Friday, 3 October 2014

Album Usang Menggamit Memori … Umrah 2001 … bahagian 2



Tepat jam 9.00 pagi 14/11/2001 kami telah berada dilobi hotel dengan pakaian ihram masing-masing untuk meneruskan perjalanan ke Makkah Al-Mukaramah bagi mengerjakan umrah. Sebelum memakai pakaian ihram, kami mandi sunat ihram dan berwuduk terlebih dahulu sebagaimana disarankan oleh Ustaz malam itu, bertujuan memudahkan semasa singgah di Masjid Bir Ali untuk berniat ihram.

Sementara menuggu bas datang, Ust Talha memberi taklimat sekali lagi berkenaan rukun-rukun dan wajib-wajib umrah.

Rukun umrah ialah perkara yang mesti dilakukan dan sekiranya ditinggalkan umrah kita tidak sah iaitu Niat Ihram Umrah, Tawaf mengelilingi kaabah, Sai diantara Safa dan Marwah, Tahallul iaitu menggunting rambut dan Tertib. Manakala wajib umrah ialah perkara yang apabila kita langgar, umrahnya sah tetapi dikenakan dam. Iaitu berniat ihram di miqat dan menjaga pantang larang dalam ihram.

Lebih kurang jam 9.30 pagi baru bas kami tiba di hadapan Hotel Al-Haram Madinah. Kami tidak sabar-sabar untuk menaiki bas. Setelah memastikan semua bagasi kami dimasukkan kedalam perut bas, baru aku mengambil tempat duduk di dalam bas. 

Aku, isteri dan anak-anak yang telah berpakaian ihram. Aku dan anak lelakiku hanya memakai dua helai kain putih yang tidak berjahit dan memakai selipar yang tidak menutup kelima-lima jari dan tumit. Manakala isteri dan anak-anak perempuanku memakai pakaian yang menutup seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan. Kami semua ceria dan bersiap sedia untuk menjalani ibadah seterusnya.

Setengah jam kemudian , bas mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah. Bas melalui jalan bersebelahan dengan Perkuburan Baqi’. Dari kejauhan aku dapat melihat Masjid Nabawi semakin kami tinggalkan. Aku berasa hiba meninggalkan Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya.

Lebih kurang setengah jam kami dalam perjalanan, bas kami memasuki satu kawasan agak rendah yang dipenuhi pohon-pohon kurma dan pokok-pokok lain yang menghijau dan dari jauh sudah kelihatan menara masjid yang menjulang tinggi, iaitu menara Masjid Bir Ali.


Masjid Bir Ali adalah satu Masjid yang sangat penting bagi para jemaah haji dan juga umrah kerana menjadi tempat miqat (tempat niat ihram)  bagi penduduk Madinah dan mereka yang datang dari Madinah. Letaknya lebih kurang 12 km dari Masjid Nabawi.

Ust Talha memulakan tazkirah tentang sirah Masjid Bir Ali. Menurut sirah Islam, semasa Nabi dan para sahabat dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah, Baginda telah berhenti disuatu kawasan lembah yang dikenali sebagai Lembah Aqiq di Daerah Dzulhulaifah. Baginda berteduh dibawah sebatang pohon untuk mendidirikan solat sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah. Selepas daripada peristiwa tersebut, telah dibina sebuah masjid di tempat pohon berkenaan dan masjid itu dikenali sebagai Masjid Syajarah (Masjid Pohon). Masjid tersebut juga kemudiannya dikenali sebagai Masjid Bir Ali kerana Ali bin Abi Thalib pernah menggali beberapa perigi untuk kegunaan para jemaah. Juga dikenali sebagai Masjid Dzulhulaifah kerana terletak di Daerah Dzulhulaifah, serta dikenali sebagai Masjid Ihram dan Al-Miqat kerana fungsi masjid sebagai miqat makani (tempat niat ihram) bagi jemaah yang akan mengerjakan haji atau umrah yang pergi ke Mekah dari arah Madinah.

Ust Talha menyambung, semasa Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabernur Madinah dari tahun 87-93 Hijriah, beliau telah memperbesarkan Masjid Bir Ali. Pembesaran selanjutnya telah dilakukan oleh Zaini Zainuddin Alistidar pada 861 Hijriah. Kemudian semasa pemerintahahn Utsmaniah, sekali lagi Masjid Bir Ali telah di perbesarkan iaitu pada tahun 1090 Hijriah. Ketika  pemerintahan Raja Fahd bin Abdul Aziz (1981-2005), rombakan  secara besar-besaran telah dilakukan sehingga menelan belanja sekitar 170 juta riyal. Keluasan dewan solat boleh menampung sehingga 5,000 orang pada satu-satu masa. Masjid ini juga dilengkapi dengan 512 bilik air dan 566 bilik mandi. Sementara terdapat 500 petak letak kereta dan 80 petak letak kenderaan panjang di kawasan parkir di sekeliling masjid.

Bas kami semakin menghampiri Masjid Bir Ali dan kelihatan beberapa gerai yang menjual barang-barang kelengkapan umrah seperti kain ihram, telekung, selipar dan bermacam-macam lagi. Jadi bagi mereka yang tak membawa kain ihram, boleh beli di gerai tersebut. Harganya pun amat berpatutan.

Sebelum menuruni bas, sekali lagi Ust Talha berpesan supaya kami hanya mendirikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat ihram sahaja dan kemudian naik semula ke dalam bas. Ust akan memimpin bacaan niat ihram setelah kami berkumpul semula didalam bas. Selesai memberi peringatan, Ustaz bersama kami semua turun dari bas dan berjalan masuk ke dalam kawasan Masjid.

Pemandangan didalam kawasan masjid sungguh cantik dan kebersihan sentiasa dijaga. Pohon-pohon kurma dan tumbuhan lain begitu subur menghijau yang menyejukkan mata memandangnya. 



Suasana didalam masjid ketika itu memang lengang, orang tidak berapa ramai lagi yang sampai ke Masjid Bir Ali. Oleh kerana kami semua telah siap berwudu dan memakai pakaian ihram, jadi kami terus berjalan masuk ke dalam masjid untuk mendirikan solat tahiyatul masjid dan sunat ihram. Sepuluh minit sahaja dah selesai. Tetapi kerana mengingatkan pesanan Ustaz tadi, jadi kami tak tunggu lama terus berjalan naik semula ke dalam bas.

Setelah kami semua berada di dalam bas semula, sekali lagi Ustaz mengingatkan akan 13 pantang larang yang perlu dijaga semasa dalam Ihram. Ustaz menyebutnya satu persatu saperti berikut: 
  1. Tidak boleh memakai pakaian bersarung atau berjahit dan bercantum - lelaki sahaja. 
  2. Tidak boleh menutup kepala atau sebahagian darinya - lelaki sahaja. Berteduh dibawah pokon atau payung dibenarkan. 
  3. Tidak boleh menutup muka - wanita sahaja. Memakai cermin mata dan penutup hidung untuk mengelakkan habuk dibenarkan. 
  4. Tidak boleh memakai sarung tangan . Jam tangan dan rantai tangan dibenarkan. 
  5. Tidak boleh memakai wangi-wangian di badan atau pakaian. Juga tidak boleh makan, minum  atau menghidu sesuatu yang wangi - lelaki dan wanita. 
  6. Tidak boleh memakai minyak di rambut, janggut dan semua bulu-bulu muka - lelaki dan wanita. 
  7. Tidak boleh menanggalkan rambut atau bulu-bulu badan - lelaki dan wanita. 
  8. Tidak boleh memotong kuku - lelaki dan wanita. 
  9. Tidak boleh menebang / memotong / mencabut pokok ditanah haram - lelaki dan wanita. 
  10. Tidak boleh memburu binatang buruan - lelaki dan wanita. 
  11. Tidak boleh bernikah / menikahkan / menerima wakil nikah - lelaki dan wanita. 
  12. Tidak boleh melakukan pendahuluan persetubuhan - lelaki dan wanita. 
  13. Tidak boleh melakukan persetubuhan - lelaki dan wanita.
Ustaz juga menerangkan, bagi wanita yg sedang berhaidh atau nifas, juga wajib berniat ihram umrah, tetapi terpaksa menunggu sehingga bersih, barulah boleh melakukan tawaf untuk umrahnya dan menyelesaikan semua rukun dan perkara wajib yang lainnya. Manakala bagi wanita yang diyakini akan datang haid, mereka hendaklah mengenakan pakaian ihram seperti biasa dan nait bersyarat. Gunanya niat bersyarat ialah jika ditakdirkan mereka masih belum bersih sedangkan masa telah sampai untuk bertolak balik, maka mereka bolehlah menggunting rambut untuk bertahallul tanpa perlu membayar dam.

Setelah Ustaz berpuas hati, barulah Ustaz memimpin bacaan niat ihram umrah kami semua. Maka wajiblah bagi diri kami semua menjaga pantang larang ihram umrah yang 13 itu. Seterusnya Ustaz mengetuai bacaan talbiah dan berpesan agar kami semua memperbanyakkan bacaan talbiah sepanjang perjalanan sehingga sampai ke Makkah Al-Mukarramah.

Bas kami meninggalkan Masjid Bir Ali untuk meneruskan perjalanan ke Makkah Al-Mukarramah yang jaraknya lebihkurang 420 km. Pada mulanya memang bergema bacaan talbiah didalam bas kami, tetapi lama-kelamaan mulai perlahan dan akhirnya senyap sunyi kerana masing-masing terlelap.

Sedar tak sedar, bas kami telah berhenti di satu kawasan rehat. Kami pun turun untuk ke bilik air, solat jamak zohor/asar dan makan tengah hari. Kami dijamu dengan makan nasi arab berlauk ayam dan ikan goring. Susah juga nak habiskan, sebab tak berkuah. Kami berada dikawasan rehat tersebut selama lebih kurang 45 minit sebelum bas kami memulakan semula perjalanan ke Makkah Al-Mukarramah.


Sepanjang perjalanan ke Makkah Al-Mukarramah kelihatan dikanan kiri jalan kawasan padang pasir yang luas sayup mata memandang. Aku tidak dapat melelapkan mata.




Setelah mengharungi perjalanan yang agak meletihkan, akhirnya bas kami tiba di Kota Makkah Al-Mukarramah. Kami ditempatkan disebuah hotel yang sederhana di bahagian Marwah, hanya kira-kira 100 meter dari Masjidil Haram. Nota: Hotel tersebut kini telah dirobohkan untuk pembesaran Masjidil Haram.

Jam 5.00 petang kami telah bersedia di lobi hotel untuk mengerjakan tawaf dan sai umrah. Sebelum kami bergerak, Ustaz telah memberi penerangan berkenaan tawaf dan sai yang menjadi rukun umrah.

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan dengan syarat-syaratnya. Lafaz niat tawaf ialah:
 Ya Allah, aku hendak melakukan tawaf Baitullahil Haram tujuh keliling tawaf Umrah kerana Allah Taala.” 

Syarat-syarat Sah Tawaf :
  1. Hendaklah dimulakan digarisan yang membetuli dengan Hajar al Aswad.
  2. Berniat melakukan tawaf.
  3. Mengelilingi Ka’abah sebanyak 7 pusingan dengan yakin. 
  4. Sentiasa mengarahkan bahu kiri ke arah Ka’abah. 
  5. Perbuatan dilakukan semata semata untuk tawaf. 
  6. Dilakukan di dalam masjid,  di luar Hijir Ismail dan tidak menyentuh mana mana bahagian Kaabah. 
  7. Suci daripada najis dan dalam keadaan berwuduk. 
  8. Menutup aurat seperti mana di dalam Solat.
Sekiranya syarat-syarat diatas tidak dilaksanakan, maka tawaf itu tidak sah dan Umrahnya juga terbatal.

Sunat Sunat Tawaf:
  1. Berjalan kaki walaupun seorang perempuan. 
  2. Mengistilamkan Hajar al Aswad dengan tangan kanan kemudian mengucupnya dengan meletakkan tangan di dahi. 
  3. Setiap tawaf itu hendaklah berdoa dan memohon apa saja yang dihajati. Doa yang ma’thur adalah lebih baik daripada sebaliknya dan Al Quran adalah sebaik baik zikir yang diucapkan. 
  4. Bagi setiap tawaf yang di ikuti dengan Sa’i, tiga pusingan tawaf yang awal hendaklah dilakukan secara berlari anak, selebihnya berjalan macam biasa. 
  5. Bagi orang lelaki dan kanak kanak hendaklah memakai selepang yang disangkut ke atas bahu kiri serta dililitkan  ke bawah ketiak kanan semasa tawaf dan sai’. 
  6. Dilakukan secara berturut turut. 
  7. Sunat merapatkan diri dengan Ka’abah sekiranya keadaan mengizinkan. 
  8. Sembahyang 2 rakaat dibelakang Maqam Ibrahim selepas selesai tawaf. 
  9. Sunat juga memasuki Hijir Ismail sebanyak yang boleh untuk bersembahyang sunat (selepas selesai tawaf).
Jenis-jenis Tawaf
  1. Tawaf Ifadhah : Ulama’ sepakat bahawa Tawaf Ifadhah ini merupakan rukun bagi ibadah Umrah. Tanpanya ibadat umrah tidak akan terlaksana.
  2. Tawaf Qudum : Iaitu Tawaf selamat datang yang dilakukan ketika mula-mula sampai ke Mekah. Tidak perlu bagi jemaah yang masuk ke Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah;  Atau mereka yang datang untuk mengerjakan haji tetapi terus pergi ke Arafah untuk berwukuf; Atau penduduk Makkah yang tinggal dalam lingkungan miqat. 
  3. Tawaf Wida’  : Iaitu Tawaf selamat tinggal dilakukan ketika hendak meninggalkan Mekah. 
  4. Tawaf Nazar  : Iaitu Tawaf yang dilakukan kerana menunaikan nazar yang telah dibuat. 
  5. Tawaf Sunat  :  Selain daripada di atas dikira sebagai tawaf sunat. 




Kami dibawa ke Masjidil Haram melalui tangga untuk turun ke tingkat bawah (Nota: Tangga-tangga ni sekarang dah tiada lagi … hanya tinggal kenangan).

Tangga-tangga untuk terus ke tingkat satu dan juga menuruni ke tingkat bawah (kini sudah tiada …bangunan yang kelihatan pun sudah tiada …  hanya tinggal kenangan).


Tembok dihadapan pintu 1 ini juga telah tiada. Dulu dibawah tembok ini banyak gerai-gerai jualan ... Kini hanya tinggal kenangan.

Kami dibawa masuk ke Masjidil Haram melalui pintu no. 1 iaitu Pintu King Abdul Aziz.

Antara ruang dalaman Masjidil Haram yang kami lalui sebelum sampai ke dataran Kaabah. Karpet merah daripada dulu sampai sekarang.

Sudah sampai ke dataran Kaabah. Dari sini kami masing-masing berniat untuk melakukan tawaf umrah sebanyak tujuh pusingan. Dengan dipimpin oleh Ust Talha, kami berjalan sehingga ke penjuru Hajar Aswad, kami berhenti dan mengangkat tangan kanan ke arah Hajar Aswad sambil membaca “Bismillahhi Allahuakbar” dan mencium tapak tangan dan meneruskan perjalanan, maka bermulalah pusing pertama tawaf kami. Apabila sampai di penjuru Yamani, kami sekadar melambaikan tangan sambil berjalan. Kami berjalan dengan sederhana laju tetapi berhati-hati supaya tidak terbatal wuduk. Alhamdulillah kami dapat lakukan sehingga selesai tujuh pusingan dengan selamat. Doa-doa yang kami baca saperti buku panduan. 

Oleh kerana orang tidak bergitu ramai, jadi agak mudah untuk kami menyelesaikan tawaf dan kami beredar menuju ke belakang Makam Ibrahim untuk mendirikan solat sunat tawaf sebanyak dua rakaat dan membaca doa sambil mengadap multazam.  Multazam ialah tempat di Kaabah antara Hajar Aswad dengan pintu Kaabah, iaitu salah satu tempat mustajab doa. Makam Ibrahim adalah bekas tapak kaki Nabi Ibrahim yang disimpan didalam kurungan saperti kandang berwarna keemasan.


Selesai solat sunat tawaf dan berdoa di belakang Makam Ibrahim, kami dibawa menuju ke Bukit Safa. Tetapi sebelum itu, kami diajak untuk minum air zam-zam dahulu kerana ia adalah sunnah setelah selesai mengerjakan tawaf.


Orang ramai berkumpul dikawasan paip air zam-zam kerana cuaca agak panas. Dari sini kami naik tangga untuk menuju ke Bukit Safa melalui Pintu Al-Safa. Tempat air zam-zam serta tangga yang kelihatan sudah tiada kerana telah dipecahkan untuk pelebaran kawasan tawaf … Kini hanya tinggal kenangan.

Gambar kiri … Ini dia Bukit Safa, yang orang duduk diatasnya. Gambar kanan …  Sekarang kawasan Bukit Safa telah dipagar untuk mengelakkan orang naik keatasnya.

Disini kami berniat untuk melakukan Sai antara Safa dan Marwah yang jaraknya lebih kurang 700 meter. Sebelum bergerak, kami mengadap kearah kaabah dan mengangkat kedua tangan sambil membaca “BismillahhiAllahuakbar” kemudian berjalan kearah Bukit Marwah. Apabila sampai di lampu hijau yang pertama disunatkan berlari anak sehingga ke lampu hijau yang kedua, kemudian berjalan kaki semula sehingga sampai ke Bukit Marwah dan dikira satu pusingan. Semasa Sai tidak diwajibkan dalam keadaan berwuduk.

Ini dia laluan Sai’ iaitu laluan dua lorong, satu dari Bukit Safa ke Bukit Marwah (lorong sebelah kanan) dan satu lagi dari Bukit Marwah ke Bukit Safa (lorong sebelah kiri). Laluan tengah adalah untuk kerusi roda. Kini kawasan Sai telah dilebarkan, dua laluan diatas telah dibuahsuai menjadi laluan dari arah Bukit Marwah ke Bukit Safa sahaja dan telah dibina laluan baru dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Keadaan sekarang lebih selesa lagi.

Ini pula Bukit Marwah tetapi tidak tinggi saperti Bukit Safa dan masing-masing boleh berdiri di atas Bukit Marwah. Disini kami sekali lagi mengadap kearah Kaabah lalu mengangkat kedua tangan dan membaca “BismillahhiAllahuakbar” untuk memulakan Sai pusingan ke dua dan berjalan kearah Bukit Safa pula.

Demikianlah kami lalukan sehingga cukup tujuh pusingan dan berakhir di Bukit Marwah. Doa setiap pusingan kami baca mengikut buku panduan. Selesai tujuh pusingan, kami pun menggunting rambut untuk bertahallul iaitu melepaskan segala pantang larang dalam berihram.

Ketika kami selesai bertahallul, waktu maghrib sudah hampir tiba, jadi kami tunggu didalam masjid untuk mendirikan solat Maghrib berjemaah. Selesai solat maghrib kami lantas balik ke bilik hotel untuk menukar pakaian.

Apabila masuk waktu Isyak, kami keluar lagi ke Masjidil Haram. Pemandangan waktu malam di sekitar Masjidil Haram begitu cantik dipenuhi dengan cahaya lampu.

Dibahagian dalam masjid juga sangat terang kerana lampunya begitu banyak sekali.

Dataran kaabah juga begitu diterangi dengan lampu-lampu yang bersinar sehingga keadaan di dataran kaabah kelihatan saperti hari siang sahaja.

Selesai solat isyak, kami balik ke hotel untuk makan malam kemudian berehat di bilik sahaja kerana telah kepenatan mengharungi perjalanan yang jauh sepanjang hari.

Kami sekeluarga seramai lima orang duduk satu bilik.

Selama dua hari kami hanya berulang alik dari hotel ke masjid untuk solat lima waktu dan sekali sekala melakukan tawaf sunat.

Ini antara gerai yang terdapat ditepi laluan menuju ke Masjidil Haram yang terkenal dengan kedai dua rial. Semua barang dijual dengan harga dua rial setiap satu (Kini sudah tiada lagi, dirobohkan untuk pembesaran Masjidil Haram)

Pada hari yang ke empat di Mekah, kami dibawa untuk ziarah luar kawasan saperti Jabal Rahmah, Gua Thur and akhirnya ke Masjid Tanaim untuk mengambil miqat umrah.

Didalam perjalanan ke Gua Thur, Ustaz telah memberi tazkirah berkenaan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib. Apabila penganut Islam di Makkah semakin bertambah, kaum Kafir Quraisy Makkah telah bertindak meningkatkan penyeksaan terhadap umat Islam. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah dan berhijrah ke Yathrib. Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan berhijrah ke Yathrib secara sembunyi-sembunyi kecuali Umar bin Al-Khatab r.a. yang telah memberitahu orang kafir Quraisy tentang penghijrahannya seraya berkata: "Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya, esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya. Ketibaan mereka di Yathrib telah disambut dengan mesra oleh penduduk Yathrib yang telah memeluk Islam.

Menyedari perpindahan tersebut, kaum Quraisy telah mengadakan satu persidangan di Dar an-Nadwah bertujuan untuk membunuh Rasulullah SAW. Mereka memutuskan untuk memilih seorang pemuda yang gagah daripada setiap kabilah untuk membunuh Rasulullah SAW.

Mengetahui rancangan jahat kaum Quraisy Makkah, Rasulullah SAW telah bermunajat kepada Allah SWT, maka turunlah Malaikat Jibrail menemui Baginda SAW untuk memberitahunya bahawa Allah SWT mengarahkan Baginda supaya meninggalkan Kota Makkah pada waktu malam. Lalu Baginda menemui sahabat baiknya iaitu Abu Bakar as-Siddiq (as) dan memintanya supaya menemani Baginda dalam perjalanan itu. Rasulullah SAW juga memberitahu rancangan Baginda kepada Ali bin Abi Talib (as). Baginda memberitahunya: “Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah” . Ali (as) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah SAW walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya.

Rasulullah SAW dan Abu Bakar (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga iaitu bertepatan dengan hari Isnin, 1 Rabiul Awal, tahun ke-53 kelahiran Baginda SAW. Abu Bakar (as) telah mengupah Abdullah bin Uraiqit ad-Daili, seorang musyrik untuk menjadi penunjuk jalan ke Yathrib dengan syarat dia mengelakkan jalan yang biasa diketahui dan menggunakan jalan lain yang tidak diketahui oleh kafir Quraisy. Dengan bantuan Abdullah bin Uraiqit, Rasulullah SAW dan Abu Bakar (as) menghala ke arah Yaman sehingga sampai ke Gua Thur lalu Baginda dan Abu Bakar (as) bersembunyi didalamnya.

Pada malam tersebut juga,  sekumpulan pemuda dari setiap kabilah kaum Quraisy Makkah telah mengepung rumah Rasulullah SAW dengan tujuan apabila Rasulullah SAW keluar rumah, maka mereka akan membunuh-Nya, namun sepanjang malam, Rasulullah SAW tidak keluar rumah. Apabila fajar menyingsing, mereka terperanjat melihat Ali bin Abi Talib (as) yang keluar dari rumah dan bukannya Rasulullah SAW. Mereka pun terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah SAW keluar dari rumah itu.

Mereka keluar mengejar Raulullah SAW mengikut jalan Makkah yang biasa tetapi gagal menemui Baginda. Mereka menghala menuju jalan ke Yaman sehingga sampai di muka Gua Thur. Apabila kaum Quraisy menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah SAW tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah SAW dan Abu Bakar (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati.

Abu Bakar  r.a. melihat kaki-kaki mereka ketika mereka sedang berdiri di muka gua itu. Beliau menggeletar bimbangkan nyawa Rasulullah SAW, seraya berkata: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, kalau salah seorang daripada mereka melihat ke tempat letak kakinya, nescaya dia akan melihat kita." Rasulullah SAW mententeramkannya dengan bersabda: "Wahai Abu Bakar, kamu sangka kita berdua, sedangkan Allah adalah yang ketiga". Allah SWT telah membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraisy kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah.

Di atas bukit inilah terletaknya Gua Thur.

Kehilangan Raulullah SAW menyebabkan kaum Quraisy Makkah semakin marah. Mereka menawarkan hadiah yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang dapat menangkap Rasulullah SAW. Ramai yang mencuba nasib termasuk Suraqah bin Ja’syam tetapi semuanya gagal.

Rasulullah SAW dan Abu Bakar (as) bersembunyi di dalam Gua Thur selama tiga malam bersama  Abdullah bin Abu Bakar yang masih remaja. Abdullah seorang pemuda yang berpengetahuan, mahir, peka dan cepat memahami. Tiada sesiapa mengetahui tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Abu Bakar (as) kecuali lima orang sahaja.

Mereka ialah Abdullah Bin Abu Bakar As-Siddiq sendiri yang sentiasa mendengar berita yang dicakap oleh pembesar Quraisy diwaktu siang dan membawa berita tersebut ke Gua Thur pada tengah malam. Asma’ binti Abu Bakar As-Siddiq yang menghantar makanan ke Gua Thur. Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq yang menyediakan makanan. Amir bin Fuhairah yang membawa kambing-kambing milik Abu Bakar As-Siddiq ke kaki Bukit Thur untuk menghilangkan jejak-jejak kaki Nabi dan Abu BAkar As-Siddiq. Dimana sebelah pagi beliau mengembala kambing, petang beliau memerah susu kambing, dan malamnya, beliau menghantar susu kambing ke Gua Thur. Abdullah bin Uraiqit yang membawa dua ekor unta dan sebagai penunjuk jalan Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq.

Apabila Rasulullah SAW telah yakin musuh sudah beredar, Rasulullah SAW dan Abu Bakar (as) keluar daripada Gua Thur untuk meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa oleh Abdullah bin Uraiqit. Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Yathrib iaitu jalan pantai Laut Merah merentasi jarak yang lebih jauh bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraisy. Namun Suraqah bin Ja’syam telah berjaya menjejaki mereka. Apabila Suraqah mendekati mereka berdua, kaki-kaki kudanya terbenam ke dalam pasir dan tidak berupaya untuk berjalan. Dia mencuba sebanyak tiga kali supaya kudanya menuju ke arah Rasulullah SAW, namun kudanya tetap enggan. Pada ketika itu, dia yakin bahawa di hadapannya ialah seorang Rasul yang mulia. Lantas dia meminta supaya Rasulullah SAW berjanji memberikannya sesuatu, jika dia menolong Baginda. Baginda menjanjikan untuknya dua gelang tangan yang dipakai oleh Kisra. Suraqah kemudiannya pulang ke Makkah dan berpura-pura seolah-olah dia tidak menemui sesiapa.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dan singgah di kemah Ummu Ma’bad, yang tinggal di padang pasir dan menggembala kambing. Rasulullah SAW minta izin untuk memerah susu kambing dan diizinkan oleh Ummu Ma’bad. Rasulullah SAW dengan menyebut nama Allah SWT, mengusap susu kambing tersebut lalu berdoa. Memancarlah susu kambing itu yang kemudian ditampung dalam sebuah bekas. Baginda menyuruh Ummu Ma’bad minum, setelah itu para sahabatnya, baru kemudian baginda sendiri minum. Setelah semua puas, baginda memenuhi bekas itu kembali dan meninggalkannya di sana, kemudian meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian, Abu Ma’bad suami Ummu Ma’bad pulang dan kehairanan melihat bekas yang penuh dengan  susu. Dia bertanya dari mana susu itu datang? Ummu Ma’bad mengatakan bahawa baru saja singgah seorang lelaki penuh berkat dengan sifat demikian dan demikian. Mendengar keterangan isterinya, Abu Ma’bad segera meyakini bahawa orang itulah yang dicari-cari kaum Quraisy. Dan dia bertekad seandainya mempunyai peluang akan menemui lelaki itu.

Raulullah SAW dan Abu Bakar (as) serta pembantunya meneruskan perjalanan. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, pada hari Isnin 8 Rabiul Awal bersamaan 23 Sep 622M, Baginda telah tiba di suatu tempat yang dikenali sebagai perkampungan Quba, iaitu beberapa kilometer di selatan Yathrib. Rasulullah SAW telah membina masjid di situ dan tinggal beberapa hari di perkampungan Quba bersama Bani Amru bin Auf di rumah Kalthum bin Al-Hudri.

Selesai sahaja tazkirah daripada Ustaz, bas kami pun berhenti ditepi jalan untuk melihat bukit yang terdapat Gua Thur.
Bukit tidak berapa jelas disebabkan matahari baru mulai terbit. Pada masa tu, tiada jalan yang sempurna untuk sampai ke Gua Thur.

Setelah bergambar, bas kami meneruskan perjalanan ke Jabal Rahmah yang terletak di Padang Arafah.

Ustaz Talha menerangkan bahawa mengikut sejarah, Jabal Rahmah merupakan tempat pertemuan semula Nabi Adam AS dan isteriNya Siti Hawa di muka bumi ini selepas keluar dari syurga. Mereka bertemu semula selepas 200 tahun terpisah.

Kami menaiki anak-anak tangga untuk sampai ke atas dan kami berdoa memohon perlindungan Allah SWT serta keberkatan hidup kami bersama keluarga. Di sepanjang laluan tangga naik dan turun, ada berbagai gelagat manusia dapat dilihat. Ada yang cedera, ada yang kudung tangan dan kaki, ada membawa anak-anak kecil sambil mengharapkan ikhsan dari para pengunjung.

Di dataran Jabal Rahmah terdapat banyak unta yang dihias cantik untuk ditunggangi oleh para pengunjung. Sekali naik termasuk ambil gambar dikenakan bayaran sepuluh rial sahaja.

Selesai di Jabal Rahmah, kami berpatah balik ke Makkah dan singgah di Masjid Tanaem untuk mengambil miqat umrah sunat.

Masjid Tanaem juga dikenali sebagai Masjid Aisyah isteri Rasulullah SAW kerana Aisyah pernah berniat ihram di masjid ini. Ia merupakan tempat berniat ihram (miqat) yang paling hampir dengan Makkah iaitu sekitar tujuh kilometer sahaja. 

Setelah menukar pakaian dengan pakaian ihram yang kami bawa dan mengambil wuduk kami semua masuk ke dalam dewan masjid untuk mendirikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat ihram kemudian kami berniat ihram umrah. Kemudian kami menaiki bas semula untuk terus ke Masjidil Haram bagi melaksanakan tawaf, sai dan tahalul.

Berselang dua, kami dibawa lagi ke Masjid Tanaem untuk bermiqat umrah sunat. Hari-hari berikutnya kami hanya berulang alik dari hotel ke masjid untuk solat lima waktu dan sekali sekala melakukan tawaf sunat.

25/11/2001 adalah hari terakhir kami berada di Makkah Al-Mukarramah. Malam tu Ustaz dah pesan supaya mengemas semua barang dan membawa turun ke lobi hotel selepas solat subuh, tawaf wida’ jam 8.00 pagi manakala bas akan berlepas ke Jeddah jam 10.00 pagi.

Isteri dan anak lelakiku bergambar kenangan sebelum meninggalkan hotel di Makkah.

Tepat jam 10.00 pagi bas bergerak meninggalkan Kota Makkah Al-Mukarrah untuk menghala ke Jeddah. Ustaz memaklumkan bahawa kami akan dibawa bersiar-siar di Masjid Terapung di Kota Jeddah sebelum menghantar kami ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz untuk berlepas pulang ke Malaysia.
Ini dia Masjid Terapung Jeddah yang juga dikenali sebagai Masjid Fatimah Az-Zahra. Masjid ini terletak di tepi Laut Merah. Waktu kami sampai air laut tengah surut, jadi nampaklah tiang-tiang masjid… taklah kelihatan terapung masjid tu.

Aku sempat juga mendirikan solat sunat tahiyatul masjid di Masjid Terapung Jeddah. Kami berada di sekitar masjid tu lebih kurang setengah jam sebelum kami dihantar ke lapangan terbang.

Lepak-lepak di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah setelah check-in barang, sementara menunggu penerbangan jam 3.30 petang waktu tempatan.

InsyaAlah jumpa lagi di memori seterusnya.

No comments:

Post a Comment