Tuesday, 23 December 2014

XPDC Makam Wali Songo Dis 2014 - Hari Ke 3: Lamongan & Tuban



XPDC hari ketiga akan menempuhi perjalanan yang jauh. Oleh itu selepas sarapan pagi kami telah bersedia dilobi hotel menunggu Pak Robby.

Tepat jam 8.30 pagi, kami meninggalkan Hotel Grand Sumatera untuk menuju ke Lamongan. Perjalan ke Lamongan mengambil masa hampir 2 jam walaupun jaraknya hanya sekitar 75 km. Di Lamungan kami menziarahi Makam Sunan Drajat yang terletak di Desa Paciran, Lamongan, Jawa Timur.

1)Makam Sunan Drajat

Sunan Drajat dilahirkan pada tahun 1470M dan semasa mudanya dikenali sebagai Raden Qasim. Dia adalah anak Sunan Ampel dengan Nyi Ageng Manila (Dewi Chondrowati), oleh itu banyak menghabiskan masa mudanya belajar ilmu dengan bapanya di Ampel Denta.

Setelah dewasa, ia diperintahkan ayahnya, Sunan Ampel, untuk berdakwah di pesisir barat Gresik. Raden Qasim menumpang perahu nelayan untuk ke Gresik. Di tengah perjalanan, perahunya telah dipukul ombak dan pecah berhampiran daerah Lamongan, sebelah barat Gresik. Sekonyong-konyong datang seekor ikan talang menolongnya sehingga sampai ke Kampung Jelak, Banjarwati. Di sana, Raden Qasim disambut baik oleh ketua kampung bernama Mbah Mayang Madu dan Mbah Banjar.

Raden Qasim kemudian menetap di Jelak, dan berkahwin dengan Kemuning, putri Mbah Mayang Madu. Di Jelak, Raden Qasim mendirikan sebuah surau, dan akhirnya menjadi pesantren tempat mengaji ratusan penduduk. Kampung Jelak kemudiannya berkembang menjadi besar dan namanya berubah menjadi Banjaranyar namun kampung tersebut sering dinaiki air semasa musim hujan.

Selepas tiga tahun, Radin Qasim berpindah ke selatan Jelak, satu kawasan yang lebih tinggi dan mendirikan pesantren untuk mengajarkan agama Islam kepada masyarakat setempat. Perkampungan tersebut dinamakan Desa Drajat dan sempana nama perkampungan tersebut, Radin Qasim dikenali sebagai Sunan Drajat. Beliau menghabiskan sisa hidupnya di Desa Drajat sehingga meninggal dunia pada tahun 1522M.
 


 Kami telah sampai di kawasan Makam Sunan Drajat dan kena berjalan melalui lorong-lorong yang disediakan untuk ke Makam Sunan Drajat.
 


Makam Sunan Drajat ditempatkan didalam bangunan berdinding kayu dan mempunyai pintu yang kecil dan rendah. Semasa kami sampai, beberapa kumpulan sedang berzikir dan berdoa dikeliling bangunan tersebut.



Berhampiran dengan makam,  terdapat sebuah masjid Sunat Drajat yang telah dibina semula menggantikan masjid yang asal dan dirasmikan pada 27 Jun 1993.


2)Muzium Sunan Drajat

Dalam perjalanan keluar, kami singgah di Muzium Sunan Drajat. Muzium tersebut telah dibina oleh  Pemerintah Daerah Tingkat II Lamongan dan dirasmikan oleh Gubernor Jawa Timur pada 1 Mac 1992 bertujuan menyimpan hazanah tinggalan Sunan Drajat supaya dapat di manafaatkan oleh masyarakat akan datang.



Saya dihadapan pintu masuk ke Muzium Sunan Drajat.


Antara tinggalan Sunan Drajat ialah beduk



Walaupun koleksi muzium  tidak terlalu banyak, namun dapat menunjukkan tentang jejak sejarah masa lampau Sunan Drajat dan sejarah Islam di Lamongan  khususnya di daerah Drajat.


Setelah meluangkan masa lebih satu jam menziarahi Makam, Masjid dan Muzium  Sunan Drajat, kami meneruskan perjalanan untuk kedestinasi berikutnya iaitu Makam Syeikh Ibrahim Asmarakandi.


3)Makam Ibrahim Asmarakandi

Kenderaan dipandu agak perlahan kerana suasana di Jalan Tuban – Gresik agak sibuk tetapi akhirnya sampai juga ke kawasan Makam Ibrahim Asmarakandi setelah menempuh jarak lebih kurang 35 kilometer. Makam Ibrahim Asmarakandi terletak di Desa Gresikharjo, Paling, Tuban.

Syeikh Ibrahim Asmarakandi atau nama asalnya Sayyid Ibrahim al-Ghozi berasal dari Samarqand di Daerah Bukhara, Uzbekistan. Mendapat gelaran as-Samarqandy kerana berasal dari Samarqand, namun dikalangan masyarakat Jawa Indonesia memanggilnya Asmarakandi kerana kesukaran menyebut as-Samarqandy.

Sekitar tahun 1379, bapanya Syeikh Jamaluddin Akbar al-Husain telah menghantar Sayyid Ibrahim al-Ghozi untuk berdakwah ke wilayah timur dan tiba di Champa (sekarang Kemboja) dan berjaya mengislamkan Raja Champa. Ibrahim al-Ghozi kemudiannya berkahwin dengan putri raja Champa yang bernama Dewi Chandrawulan. Dewi Candrawulan adalah saudara kandung permaisuri Raja Majapahit ketika itu iaitu Dewi Andorowati. Hasil perkahwinan dengan putri Champa, telah dianugerahkan dua orang anak iaitu Raden Ahmad Ali Murtadho (Raden Santri) dan Raden Ali Rahmatullah (Sunan Ampel).

Selepas 13 tahun berdakwah di Champa, pada tahun 1392 Sayyid Ibrahim al-Ghozi yang kemudian bergelar Syeikh, berhijrah ke Pulau Jawa bersama keluarganya. Rombongan mendarat di Tuban, tempat mereka berdakwah beberapa lama, sampai akhirnya Syeikh Ibrahim al-Ghozi yang kemudian dikenal sebagai Syeikh Ibrahim Asmarakandi jatuh sakit dan meninggal dunia. Jasadnya dimakamkan di Desa Gesikharjo, Palang, Tuban, Jawa Timur.



Kami memasuki pintu gerbang sebelum sampai ke Masjid Ibrahim Asmarakandi. Ketika itu, hampir masuk waktu zuhur dan orang ramai sedang menunggu untuk mendirikan solat zuhur.



Kami mengambil wuduk dan terus ke makam Ibrahim Asmarakandi yang terletak dibahagian kiblat masjid. Keadaan dikeliling makam juga begitu ramai dengan pengunjung. Makamnya terletak didalam bangunan berdinding kayu. Kami amat bertuah kerana telah dibenarkan masuk kedalam bangunan yang hanya dapat menempatkan lebih kurang enam orang sahaja.


 Berdasarkan silsilah keluarga yang tergantung berhampiran makam, Syeikh Ibrahim Asmarakandi merupakan keturunan yang ke 22 dari Nabi Muhammad SAW.



4)Masjid Al-Kahfi, Tuban

Selepas solat jamak zuhur dan asar di Masjid Ibrahim Asmarakandi, kami di bawa pula untuk menziarahi sebuah masjid bawah tanah (masjid dalam gua) yang juga terletak di Tuban lebihkurang 10 km dari Makam Ibrahim Asmarakandi.

Tuban yang masih berada di wilayah Jawa Timur, dikenali sebagai Kota Wali kerana pernah menjadi pusat penyebaran ajaran Agama Islam oleh tokoh-tokoh Islam lampau antaranya Sunan Bonang, Syeikh Ibrahim Asmarakandi dan Sunan Bejagung. Selain dikenali sebagai kota Wali, Tuban juga dikenali sebagai Kota Seribu Goa kerana terdapat banyak gua di pergunungan kapur bahagian utara Tuban.

Salah satu gua yang menjadi terkenal ialah Gua Gedongombo yang terletak ditepi Jalan Gedongombo, Tuban. Menurut satu riwayat, dikhabarkan bahawa seorang kiyai bernama Kiyai Haji Subhan Al-Mubarok berkeinginan untuk mengajarkan ilmu al-quran dan hadis didalam gua sebagaimana turunnya wahyu kepada para nabi-nabi terdahulu. Umpamanya penurunan pertama ayat-ayat suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW adalah semasa baginda berada di dalam gua.

Satu hari, KH Subhan Al-Mubarok  mendapat bisikan ghaib dari Syeikh Maulana Maghribi yang makamnya berada di desa Mancingan, untuk membina pesantren didalam sebuah gua. KH Subhan al-Mubarok mula membersihkan Gua Gedongombo dan kemudiannya membina pesantren dan masjid didalamnya yang meliputi kawasan hampir tiga hektar. Beliau menjadikan tempat tersebut untuk mengajar al-quran dan hadis kepada masyarakat setempat.

Pesantren tersebut dikenali sebagai pesantren Syeikh Maulana Maghribi atau Masjid Dalam Gua atau Masjid Ashabul Kahfi Perut Bumi Al-Maghribi.



Kami masuk kedalam masjid melalui satu pintu gerbang dan berjalan menuruni  laluan ke dalam gua.



Semasa kami masuk, masjid tersebut dipenuhi orang ramai kerana satu kelas pengajian sedang dijalankan, jadi tidak dapat menjejakkan kaki di dewan solat dibahagian tengah masjid.



Kami kemudian keluar melalui lorong dibahagian belakang dan keluar melalui pintu belakang.



5)Makan Tengahari

Atas permintaan ramai, selepas melawat Masjid Dalam Gua Al-Kahfi, kami terus dibawa kesebuah restoran makanan laut kerana ada yang mengidam makan ketam.


Warung Cak Mad Jaya di pekan Tuban menjadi pilihan Pak Robby untuk menjamu kami dengan makan laut. Warung tersebut menyediakan berbagai jenis makanan laut saperti kepiting (ketam) masak gulai, ikan goring, cumi (sotong) goring tepung dan ayam kampung goring.

Masing-masing makan tengah hari dengan penuh selera.


6)Makam Sunan Bonang

XPDC selanjutnya ialah menziarahi makam Sunan Bonang yang terletak hanya 6 km dari warung Cak Mad Jaya. Sunan Bonang atau nama asalnya adalah Raden Makdum Ibrahim. Lahir sekitar tahun 1465 M dari perkahwinan bapanya Sayyid  Ali Rahmatullah (Sunan Ampel) dengan putri dari keturunan Raja Majapahit bernama Dewi Chondrowati (Nyi Ageng Manila). Sayyid Ali Rahmatullah kemudian mendapat gelaran Raden Rahmat.

Sejak muda Raden Makdum Ibrahim belajar agama dalam pelbagai cabang ilmu dari pesantren ayahnya di Ampel Denta. Setelah cukup dewasa, ia bersama Raden Paku (Sunan Giri) telah pergi ke Mekah untuk menimba ilmu daripada ulamak-ulamak besar Mekah. Kemudian beliau berdakwah di berbagai pelosok Pulau Jawa. Mula-mula ia berdakwah di Kediri, yang kebanyakan masyarakatnya beragama Hindu. Di sana ia mendirikan Masjid Sangkal Daha.

Pada tahun 1498M, Sultan Demak iaitu Raden Patah telah melantik Raden Makdum Ibrahim  menjadi imam Masjid Agung Demak. Di bawah pimpinannya masjid Demak segera berkembang menjadi pusat keagamaan dan kebudayaan terkemuka di pulau Jawa. Tetapi beberapa tahun kemudian, dia berselisih pandangan dengan Sultan Demak dan memutuskan untuk mngundurkan diri dari jawatan sebagai imam masjid agung.

Dari Demak, Raden Makdum Ibrahim berpindah ke Lasem, dan memilih desa Bonang sebagai tempat kegiatannya yang baru dan mendirikan tempat pertapaan dan pesantren. Namun dia sering berkunjung ke daerah-daerah terpencil di Tuban, Pati, Madura termasuk Pulau Bawean. Di Pulau inilah, pada 1525 M ia meninggal dunia. Berlaku perebutan jenazah antara murid-muridnya di Pulau Bawean dan Tuban namun akhirnya murid-muridnya dari Tuban telah berjaya membawa pulang jenazah Sunan Bonang dan  dimakamkan di Tuban, di sebelah barat Masjid Agung,

Semasa hayatnya, Sunan Bonang banyak menghasilkan syair sufi mirip Jalaluddin Ar-Rumi didalam menjalankan usaha dakwahnya. Puisi-puisi sufinya berkisar kepada keruhanian dengan ungkapan-ungkapan simbolik menggambarkan kecintaan kepada Allah swt yang disampaikan melalui alunan gamelan Jawa yang telah diubah dengan penambahan intrumen bonang, daripada alunan hindu kepada alunan zikir sufi yang menyentuh hati. Antara syair sufi beliau yang terkenal ialah “Tombo Aati”. Daripada situ Raden Makdum Ibrahim mendapat gelaran Sunan Bonang.

Syair sufi Tombo Ati (Ubat hati).
“Tamba ati iku lima ing wernane. kaping pisan maca quran angen-angen sak maknane. Kaping pindho shalat wengi lakonono. Kaping telu wong kang saleh kancanana. kaping papat kudu wetheng ingkang luwe. Kaping lima dzikir wengi ingkang suwe. Sopo wonge bisa ngelakoni. Insya Allah gusti Allah nyembadani”.

Sampai sahaja berhampiran lokasi parkir, kami terus berjalan kaki agak jauh juga untuk sampai ke kawasan makam.


 Kawasan makam terletak di bahagian kiblat Masjid Agung Sunan Bonang.



Bangunan yang menempatkan makam sudah dikerumuni begitu ramai orang dan kami terpaksa menunggu kumpulan ziarah yang telah selesai berzikir, baru kami dapat mengambil tempat. Makam Sunan Bonang ditempatkan didalam bilik yang berkelambu putih.


 Ini Masjid Agung Sunan Bonang yang agak luas dan kerja-kerja baik-pulih sedang dijalankan.


7)Makan Malam Nasi Bakar

Semasa kami meninggalkan Makam Sunan Bonang, hari sudah agak petang, jadi kami tidak berlengah lagi untuk meneruskan perjalanan menuju Kota Kudus yang jauhnya lebihkurang 150 km lagi.

Selama hampir dua jam duduk didalam kenderaan, kami sudah mulai letih, haus dan lapar. Pak Robby memang sedia maklum, lalu beliau berhenti di satu restoran ditepi jalan besar, Waroeng Pati namanya.
 

Pak Robby mengesurkan agar kami makan nasi bakar iaitu makanan istimewa di restoran tersebut. Nasi tersebut dibungkus dengan daun pisang bersama segala lauk ikut kegemaran masing-masing dan dicampur dengan herba. Bungkusan tersebut kemudiannya dibakar untuk memanaskannya. Rasanya memang  sungguh sedap hingga menjliat jari.

Selepas makan dan berehat sebentar, kami meneruskan perjalanan semula, sedar-sedar kami sudah sampai di hotel penginapan kami di Kota Kudus iaitu Salam Asri Hotel.




No comments:

Post a Comment