Saturday, 20 December 2014

XPDC Makam Wali Songo Dis 2014 - Hari Ke 2: Surabaya & Gresik



Malam pertama di Surabaya agak meletihkan kerana jam 1.00 pagi baru daftar masuk hotel. Pagi itu selepas solat subuh jam 4.00 pagi waktu tempatan, aku tidur semula sementara menunggu waktu sarapan jam 7.00 pagi.


Ini Hotel Grand Sumatera, tempat kami menginap selama dua malam di Surabaya.


Jam 8.00 pagi, kami sudah bersedia untuk memulakan XPDC hari kedua, namun kelibat Pak Robby belum kelihatan. Lebih setengah jam kemudian baru Pak Robby muncul, katanya keletihan, kelmarin jam 4.00 pagi baru sampai di rumah.


1)Komplek Makam Tembakan

XPDC hari kedua bermula dengan menziarahi Komplek Makam Tembakan yang merupakan kawasan makam kuno yang terletak di Jalan Tembaan, Surabaya. Di komplek makam ini terdapat makam Kiyai Sedo Masjid yang merupakan seorang pejuang Islam. Lokasi Makam Tembakan ini merupakan lokasi pertempuran diantara pejuang Islam melawan penjajah Belanda untuk mempertahankan sebuah masjid.



Pada tahun 1772, masyarakat Islam Surabaya telah bergotong-royong membina sebuah masjid di Surapringgo (tapak tugu pahlawan sekarang). Apabila Belanda menjajah Indonesia, mereka mahu merobohkan masjid tersebut untuk membina pejabat pemerintah daerah Jawa Timur dan bangunan mahkamah. Hasrat Belanda untuk merobohkan masjid telah ditentang oleh para ulama dan masyarakat Islam Surabaya termasuk seorang Kiyai bernama Badrun (Nama sebenarnya ialah Sayyid Badruddin). Pertempuran berlaku dengan hebatnya sehingga Kiyai Badrun tertembak dan meninggal dunia.



Untuk mengenang perjuangan Kiyai Badrun, jasad beliau telah di kebumikan disebelah masjid dan masyarakat setempat menggelarnya Kiyai Sedo Masjid yang berarti meninggal dunia kerana mempertahankan masjid. Mengikut silsilah keluarga yang terpampan disisi makam, Sayyid Badruddin merupakan keturunan ke 29 daripada Nabi Muhammad SAW.

Untuk meredakan penentangan dan mengambil hati masyarakat Islam, pihak pemerintah Belanda telah membina sebuah masjid dikenali sebagai Masjid Jamik Kemayoran sebagai ganti kepada masjid yang dirobohkan.

  Ini dia Masjid Jamik Kemayoran yang telah mengalami beberapa kali ubahsuai.



2)Komplek Tugu Pahlawan


Dari Komplek Makam Tembakan, kami hanya perlu menyeberang jalan untuk ke Komplek Tugu Pahlawan. Terletak dikawasan seluas 1.3 hektar, di Jalan Pahlawan, Komplek Tugu Pahlawan dibina sebagai memperingati jasa para pejuang Surabaya yang telah bertempur dengan pasukan bersekutu pada 10hb. November 1945.



Gambar atas … pintu gerbang ke Komplek Tugu Pahlawan (kiri) dan Menara Tugu Pahlawan (kanan).


Di dalam komplek ini terdapat Menara Tugu Pahlawan setinggi 41.15 meter yang mempunyai bentuk paku terbalik, Muzium 10 November dan juga patung presiden pertama Indonesia dan timbalannya iaitu Sukarnoe dan Hatta.



Gambar atas … patung presiden pertama Indonesia (Ir. Sukarnoe) dan timbalannya (Hatta).


Kompleks Tugu Pahlawan ini telah dirasmikan oleh Presiden Ir. Soekarno pada 10 November 1952.



3)Makam Sunan Ampel


XPDC hari kedua di teruskan dan Pak Robby membawa kami untuk menziarahi Makam Sunan Ampel. Kami melalui satu pintu gerbang besar “Kawasan Wisata Religi Sunan Ampel” sebelum sampai ke lorong masuk untuk ke Makam Sunan Ampel.




Pagi itu kami bernasib baik kerana ada tempat parkir berhampiran lorong masuk. Kami berjalan melalui lorong yang padat dengan orang berjualan dikanan-kiri lorong sehingga sampai ke masjid.


Kami berjalan terus sehingga sampai ketempat pendaftaran pengunjung. Setiap ketua rombongan mesti mendaftarkan nama dan memasukkan wang sagu hati kedalam kotak yang disediakan.



Menurut satu riwayat, Sunan Ampel atau nama sebenarnya Sayyid Ali Rahmatullah dilahirkan di Champa (kini Kemboja). Ayahnya ialah Sayyid Ibrahim al-Ghozi (kemudian mendapat gelaran Asmarakandi kerana berasal dari Samarqand) dan dalam usaha dakwahnya ke Asia telah berkahwin dengan putri Raja Champa iaitu Dewi Candrawulan yang merupakan saudara kandung permaisuri Raja Majapahit ketika itu iaitu Dewi Andorowati.  Hasil perkahwinan tersebut, Sayyid Ibrahim al-Ghozi telah dianugerahi dua orang anak iaitu Sayyid Ahmad Ali Murtadho (Raden Santri) dan Sayyid Ali Rahmatullah (Sunan Ampel).

Selepas 13 tahun berdakwah di Champa, pada tahun 1392 Sayyid Ibrahim al-Ghozi telah membawa keluarganya berhijrah ke Pulau Jawa. Mereka mendarat di Tuban, tempat mereka berdakwah beberapa lama, sampai akhirnya Sayyid Ibrahim al-Ghozi yang kemudian dikenal sebagai Syeikh Ibrahim Asmarakandi jatuh sakit dan meninggal dunia. Jasadnya dimakamkan di Desa Gesikharjo, Palang, Tuban, Jawa Timur.

Selepas kematian bapanya, Sayyid Ali Rahmatullah bersama beberapa saudaranya telah pergi ke Trowulan iaitu ibukota Majapahit untuk berdakwah sambil menemui ibu saudaranya iaitu Dewi Andorowati yang juga permaisuri Raja Majapahit. Sayyid Ali Rahmatullah kemudiannya berkahwin dengan putri Raja Majapahit iaitu Dewi Condrowati dan menjadi pembesar Majapahit serta mendapat gelaran Raden Rahmat.

Raden Rahmat telah memperkenalkan falsafah Moh Limo dalam menjalankan dakwahnya. Falsafah Moh Limo (tolak 5 perkara ) iaitu Moh Main (tidak mahu berjudi), Moh Ngombe (tidak mahu minum arak), Moh Maling (tidak mahu mencuri), Moh Madat (tidak mahu merokok/hisap candu) dan Moh Wedon (tidak mahu main perempuan). Falsafah Moh Limo diperkenalkan kerana ketika itu masyarakat dan pmbesar negeri suka bermain perempuan, minum arak dan berjudi.

Raden Rahmat telah dianugerahi oleh Raja Majapahit, suatu kawasan yang dikenali dengan Ampeldenta lalu beliau mendirikan pesantren dan masjid sebagai rumah ibadat untuk masyarakat setempat sehingga akhirnya beliau dikenali sebagai Sunan Ampel. Beliau meninggal dunia pada tahun 1478 dan dikebumikan berhampiran masjid tersebut.
 



Gambar atas … (kiri) aku sudah berada di hadapan pintu masuk ke kawasan makam Sunan Ampel. (kanan) Makam Sunan Ampel yang aku curi-curi rakam gambarnya.



Kami bersama-sama membaca doa saperti dibawah diikuti dengan tahlil arwah untuk semua arwah yang terdapat di persekitaran makam khususnya Sunan Ampel.


Kemudian kami beralih ke makam Mbah Bolong dan para Jemaah haji Indonesia yang terkorban dalam peristiwa 4 Disember 1974 di Colombo.



Salah seorang murid Sunan Ampel ialah Mbah Sonhaji. Semasa pembinaan Masjid Agung Sunan Ampel, Mbah Sonhaji diamanahkan untuk menentukan arah kiblat namun ada yang mempertikaikannya. Mbah Sonhaji lalu membuat lubang didinding yang menghadap ke kiblat dan meminta mereka melihat melalui lubang tersebut. Diriwayatkan bahawa mereka telah memperakukan kebolehan Mbah Sonhaji apabila mereka melihat kaabah melalui lubang tersebut. Mbah Sonhaji juga mendapat pujian dari gurunya iaitu Sunan Ampel. Mbah Sonhaji kemudiannya dikenali sebagai Mbah Bolong (bolong bererti lubang).

Disebelah kiri makam Mbah Bolong adalah permakaman para Jemaah haji yang terkorban dalam penerbanan haji dari Surabaya Ke Mekah. Pada 4hb Disember 1974, seramai 182 jemaah haji Indonesia menaiki pesawat Martin Air DC 8 berlepas dari Surabaya untuk ke Mekah dan dijadualkan akan singgah di Colombo untuk mengisi minyak. Semasa hendak mendarat di Colombo dalam keadaan cuaca hujan ribut menyebabkan pesawat tersebut gagal dikawal dan melanggar sebuah bukit. Pesawat terbakar dan meletup menyebabkan kematian kepada semua penumpang dan anak kapal.


Masjid Agung Sunan Ampel yang telah mengalami beberapa kali pembesaran dan ubahsuai.



4)Makan Nasi Bebek


Setelah melakukan solat sunat di Masjid Agung Sunan Ampel, kami meninggalkan kawasan makam Sunan Ampel dan terus di bawa ke Madura untuk makan tengah hari. Perjalanan ke Madura melalui jambatan baru Suramadu yang menghubungkan Jawa Timur dengan Pulau Madura.




Jambatan bertol Suramadu yang mempunyai tiga lorong setiap laluan memudahkan perjalanan ke Madura.



Semasa kami sampai di Rumah Makan Nasi Bebek Sinjay yang terletak di Bangkalan, orang sudah mulai ramai dan terpaksa beratur untuk menempah makanan. Kami makan nasi putih berlauk bebek (itek) goring dan minum air kelapa. Walaupun tidak berkuah, tetapi habis juga satu pinggang dan ada yang minta tambah.


5)Makam Mbah Kholil

Kenyang makan tengah hari, masing-masing mulai mengantuk tetapi belum sempat terlena, kami dimaklumkan telah sampai ke masjid dimana terletaknya makam KH Mbah Kholil.

Kiyai Haji Kholil Bangkalan Madura  atau nama sebenarnya Muhammad Kholil bin Abdul Latif dilahirkan pada 27 Januari 1820 M di Kampung Senenan, Desa Kemayoran, Kecamatan Bangkalan, Kabupaten Bangkalan, ujung Barat Pulau Madura, Jawa Timur.  Beliau merupakan ulama’ keturunan ketujuh dari Sunan Gunung Jati, Cirebon.

Mula mempelajari ilmu keagamaan di Pondok Pesantren Langitan, Tuban, Pesantren Cagaan, Bangil, Psuruan, Pesantren Keboncandi dan beberapa pesantren termasuk di Banyuwangi sebelum pergi ke Mekah pada tahun 1859 untuk mendalamai ilmu agama. Setelah beberapa tahun menimba ilmu daripada beberapa ulama besar Mekah, beliau kembali dan mendirikan pondok pesantren di Desa Cengkebuan berhampiran kampong kelahirannya.


Mbah Kholil terkenal sebagai ahli Fiqh dan pakar ilmu nahu serta sharaf juga terkenal sebagai seorang yang mempunyai karomah. Antara anak muridnya yang terkenal ialah KH Hasyim Asy’ari iaitu pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jombang yang juga pengasas Nahdlatul Ulama.




Ini Masjid Makbarok Martajasah Bangkalan dimana makam Mbah Kholil disemadikan disebelah kanan mimbar bahagian kiblat masjid.


Makam Mbah Kholil sentiasa dikunjungai rami orang setiap hari. Semasa kami sampai, beberapa buah bas telah sedia ada dan ramai rombongan sedang bertahlil dan membaca doa. 



Setelah kami selesai solat qasar dan jamak zohor asar, kami pula mengambil tempat untuk menghadiahkan tahlil dan doa kepada almarhum KH Mbah Kholil.



6)Permata Tanggulangin.


Dari Madura, kami berpatah balik ke Sidoarja untuk singgah di kedai barangan kulit Permata Tanggulangin yang memang terkenal di Surabaya.



Kami melalui sebuah pintu gerbang Permata Sidoarjo sebelum sampai ke kedai Permata Tanggulangin.



Memang rambang mata masuk ke kedai Permata Tanggulangin, semuanya barangan dari kulit dijual pada harga potongan 50%. Salah seorang rakan Jemaah pun berbelanja besar di Permata Tanggulangin. Aku sekadar membeli dua dompet kulit untuk lelaki dan tiga dompet kulit untuk perempuan.


7) Makam Sunan Gresik

Semasa kami meninggalkan Permata Tanggulingan, hari sudah semakin petang dan kami terus di bawa menuju ke Gresik untuk menziarahi Makam Sunan Gresik. 

Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa Sunan Gresik atau Maulana Malik Ibrahim adalah cicit kepada Imam Ahmad Shah yang berasal dari Kharsan, Iran yang telah berdakwah ke Gujarat, India.  Anak Imam Ahmad Shah iaitu Jamaluddin Akbar al-Husaini telah berhijrah ke Champa bersama anaknya iaitu Barebat Zaenul Alam. Di Champa, Barebat Zaenul Alam telah berkahwin dengan wanita Champa yang kemudian melahirkan Maulana Malik Ibrahim.

Setelah dewasa dan menguasai ilmu agama Islam yang mendalam, Maulana Malik Ibrahim telah diutus oleh ayahnya untuk berdakwah ke negeri selatan. Pada tahun 1392M (riwayat lain mencatitkan tahun 1380M), rombongan Maulana Malik Ibrahim telah sampai ke Gresik untuk menyebarkan Islam dimana pada ketika itu tanah Jawa masih lagi dalam penguasaan kerajaan Majapahit yang beragama hindu.


Malik Ibrahim mendekati masyarakat dengan penuh hikmah sehingga masyarakat tertarik masuk ke agama Islam dengan sifat keramahannya dan budi bahasa yang tinggi. Disamping berdakwah, beliau juga berniaga dan banyak membantu masyarakat yang miskin dengan mengajarnya cara bercucuk tanam sehingga dikenali dikalangan masyarakat berbagai peringkat di daerah Gresik.

Dalam usaha dakwahnya kepada Raja Majapahit, beliau telah dianugerahi sebidang tanah ditepi kota Gresik walaupun Raja Majapahit tidak memeluk Islam. Ditanah tersebut, Malik Ibrahim telah mendirikan pondok pesantren untuk mengajarkan ilmu kepada masyarakat yang akhirnya kawasan tersebut dikenali sebagai desa Gapura. Maulana Malik Ibrahim meninggal dunia pada tahun 1419M dan makamnya sentiasa dikunjungi oleh mereka yang menghargai uasahanya menyebarkan agama Islam beratus tahun yang lalu.

Ketika kami sampai di kawasan makam, hari sudah gelap namun kawasan tersebut dipenuhi oleh orang ramai yang datang menziarahi pusara Maulana Malik Ibrahim.



Makam Sunan Maulana Malik Ibrahim dikelilingi pagar besi tahan karat dan dijaga rapi.



Disebelah kiri makam telah didirikan sebuah bangunan untuk kegunaan para pengunjung  yang baru dirasmikan pada 19 Oktober 2014.




8)Makam Sunan Giri


Sunan Giri di lahirkan pada tahun 1442M di Blambangan yang diperintah oleh raja beragama hindu dari keturunan raja Majapahit. Ayahnya adalah Maulana Ishak yang ke Gresik dari Samarqand untuk menyebarkan agama Islam. Maulana Ishak juga mempunyai kebolehan dalam bidang perubatan.

Diriwayatkan bahawa putri Raja Blambangan telah jatuh sakit dan tidak sembuh-sembuh sehingga raja telah mengumumkan sesiapa sahaja yang boleh menyembuhkan penyakit putrinya akan dikahwinkan dengannya. Namun tiada seorang pun yang berjaya menyembuhkan penyakit tuan putri. Seorang pembesar negeri telah menyarankan agar Raja Blambangan meminta pertolongan  dengan seorang sakti yang sedang bertapa diatas gunung berhampiran Gresik iaitu Maulana Ishak. Setelah diundang, Maulana Ishak telah pergi berjumpa Raja Blambangan untuk mengubati putrinya dan dengan izin Allah swt penyakit tuan putri telah sembuh. Raja Blambangan kemudian telah mengkahwinkan putrinya yang bernama Dewi Sekardadu dengan Maulana Ishak.

Setelah berkahwin, Maulana Ishak tinggal bersama isterinya disebuah rumah berhampiran istana dan membina sebuah pesantren untuk mengubati penyakit dan mengembangkan Islam kepada penduduk sekitar. Semakin hari semakin ramai yang telah memeluk Islam yang menyebabkan kerisauan kepada raja Balambangan dan mengarahkan tenteranya untuk menyerang Maulana Ishak.


Maulana Ishak tidak melawan dan memaklumkan kepada tentera raja Blambangan bahawa beliau sedia meninggalkan Balambangan asal saja orang yang telah masuk Islam tidak di apa-apakan. Maulana Ishak meninggalkan isterinya yang sedang hamil di Balambangan dan memberitahu kepada masyarakat yang telah beragama Islam bahawa isterinya akan melahirkan seseorang yang akan mengajar mereka tentang Islam. Maulana Ishak kembali ke Gresik dan kemudian berkelana sehingga ke Samudera Pasai.

Perkara tersebut telah diberitahu kepada raja Balambangan yang kemudian mengarahkan agar bayi yang lahir dimasukkan kedalam peti dan dihayutkan kelaut. Peti yang dihanyutkan ke laut telah dijumpai oleh kapal dagang dari Gresik yang dimiliki oleh Nyai Ageng Pinateh, seorang janda kaya yang tidak ada anak. Bayi tersebut dipelihara oleh janda kaya tersebut dan diberi nama Joko Samudra.

Semasa berusia 11 tahun,  Joko Samudra dihantar untuk berguru dengan Sunan Ampel.  Sunan Ampel mendapati Joko Samudra seorang murid yang luar biasa. Ibu angkat Joko Samudra, Nyai Ageng Pinateh memberitahu Sunan Ampel bahawa anaknya itu ditemuai di tengah laut didalam sebuah peti. Sunan Ampel menyarankan kepada ibu angkatnya supaya nama Joko Samudra ditukar kepada Raden Paku.



Ketika berusia 16 tahun, Raden Paku disaran untuk merantau ke Pasai bersama Raden Patah (anak Sunan Ampel) untuk berguru dengan Syeikh Maulana Ishak iaitu bapa Raden Paku sendiri. Setelah berguru dan memperolehi ilmu sehingga ke peringkat tinggi, Raden Paku dan Raden Patah kembali ke Ampel. Kemudiannya Raden Paku membuka sebuah pesantren di atas kawasan tinggi di Gresik. Pesantren tersebut kemudian di kenali sebagai Pesantren Giri yang bermakna kawasan tinggi dalam bahasa sansktrit. Pesantren Giri akhirnya menjadi pusat pemerintahan yang disebut Giri Kedaton dibawah pimpinan Sunan Giri atau Raden Paku.

Makam Sunan Giri terletak diatas kawasan yang agak tinggi dan kami terpaksa menaiki anak-anak tangga untuk sampai ke atas.



Di atas tangga terdapat satu pintu gerbang sebelum memasuki ke kawasan permakaman.



Makam Sunan Giri dipagar dengan dinding kayu berukir dengan pintu kecil dan rendah supaya setiap pengunjung yang masuk akan menundukkan kepala sebagai tanda hormat kepada Sunan Giri. Dilarang mengambil gambar didalam dinding kayu berukir tersebut.



Disebelah kanan kawasan permakaman, terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Besar Ainul Yaqin Sunan Giri.

Kami mendirikan solat jamak maghrib dan isyak di dalam masjid tersebut sebelum menuruni anak-anak tangga untuk ke destinasi seterusnya.

Kami sepatutnya singgah di Masjid Agung Gresik, tetapi kerana waktu sudah agak lewat, aku hanya berhenti ditepi jalan untuk merakam gambar masjid Agung Gresik.




Gambar atas … (kiri) masjid pada waktu malam, (kanan) masjid pada waktu siang.



Kami kemudian dibawa untuk menikmati makanan khas Gresik iaitu Nasi Krawu di kedai makan Bu Timah.



Ini dia Nasi Krawu iaitu nasi putih berlauk daging hiris goring, paru goring, serunding kelapa dan paes ikan sebagai menu makan malam kami … sungguh menyelerakan.



No comments:

Post a Comment