Walaupun keriangan Ziarah Bumi Acheh akhir
Mac 2014 masih lagi segar didalam ingatan, namun telah ada rakan jemaah yang
mengusulkan agar aku mencari destinasi kedua untuk kami terokai. Lantas pada pertengahan
Julai lepas, aku telah menyediakan cadangan jadual perjalanan untuk mengadakan
XPDC ke Makam Wali Songo yang terletak di Surabaya, Gresik, Lamongan, Tuban,
Gunung Muria, Kudus, Demak dan Cirebon di Pulau Jawa, Indonesia. XPDC selama
tujuh hari enam malam akan bermula dari Surabaya dan berakhir di Bandung dengan
menempuh perjalanan sejauh hampir 800 kilometer yang pastinya agak mencabar dan
mengujakan.
Setelah mendapat bilangan korum yang
cukup iaitu seramai enam orang, pada 11 Ogos 2014, aku telah menempah tiket
penerbangan dari AirAsia untuk perjalanan KL-Surabaya pada 5 Dis 2014 dan
Bandung–KL pada 11 Dis 2014. Namun pada saat akhir salah seorang dari jemaah
menyatakan hanya akan turut serta ke Surabaya sahaja dan tidak mengikuti XPDC
seterusnya kerana ada urusan peribadi. Mujur ada yang sudi menjadi pengganti
walaupun terpaksa membayar harga tiket yang lebih mahal.
Pada masa yang ditetapkan, jam 6.30
pagi, 5hb. Dis 2014, kami berkumpul dihadapan Madrasah Nuril Iman untuk menaiki
teksi ke KLIA 2.
Jemaah yang menyertai XPDC Makam Wali
Songo di hadapan Madrasah Nuril Iman. Dari kiri … Tn. Hj. Zainuddin, Tn. Hj.
Shaharuddin, Tn. Hj. Datuk Ismail, Tn. Hj. Kasni, Penulis, Tn. Hj. Rahmat dan
Tn. Hj. Ahmad Arzaai. Nota: Tn. Hj. Ahmad Arzaai hanya bersama rombongan hingga
ke Surabaya sahaja.
Lima orang jemaah menaiki sebuah teksi
jenis MPV Innova, manakala aku memandu kereta bersama Th. Hj. Shaharuddin.
Pemanduan pagi itu ke KLIA 2 tidak mengalami masaalah kesesakan lalulintas mungkin
waktu masih awal pagi tambahan pula musim cuti sekolah, jam 7.45 pagi kami
sudah tiba di KLIA 2.
Kami berjalan menarik bagasi masing-masing masuk
kedalam KLIA 2 yang telah dibuka awal Mei 2014, memang gah dan boleh
dibanggakan.
Aku segera ke kaunter “drop-in baggage” untuk
memasukkan bagasi salah seorang Jemaah yang telah menempah bagasi. Selepas
mengagihkan “boarding pass” kepada para Jemaah, kami sama-sama berjalan masuk
melalui pintu Q.
Kami melepasi pemeriksaan paspot dan
imbasan bagasi serta badan, kemudian kami terus berjalan melalui tangga
bergerak yang tinggi dan melintasi “skybridge” yang panjang. Sekali lagi kami
melepasi imbasan bagasi serta badan sebelum akhirnya kami sampai di Dewan
Pelepasan Q 19. Masing-masing setia menunggu pengumuman untuk dipanggil masuk
ke dalam pesawat.
Penerbangan kami AirAsia QZ321 berlepas
dari KLIA 2 jam 9.35 pagi dan mengambil lebihkurang 2jam 40 minit untuk tiba di
lapangan terbang Surabaya.
Sedikit Tentang Ziarah Kubur
Ziarah kubur termasuk ibadah yang mulia kerana ia merupakan Sunnah
Rasulullah SAW. Didalam hadis dari Buraidah bin Hushaib , Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud “Sesungguhnya aku dahulu
telah melarang kamu untuk berziarah kubur, maka (sekarang) berziarahlah kerana
dengannya dapat mengingatkan kamu kepada akhirat dan akan menambah kebaikan
bagi kamu.” (HR. Muslim). Dalam hadis riwayat Ahmad ada penambahan “dan janganlah kamu mengucapkan sesuatu
yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT”.
Didalam Kitab Al Majmuk, Imam An-Nawawi berkata: “Sebab dilarangnya
ziarah kubur sebelum disyari’atkannya, iaitu kerana para sahabat di masa itu
masih dekat dengan masa jahiliyah, yang ketika berziarah diiringi dengan
ucapan-ucapan batil. Setelah mereka mempunyai asas-asas Islam dan pengamalam
yang kuat, barulah disyari’atkan ziarah kubur.
Dalam hadis lain dari Buraidah bin Hushaib beliau berkata: “Rasulullah
telah mengajarkan kepada para sahabatnya, bilamana berziarah kubur agar
mengatakan: “Assalamu’alaikum wahai
penduduk kubur dari kalangan kaum mukminin dan muslimin. Kami Insya Allah akan
menyusul kamu. Kamu telah mendahului kami, dan kami akan mengikuti kamu semua.
Semoga Allah memberikan keampunan untuk kami dan kamu semua.”(HR. Muslim
3/65).
Manakala hadis dari Anas bin Malik
menyatakan, “Sesungguhnya ziarah kubur
itu akan melunakkan hati, mengundang air mata dan mengingatkan pada hari
kiamat.” (HR Al Hakim)
Dari ‘Aisyah, beliau berkata “Dahulu,
Rasulullah SAW pernah keluar menuju perkuburan Baqi’ lalu baginda mendoakan
kebaikan untuk mereka. Kemudian ‘Aisyah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang
perkara itu. Baginda bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku (diperintahkan
oleh Allah) untuk mendoakan mereka”. (HR. Ahmad disahihkan oleh Al Albani
dalam Ahkamul Janaiz)
Dari hadits-hadits di atas, jelas amalan ziarah kubur dapat memberi
manafaat kepada penziarah dan juga penghuni kubur. Penziarah kubur dapat
mengambil pengajaran disamping dapat melembutkan hati, mengingatkan kepada
kematian dan mengingatkan tentang akan adanya hari akhirat. Manakala di pihak penghuni
kubur, mereka mendapat ucapan salam serta doa dari para penziarah kubur.
Pesawat AirAsia QZ321 telah selamat
mendarat di Bandaraudara Jaunda, Surabaya tepat jam 11.25 pagi waktu tempatan.
Satelah turun dari pesawat, kami menaiki bas untuk di bawa ke Terminal 2 iaitu
bangunan yang baru siap dibina setahun yang lalu.
Selesai pemeriksaan kastam dan
imigresen, kami terus berjalan keluar dimana pemandu pelancung kami iaitu Bapak
Robby Sutrisno telah sedia menunggu. Bapak Robby yang masih muda dan peramah
merupakan pemilik Arby Tour & Travel iaitu ejen pelancungan tempatan yang
telah aku tempah secara dalam talian.
Tanpa membuang masa, beliau bersama
pemandunya membawa kami ke destinasi-destinasi saperti didalam jadual
perjalanan yang telah aku emailkan kepadanya.
1)
Masjid Nasional Al-Akbar, Surabaya
Dalam perjalanan dari Bandaraudara Juanda
ke Pusat Kota Surabaya, Masjid Nasional Al-Akbar menjadi tempat persinggahan
pertama kami. Masjid Nasional Al-Akbar
atau dikenali juga sebagai Masjid Agung Surabaya
merupakan masjid kedua terbesar di Indonesia selepas Masjid Istiqlal di
Jakarta. Terletak di tepi Lebuhraya Surabaya – Porong, iaitu lebihkurang 10
kilometer daripada Bandaraudara Juanda.
Mula dibina pada Ogos 1995 dan telah
dirsamikan oleh Presiden Indonesia iaiatu Kiayi Haji Abdurrahman Wahid pada 10
November 2000. Masjid yang berkeluasan 22,300 meter persegi mempunyai empat
buah kubah kecil yang mendukung sebuah kubah besar setinggi 27 meter. Tidak ketinggalan sebuah
menara setinggi 99 meter dengan lantai tinjau pada ketinggian 68 meter yang
boleh melihat pemandangan sekitar Kota Surabaya.
Masjid ini mempunyai ruang wuduk yang
luas serta dewan solat yang sayup mata memandang dengan suasanan yang nyaman.
Mihrab yang dihias cantik dan mimbar setinggi 3 meter yang diperbuat daripada
kayu jati memberikan suasana yang sangat kondusif untuk beribadah didalamnya.
Kami sampai di Masjid Nasional Al-Akbar
setelah selesai solat jumaat, jadi pada hari tersebut kami hanya solat zuhur
dan asar secara qasar dan jamak takdim. Selepas solat, kami merakam gambar
bersama untuk kenangan.
2)
Makan Tengah Hari di Warung Wulan
Dari Masjid Nasional Al-Akbar, kami
terus dibawa ke pusat Kota Surabaya untuk makan tengah hari. Kebetulan perut
kami sudah mendendangkan lagu keroncong, agaknya sebungkus Nasi Lemak Pak Nasir
semasa dalam pesawat tadi tidak cukup mengenyangkan.
Semasa kami meninggalkan Masjid Agung
Surabaya, sekonyong-konyong turun hujan dengan lebatnya, satu rahmat daripada
Allah SWT, agaknya menyambut kedatangan kami ke bumi Surabaya.
Kami telah dibawa kesebuah restoran yang
terletak di Kompleks AJBS, Jalan Ratna, Surabaya. Warung Wulan menyediakan
hidangan bufe berbagai jenis lauk. Dengan harga 20,000 rupiah (~Rm6.00), kita
boleh makan apa sahaja sehingga kenyang tetapi belum termasuk air. Walaupun
pertama kali makan masakan Surabaya tetapi masing-masing berselera apatah lagi
hujan diluar masih belum reda.
3)
Masjid Cheng Ho Surabaya
Selepas
makan tengah hari, kami dibawa untuk menziarahi Masjid Cheng Ho Surabaya yang terletak
di Komplek Serbaguna PITI (Pembina Imam Tauhid Islam), di Jalan Gadeng,
Genteng, Surabaya. Pembinaannya di biayai oleh Pengurusan PITI dan Yayasan Haji
Muhammad Cheng Ho Jawa Timur serta para pemimpin masyarakat China di Surabaya.
Pembinaanya bermula pada 10 Mac 2002 dan telah dirasmikan pembukaannya pada 13
Oktober tahun yang sama.
Di
awal abad ke 15, iaitu dizaman Dinasti Ming, orang-orang China Islam daripada
Yunnan mula datang untuk berniaga dan menyebarkan Islam terutamanya di Pulau
Jawa. Pada tahun 1410, Laksamana Cheng
Ho juga dikenali sebagai Sam Poo Kong merupakan utusan Maharaja Yung Lo telah
mendarat di Simongan, Semarang untuk mengunjungi Raja Majapahit disamping berniaga
dan menyebarkan agama Islam.
Bagi
mengiangati jasa beliau, telah dibina sebuah masjid yang didirikan di atas
tanah seluas 21 x 11 meter persegi dengan luas bangunan utama 11 x 9 meter
persegi dan mampu menampung 200 orang Jemaah ketika solat Jumaat.
Rekabentuknya
menyerupai rumah ibadat kaum China dengan pintu masuk berbentuk pagoda dan
disebelah kiri terdapat sebuah beduk yang sederhana besar. Ia diilhamkan dari
rekabentuk Masjid Niu Jie di Ox Street, Beijing yang telah dibina pada tahun
996 Masehi. Aku tidak melepaskan peluang untuk mendirikan solat sunat tahiyatul
masjid didalamnya.
Jam
sudah pukul 3.00 petang waktu tempatan, namun hujan masih lagi turun dengan
lebatnya. Destinasi ziarah seterusnya sepatutnya Makam Sunan Ampel, tetapi
setelah mengambil kira hujan yang belum pasti bila akan berhenti, kami membuat
keputusan untuk mengunjungi Masjid Ajaib di Turen, Malang dan menunda ziarah ke
Makam Sunan Ampel ke keesukan harinya.
4) Masjid Ajaib, Turen, Malang
Pak
Robby dan pemandu kenderaan tanpa merungut terus sahaja memandu kenderaan
kearah Malang, mungkin pemandu mengetahui untuk ke Makam Sunan Ampel, jalan
sudah pastinya majet (sesak) diwaktu petang ditambah dengan hujan sedangkan
laluan ke Malang agak selesa walaupun sedikit jauh.
Kenderaan
berjalan kadang-kadang laju dan kadang-kadang perlahan dalam keadaan jalan yang
basah kerana melalui jalan yang agak sempit, permukaan jalan yang agak kurang
baik disamping jumlah kenderaan yang banyak. Aku tertidur hampir sepanjang
perjalanan mungkin kerana keletihan.
Akhirnya
selepas mengharungi perjalan selama empat jam, kami tiba di Komplek Pesantren Salafiyah Bihaaru Bahri
Asali Fadlaailir Rahmah, di Turen, Malang sebuah kota 126 km dari Kota
Surabaya. Penduduk tempatan mengenalinya sebagai Masjid Ajaib atau Masjid Tiban.
Masjid
Ajaib atau Masjid Tiban
adalah sebenarnya Kompleks Pondok Pesantren Salafiyah Bihaaru Bahri Asali
Fadlaailir Rahmah yang terletak di Jalan Kiyai Haji Wahid Hasyim Gang
Anggur, Desa Sananrejo, Turen, Kabupaten Malang, Jawa Timur.
Disebut Masjid Tiban kerana kononnya
masjid tersebut dibina tanpa pengetahuan masyarakat setempat. Mengikut
ceritanya dibina oleh jin dalam tempoh hanya satu malam sahaja. Ternyata
dakwaan tersebut adalah salah kerana ianya merupakan sebuah pesantren yang
telah dibina sendiri oleh pengasas pesantren tersebut iaitu Kiyai Haji Ahmad
Bahru Mafdlaluddin Shaleh Al-Mahbub Rahmat Alam secara berperingkat. Beliau
telah mula membina pesantren tersebut semenjak tahun 1978 bersama anak-anak
muridnya dan penduduk sekitar seramai 250 orang.
Gambar
atas kiri … kami diruang rehat. Gambar atas kanan … ruang kicauan
burung-burung.
Bangunan utama pesantren tersebut
telah mencapai 10 tingkat, tingkat 1 hingga 4 diguna sebagai tempat pengajian
para Jemaah, tingkat 6 adalah ruang keluarga Pak Kiyai, tingkat 5,7,8 terdapat
ruang-ruang jualan barangan pakaian saperti kain sarung, sejadah, jubah, tasbih
dan sebagainya. Didalam komplek pesantren ini juga terdapat masjid, akuarium,
laman burung dan kolam renang.
Ini
adalah ruang rehat dan ruang keluarga di mana keluarga almarhum Kiyai Haji Ahmad Bahru Mafdlaluddin Shaleh
Al-Mahbub Rahmat Alam tinggal disini yang berada di tingkat 6 komplek
pesantren.
Pembinaannya komplek pesantren
tersebut masih diteruskan dan semasa kami berada di komplek tersebut, beberapa
orang pekerja sedang giat dengan kerja-kerja pembinaan.
Ini
adalah kawasan masjid yang terletak di tingkat 5, ruang lantai yang agak luas
dilengkapi dengan beduk yang besar, PA system dan mimbar yang dihias cantik.
Gambar
atas kiri … ruang penyambut tetamu terletak ditingkat bawah. Gambar atas kanan …
gerai makanan yang terdapat disekitar kompleks pesantren tersebut. Selepas
hampir satu jam, kami dibawa melawat komplek tersebut, kami meminta diri untuk
pulang.
Kenyang
mengisi perut, kami beredar untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT di
sebuah masjid kecil ditepi bangunan utama komplek pesantren.
Kami
meninggalkan Komplek Pesantren Salafiyah Bihaaru Bahri
Asali Fadlaailir Rahmah tepat jam 9.00 malam dan terus balik ke Surabaya dan tiba di
Hotel Grand Sumatera jam 1.00 pagi.
No comments:
Post a Comment