitab kuno (gambar atas sebela kiri atas) dengan tulisan tangan, senarai kesultanan Kerajaan Acheh Darussalam (gambar atas tengah), senjata-senjata (gambar atas sebelah kanan) yang digunakan oleh pahlawan Nasioanl semasa perang Acheh menentang Belanda, keranda dan juga batu nisan untuk keluarga diraja.


2) Makam Kandang Meuh

Makam Kandang Meuh terletak bersebelahan dengan Komplek Muzium Negeri Acheh. Ia merupakan permakamam para raja dan Sultan Acheh yang pernah berkuasa pada abad ke-18.
 

Antara yang dimakamkan disini ialah makam no. (1) ialah Putri Raja anak Raja Bangka Hulu, makam no. (2) ialah Sultan Alauddin Mahmudsyah yang menjadi sultan antara tahun 1760 hingga tahun 1764. Makam no. (3) ialah Raja Perempuan Darussalam dan makam no. (4) ialah Tuanku Zainal Abidin


3) Makam Sultan Iskandar Muda

Lokasi Makam Sultan Iskandar Muda hanya bersebelahan dengan Makam Kandang Meuh. Kami hanya berjalan kaki untuk kesana.


Sultan Iskandar Muda merupakan tokoh penting dalam sejarah Aceh. Semasa pemerintahannya antara tahun 1607 hingga 1636, Aceh berada pada puncak kejayaan dalam berbagai bidang sehingga mampu menempatkan kerajaan Islam Aceh di peringkat kelima di antara kerajaan terbesar Islam di dunia pada awal abad ke-17 Masehi.  Kerajaan di bawah pimpinannya juga telah berjaya melemahkan kuasa Portugis di Melaka dan meluaskan pengaruhnya sehingga ke Sumatera dan Semenanjung Melayu. Sultan yg bergelar Meukuta Perkasa Alam ini mangkat pada 27 Disember 1636.


4) Pendopo (Istana Governor)

Destinasi ke empat pagi itu adalah Pendopo (Istana Governor). Walaupun terletak bersebelahan Makam Sultan Iskandar Muda tetapi kami terpaksa berjalan kaki menyusuri Jalan Sultan Alaiddin Mahmud Syah kerana pintu masuk (gambar bawah sebelah kiri tengah) ke komplek istana terletak dibahagian belakang.


Pendopo (Meuligoe) telah dibina oleh Pemerintah Belanda pada tahun 1880 di atas bekas tapak Istana Kerajaan Kesultanan Acheh yang telah dibakar oleh Belanda. Pendopo dijadikan tempat kediaman rasmi Governor Belanda. Kini bangunan tersebut menjadi kediaman rasmi Governor Nanggroe Acheh Darussalam (NAD).

Gambar atas sebelah tengah atas merupakan bahagian depan Pendopo, manakala gambar dikanannya adalah balai ketibaan, gambar atas bahagian bawah kiri adalah rumah para pekerja, gambar atas bahagian bawah tengah adalah bangunan pentadbiran dan gambar atas bahagian bawah kanan adalah Balai Budaya Cut Nyak Dhien.


5) Pinto Khop (Taman Putroe Phang)

Sementara menunggu En. Nazir yang katanya perlu pergi berjumpa dengan pensyarahnya kerana urusan tugasan pengajiannya, kami sekali lagi berjalan menyusuri Jalan Sultan Alaiddin Mahmud Syah untuk ke Pinto Khop. Setelah penat berjalan, akhirnya kami sampai juga ke kawasan Taman Putroe Phang yang terdapat Pinto  Khop di dalamnya

Mengikut cerita sejarah, Pintu Khop dibina oleh Sultan Iskandar Muda untuk permaisurinya iaitu Putroe Phang sebagai tempat beristirehat selepas mandi manda dikolam (gambar atas sebelah kiri bawah) yang mengelilingi Pinto Khop. Ia berbentuk pintu gerbang yang berkubah (gambar atas sebelah kanan bawah) dan dihubungkan dengan pintu masuk Taman Putroe Phang melalui sebuah jambatan gantung (gambar atas tengah). Juga terdapat sebuah perpustakaan dan kamar kecil untuk kemudahan pengunjung. Keseluruhan kawasan tersebut dilingkungi dengan pagar dan di kenali sebagai Taman Putroe Phang.


6) Taman Sari Gunongan

Tidak jauh dari Taman Putroe Phang, terdapat sebuah lagi taman yang dibina oleh Sultan Iskandar Muda yang dikenali sebagi Taman Sari Gunongan. Aku tidak mahu ketinggalan melihatnya walaupun tiga lagi rakan kepenatan dan tersadai di Taman Putroe Phang.


Gunongan ialah sebuah binaan yang berbukit-bukit, dan menjadi tempat kegemaran Putroe Phang. Mengikut cerita sejarah, Putroe Phang iaitu putri Sultan Pahang selalu merasa rindu akan kampung halamannya di Pahang, Malaysia. Sultan Iskandar Muda yang mengetahui kerinduan permaisurinya telah membangun taman sari ini dan membina binaan menyerupai bukit-bukit yang terdapat di Pahang.


7) Keerkhof (Kuburan Belanda)

Setelah beberapa kali menalifon, akhirnya En. Nazir muncul dan terus membawa kami ke Situs Cagar Budaya Keerkhof atau Kuburan Belanda yang terletak di Jalan Sultan Iskandar Muda.


Keerkhof atau Kuburan Tentara Belanda ini adalah yang terbesar di Aceh.  Ia menempatkan tentera-tentera Belanda yang mati semasa bertempur dengan Pahlawan-pahlawan Acheh.Sekitar 2200 tentara Belanda termasuk 4 orang berpangkat jenderal telah ditanam disini semenjak tahun 1883 hingga 1940an. Nama-nama mereka yang di tanam disini dicatatkan di depan gerbang masuk. Keerkof atau Kuburan Belanda ini juga dikenali sebagai "Monumen Perang Peutjoet”.


8) Makam Meurah Pupok

Makam Meurah Pupok iaitu anak kepada Sultan Iskandar Muda terdapat di tengah-tengah Perkuburan Belanda Keerkhof.


Dikisahkan, Sultan Iskandar Muda (1607-1636) memiliki dua orang putera/puteri. Salah satunya bernama Meurah Pupok yang berperangai buruk dan gemar menunggang kuda. Satu hari ketika dia sedang berasmara dengan isteri orang, dia telah ditangkap oleh suami perempuan tersebut dirumah mereka. Suami perempuan tersebut dengan perasaan marah telah membunuh isterinya dan kemudiannya melapurkan kejadian tersebut kepada Sultan Iskandar Muda. Lelaki tersebut kemudiannya membunuh diri dihadapan Sultan.

Sultan Iskandar Muda seorang sultan yang terkenal dengan keadilannya dan di hormati seluruh rakyatnya pergi mendapatkan anaknya iaitu Meurah Pupok lalu memancungnya dihadapan orang ramai.  Jasadnya telah dimakamkan di satu kawasan tanah lapang ditepi Jalan Sultan Iskandar Muda. Daripada peristiwa tersebut timbullah ungkapan kebanggaan orang Aceh iaitu Adat bak Po Temeuruhoom, Hukom bak Syiah Kuala yang lebih kurang maknanya “Biar mati anak, jangan mati adat” kerana mati anak ada kuburnya tetapi mati adat tiada tandanya.

Apabila Belanda berjaya menakluki Acheh pada tahun 1883, tentera-tentera Belanda yang mati sepanjang perang menentang Acheh dan selepas daripada itu telah ditanam disekitar Makam Muerah Pupok. Lama-kelamaan kawasan tersebut dipenuhi dengan kubur tentera Belanda yang menjadikan seolah-olah Makam Meurah Pupok berada ditengah-tengah Keerkhof.


9) Masjid Baitul Musyahadah (Teuku Umar)

Terharu dengan kisah Meurah Pupok, kami beredar untuk ke sebuah masjid yang mempunyai kubah yang unik. Masjid yang dinamakan Baitul Musyahadah juga dikenali dengan nama Masjid Meukeutop terletak dijalan Teuku Umar, Setui, Banda Aceh.
 

Disebut Masjid Meukeutop kerana kubahnya menyerupai topi tradisional Aceh yang biasa di gunakan oleh raja dan sultan-sultan serta bangsawan Aceh masa dulu. Juga lebih dikenali sebagai Masjid Teuku Umar kerana Pahlawan Nasional Acheh itu selalu memakai kupiah Meukeutop semasa hayatnya.
 

Melihat bahagian dalam masjid, diruang mihrab masjid juga terdapat bentuk meuketob (gambar atas tengah) dan mempunyai ruang solat yang luas pada tingkat bawah dan atas.


10) Rumah Panti Asuhan Anak Yatim

Lawatan sebelah pagi di akhiri di Rumah Panti Asuhan Anak Yatim yang terletak di no. 5, Jalan Glee Gurah, Banda Acheh. Rumah asuhan anak yatim tersebut diuruskan oleh Yayasan Islam Media Kasih.


Tuan Haji Rojalai berkesempatan bergambar bersama-sama penolong pengurus Rumah Panti Asuhan tersebut yang menampung lebih kurang empat puloh orang anak yatim.



Aku sebagai mewakili rombongan telah menyampaikan 800,000 rupiah kepada pengurus Rumah Panti Asuhan hasil sumbangan ikhlas daripada kami berenam.



11) Kapal Nelayan Atas Rumah

Selepas makan tengah hari di satu restoran di Kampung Lampulo, Kecamatan Kuta Alam, Banda Acheh, kami singgah di lokasi Kapal Nelayan yang tersangkut di atas rumah semasa kejadian tsunami 26 Disember 2004.
 

Kapal atas rumah ini telah dijadikan salah satu Warisan Tinggalan Tsunami dan dikunjungi oleh ramai orang. Gambar atas kecil sebelah kiri menunjukkan keadaan asal kapal nelayan tersebut yang tersadai di atas sebuah rumah selepas tsunami. Pihak pemerintah Acheh telah membina beberapa struktur besi dan laluan menaik (gambar atas sebelah kanan atas) hingga menyamai paras kapal untuk memudahkan pengunjung melihat lebih dekat bahagian dalam kapal. Dibahagian bawah kapal telah dibina tiang konkrit (gambar atas sebelah kiri bawah) untuk menguatkan lagi struktur sedia ada bagi menampung bebanan kapal tersebut untuk jangka panjang. Semasa kejadian gempa dan tsunami 2004, lebih 500 orang penduduk Kampung Lampulo telah terkorban.



12) Makam Syiah Kuala

Seterusnya kami menuju ke satu muara sungai di Desa Dayah Raya dimana terdapat komplek permakamam di kenali sebagai Makam Syiah Kuala. Sebelum tsunami, gigi laut berada sejauh 100 meter dari bangunan makam, tetapi selepas tsunami ia telah beranjak lebih dekat kepada 50 meter sahaja.
 

Syeich Abdul Rauf bin Ali al-Jawi al-Fansuri al-Singkili dilahirkan di Fansur pada tahun 1591 dan dibesarkan di Singkil. Beliau yang menghabiskan lebih dari 15 tahun di Mekah untuk belajar dan mendedikasikan hidupnya kepada ilmu pengetahuan, merupakan salah seorang ulama besar yang sangat terkenal dan telah menulis banyak buku tentang agama Islam. Beliau telah dilantik menjadi Syeikh Jamiah al-Rahman dan mufti atau kadi dengan sebutan Kadhi Malikul Adil semasa Ratu Safiatuddin memerintah Acheh pada abad ke-17. Beliau telah membuka sebuah perguruan agama Islam yang telah menghasilkan banyak ulama.

 Apabila beliau meninggal dunia pada tahun 1696, jasadnya telah dimakamkan di muara sebuah sungai  di Aceh bersama  makam Teuku Anjong. Gambar atas paling kanan didalam lingkungan besi ditutup kain putih dan berbumbung hijau, disitulah makam Abdul Rauf bin Ali al-Jawi. Disebelahnya adalah makam Teuku Anjong. Makam-makam tersebut telah dikeramatkan oleh orang Aceh sehingga ia dikenali juga sebagai Syeich Kuala atau Tengku di Kuala atau Syiah Kuala. Kuala adalah bahasa Acheh yang bermakna muara sungai. Keilmuannya yang tinggi telah menyebabkan namanya diabadikan pada sebuah unversiti iaitu Unversitas Syiah Kuala.



13) Taman Sultanah Safiatuddin

Daripada Makam Syiah Kuala, kami telah dibawa ke Taman Sultanah Safiatuddin yang terletak di Jalan Muhammad Daud Beureuh, Desa Lampriek, Banda Acheh. Di taman tersebut dibina rumah-rumah adat seluruh wilayah di Acheh iaitu 18 kabupaten dan 5 kota.

 Kami hanya masuk serta meronda taman tersebut tanpa berhenti dan aku sempat juga merakam beberapa buah rumah adat yang terdaya oleh ku. Gambar atas sebelah kiri atas adalah pintu gerbang masuk ke taman, disebelah kanannya adalah pejabat, gambar sebelah kanan paling atas adalah rumah adat Kabupaten Pidie Jaya, dibawahnya rumah adat Kota Subbulassalam dan beberapa rumah adat yang lain.

Setiap empat tahun sekali akan diadakan Pekan Kebudayaan Acheh di Taman ini dan yang terakhir adalah Pekan Kebudayaan Acheh Ke VI yang telah diadakan pada tahun 2013 dimana setiap kabupaten dan kota di Provinsi Acheh telah mengambil bahagian.


14) Benteng Indra Patra

Dalam perjalanan ke destinasi seterusnya, kami merasa haus dan akhirnya kami telah berhenti disebuah warung yang menjual cendol Acheh (gambar bawah paling kiri), minuman yang kami cari-cari sejak dua hari lepas.


Selesai membasahkan tekak, kami meneruskan lagi perjalanan hinggalah kami sampai ke tempat tujuan iaitu Benteng Indra Patra yang terletak di Kecamatan Masjid Raya, Jalan Krueng Raya iaitu lebihkurang 20 km dari Banda Aceh.

Terdapat dua lingkungan benteng, satu dibahagian hadapan dan satu dibelakang berhampiran pantai. Benteng tersebut telah dibina pada masa Kerajaan Hindu Indra Patra untuk mempertahankan diri dari serangan penjajah. Kerajaan Hindu Indra Patra berkuasa di daerah ini sekitar abad ke-12 sebelum kedatangan Islam.


Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636), benteng tersebut juga digunakan sebagai benteng pertahanan dari serangan luar.


15) Makam Laksamana Malahayati

Makam Laksamana Malahayati yang terletak di atas bukit, di Desa Lamreh, Kecamatan Mesjid Raya, Kabupaten Aceh Besar atau lebih kurang 35 kilometer dari Kota Banda Aceh, menjadi destinasi terakhir lawatan kami pada hari ke tiga.


 Oleh kerana makamnya terletak di puncak bukit (gambar atas tengah atas), hanya aku dan dua lagi rakan yang masih berdaya menaiki anak-anak tangga untuk sampai keatas.

Laksamana Keumala Hayati atau lebih dikenali dengan nama Laksamana Malahayati, adalah salah seorang pejuang wanita yang berasal dari Kesultanan Aceh. Pada tahun 1585-1604 beliau merupakan Pemerintah Barisan Pengawal Istana Panglima Rahasia dan Panglima Protokol semasa pemerintah Sultan Saidil Mukammil Alauddin Riayat Syah IV.

Dalam satu peperangan melawan Belanda pada 11 September 1599, beliau telah memimpin lebih 2,000 orang Inong Balee (balu-balu pejuang yang terkorban dalam perang) dan berjaya membunuh Cornelis de Houtman (ketua tentera Belanda) dalam pertempuran di atas kapal Belanda. Di atas keberaniannya, beliau telah diberi gelaran “Laksamana” oleh Sultan Saidil Mukammil Alauddin Riayat Syah IV.

Dalam perjalanan balik ke hotel, kami tidak banyak berbicara kerana masing-masing telah keletihan. Namun sampai di suatu warung yang menjual murtabak Acheh kami singgah sebentar. Warung tersebut dikenali sebagai “Remember CafĂ©”. Oleh kerana dah lama tak pekena roti canai di Restoran Rita Taman Samudra, masing-masing pun order murtabak Acheh. Aku mati-mati ingat macam murtabak kat Malaysia, tertapi sangkaanku meleset.


Murtabak Acheh yang kami sangka macam kat Malaysia rupa-rupanya telur dadar, tetapi itulah yang menjadi rezeki kami petang itu. Selesai minum petang di warung Remember Cafe, kami terus balik ke hotel. Sekali sekala aku tersenyum sendirian bila teringat murtabak telur dadar.

Belumpun jam 8.00 malam, perut kami sudah mulai berkeroncong. Murtabak telur dadar yang kami makan lewat petang tadi tidak mengenyangkan kami. Kami pun bersiap untuk pergi makan malam.


Dalam perjalanan aku terkejut juga apabila sampai disuatu bulatan, sebab disebelah siang tadi bulatan tersebut dipenuhi dengan bendera parti-parti (gambar atas kiri bawah) yang akan bertanding dalam Pilihanraya Dewan Rakyat, tetapi disebelah malamnya bendera-bendera tersebut telah dibersihkan (gambar atas kiri atas). “Tempoh berkempen sudah tamat” begitu kata En. Nazir. Kami terus ke Rex Peunayong untuk makan malam dan aku tidak mahu lagi order murtabak telur dadar.


No comments:

Post a Comment