Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasehi.
Tahun 2003 aku dan isteri telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawarah, tetapi kali ini untuk menunaikan haji. Aku dan isteri mengambil pakej daripada Utas Travel yang beribu pejabat di ALor Gajah, Melaka. Penerbangan kami adalah terus ke Jeddah dan kemudian masuk ke Makkah Al-Mukarramah.
Tahun 2003 aku dan isteri telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawarah, tetapi kali ini untuk menunaikan haji. Aku dan isteri mengambil pakej daripada Utas Travel yang beribu pejabat di ALor Gajah, Melaka. Penerbangan kami adalah terus ke Jeddah dan kemudian masuk ke Makkah Al-Mukarramah.
Makkah
berasal dari kalimah ‘Bakkah’ ertinya tanah lembah yang dikelilingi deretan
bukit batu. Di sana telah wujud satu binaan paling awal sebagai tempat ibadah
dipanggil ‘Baitullah’ yang penuh dengan keberkatan. Allah SWT berfirman yang
bermaksud : “Sesungguhnya
rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah,
yang barakah dan dijadikan pertunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada
tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, antaranya
ialah Maqam Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia”… ayat
96-97, Surah Ali Imran.
Ada riwayat mengatakan saperti berikut;
Baitullah telah dibina oleh malaikat sebagai
tempat tawaf dengan tujuan untuk menebus dosa atas ketelanjuran mereka seperti
memprotes tidak setuju Nabi Adam AS dijadikan sebagai Khalifah Allah di
muka bumi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “ dan
ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku (Allah)
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka berkata, ‘adakah engkau
(wahai Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan
menumpahkan darah, pada hal kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan
memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui akan
apa yang kamu tidak ketahuinya” … ayat 30, Surah Al-Baqarah.
Para malaikat telah menyesali atas
ketelanjuran mereka seolah-olah tidak bersetuju Nabi Adam AS dijadikan khalifah
di muka bumi, lalu mereka telah menebus dosa mereka dengan melakukan
tawaf mengelilingi Arasy. Oleh kerana Arasy itu tersangat luas maka Allah SWT
pun mencipta suatu binaan lain yang lebih kecil dan sesuai untuk para
Malaikat melakukan tawaf dinamakan Baitul Ma’mur yang kedudukannya dikatakan
betul-betul di bawah Arasy.
Manakala para malaikat yang bertugas di
bumi, Allah telah menyuruh mereka agar membina suatu binaan yang fungsinya
menyamai fungsi Baitul Ma’mur di langit, iaitu sebagai tempat tawaf bagi
mereka di bumi. Itulah Baitullah atau Kaabah yang terletak di tengah-tengah
Masjidil Haram di Makkah. Ia dikatakan selari dengan kedudukan Arasy di langit.
Apabila Nabi Adam dan Hawa bertemu di Jabal
Rahmah setelah keduanya disingkirkan dari Syurga, maka mereka berdua telah pergi ke Makkah lalu bertawaf atau
mengelilingi Kaabah yang telah wujud di sana. Dan, mereka berdua itulah yang
mula-mula tawaf daripada kalangan manusia.
Setelah berlalu ribuan tahun sejak Kaabah itu
dibina oleh malaikat di bumi Makkah, maka Allah swt telah menitahkan kepada
Nabi Ibrahim AS dan puteranya Nabi Ismail AS untuk membina semula Kaabah setelah
berlaku kerosakan, dan memakmurkan Makkah sebagai pusat ibadah dan kota suci
Umat Islam.
Beberapa tahun sebelum itu, Ismail bersama
ibunya Hajar diletakkan di sisi Kaabah, sedang Nabi Ibrahim a.s meninggalkan
mereka berdua kerana baginda a.s terpaksa pulang ke Palestin atas tugas dakwah
kepada masyarakat di sana. Sebelum meninggalkan mereka berdua, Nabi Ibrahim AS
dan dinyatakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: ” Wahai
Tuhanku, Aku telah menempatkan sebahagian daripada keluargaku di sebuah lembah
yang tandus tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi RumahMu yang diharamkan
mencerobohnya. Wahai Tuhan kami (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan
solat (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu jadikanlah hati sebahagian
daripada manusia tertarik kepada mereka. (supaya datang beramai-ramai ke
situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis
buah-buahan , semoga mereka bersyukur”… ayat
37, surah Ibrahim.
Nabi Ibrahim AS juga berdoa sebagaimana
dinyatakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: ”Wahai
Tuhanku! Jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki
daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang
beriman kepada Allah dan hari Akhirat di antara mereka.”… syat
126, surah Al-Baqarah.
Alhamdulillah berkat doa Nabi Ibrahim AS dan
berkat kesabaran Siti Hajar, akhirnya telah wujud telaga Air ZamZam yang airnya
tidak putus-putus dan Makkah mula dikunjungi orang. Kemudian akhirnya ia
telah menjadi kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat
Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan haji dan umrah.
Aku dan isteri memilih untuk mengerjakan haji tamatuk kerana
hari wukuf masih ada dua minggu lagi. Jadi kami telah siap memakai pakaian
ihram dari Kelana Jaya lagi. Kami berniat ihram sebelum kapal terbang melepasi
Qarnul Mananzil dan kami masuk ke Makkah dengan ihram umrah. Kapal terbang yang
kami naiki mendarat di Terminal Haji Jeddah.
Ini dia Terminal Haji di Jeddah … terminal ni dulu hanya
digunakan semasa musim haji sahaja, tetapi kini jemaah umrah yang menggunakan
penerbangan selain Saudi Airline, juga mendarat di sini.
Keadaan didalam terminal ni sentiasa sebok semasa musim haji…
jemaah haji dari seluruh dunia menggunakan terminal ini.
Lama juga kami menunggu untuk melepasi pemeriksaan imigresen
kerana ketika itu ribuan para jemaah sampai pada masa yang hampir sama. Ada
dalam sekitar tiga jam baru kami sampai diluar dan kami menunggu lagi kerana
bas belum sampai lagi, katanya jalan sesak. Namun akhirnya dapat juga kami naik
bas dan terus dibawa ke Makkah.
Setibanya di Kota Makkah kami ditempatkan di Hotel Shaema
Palace yang jaraknya hanya kira-kira 50 meter sahaja dari dataran Masjidil
Haram. Aku menempah penginapan untuk tiga orang sebilik. Tanpa kami duga,
mereka memberikan kami penginapan untuk dua orang sebilik sepanjang berada di
Makkah tanpa bayaran tambahan. Kami bersyukur kepada Allah SWT kerana
segala-galanya berjalan lancar. Penginapan yang hampir dengan masjid memudahkan
kami berulang-alik ke masjid setiap kali masuk waktu solat. Nota: Hotel tersebut kini telah dirobohkan
untuk pembesaran Masjidil Haram.
Walaupun masih ada dua minggu lagi sebelum wukuf, tetapi
Masjidil Haram sudah dipenuhi ratusan ribu jemaah dari seluruh dunia.
Ribuan jemaah berkumpul diluar Masjidil Haram … ruang dalam
masjid sudah penuh.
Keadaan didalam masjid juga penuh sesak (kiri) sehingga ke
bumbung masjid (kanan).
Pemandangan keadaan masjid yang dipenuhi jutaan jemaah haji
setiap kali solat fardu didirikan.
Sementara menunggu hari wukuf, kami tidak digalakkan
mengerjakan umrah berulang-ulang kali kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan,
kerana pekerjaan wukuf, mabit di Mudzalifah, bermalam di Mina dan melontar
jamrah adalah suatu pekerjaan yang sangat mencabar dan memerlukan banyak
tenaga. Jadi kami hanya memperbanyakkan beribadah di dalam Masjidil Haram dan
melakukan tawaf sunat.
Lagipun dalam satu hadis dari Jabir RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal
daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram
(dimekah): dan satu sembahyang di masjidil haram pula lebih afdhal daripada
seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain” … hadis riwayat
Imam Ahmad.
Menurut para ulamak pula, amalan yang paling
afdhal semasa di Tanah Haram ialah memperbanyakkan Tawaf Sunat. Ini kerana
tawaf merupakan Sunatullah. Semua
makhluk Allah yang melata di bumi hatta di langit sekalipun bertawaf sebagai
menunjukkan ketaatan mereka kepada Allah. Bintang-bintang di langit,
planet-planet yang berada di angkasa lepas semuanya berpusing ikut lawan jam
mengelilingi matahari mengikut paksinya. Malah zarah sekecil atom turut sama
berpusing mengikut aturan Allah. Jika semua makhluk Allah bertawaf sebagai
menunjukkan kepatuhan mereka beribadah kepada Allah, maka sebagai manusia yang
dikurniakan Allah dengan banyak kelebihan sewajarnyalah memperbanyakkan Tawaf
sebagai tanda kita taat dan patuh kepada Allah yang Esa.
Dalam satu riwayat, Ibnu Abbas RA mengatakan
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ” Sesungguhnya setiap hari Allah
menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini. 60 rahmat untuk orang yang
bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk
orang yang memandang Baitullah” … hadis riwayat Al-Tabrani dalam dalam al-Mu`jam
al-Kabir.
Dataran Ka’abah dipenuhi ribuan Jemaah yang
sedang bertawaf tidak kira siang atau malam … keadaan yang biasa pada musim
haji.
Dalam riwayat lain, Anas bin Malik RA pula
mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ” Dua jenis tawaf di mana apabila seorang hamba
Allah dapat melakukannya, nescaya seluruh dosanya akan diampuni seperti ketika
ia dilahirkan oleh ibunya. Dua jenis tawaf itu adalah tawaf setelah solat Subuh
yang selesai bersamaan dengan terbitnya matahari dan tawaf setelah solat Asar
yang selesai bersamaan dengan terbenamnya matahari.” Tidak hairanlah kenapa pada dua waktu tersebut bilangan jemaah yang
bertawaf bertambah berlipat kali ganda berbanding sebelumnya.
Juga dalam riwayat yang lain, Ibnu Umar RA pula
menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ” Barangsiapa melakukan Tawaf di Baitullah,
maka Allah Azza Wa Jalla akan mencatat satu kebaikan dan menghapuskan satu
keburukan bagi setiap langkahnya serta diangkat satu darjat untuknya.” Oleh itu sangat dianjurkan memperbanyakkan
solat sunat dan melakukan tawaf sunat sekerap mungkin sementara menunggu masa
untuk wukuf di Arafah.
Nota: Untuk peristiwa semasa
di Arafah, Mudzalifah dan Mina … temui di memori seterusnya.
Selepas selesai mengerjakan haji, satu hari kami telah dibawa
ke Daerah Hudaibiyah untuk melawat kebeberapa tempat. Hudaibiyah
merupakan sebuah bandar diluar kawasan tanah suci lebih kurang 26 kilometer
dari Masjidil Haram iaitu di
laluan antara Makkah dan Jeddah. Nama
Hudaibiyah diambil dari nama telaga, yang juga dikenal dengan sebutan telaga
Asy-Syumaisi.
Destinasi pertama yang kami singgahi di Hudaibiyah ialah
salah satu ladang unta yang terletak di kawasan padang pasir, ditepi jalan di
kawasan Hudaibiyah.
Berada di ladang unta di Hudaibiyah.
Di ladang unta, kami berpeluang untuk melihat
pemerahan susu unta dan membeli susu unta dengan harga lima riyal untuk satu
botol kecil. Aku sempat juga membeli beberapa botol untuk diminum dan rasanya
segar dan lazat. Jemaah lain kata susu unta ada power, tapi aku tak kisah.
Selain daripada minum susu unta, juga perlu
diperhatikan bagaimana caranya unta duduk dan berdiri kerana dalam satu hadis
daripada Abu Hurairah disebutkan
bahwa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya “Apabila salah seorang dari kamu
sujud maka janganlah ia turun sujud sebagaimana menderumnya (turun duduk) unta,
dan hendaklah ia meletakkan kedua tangannya sebelum kedua lututnya” …
hadis riwayat Abu Dawud (840).
Dalam
hadis dari Wail ibnu Hujr, ia berkata, “Aku pernah melihat Nabi SAW ketika sujud meletakkan kedua lutut beliau
sebelum kedua tangannya. Semasa bangkit, baginda mengangkat kedua tangannya
sebelum kedua lututnya” … hadis riwayat Abu Dawud (838), an-Nasa’i
(1089), Ibnu Majah (882), at-Tirmidzi (268).
Sekiranya
kita perhatikan betul-betul, unta akan melipat kaki depannya lebih dahulu
semasa hendak turun duduk menyebabkan keadaannya menonggeng iaitu punggung
diatas dan bahagian kepala di bawah. Jadi sekiranya kita turun untuk sujud
dengan menundukkan kepala dan badan kebawah dahulu sedangkan punggung masih
diatas, ia adalah menyerupai unta dan keadaan tersebut amatlah tidak sopan dan
ditegah.
Oleh
itu semasa turun sujud hendaklah kaki kita di lipatkan terlebih dahulu supaya
bahagian punggung turun kebawah dahulu kemudian barulah kita menundukkan badan
dan kepala serta meletakkan tapak tangan ke lantai untuk sujud. Dalam keadaan
ini kita boleh memilih samaada untuk meletakkan lutut dahulu atau tapak tangan
dahulu mengikut keselesaan kita. Yang pasti jangan menundukkan bahagian badan
dahulu untuk turun sujud sedangkan bahagian punggung masih lagi di atas. Begitu
juga semasa hendak berdiri, hendaklah kita menegakkan badan dan kepala dahulu
baru meluruskan kaki supaya berbeza dengan unta yang meluruskan kaki
belakangnya dahulu menyebabkan bahagian ponggong naik keatas dahulu baru bahagian
badan.
Gambar
atas tengah … cara unta turun duduk, sekiranya kita dalam solat nak turun sujud
sama saperti unta, kepala dan badan turun dahulu sedangkan ponggong masih
diatas, alangkah tidak sopannya … sebab itu ditegah.
Selain
daripada melihat cara unta duduk dan berdiri, hendaklah kita perhatikan
betul-betul akan unta tersebut saperti bahagian kaki, kenapa tapak kakinya
lebar, kenapa kulitnya tebal, kenapa ia mempunyai bonjol, kenapa hidung, matang
dan telinganya Allah SWT ciptakan begitu. Ini kerana Allah SWT dalam surah
Al-Ghasiyah, ayat ke 7 telah berfirman yang bermaksud: ”Maka
apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan”.
Sekiranya kita singgah di ladang unta hanya
sekadar mahu minum susu unta maka kita akan rugi kerana tidak dapat menyedari
kehebatan makhluk ciptaan Allah SWT.
Kawasan Hudaibiyah kini sudah berkembang
menjadi kawasan penempatan dan penternakan. Di sepanjang jalan dari Makkah ke
Hudaibiyah, akan kelihatan banyak ladang ternakan unta dan kambing yang
terdapat dikawasan padang pasir.
Kenyang minum susu unta di ladang unta Hudaibiyah, kami
dibawa ke Masjid Asy-Syumaisi atau lebih dikenali sebagai Masjid Hudaibiyah yang dijadikan miqat bagi umat
Islam yang melaksanakan ibadah haji atau umrah.
Ini dia Masjid Hudaibiyah
Masjid Hudaibiyah ini mempunyai sejarahnya
yang tersendiri kerana dikaitkan dengan Perjanjian Hudaibiyah dan sirahnya
adalah saperti berikut.
Dalam tahun ke 6 Hijrah, Rasulullah SAW telah
bermimpi yang Baginda serta
sahabat-sahabat telah masuk ke Masjidil Haram dan melakukan umrah dengan aman.
Maka turunlah ayat 27 dari surah Al-Fath. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya
Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan
sebenarnya, (yaitu) bahwa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram,
insya Allah dalam keadaan aman, mencukur rambut dan mengguntingnya, sedang kamu
tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia
memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat” … ayat 27, surah Al-Fath.
Rasulullah SAW kemudian memerintahkan umat
Islam Madinah bersiap-siap untuk pergi ke Makkah bagi melakukan umrah. Umat
Islam Madinah pun menyambut perintah Rasulullah SAW dengan gembira kerana sudah
enam tahun mereka tidak masuk ke Makkah.
Maka pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 Hijrah, Rasulullah SAW dan
para sahabat seramai 1500 orang dari golongan Ansar dan Muhajirin berangkat ke
Makkah tanpa membawa persiapan perang. Rasulullah SAW telah siap
berihram dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau
dikorbankan sebagai memberitahu kepada orang lain bahawa Rasulullah SAW keluar
sedemikian bukan bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk
berziarah ke Baitulullah bagi menunaikan ibadah umrah.
Semasa dalam perjalanan, Rasulullah SAW telah mendapat berita yang
kaum Quraisy Makkah sudah menyiapkan pasukan untuk berperang. Ternyata ketika rombongan Rasulullah SAW
sampai di Hudaibiyah, kaum kafir Quraisy telah menghalang mereka dari memasuki
tanah haram Makkah. Rasulullah SAW mengutus Sayyidina Uthman bin Affan untuk
berunding dengan mereka. Uthman
telah dipilih atas sifatnya yang lemah lembut dan bertolak ansur serta
merupakan seorang sahabat yang matang dan berusia berbanding sahabat yang lain
disamping mempunyai ramai saudara mara di Makkah.
Setelah lama menunggu Sayyidina Uthman yang tidak kembali,
terdengar berita mengatakan bahawa Sayyidina Uthman mati dibunuh sehingga
menyebabkan para sahabat marah dan berbai’ah dengan Rasulullah untuk memerangi
Quraisy. Sumpah taat setia tersebut
telah diikrarkan oleh para sahabat di hadapan Rasulullah SAW di bawah sebatang
pohon di tepi telaga. Salah satu dahan pohon tersebut dipegang oleh Ma’qil bin
Yasir, sedangkan Sayyidina Umar Bin Khattab memegang tangan Rasulullah SAW.
Bai’at tersebut dikenali dengan nama Bai’atur
Ridhwan. Nota: Ditempat pohon tersebut
kemudiannya telah dibina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Bai’ah
Ar-Ridhwan namun kini hanya tinggal binaan asasnya sahaja yang terletak di
bahagian kiblat Masjid Hudaibiyah.
Selesai perjanjian taat setia para
sahabat dengan Rasulullah SAW, maka turun wahyu daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memberi
pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang
musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah
mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh
itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak
menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa
yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala
yang besar”… ayat 10, surah Al-Fath.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah redha akan
orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia
kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di
Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang
(kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Allah
menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan
kemenangan yang dekat masa datangnya” ... ayat 18, surah Al-Fath.
Pada peringkat awal kafir Quraisy Makkah tidak mempedulikan,
tetapi apabila mendapat tahu yang orang-orang Islam telah bersumpah setia
dengan Nabi SAW untuk membela Uthman yang dikatakan dibunuh, orang Quraisy
mulai merasa takut dan membebaskan Uthman sambil menyatakan kesediaannya untuk
berunding dan telah menghantar Suhail bin Amru untuk berbincang. Akhirnya
kedua-dua pihak bersepakat untuk mengadakan perjanjian damai. Maka wujud
Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah SAW dan kafir Quraisy Makkah pada tahun
ke 6 Hijrah bersamaan 628M.
Isi kandungan Perjanjian tersebut adalah seperti
berikut:
- Gencatan senjata antara Makkah dengan Madinah selama 10 tahun.
- Warga Makkah yang meninggalkan Makkah dan memasuki Madinah tanpa izin walinya harus dihantar balik ke Makkah.
- Warga Madinah yang meninggalkan Madinah dan memasuki Makkah tidak perlu dihantar balik ke Madinah.
- Warga selain Mekah dan Madinah, dibebaskan memilih untuk berpihak ke Mekah atau Madinah.
- Pada masa tersebut, rombongan Rasulullah SAW harus meninggalkan Makkah dan dibenarkan memasuki Makkah tahun berikutnya serta dibenarkan tinggal selama tiga hari di Makkah dengan syarat hanya membawa senjata bersarung (bukan senjata untuk berperang). Selepas tiga hari, mereka haruslah keluar daripada Makkah.
- Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.
- Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu dalam peperangan.
Isi perjanjian tersebut sedikit
sebanyak telah mengecewakan kaum Muslimin sehingga Saidina Umar bin Al-Khattab
sendiri memprotesnya. Ketika Rasulullah SAW memerintahkan kaum Muslimin untuk
menyembelih haiwan kurban yang mereka bawa, tidak ada seorang pun yang
bersegera mematuhinya. Namun akhirnya terbukti bahawa Rasulullah SAW mempunyai
visi politik yang sangat hebat sehingga tidak terlintas difikiran orang lain
dan Rasulullah SAW tidak memberitahu orang lain akan rahsia disebalik
perjanjian tersebut.
Perjanjian itu kemudiannya
dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’ atau ‘Sulh Hudaibiyah’. Kemudian
Rasulullah SAW dan para sahabat berangkat balik ke Madinah. Di tengah
perjalanan itulah melalui perantaraan Malaikat Jibril AS, turun wahyu yang dikenali
dengan istilah Fathun Mubiinun (kemenangan nyata).
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah membuka
bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata
(1). Kemenangan yang dengan sebabnya
Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan
menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang
lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya) (2). Dan
dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan
sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)
(3). Dialah Allah yang menurunkan
semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka
meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta
dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai
tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana” (4).
(Allah melakukan demikian) supaya ia memasukkan orang yang beriman ke
dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal
mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan yang demikian itu
pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka)” (5)…. Surah
Al-Fath, ayat 1 hingga 5.
Diantara rahsia disebalik perjanjian
Hudaibiyah yang tidak diketahui oleh para sahabat adalah:
- Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Suhail bin Amru, sebagai wakil kaum Quraisy. Suku Quraisy adalah suku paling dihormati di daerah Arab, sehingga sesiapa sahaja akan menghormati apa yang mereka lakukan. Dengan termetrainya perjanjian tersebut, maka Madinah diakui sebagai suatu daerah yang mempunyai pemerintahan sendiri. Jika Suku Quraisy telah mengakui, maka suku-suku lain pun pasti mengakuinya.
- Dengan perjanjian tersebut, pihak Quraisy Makkah memberi kuasa kepada Madinah untuk menghukum mereka jika melanggar perjanjian tersebut.
- Tempoh gencatan senjata selama 10 tahun memberi peluang kepada Rasulullah SAW mengukuhkan kedudukan Madinah dengan menghantar utusan ke negara-negara saperti Mesir, Persia, Romawi, Habasyah (Ethiopia) dan lain- lain bertujuan mengembangkan agama Islam.
- Perjanjian tersebut juga memberi jaminan bahawa kaum Quraisy Makkah tidak akan memusuhi kaum Muslimin Madinah dan ini memberi peluang kepada kaum Muslimin Madinah menghukum kaum Yahudi Bani Khaibar yang telah menjadi dalang terhadap serangan Quraisy Makkah keatas kaum Muslimin Madinah didalam Peperangan Ahzab (Perang Khandaq).
- Satu perkara yang pasti bahawa Rasulullah SAW sangat faham akan perangai dan sifat Quraisy Makkah dan Baginda yakin bahawa mereka akan melanggar perjanjian tersebut sebelum tempoh sepuluh tahun berakhir. Keyakinan Rasulullah SAW menjadi kenyataan apabila pada tahun ke 8 Hijrah, Quraisy Makkah telah melanggar perjanjian. Kesempatan tersebut di ambil oleh Rasulullah SAW untuk melakukan penaklukan (pembukaan) kota Mekah yang terjadi secara damai tanpa pertumpahan darah kerana kaum kafir Quraisy sudah tidak berdaya lagi.
Setelah bersalin pakaian dengan hanya memakai dua helai kain
ihram, aku mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid untuk mendirikan solat
tahiyatul masjid dan solat sunat ihram. Kemudian aku dan isteri berniat ihram
umrah.
Dihadapan Masjid Hudaibiyah setelah selesai solat sunat ihram
dan berniat ihram umrah di dalam masjid.
Di sebelah kanan kiblat masjid Hudaibiyah, terdapat bekas bangunan
masjid lama yang dibangun dengan batu hitam yang merupakan tempat berlakunya
Bai’ah diantara para sahabat dengan Rasulullah SAW.
Ini dia yang dikatakan bekas tapak Masjid Bai’ah Ar-Radhwan yang terletak
dibahagian kiblat Masjid Hudaubiyah.
Selesai berihram umrah, kami dibawa ke destinasi ke tiga pagi
iatu iaitu Muzim Dua Masjid Suci yang tidak jauh daripada Masjid Hudaibiyah.
Dihadapan Muzium Dua Masjid Suci iaiatu Masjidil Haram dan
Masjid Nabawi.
Muzium tersebut menyimpan khazanah daripada Masjidil Haram
dan Masjid Nabawi dan telah dirasmikan oleh Raja Abdullah lebih kurang 20 tahun
yang lalu. Semasa musim haji, muzium tersebut dibuka setiap hari dan kebenaran
daripada Kementerian Kebudayaan Arab Saudi di perlukan sebelum berkunjung ke
muzium tersebut. Masuk ke muzium adalah percuma.
Antara barangan yang di pamerkan adalah … tiang kaabah.
Di salah satu kaligrafi indah
Ini pula … telaga zam-zam.
Di salah satu sudut didalam muzium.
Ini pula hajarul Aswad.
Di hadapan kaligrafi khat yang pernah menghiasi dinding
Ka’abah.
Ini pula … pintu Kaabah
Di hadapan pintu yang pernah di pasang di Masjid Nabawi.
Kira-kira 45 minit berada di dalam muzium dua masjid suci,
kami pun beredar keluar dan menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya iaitu Jabal
Rahmah yang terletak berhampiran padang Arafah.
Di Jabal Rahmah … tempat pertemuan semula Adam dan Hawa.
Kami tidak lama di Jabal Rahmah, sekadar singgah untuk
mengambil gambar kerana perlu bergegas balik ke Makkah untuk solat zuhur di
Masjidil Haram. Dalam perjalanan, mutawif yang bersama kami telah menceritakan
sirah pembukaan Kota Makkah.
Peristiwa Pembukaan Kota Makkah berlaku pada
tahun ke 8 Hijrah apabila Bani Bakar yang berada di bawah jagaan Quraisy telah
bertindak menyerang Bani Khuza’ah yang berada di bawah pembelaan Rasulullah SAW.
Bani Bakar dengan bantuan kafir Quraisy telah melakukan serangan sehingga 20
orang daripada Bani Khuza’ah telah terkorban. Melihat kezaliman ini maka ‘Amru
bin Salim bersama 40 orang berkuda daripada Bani Khuza’ah telah pergi ke
Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah SAW. Lalu
Baginda menjanjikan pertolongan kepada Bani Khuza’ah.
Kuffar Quraisy yang mendapat berita
bahawa Rasulullah SAW telah diberitahu tentang tindakan mereka memerangi Bani
Khuza’ah ini merasa begitu menyesal kerana serangan ini merupakan perlanggaran
terhadap perjanjian Hudaibiah yang telah dibuat sebelum ini antara Quraisy
dengan Rasulullah SAW. Puak Quraisy terus menghantar Abu Sufian bin Harb untuk
bertemu Rasulullah SAW bagi meminta maaf terhadap kejadian yang berlaku tetapi Rasulullah
SAW dan para sahabat yang lain tidak melayan
rayuan tersebut sehingga Abu Sufian pulang dalam keadaan kecewa tanpa sebarang
keputusan.
Rasulullah SAW telah membuat persiapan untuk
memasuki Kota Makkah dengan kekuatan sepuluh ribu pasukan Muslimin. Sebelum memulakan perjalanan, Baginda berdoa,
"Ya Allah, aku mohon kepada-Mu
janganlah ada seorangpun daripada kaum kafir Mekah yang melihat kedatangan
kami, agar kami dapat menangkap mereka semua secara mendadak". Namun salah seorang muslimin iaitu Hatob telah
menulis surat bertujuan memberitahu keluarganya di Kota Makkah tentang
perancangan Rasulullah SAW itu. Rasulullah SAW telah mengutus Sayyidina Ali,
Zubair dan Miqdad untuk merampas surat tersebut dan apabila disoal siasat maka
Hatob telah memberitahu bahawa dia hanya mahu menyelamatkan satu-satunya ahli keluarganya
yang berada di Kota Makkah. Rasulullah SAW menerima alasan tersebut dan tidak
membenarkan Sayyidina Umar al-Khottab memancungnya kerana Hatob merupakan salah
seorang yang pernah menyertai peperangan Badar sebelum ini di mana Allah SWT telah
menjanjikan keampunan kepada ahli Badar.
Apabila pasukan Muslimin telah begitu hampir
dengan Kota Makkah, kaum kafir Quraisy telah menjadi sangat takut, yang memaksa
Abu Sufian serta pemimpin Quraisy mengelilingi dan mengawasi keadaan Kota Makkah
pada setiap malam daripada sebarang ancaman.
Suatu malam, bapa saudara Nabi SAW iaitu Abbas
telah menemui pemimpin Quraisy iaitu Abu Sufian yang membawa kepada pengislaman
Abu Sufian. Abbas meminta agar Rasulullah SAW memberi penghargaan kepada Abu
Sufian sebagai seorang pemimpin Quraisy yang disegani. Nabi bersabda, "Sesiapa
yang masuk ke dalam rumah Abu Sufian ia akan selamat, sesiapa yang masuk ke
dalam rumahnya sendiri ia akan selamat, dan sesiapa yang masuk ke dalam
Masjidil Haram juga akan selamat".
Pasukan Muslimin memasuki
Kota Makkah dengan Khalid bin Al-Walid bersama pasukannya bergerak masuk ke Kota
Makkah dari arah kanan, Zubair bin Al-Awwam dari arah kiri, sementara Abu
Ubaidah bin Al-Jarrah memimpin pasukan pejalan kaki. Rasulullah SAW bergerak
menuju ke Baitullah dengan kawalan kaum Ansar dan Muhajirin. Pasukan Muslimin
tidak mendapat tentangan hebat kecuali sekelompok kecil pemuda kafir Quraisy
yang menghalang Khalid bin Walid dan tenteranya. Seramai lapan orang daripada
mereka tewas dalam pertempuran yang singkat itu, sementara bakinya meninggalkan
pertempuran itu . Sementara dua orang tentera Muslimin yang terpisah dari
kelompok pasukan telah dibunuh oleh kafir Quraisy. Seluruh pasukan Muslimin
bergabung dengan Nabi SAW di Bukit Safa yang berada di sempadan Masjidil Haram.
Selepas Rasulullah dan kaum Muslimin berjaya
masuk ke dalam Masjidil Haram, baginda terus mencium Hajarul Aswad serta
mengelilingi Ka’abah dengan menunggang unta. Ketika itu Baginda SAW melihat 360
buah berhala yang berada di sekeliling Kaabah lalu membaca firman Allah SWT, ayat 81 dari surah al-Isra’
yang bermaksud: "Telah datang
kebenaran dan hancur leburlah kebatilan, sesungguhnya kebatilan itu pasti
hancur lebur". Serentak dengan itu Baginda dan para sahabat meruntuhkan
berhala-berhala tersebut dengan busur panah.
Selepas itu, Baginda SAW memanggil Uthman
bin Talhah untuk membuka pintu Ka'abah
dan masuk ke dalamnya. Di dalamnya, Baginda SAW menjumpai patung seekor burung merpati lalu
dimusnahkannya. Baginda juga mengarahkan supaya dipadam semua gambar-gambar
yang terdapat di dalam Ka’abah. Apabila masuk waktu solat Zuhur, Rasulullah SAW
menyuruh Bilal melaungkan azan di atas Ka’abah. Setelah Ka'abah bersih daripada berhala-berhala, Baginda SAW kemudiannya telah menghantar pasukan tenteranya untuk menghancurkan
rumah-rumah yang terdapat berhala di sekitar Kota Makkah.
Orang-orang Quraisy yang dahulunya telah
menyiksa Rasulullah SAW dan umat Islam yang lain telah diberi kebebasan oleh
Rasulullah SAW. Akhirnya dua ribu orang lelaki dan perempuan dari suku Quraisy
memeluk Islam dan memberi taat setia kepada Rasulullah SAW di Bukit Safa. Begitu
juga suku-suku Arab yang lain yang sebelumnya telah yakin atas kenabian
Muhammad bersama-sama dengan jumlah yang besar memeluk Islam.
Selepas peristiwa
tersebut, turun ayat 1 hingga 3, dari surah an-Nars, Allah SWT berfirman
yang bermaksud: "Apabila datang
pertolongan Allah dan kemenangan (semasa kamu wahai Muhammad berjaya menguasai
Makkah) dan kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai, maka
ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya.
Sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat".
Ketika Rasulullah SAW membacakan ayat diatas,
para sahabat nampak sangat gembira, namun Abbas mulai menangis teresak-esak.
Rasulullah SAW pun bertanya apakah yang menyebabkan beliau menangis. Abbas
berkata, "Ini adalah petanda berakhirnya tugas risalah yang engkau bawa
dan boleh jadi Allah SWT akan segera memanggilmu untuk kembali kepada-Nya dalam
waktu terdekat."
Rasulullah SAW bersetuju dengan pendapatnya.
Surah An-Nasr adalah surah terakhir yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW dan Baginda
wafat selepas lapan puluh hari surah an-Nasr diturunkan.
Aku terpegun juga mendengar sirah pembukaan
Kota Makkah yang telah disampaikan oleh mutawif bernama Ust Moin yang
berketurunan Indonesia tetapi telah menetap lebih dua puluh tahun di Kota Makkah.
Sampai di Masjidil Haram, kami terus
melaksanakan tawaf dan sai kemudian bergunting diikuti dengan solat berjemaah
fardu zuhur.
Hari-hari berikutnya kami hanya memperbanyakkan
beribadah di dalam Masjidil Haram untuk solat fardu, solat sunat dan melakukan
tawaf sunat dan sekali-sekala kami melakukan umrah sunat dengan mengambil miqat
di Masjid Tanaem.
Pada hari yang ke tiga puluh berada di Kota Makkah, setelah
mengemaskan semua bagasi dan melakukan tawaf wida’, kami meninggalkan Kota
Makkah untuk ke Kota Madinah dengan menaiki Bas.
Sepanjang berada di Madinah kami menginap di Hotel Saha Al
Safir bersebelahan dengan Hotel Al-Haram. Kedudukannya juga berhampiran dengan
Masjid Nabawi.
Di hotel inilah kami menginap selama lapan malam sepanjang
berada di Madinah. Bilik-biliknya cukup selesa.
Kami berada di Kota Madinah selama sembilan hari lapan malam
untuk mendapatkan sekurang-kurangnya empat puluh waktu solat berjemaah di
Masjid Nabawi. Dalam satu hadis daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda
yang bermaksud:"Barangsiapa
bersolat 40 solat (yakni, solat fardu) di dalam masjidku tidak terputus
solatnya ditulis baginya (pertama) terpelihara dari neraka dan (kedua)
dijauhkan dari azab dan (ketiga) dipelihara dari sifat-sifat nifaq (atau,
menjadi orang munafiq)"… hadis riwayat Imam Ahmad, dalam
Musnad.
Walaupun ada yang berpendapat hadis tersebut lemah
(dhaif), ia masih boleh diamalkan
didalam ruang lingkup Fadhail Amal, kerana amalan ini sudah menjadi
tradisi umat Islam melakukannya. Para ulamak juga berpendapat bahawa latihan 40
waktu solat berjemaah di Masjid Nabawi itu merupakan satu latihan asas bagi
seseorang itu menjadikan solat berjemaah sebagai amalan penghidupan mereka
sekembalinya ke tanah air masing-masing.
Selain daripada itu, umat Islam digalakkan
banyak melakukan solat di Masjid Nabawi kerana kelebihan solat yang diperolehi
sebagaimana hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang
bermaksud: "Melakukan sekali sembahyang
di dalam masjidku (Masjidil nabawi di Madinah) ini adalah lebih baik daripada
1,000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram"… hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Oleh itu sangat rugilah bagi mereka yang tidak
mengambil peluang untuk solat berjemaah di Masjid Nabawi sepanjang berada di
Madinah.
Satu hari semasa aku berada di dalam Masjid
Nabawi aku dapat menyaksikan payung gergasi terbuka yang terdapat diruang
tengah masjid. Nota: Tahun 2003, payung
gergasi hanya terdapat di dalam Masjid Nabawi sahaja. Di luar masjid, payung
gergasi dipasang sekitar tahun 2007.
Keadaan payung gergasi yang belum terbuka.
Payung mula dibuka
Payung terbuka sepenuhnya. Menurut ceritanya,
payung-payung gergasi tersebut telah dipasang semenjak tahun 1992.
Nota: Untuk
sirah ziarah dalaman Masjid Nabawi dan perkuburan Baqi’ boleh ditemui di Memori
2001…bahagian 1.
Kami juga dibawa untuk ziarah luar saperti ke
Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Makam Syuhada Uhud, Masjid Tujuh, Kilang
Percetakan Al-Quran dan Pasar Kurma.
Kami
berada di Masjid Quba.
Selain
daripada ziarah yang dikendalikan oleh Utas Travel, aku dan isteri mengunjungi
Masjid Quba setiap dua hari sekali kerana ada riwayat mengatakan bahawa junjungan
Besar Nabi Muhammad SAW telah mengakui bahawa Masjid Quba' adalah sebuah masjid
yang dikasihinya dan kerap kali Baginda menziarahinya serta sembahyang di
dalamnya.
Manakala
riwayat yang lain mengatakan Abdullah bin Omar RA ada meriwayatkan "adalah
Nabi SAW selalu berziarah ke Masjid Quba'" dan satu riwayat lagi
menyatakan Rasulullah berziarah ke Masjid Quba' setiap hari Sabtu,
kadang-kadang menunggang unta dan terkadang-kadang berjalan kaki serta
menunaikan sembahyang sunat dua rakaat di dalamnya.
Kami berada di Masjid Qiblatain.
Nota:
Untuk sirah ziarah lebih lanjut ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Makam Syuhada
Uhud dan Pasar Kurma boleh ditemui di Memori 2001…bahagian 1.
Kami juga dibawa melawat ke Kompleks Percetakan Al-Quran
Malik Fahd yang terletak lebih kurang 5 km dari Masjid Nabawi.
Ini dia Kompleks Percetakan al-Quran Malik Fahd,
Madinah telah dirasmikan pada 16 Muharram 1405 bersamaan 30 Oktober 1984 dan ditadbir
di bawah Kementerian Urusan Islam,
Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Islam.
Kompleks Percetakan al-Quran dengan keluasan
250,000 meter persegi mampu mencetak sehingga 10 juta naskah setahun. Selain
produk mushaf cetakan riwayat Hafs ‘an Asim yang biasa dibaca oleh kebanyakan
umat Islam seluruh dunia, kompleks ini juga menerbitkan al-Quran terjemahan ke
dalam lebih 50 bahasa seluruh dunia.
Kompleks tersebut sedia
menerima kunjungan para jemaah haji dan umrah namun hanya jemaah lelaki sahaja
yang dibenarkan masuk. Biasanya para pengunjung akan dihadiahkan senaskah
al-quran setiap orang.
Jemaah wanita hanya dibenarkan
setakat bilik pameran dan jualan sahaja. Berbagai jenis Al-Quran di pamerkan
dan juga untuk jualan.
Dimasa-masa lapang sepanjang berada di Madinah, sekali-sekala ada juga kami meronda kedai-kedai berhampiran
Masjid Nabawi dan sekitar hotel penginapan.
Kebanyakkan kedai-kedai yang menjual kurma dan berbagai jenis
pakaian terletak di tingkat bawah bangunan-bangunan hotel dan ada juga shopping
komplek yang terletak di “sub-basement” bangunan, tetapi harganya lebih kurang
sahaja. Ia mengikut kepandaian seseorang dalam tawar-menawar harga.
Sampai hari yang ditetapkan, kami terpaksa juga meninggalkan
Kota Madinah yang penuh barakah untuk pulang ke Tanah air yang telah kami
tinggalkan hampir empat puluh hari. Terasa sebak sekali untuk meninggalkan Kota
Madinah, hanya doa yang aku panjatkan kepada Allah SWT semuga kami di beri
kesempatan untuk datang semula di Kota Suci Madinah Al-Munawarah. Dari Madinah,
kami di bawa ke tempat transit bagi jemaah haji Malaysia yang dikenali sebagai
Madinatul Hujjaj
Ini dia Madinatul Hujjaj. Kami tinggal disini untuk dua hari
satu malam bagi persiapan menimbang barang dan pemberian “boarding pass”.
Ini dia antara “dorm” yang menempatkan katil-katil dua tingkat.
Terdapat sehingga dua puluh katil untuk setaip “dorm”. Kompleks Madinatul Hujjaj
ini dilengkapi dengan pejabat, kelinik, surau dan juga kantin yang dibuka 24
jam.
Daripada Madinatul Hujjaj, kami dibawa menaiki bas terus ke Terminal Haji
Jeddah untuk pulang ke Malaysia dengan doa agar kami mendapat haji yang
diterima.
Sekian, memori 2003 … ikuti memori seterusnya....
No comments:
Post a Comment