Friday, 26 September 2014

InsyaAllah … Janji Mesti Ditepati



Sebagai orang Islam, kalimah InsyaAllah yang bermaksud “dengan izin Allah’ ini selalu digunakan apabila kita berjanji atau ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang. Sebagai manusia kita sangat lemah dan tidak boleh mengetahui apa yang akan berlaku di masa hadapan. Oleh itu, Allah SWT telah mengajar makhlukNya agar mengucapkan kalimah ini.


Kalimah suci ini mengandungi beberapa makna, antaranya pertama, manusia sangat bergantung kepada ketentuan Allah SWT; kedua, dapat menghindar diri dari sifat sombong kerana sesuatu kejayaan yang telah dicapai; ketiga, menunjukkan kebolehan manusia sangat terbatas untuk melakukan sesuatu di hadapan manusia dan Allah SWT; dan keempat, berkenyakinan bahawa hari esok lebih baik daripada hari ini. Dengan mengucapkan InsyaAllah, manusia akan mempunyai rasa rendah diri terhadap Penciptanya iaitu dengan mengakui bahawa hanya Allah SWT sahaja yang dapat memakbulkan dan merealisasikan apa yang diingini dan dirancangnya.


Allah SWT telah mengajar RasulNya, Muhammad SAW untuk mengucapkan kalimah ini. Ini telah diterangkan di dalam ayat 23-24, Surah Al Kahfi  yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi (23) kecuali (dengan menyebut): "InsyaAllah". Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: "Mudah mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini" (24).
 

Diceritakan dalam Tafsir Ibnu Kathir bahawa suatu hari, kaum Quraisy mengutus an-Nadlr bin al-Harts dan Uqbah bin Abi Mu'ith menemui seorang pendita Yahudi di Madinah untuk menanyakan kenabian Muhammad bin Abdullah. Kedua utusan itu menceritakan segala perkara yang berkaitan dengan sikap, perkataan, dan perbuatan Muhammad bin Abdullah.


Pendita Yahudi tersebut  berkata, "Tanyakan kepada Muhammad bin Abdullah tentang tiga perkara.  Jika ia dapat menjawabnya, ia Nabi yang diutus. Akan tetapi, jika tak dapat menjawabnya, ia hanyalah orang yang mengaku sebagai Nabi. Pertama, tanyakan tentang pemuda-pemuda pada zaman dahulu yang meninggalkan kota dalam tempoh yang lama dan perkara yang terjadi sesudahnya (pemuda ashabul-kahfi). Kedua, tanya kepadanya tentang seorang pengembara yang sampai ke Masyriq dan Maghrib serta peristiwa yang berlaku (Kisah Dzulkarnain). Ketiga, tanya kepadanya tentang roh."


Kedua-dua utusan kaum Quraisy tersebut pulang ke Makkah lalu menemui Rasulullah SAW dan menanyakan ketiga-tiga persoalan tersebut di atas. Namun Rasulullah SAW memintanya untuk menunggu sehingga esok hari kerana mengharapkan turunnya wahyu pada keesokan harinya tanpa mengucapkan InsyaAllah. Keesukan harinya, wahyu tidak turun seperti yang diharapkan oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW gagal menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh golongan kafir itu.


Rasulullah SAW menunggu-nunggu wahyu sampai 15 malam, namun Jibril tak kunjung datang. Orang-orang Makkah mulai mencemoh dan Rasulullah SAW sendiri sangat sedih, gundah gulana, dan malu karena tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada kaum Quraisy. Kemudian, datanglah Jibril membawa wahyu yang menegur Nabi SAW kerana menjanjikan sesuatu pada esok hari tanpa mengucapkan "InsyaAllah". (ayat 23/24, Surah al-Kahfi).


Jibril juga menyampaikan jawapan kepada ketiga-tiga persoalan tersebut iaitu tentang pemuda-pemuda ashabul-Kahfi (ayat 9 ~26); tentang Dzulqarnain (ayat 83~101)  dan tentang roh (ayat 85).


Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, Ibnu Hatim, dan Ibnu Majah, mereka sama-sama sebulat suara berkata bahawa turunnya ayat 23 dan 24 dalam surah al-Kahfi adalah kerana Allah swt menegur Nabi Muhammad SAW kerana tidak mengucapkan InsyaAllah  ketika berjanji. Dan dengan sebab itulah wahyu yang diturunkan menjadi lambat kerana kegagalan Rasulullah SAW mengucapkan InsyaAllah.


Turunnya ayat ini sebenarnya memberi pengajaran besar bukan sahaja buat Rasulullah SAW tetapi juga kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Oleh itu, Rasulullah ASW menyarankan umatnya untuk mengucap InsyaAllah ketika berjanji dan sentiasa berdoa mengharap petunjuk daripada Allah  SWT bagi mengharapkan keberkatan daripada-Nya. Kita sebagai umat baginda, mestilah mempraktikkan apa yang telah disuruh oleh Allah SWT ke atas RasulNya.


Terdapat suatu kisah di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Qalam ayat 17 yang menerangkan kepentingan kalimah InsyaAllah. Di dalam ayat tersebut Allah SWT telah menceritakan berkenaan pemilik-pemilik kebun yang telah dimusnahkan kebun mereka oleh Allah SWT. Mereka telah bersumpah untuk memetik buah-buahan di kebun-kebun mereka keesokkan harinya tanpa mengucapkan InsyaAllah. Tatkala mereka tidur kebun-kebun mereka telah dimusnahkan buah-buahannya oleh Allah SWT, kerana mereka tidak mahu mengeluarkan sedikit hasil kebun mereka untuk orang miskin. Setelah mereka melihat keesokan harinya kebun-kebun mereka, mereka telah bertaubat dan mengatakan bahawa mereka adalah orang yang tidak dapat menikmati hasil kebun-kebun mereka. 


Terdapat juga kisah daripada hadith riwayat Imam al-Bukhari bahawa Nabi Allah Sulaiman a.s. telah bersumpah untuk meniduri isteri-isterinya seramai enam puluh orang secara bergilir-gilir dalam satu malam, agar mendapat anak-anak yang dapat berjuang di jalan Allah SWT. Tetapi baginda tidak mengatakan InsyaAllah walaupun telah diperingatkan oleh malaikat. Akhirnya, isteri-isteri baginda tidak melahirkan anak kecuali seorang sahaja yang melahirkan anak yang cacat. Nabi Muhammad SAW mengatakan jika Nabi Sulaiman a.s. mengatakan InsyaAllah pasti baginda akan mendapatkan anak-anak yang akan berjuang ke jalan Allah SWT.


Oleh itu, sebagai orang Islam, kalimah InsyaAllah hendaklah sentiasa bermain dibibir kita apabila ingin melakukan sesuatu atau berjanji moga-moga apa yang diingini akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sebaliknya kita janganlah sewenang-wenangnya menggunakan kalimah InsyaAllah apabila berjanji dengan Allah SWT atau sesama manusia kerana sesungguhnya memenuhi perjanjian adalah satu perintah oleh Allah SWT yang wajib dilaksanakan ketika mana kita mampu melaksanakannya. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sempurnakan janji-janjimu….(Al-Maidah, ayat 1)“ ….. dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dituntut pertanggungjawabannya“ ( Al-Isra, ayat  34 ). Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah itu sesudah meneguhkannya …..“ (An-Nahli, ayat 91).


Manakala hadis Nabi Muhammad SAW telah dengan jelas meletakkan manusia-manusia yang mempunyai sifat tidak suka menyempurnakan janji apabila berjanji sebagai antara sifat-sifat orang munafik. Sabda baginda yang bermaksud:  “Di antara tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, iaitu jika bercakap ia berbohong. Apabila berjanji ia mengingkari janji itu, dan sekiranya diberikan amanah ia mengkhianatinya.” (Hadis riwayat Muslim).


Oleh itu, penggunaan kalimah InsyaAllah ini bukan digunakan hanya sebagai helah untuk hadir semasa menerima sesuatu undangan, sedangkan di dalam hati kita sebaliknya. Tidak selayaknya, kalimah yang telah diperintah di dalam Al Quran oleh Allah SWT untuk melakukan sesuatu perkara yang baik digunakan sebagai helah untuk tidak memenuhi sesuatu janji yang telah dibuat. Perbuatan ini adalah suatu dosa. 


Jika kita sememangnya tidak mahu memenuhi sesuatu undangan, hendaklah berterus terang tanpa perlu menggunakan kalimah InsyaAllah. Dengan itu, kita telah berjaya mengelakkan dua tanda-tanda orang munafik iaitu berbohong dan memungkiri janji. Berbohong kerana mengatakan akan hadir dengan menyebut InsyaAllah dan memungkiri janji dengan perbuatannya yang tidak hadir untuk memenuhi undangan tersebut.

Wallahhu’alam, semuga ada manafaatnya.

No comments:

Post a Comment