Sunday, 11 January 2015

XPDC Makam Wali Songo Dis 2014 - Hari Ke 4: Kudus, Gunung Muria, Demak & Semarang



Malam itu aku tidak dapat tidur dengan sempurna, mungkin bilik tidurnya agak kecil dan kurang selesa ditambah hari sebelumnya telah menempuh perjalanan yang jauh.


Jam 8.00 pagi kami semua telah siap sarapan pagi dan bersedia untuk melanjutkan EPDC seterusnya. Sebelum kami meninggalkan hotel penginapan kami Salam Asri Hotel, kami sempat merakam gambar sebagai kenangan.


1)Makam Sunan Muria

Dari Hotel Salam Asri, kami dibawa terus untuk menziarahi makam Sunan Muria yang terletak di Desa Colo, Gunung Muria  lebih kurang 18 kilometer dari hotel penginapan.

Sunan Muria atau nama asalnya ialah Raden Umar Syahid adalah salah seorang dari tiga anak Sunan Kalijaga dengan Dewi Saroh. Dua orang lagi anak Sunan Kalijaga dengan Dewi Saroh ialah Dewi Rukayah dan Dewi Sofiah. Semasa kecil, Sunan Muria juga dikenali sebagai Raden Prawoto. Dewi Saroh adalah adik kepada Sunan Giri dan mereka adalah anak-anak Maulana Ishak dengan Dewi Sekardadu. Diriwayatkan bahawa Raden Umar Syahid lahir dalam abad ke-15.

Semenjak dari kecil, Raden Umar Syahid mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari ilmu keagamaan. Setelah dewasa, Raden Umar Syahid telah bernikah dengan Dewi Sujinah iaitu adik Ja’afar Sodiq (Sunan Kudus). Dewi Sujinah dan Raden Amir Haji adalah anak-anak kepada Sunan Ngudung (Raden Usman Haji) dengan Dewi Syarifah Ruhil. Perkahwinan Raden Umar Syahid dengan Dewi Sujinah telah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Pangeran Santri yang kemudiannya dikenali sebagai Sunan Ngadilangu.

Diriwayatkan juga bahawa Sunan Muria telah berkahwin dengan Dewi Roroyono iaitu anak kepada gurunya Ki Ageng Ngerang. Dewi Roroyono telah diculik oleh  Adipati Pathak Warak selepas satu majlis kesyukuran kelahiran yang ke 20 Dewi Roroyono. Ki Ageng Ngerang telah mengumumkan sesiapa yang dapat membawa balik Dewi Roroyono, maka ia akan dikahwinkan dengannya.  Sunan Muria dengan pertolongan Kapa dan Gentiri iaitu adik seperguruan, telah berjaya membawa pulang Dewi Roroyono. Ki Ageng Ngerang telah mengkahwinkan Sunan Muria dengan Dewi Roroyono.

Raden Umar Syahid merupakan seorang sufi yang zuhud, cintanya kepada Allah swt sangat mendalam, sentiasa berzikir dan berdoa "Ya Tuhan beri aku nur (cahaya) dan tambahkan cahaya itu. Beri aku cahaya di hati, di telinga, di mata, di rambut, daging dan tulang, bahkan di tiap butiran darah serta sel sel syaraf sekalipun". Tugas hariannya adalah mentarbiah dan mengajar ilmu tasawuf kepada anak-anak muridnya.

Di dalam usaha mengembangkan ajaran Islam kepada masyarakat umum, Raden Umar Syahid telah turut menggunakan gamelan dan wayang kulit sebagai media untuk berdakwah. Dan telah dikatakan juga bahawa beliau banyak menghasilkan puisi tradisional Jawa.

Raden Umar Syahid lebih suka tinggal di daerah-daerah terpencil dan jauh dari bandar dan akhirnya menjadikan Desa Colo yang terletak dipuncak Gunung Muria sebagai tempat tinggal dan pusat kegiatan dakwahnya sehingga beliau dikenal sebagai Sunan Muria. Beliau berdakwah dari Jepara, Tayu, Juana hingga sekitar Kudus dan Pati untuk menyebarkan agama Islam. Bergaul dengan rakyat jelata, sambil mengajarkan cara-cara bercucuk-tanam, berniaga dan menangkap ikan kepada rakyat jelata.

Sunan Murian meninggal dunia pada tahun 1551M dan jasadnya dimakamkan di tempat tinggalnya iaitu di Desa Colo, Puncak Gunung Muria. Untuk naik kepuncak yang setinggi 750 meter, terpaksa menaiki beratus anak tangga atau dengan menaiki kenderaan roda dua saperti motosikal dengan bayaran Idr10,000 untuk satu hala. Makamnya sentiasa diziarahi oleh ramai orang setiap hari.



Kami memilih untuk berjalan kaki menaiki tangga untuk sampai ke makam Sunan Muria untuk merasai sendiri laluan yang biasa digunakan oleh Sunan Muria dan anak-anak muridnya untuk naik-turun Gunung Muria.



Sepanjang tangga dari bawah sampai ke atas, terdapat gerai-gerai yang menjual pakaian dan juga gerai makaan di kanan kiri laluan.



Lebih kurang 20 minit kami menaiki anak-anak tangga, kami sudah sampai keatas.



Kami terus berjalan dan menaiki tangga sebelum mendaftar di kaunter pelawat.


Kami berjalan lagi sehingga sampai ke satu pintu gerbang dan kami pun masuk. Di situlah terletaknya makam Sunan Muria yang ditempatkan didalam bilik yang berlangsir kain putih. Ketika itu tidak ramai orang berziarah, jadi kami terus mengambil tempat dan memulakan bacaan tahlil serta doa.


 
Selesai bertahlil dan berdoa, kami berjalan keluar melalui laluan berbeza. Kami juga singgah di Masjid Sunan Muria sebelum berjalan turun.



Kami turun kebawah dengan menaiki ojek iaitu membonceng motosikal dan hanya mengambil lebih kurang 3 minit sahaja untuk sampai kebawah. Dibawah terlalu ramai orang berjualan sehingga dua orang Jemaah terpaksa menyorok didalam salah satu gerai minuman untuk mengelakkan dari diserbu para penjual.


2)Makam Sunan Kudus

Selepas berehat sebentar dikaki dataran Gunung Muria, kami telah dibawa ke destinasi seterusnya iaitu Makam Sunan Kudus.

Menurut satu riwayat, Sunan Kudus atau nama asalnya Ja’afar Sodiq adalah anak  Raden Usman Haji yang bergelar Sunan Ngudung dengan Syarifah Ruhil. Syarifah Ruhil adalah anak Sunan Ampel dengan Dewi Chondrowati.  Ngudung adalah satu daerah Jipang Panolan berhampiran Bandar Blora sekarang. Ja’afar Sodiq dilahirkan lebih kurang tahun 1500an.

Disamping belajar agama kepada ayahnya sendiri, Ja’afar Sodiq juga belajar kepada beberapa ulama terkenal saperti Ki Ageng Ngerang, Sunan Ampel dan Sunan Kalijaga. Kemudian ia berkelana ke berbagai daerah tandus di Jawa Tengah saperti Sragen, Simo hingga Gunung Kidul.

Ja’afar Sodiq juga diriwayatkan berguru dengan Kiai Telingsing seorang ulama dari Negara China bernama Ling Sing yang tinggal di sebuah Daerah Kudus yang terletak diantara sungai Tanggulangin dan sungai Juwana sebelah Jawa Timur. Kiai Telingsing bukan hanya mengajarkan agama Islam malah mengajarkan seni ukir yang indah yang memerlukan ketekunan dan disiplin yang tinggi. Ja’afar Sodiq berguru dan menjadi  murid utama Kiai Telingsing sehingga apabila Kiai Telingsing meninggal dunia, Ja’afar Sodiq telah diangkat menjadi pengganti Kiai Telinsing dan memimpin Daerah Kudus sehingga dikenali sebagai Sunan Kudus.

Sunan Kudus memiliki dua orang isteri iaitu Dewi Rukhail, anak Sunan Bonang dan seorang lagi adalah Putri Adipati Jombang. Dari Dewi Rukhil mendapat seorang anak lelaki bernama Amir Hassan manakala dari putri Adipati Jombang mendapat lapan orang anak.

Masyarakat setempat ketika itu banyak yang beragama hindu dan budha. Untuk mengajak mereka bertukar agama dan memeluk agama Islam bukan perkara yang mudah kerana mereka memegang teguh kepercayaan dan adat-istiadat hindu dari datuk nenek moyang mereka lagi. Namun Ja’afar Sodiq seorang yang pintar dan mempunyai cara tersendiri untuk berdakwah kepada mereka.

Pada suatu hari  Ja’afar Sodiq membeli seekor lembu yang sangat besar dan diikat dihalaman rumahnya. Masyarakat setempat yang beragama hindu telah berhimpun di rumah Ja’afar Sodiq kerana khuatir Ja’afar Sodiq akan menyembelih lembu tersebut sedangkan dalam kepecayaan hindu lembu adalah haiwan suci yang menjadi tuhan mereka. Apabila orang bertambah ramai, Ja’afar Sodiq pun keluar dari rumahnya dan berkata “Wahai saudara-saudaraku yang dihormati dan disayangi, saya melarang saudara-saudari menyakiti apalagi menyembelih lembu. Sebabnya semasa saya kecil, saya hampir mati kehausan lalu datang seekor lembu dan menyusui saya”.

Orang ramai yang berhimpun dihalaman rumah menjadi kagum mendengar cerita Ja’afar Sodiq dan mereka percaya bahawa Ja’afar Sodiq adalah anak tuhan lembu. Kesempatan tersebut telah diambil oleh Ja’afar Sodiq untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat hindu ketika itu. Dalam sesi dakwah yang lain, Ja’afar Sodiq berkata ”Salah satu daripada surah-surah didalam al-Quran juga di namakan Surah Lembu (al-Baqarah)”. Dengan itu penganut agama hindu menjadi semakin tertarik mendengar dakwah Ja’afar Sodiq kerana tuhan mereka disebutkan didalam al-Quran, maka dalam masa yang singkat ramai masyarakat tempatan yang telah memeluk agama Islam.

Apabila masyarakat Islam bertambah ramai, Ja’afar Sodiq pun membina sebuah masjid dengan  pintu gerbang, menara serta binaan lain direkabentuk mengikut budaya hindu saperti yang diterdapat di kuil-kuil hindu. Masjid tersebut kini dikenali sebagai Masjid Menara Kudus.

Ja’afar Sodiq tidak sahaja mengajarkan agama Islam disekitar daerah Kudus, malah sehingga sampai ke Jawa Tengah pesisir utara.  Beliau adalah seorang ulama, guru agama yang terkenal dengan keahliannya terutama dalam Ilmu Tauhid, Usul , Hadits, Sastra Mantiq dan lebih-lebih di dalam Ilmu Fiqih.

Semasa mudanya, Ja’afar Sodiq telah menggantikan bapanya iaitu Sunan Ngudung sebagai Panglima Perang Kesultanan Demak yang telah terbunuh semasa peperangan melawan Adipati Terung dari kerajaan Majapahit yang dipimpin oleh Raden Husain. Pasukan Demak hampir saja menerima kekalahan sebelum dibantu oleh Sunan Kalijaga  dan  Raden Patah dari Palembang dan peperangan dapat dihentikan. Akhirnya peperangan tersebut dimenangi oleh Kesultanan Demak apabila Raden Patah berjaya mempengaruhi adiknya iaitu Raden Husain yang memimpin askar Majapahit. Raden Husain telah bergabung dengan pasukan Kesultanan Demak untuk mengalahkan askar Majapahit.

Semasa hanyatnya, Sunan Kudus pernah menjadi penasehat kerajaan dan ketua hakim Kesulatanan Demak disamping menyandang jawatan panglima perang Kesultanan Demak.

Pada tahun 1550, Sunan Kudus meninggal dunia semasa mengimamkan solat Subuh di Masjid Menara Kudus, dalam keadaan sujud. Jasadnya dimakamkan di bahagian kiblat Masjid Menara Kudus dan sehingga kini sentiasa dikunjungi oleh ratusan orang pada setiap hari.



Ini dia Masjid Menara Kudus, pintu gerbang dan menaranya mempunyai reka bentuk saperti candi-candi hindu.



Pintu gerbang untuk memasuki kawasan makam juga berbentuk candi. 



Makam Sunan Kudus ditempatkan didalam bilik yang dilingkungi dengan kain langsir warna putih.




Kami bersolat jamak zuhur dan asar didalam Masjid Menara Kudus.


3)Restoran RM Sari Rasa

Tiba masa makan, kami dibawa ke satu restoran yang menyediakan masakan asli Daerah Kudus iaitu RM Sari Rasa.



Restoran ini agak terkenal di Kota Kudus kerana ketika kami sampai ramai orang sedang makan tengah hari.



Berbagai menu disediakan. Aku minta nasi putih dengan Garang Asem Jeroan iaitu organ dalaman ayam saperti hati dan pedal. Memang luar biasa rasanya. Seorang rakan minta Garang Asem Cakar Ayam, sekali dibuka semuanya kaki ayam, nasib baik ada menu tambahan iaitu ayam goreng.

Setiap hari kami dapat merasai makanan tradisional tempatan.


4)Makam Sunan Kalijaga

Jalan Radin Sahid, Desa Kadilangu, Demak, 28 km dari Kudus lebihkurang 30 minit sahaja.

Sunan Kalijaga atau nama asalnya Raden Said dilahirkan sekitar tahun 1450M. Raden Said adalah anak pemerintah  Tuban iaitu Tumenggung Wilatikta atau Raden Sahur. Walupun telah memeluk agama Islam, namun Temenggung Wilatikta masih taat kepada pemerintah Majapahit yang beragama hindu dan ia mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat jelata Tuban. Raden Said tidak setuju dengan tindakan bapanya mengenakan cukai yang tinggi sedangkan rakyat sangat menderita kerana musim kemarau yang panjang dan ramai yang dalam keadaan kelaparan.

Sejak kecil Raden Said sudah diperkenalkan kepada agama Islam oleh guru agama Kadipaten Tuban. Walaupun Raden Said anak seorang bangsawan dia lebih menyukai kehidupan bebas, yang tidak terikat dengan adat istiadat bangsawan. Dia gemar bergaul dengan segenap lapisan rakyat dan tidak mengira kedudukan. Oleh itu beliau banyak mengetahui kesusahan yang dialamai oleh rakyat Tuban.

Raden Said berjanji untuk membantu rakyat jelata namun tujuannya telah ditentang oleh ayahnya sendiri. Ini telah menimbulkan kekecewaan di hati Raden Said. Demi untuk membantu rakyat jelata, satu malam Raden Said telah mengambil sebahagian dari harta simpanan kerajaan dan membahagai-bahagikan kepada rakyat jelata tanpa diketahui oleh sesiapa. Setelah Raden Said berbuat demikian beberapa malam, penjaga gudang simpanan menyedari yang harta simpanan semakin berkurangan. Satu intipan telah dibuat dan akhirnya Raden Said telah ditangkap dan dihadapkan kepada bapanya.

Perbuatan Raden Said telah menimbulkan kemarahan bapanya, Temenggung Wilatikta yang menyebabkan bapanya menghalau Raden Said keluar dari istana dan wilayah Tuban. Kerana sayangkan Raden Said, adiknya iaitu Dewi Rasawulan pun ikut keluar dari istana untuk mencari abangnya.

Raden Said meninggalkan Tuban dan mengembara sehingga sampai di wilayah Jatiwangi. Di Jatiwangi Raden Said telah mengambil harta orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin. Satu hari Raden Said telah terserempak dengan Sunan Bonang  yang akhirnya Berjaya menyedarkan Raden Said bahawa perbuatannya itu adalah salah disisi Islam. Raden Said merayu untuk menjadi murid Sunan Bonang dan bersetuju dengan segala syarat yang ditetapkan. Sunan Bonang lalu memacakkan tongkatnya ditepi sungai dan meminta Raden Said menjaganya sehingga ia kembali semula. Raden Said pun menjaga tongkat tersebut dan dia tertidur untuk beberapa tahun sehingga kawasan tersebut dipenuhi dengan semak samun.

Selepas beberapa tahun, Sunan Bonang datang semula dan membangunkan Raden Said serta membawanya ke Tuban dan mengajarnya ilmu agama peringkat tinggi sehingga menjadi waliyullah. Akhirnya Raden Said terkenal dengan panggilan Sunan Kalijaga yang bermaksud orang yang menjaga sungai kerana pernah bertapa ditepi sungai.

Satu hari Raden Said telah mengerahkan ilmunya yang tinggi untuk membaca al-Quran sehingga suaranya yang merdu dapat didengar didalam istana pemerintah Tuban. Sebaik mendengar suara tersebut, pemerintah Tuban dan isterinya sangat menyesal kerana telah menghalau Raden Said dari Tuban dan berharap ia akan kembali ke istana. Selepas beberapa ketika Raden Said dan adiknya Dewi Rasawulan balik keistana menemui kedua ibubapa mereka. Temenggung Wilatikta berhajat untuk menyerahkan jawatan pemerintah Tuban kepada Raden Said tetapi ia menolaknya dengan baik.

Sunan Kalijaga meneruskan pengembaraannya, berdakwah atau menyebarkan agama Islam di Jawa Tengah hingga ke Jawa Barat. Beliau sangat arif dan bijaksana dalam berdakwah sehingga dapat diterima dan dianggap sebagai guru suci diseluruh Tanah Jawa.

Dalam satu riwayat, dinyatakan bahawa Sunan Kalijaga telah berkahwin dengan Dewi Saroh binti Maulana Ishak dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Raden Umar Syahid (Sunan Muria), Dewi Rakayuh dan Dewi Sofiah.

Antara peninggalan Sunan Kalijaga adalah Masjid Agung Cirebon dan Masjid Agung Demak dimana tiang utama kedua-dua masjid tersebut adalah hasil kerja Sunan Kalijaga.

Dalam usia yang lanjut Sunan Kalijaga memilih Desa Kadilangu sebagai tempat tinggalnya yang terakhir. Diriwayatkan bahawa usianya melebehi 100 tahun semasa meninggal dunia dan jasadnya di makamkan di Desa Kadilangu, Demak dan sehingga kini makamnya masih diziarahi oleh ramai orang.



Kami masuk melalui pintu gerbang dan menyusuri lorong-lorong yang dipenuhi dengan gerai jualan dikanan-kirinya sebelum sampai ke Makam Sunan Kalijaga.



Selepas mendaftar, kami terus berjalan menuju ke Makam Sunan Kalijaga ditempatkan didalam bilik yang agak besar dan kami hanya membaca tahli dan doa dikeliling bilik tersebut.



Antara makam-makam yang terdapat di sekitar Makam Sunan Kalijaga.



Berhampiran Makam Sunan Kalijaga, telah dibina sebuah masjid sederhana besarnya yang dikenalai sebagai Masjid Sunan Kalijaga Kadilangu.


5)Masjid Agung Demak

Sebelum meninggalkan Kota Demak untuk ke Kota Semarang kami singgah di Masjid Agung Demak terlebih dahulu untuk melihat masjid tertua di Indonesia yang berjarak hanya 1.5km dari Makam Sunan Kalijaga.
 

  Masjid Agung Demak iaitu masjid tertua di Indonesia mulai dibina dalam tahun 1466M.


Masjid ini terletak di Desa Kauman, Demak, Jawa Tengah. Masjid ini dipercayai pernah merupakan tempat berkumpulnya para wali penyebar agama Islam yang disebut juga Walisongo. Mereka sering berbincang mengenai penyebaran agama Islam khususnya di Tanah Jawa. Individu utama yang membina masjid ini adalah Raden Fatah, iaitu raja pertama dari Kesultanan Demak.

Masjid ini mempunyai bangunan-bangunan induk dan serambi. Bangunan induk memiliki empat tiang utama sebesar pemeluk yang disebut saka guru. Bangunan serambi merupakan bangunan terbuka. Atapnya berbentuk limas yang ditopang dengan lapan tiang yang disebut Saka Majapahit.

Masjid Agung Demak didirikan dalam tiga fasa. Fasa pembangunan pertama adalah pada tahun 1466. Ketika itu masjid ini masih berupa bangunan Pondok Pesantren Glagahwangi di bawah asuhan Sunan Ampel. Pada tahun 1477, masjid ini dibangun semula sebagai masjid Kadipaten Glagahwangi Demak bermula pada hari Jumaat (perkiraan Jawa adalah pada hari Jumaat Legi) 1 Zulkaedah, Tahun 1478, ketika itu Raden Fatah dilantik sebagai Sultan I Demak, masjid ini diubahsuai dengan penambahan tiga peringkat. Raden Fatah bersama Walisongo memimpin proses pembangunan masjid ini dengan dibantu masyarakat sekitar.
Atap bersusun tiga menjadi lambang bagi setiap orang yang beriman dimulai dari tingkat mukmin, muslim dan muhsin atau iman, islam dan ihsan. Begitu juga dengan lima buah pintu yang menghubungkan satu bahagian dengan bahagian yang lain yang diharapkan akan mengingatkan setiap manusia dengan adanya rukun Islam yang lima iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Sementara enam jendelanya pula melambangkan rukum iman iaitu percaya kepada Allah SWT, percaya kepada rasul-rasulNya, percaya kepada kitabNya, percaya kepada malaikatNya, percaya akan datangnya kiamat serta percaya akan qada' dan qadar.

Menurut cerita mitos sejarah Jawa, masjid yang dibina oleh para Walisongo ini berjaya disiapkan dalam satu malam saja.

Masjid ini pernah diperbetulkan arah kiblatnya oleh Sunan Kalijaga atau lebih dikenali Raden Syahid, seorang wali yang mempunyai jiwa mantap, pejuang, pemimpin, mubaligh serta pujangga. Beliau adalah putera Raden Sahur Temenggung Wilatikya.



Empat tiang seri masjid telah dibina oleh para wali songo. Sunan Kalijaga mengetuai membuat tiang seri di bagian timur laut, Sunan Bonang membuat tiang seri di bagian barat laut, Sunan Ampel membuat tiang seri di bagian tenggara dan Sunan Gunungjati membuat tiang seri sebelah barat daya.

Namun tiang seri yang asal kini telah diganti dengan kayu baru. Tiang lama tidak dibuang begitu saja kerana ia mempunyai nilai sejarah. Tiang dan serpihan kayu asal Masjid Agung Demak diletakkan di tepi masjid dengan catatan lengkap mengenai sejarah bagi memudahkan pelancong.

Di kawasan Komplek Masjid Agung Demak ini terdapat permakaman sultan-sultan Demak dan para pembantunya yang terbahgi kepada empat bahagian:


Makam utama yang terdapat ialah Makam Kasepuhan antaranya makam Sultan Demak I (Raden Fatah) beserta istri-istri dan putra-putranya iaitu Sultan Demak II (Raden Pati Unus) dan Pangeran Sedo Lepen (Raden Surowiyoto) serta makam putra Raden Fatah iaitu Adipati Terung (Raden Husain).

Makam-makam lain ialah makam Sultan Demak III (Raden Trenggono), makam permaisuri Raden Trenggono, makam putranya iaitu Sunan Prawoto (Raden Hariyo Bagus Mukmin), makam Pangeran Arya Penangsang, Pangeran Jipang, Pangeran Arya Jenar dan Pangeran Jaran Panoleh,  makam Syekh Maulana Maghribi, Pangeran Benowo dan Singo Yudo.
 


Terdapat kolam yang dijadikan tempat mengambil wuduk. Di dalam kolam ada barisan batu yang dijadikan pengalas kaki ketika berwuduk. Airnya sungguh jernih. Kolam tersebut telah dipagar kerana ia tidak lagi digunakan untuk tempat berwuduk…gambar atas kiri

Berhampiran masjid terdapat sebuah museum, yang berisi dengan berbagai hal mengenai sejarah bagaimana terbangunnya Masjid Agung Demak…gambar atas kanan.


6)Masjid Agung Kauman, Semarang

Hampir jam 3.00 petang, baru kami sampai di Semarang dan kami terus dibawa ke Masjid Kauman Semarang.

Masjid Kauman Semarang, dulunya dikenali sebagai Masjid Agung Semarang telah dibina dalam tahun 1743M oleh Kiai Ageng Pandanaran. Terletak di Jalan Alun-Alun Barat iaitu berhampiran Pasar Johar, Semarang. Masjid ini telah dibuka pada tahun 1749M.

Masjid Kauman telah beberapak kali diubahsuai. Antara 1759 hingga 1760, masjid ini telah diperbesarkan oleh Kiai Adipati Surohadimenggolo III yang memerintah Semarang ketika itu.

Pada tahun 1867 semasa RM Tumenggung Ario Purboningrat menjadi pemerintah Semarang, beliau juga telah mengubahsuai masjid Kauman. Kemudian pada awal April 1889 Bupati R Tumenggung Cokrodipuro pula telah mengubahsuai masjid tersebut dan siap pada akhir tahun 1890. Sehingga kini Masjid Kauman Semarang masing digunakan dan berbagai aktiviti keagamaan dijalankan dimasjid tersebut.



 Masjid Kauman Semarang dibina tahun 1743M



Dewam solat yang luas, namun terdapat banyak tiang.


Mimbar masjid, pintu masuk ke dewan solat, beduk yang agak besar.


7)Loenpia (Popia Goreng)

Selesai ziarah Masjid Kauman, Pak Robby membawa kami makan makanan traditional Semarang iaitu Loenpia. Kami singgah di restoran Loenpia Mbak Lien yang khusus menyediakan loenpia sahaja.


Loenpia rasanya macam popia di Malaysia dan boleh pilih samada basah atau goring.

 
8)Lawang Sewu

Lawang Sewu merupakan sebuah bangunan peninggalan Belanda yang dibina pada 1904. Bangunan tersebut pada asalnya adalah stesen keretapi yang dibina oleh penjajah Belanda bagi menggantikan stesen keretapi lama yang terletak berhampiran Pelabuhan Semarang.

Landasan keretapi pertama di Tanah Jawa telah dibina oleh sebuah syarikat Belanda bagi menghubungkan bandar-bandar yang subur dengan hasil pertanian dengan Pelabuhan Semarang. Landasan keretapi dari Jokjakarta ke Semarang dikenali sebagai Laluan Semarang Temanggung 1867. Apabila ekonomi semakin berkembang, stesen keretapi sedia ada di Pelabuhan Semarang tidak lagi mampu untuk menampung keperluan, maka dibina bangunan baru yang dikenali sebagai Lawang Sewu.

Bangunan utama Lawang Sewu berbentuk sesiku dan mempunyai tiga tingkat. Mula dibina pada tahun 1904 dengan menggunakan bahan-bahan binaan yang dibawa masuk dari Belanda. Bangunan utama tersebut siap dibina pada tahun 1907. Beberapa tahun kemuadian (1916-1918), sebuah bangunan lagi telah dibina bagi menampung keperluan yang mendesak ketika itu.

Disebut Lawang Sewu (Seribu Pintu) kerana bangunan tersebut kelihatannya memiliki terlalu banyak pintu tetapi sebenarnya jumlah pintunya tidak sampai seribu. Bangunan tersebut mempunyai banyak tingkap yang bersaiz besar yang kelihatan saperti pintu.

Semasa Jepun mendarat di Tanah Jawa pada tahun 1945, bangunan tersebut telah ditawan oleh tentera Jepun dan dijadikan sebagai penjara untuk menahan dan menyeksa orang-orang yang menentang Jepun.

Apabila Indonesia mencapai kemerdekaan, bangunan tersebut digunakan sebagai pejabat pentadbiran Kereta Api Indonesia yang kemudiannya telah diambil alih oleh pihak berkuasa Tentera Indonesia.

Setelah terbiar begitu lama, akhirnya bangunan tersebut telah diubah suai pada tahun 2011 dan di tadbir semula oleh Pentadbiran Keretapi Indonesia dan dijadikan muzium Keretapi.


Bangunan utama Lawang Sewu yang berbentuk sesiku kini dijadikan Muzium Keretapi untuk dikunjungi oleh orang ramai.



Antara barangan yang dipamerkan di Muzium Lawang Sewu.


Lagi antara barangan lama yang dipamerkan.




9)Restoran D’Coast Semarang

Untuk makan malam, kami telah dibawa ke Restoran D’Cost Semarang yang menyediakan hidangan makanan laut yang segar. Menu masakan sangat banyak dan semuanya tertera disatu papan iklan, kita hanya perlu memilih makanan yang kita hendak order.
 


Suasana didalam restoran D'Cost sangat selesa dan berhawa dingin dan layanannya sangat mesra. Tidak perlu menunggu lama, makanan kami telah sampai dan sedia untuk dimakan.

Selepas makan malam, kami  dibawa ke Masjid Agung Semarang atau Masjid Agung Jawa Tengah untuk solat jamak maghrib dan isyak.


Masjid Agung Semarang pada waktu malam
 

Oleh kerana keadaan sudah gelap, kami membuat keputusan untuk datang semula pagi keesukan harinya untuk mengambil gambar. Malam itu kami terus ke hotel penginapan iaitu Hotel Quirin.




1 comment:

  1. Minta maaf pak, saya mau tanya, sambungan nya tiada ya???

    ReplyDelete