zǎoshang
hǎo … selamat pagi
Pagi hari ketiga, selepas sarapan di Mahua Western Flavor
Restaurant, Ms Eka membawa kami ke Dataran
Tiananmen atau terkenal dengan panggilan Tiananmen
Square. Dataran Tiananmen ialah
sebuah dataran terbuka berkeluasan lebih 100 ekar dan yang keempat terbesar
didunia. Dinamakan Tiananmen sempena sebuah pintu pagar besar yang bernama Pintu Damai Syurga atau Tiananmen yang
terletak di bahagian utara dan memisahkan dataran ini dari Kota Larangan
(Forbidden City). Dataran ini penting sekali selaku lambang kebudayaan kerana
pernah menjadi tapak peristiwa-peristiwa terpenting dalam sejarah Negara
China dan didataran inilah berlakunya
Bantahan Dataran Tiananmen tahun 1989.
Semasa kami sampai di bahagian selatan Dataran Tiananmen,
matahari baru sahaja naik. Dalam keadaan sejuk, kami berjalan merentasi dataran
yang memang luas. Ms Eka kata kami akan berjalan kaki dari sini menuju ke Kota
Larangan.
Binaan pertama
yang kami lihat ialah Qianmen Gate
atau Guanchang South Gate yang menjadi pintu masuk dibahagian selatan
satu ketika dahulu (gambar atas). Ia berada disebelah kanan perjalanan kami.
Ini
pula (gambar atas kiri) bangunan The National Museum of China yang terletak dibahagian timur Dataran Tiananmen iaitu disebelah kiri kami.
Muzium ini ditadbir oleh Kementerian Kebudayaan Negara China. Bangunan muzium
tersebut setinggi empat tingkat dengan panjangnya 313 meter dan lebarnya 149
meter telah siap dibina pada tahun 1959. Muzium tersebut adalah hasil gabungan
dua muzium iaitu Museum of the Chinese Revolution yang ditubuhkan pada tahun
1959 dan satu lagi muzium iaitu National Museum of Chinese History yang ditubuhkan
pada tahun 1912.
Gambar
atas kanan pula merupakan The Great Hall of the People terletak di bahagian barat Dataran
Tiananmen iaitu disebelah kanan perjalanan kami. Digunakan sebagai bangunan
pentadbiran dan aktiviti-aktivi perayaan rasmi Negara China juga merupakan
parlimen Negara China. Bangunan yang panjangnya 356 meter, lebar 206.5 meter
dengan ketinggian 46.5 meter telah dibina dalam masa sepuluh bulan sahaja dan
siap dibuka pada September 1959.
Kami
terus berjalan dan sampai di satu tugu dikenali sebagai The Monument to the People's
Heroes merupakan tugu
peringatan Negara China yang
dibina untuk memperingati zaman revolusi abad 19 dan abad 20. Terletak di
bahagian selatan Dataran Tiananmen iaitu disebelah kiri perjalanan kami.
Pembinaan tugu setinggi 37.94 meter mengambil masa yang lama untuk disiapkan
iaitu dari Ogos 1952 hingga Mei 1958. Kami bergambar dihadapan tugu peringatan
tersebut.
Kami
masih lagi berjalan di Dataran Tiananmen apabila kami menjumpai papan iklan
digital yang begitu panjang, pada jangkaan aku hampir 200 kaki panjang. Di KL
belum ada lagi papan iklan digital panjang macam yang ini.
Akhirnya
kami menghampiri Pintu Tiananmen. Menurut Ms Eka, Tiananmen Gate mula-mulanya dibina pada 1420-an ketika Dinasti
Ming. Sewaktu kejatuhan Dinasti Ming, perbalahan besar di antara Li Zicheng dan
maharaja Qing awal telah memusnahkan pintu tersebut. Pada tahun 1651 iaitu diawal
Dinasti Qing, Pintu Tiananmen telah dibina semula. Sepanjang zaman-zaman Ming dan
Qing, tiada dataran awam di Tiananmen; sebaliknya, hanya ada sebidang taman
kecil yang dikelilingi pejabat-pejabat pemerintah. Pada tahun 1958, taman kecil
tersebut telah dibesarkan sehingga menjadi saiz sekarang.
Dari
Dataran Tiananmen kami dibawa berjalan terus ke Forbidden
City atau Kota Larangan
yang merupakan kediaman rasmi bagi Mahajara China yang mula digunakan semasa
Dinasti Ming sehingga akhir Dinasti Qing. Ia juga menjadi pusat istiadat dan
politik kerajaan China selama hampir 500 ratus tahun.
Dibina pada 1406 hingga 1420,
kompleks ini mengandungi 980 buah bangunan yang terselamat dan 8,707 buah bilik
dan merangkumi kawasan seluas 720,000 meter persegi (7,800,000 kaki persegi).
Kota Larangan telah diistiharkan sebagai Tapak
Warisan Dunia UNESCO pada 1987.
Untuk masuk ke kompleks Kota Larangan
mesti melalui Tiananmen Gate sebelum melalui dataran yang agak luas untuk
menuju ke pintu masuk ke Kota Larangan iaitu Meridian Gate.
Ini dia Meridian Gate iaitu pintu
masuk utama ke Komplek Kota Larangan. Nak masuk ke Kota Larangan pun kena
bayaran, tetapi Ms Eka dah uruskan semuanya.
Keluar dari Meridan Gate terpaksa
melalui jambatan yang dikenali sebagai Golden Water River Bridge untuk
menyeberangi Golden Water River (gambar kecil atas, atas) sebelum melalui satu
lagi pintu iaitu Gate of Supreme Harmony (gambar kecil atas, bawah). Ketika itu
orang begitu ramai tetapi keadaan terkawal, masing-masing ikut barisan untuk
menaiki tangga ke Gate of Supreme Harmony.
Sebelum menaiki tangga ke Gate of
Supreme Harmony (gambar atas kanan), isteriku sempat bergambar bersama singa
besi dan juga diatas tangga (gambar kecil atas).
Semasa keluar dari Gate of Supreme
Harmony dengan menuruni anak tangga, kelihatan disebelah kiri ialah Hall of
Military Eminence (gambar kecil atas, atas) dan disebelah kanan adalah Hall of
Literary Glory (gambar kecil atas, bawah), manakala di bahagian hadapan adalah
Hall of Supreme Harmony (gambar atas kanan).
Aku bersama isteri bergambar di
hadapan Hall of Supreme Harmony (gambar atas kiri) sebelum menaiki anak-anak
tangga masuk kedalam. Kami berjalan
terus dan melalui Hall of Central Harmony (gambar kecil atas, bawah) dan
kemudian terus ke Hall of Preserved Harmony (gambar atas kanan).
Menuruni anak tangga dari Hall of
Preserved Harmony (gambar kecil atas, atas), dihadapan adalah Gate of Heavenly
Purity (gambar atas kanan) manakala disebelah kanan adalah Palace of Tranquil
Longevity (gambar kecil atas, bawah).
Kami berjalan terus melalui Gate of
Heavenly Purity untuk ke Palace of Heavenly Purity (gambar atas). Disini ramai
orang yang masuk ke dalam istana sehingga bersesak-sesak.
Selepas bersesak di Palace of
Heavenly Purity, kami terus keluar ke satu lagi bangunan yang dikenali sebagai
Hall of Union and Peace (gambar atas kiri), disini pun keadaannya sama.
Kemudian kami berjalan lagi ke hadapan iaitu ke Hall of Earthly Tranquility
(gambar atas kanan). Nota: Tak dapat ambil gambar penuh sebab kedua-dua
bangunan ini agak rapat.
Rimas dengan orang yang
bersesak-sesak kami terus berjalan tetapi sebelum meninggalkan Hall of Earthly
Tranqulity, kami bergambar beramai-ramai. Dibahagian belakang Hall of Earthly
Tranquility diantara dua tangga turun terdapat satu ukiran batu naga (gambar
atas kanan).
Kami terus menuju ke Gate of Imperial
Garden (gambar atas kiri) untuk ke Imperial Garden. Di laman Imperial Garden
terdapat Love Tree dan ramai orang bergambar disitu. Aku dan isteri dapat juga
bergambar di Love Tree setelah menunggu agak lama.
Kami berjalan terus sehingga melewati
Hall of Imperial Peace (gambar kecil atas) dan juga Hill of Accumulated
Elegance (gambar atas kanan).
Setelah berada lebihkurang dua jam
didalam Komplek Istana Larangan, akhirnya kami sampai ke pintu terakhir iaitu
Gate of Divine Prowess. Sebelum keluar, kami sempat juga melepaskan penat kaki
sambil duduk dikerusi yang berderet disitu.
Sementara itu aku dan isteri masuk ke
dalam satu bilik gambar untuk bergambar dengan berpakaian lengkap maharaja cina
zaman dahulu. Kami keluar melalui Gate of Divine Prowess untuk ke destinasi
seterusnya pada hari itu.
Selepas
makan tengah hari tiba masa untuk menunaikan tanggung jawab kepada Allah SWT,
jadi Ms Eka membawa kami ke sebuah masjid yang terkenal di kota Beijing iaitu
Masjid Niujie.
Secara ringkasnya, kedatangan Islam ke Negara China
bermula pada masa pemerintahan Khalifah Uthman dalam tahun 651 masehi. Baginda
telah menghantar Saad bin Abi Waqas dan Thabit bin Qays untuk bertemu
pemerintah Dinasti Tang. Maharaja Dinasti Tang menyambut baik kedatangan mereka
berdua dan telah memerintahkan satu masjid di bina di Canton sebagai satu
peringatan. Beberapa lama kemudian Saad bin Abi Waqas meninggal dunia di
Guangzhou manakala Thabit bin Qays meninggal di Xinjiang. Dengan pembukaan
Jalan Sutera, ramai pedagang Arab datang ke China bukan sahaja membawa barang
dagangan tetapi mengembangkan agama Islam. Dari hari ke hari, Islam semakin
berkembang di Negara China dan mereka mula membina masjid.
Masjid Niujie merupakan masjid pertama di bina di Kota
Beijing. Masjid yang asal telah dibina pada tahun 996 semasa Dinasti Liao dan
Song. Masjid tersebut telah dimusnahkan oleh Genghis Khan pada tahun 1215. Namun
kemudian telah dibina semula dan pembangunan masjid ini diteruskan pada tahun
1441 semasa Dinasti Ming dan sekali lagi diperluaskan pada tahun 1696 semasa
Dinasti Qing memerintah China. Apabila China menjadi Negara Republik pada tahun
1949, beberapa pengubahsuaian terhadap masjid Niujie telah dilakukan pada
tahun-tahun 1955, 1979 dan 1996. Pengubahsuaian terakhir telah dilakukan
sebelum Kota Beijing menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tahun 2008.
Terletak di Daerah Xuanwu yang merupakan kawasan paling ramai
penduduk Islam di kota Beijing iaitu lebih kurang 10,000 orang. Dinamakan
NiuJie sempena nama Jalan Lembu iaitu Jie bererti jalan manakala Niu bererti
lembu.
Masjid
Niujie dilingkungi oleh tembok batu bata yang agak tinggi, kalau berjalan kaki
di tepi jalan memang tak boleh nampak. Hanya terdapat satu papan tanda kecil
bertulisan jawi dan cina dengan warna hijau di satu pintu gerbang (gambar atas
kiri). Masuk melalui pintu gerbang
kemudian akan menjumpai satu pintu berdaun warna merah (gambar atas tengah) dan
masuk kedalam baru boleh nampak Masjid Niujie. Di dalam ada papan tanda
menunjukkan arah bilik wuduk, tandas dan bilik solat (gambar kecil atas, atas).
Aku
terus ke bangunan tempat mengambil wuduk lelaki yang bersambung dengan tandas
lelaki. Mengikut catatan, bangunan ni telah dibina pada tahun 1921. Ruang
wuduknya agak luas, bersih dan selesa dan dilengkapi dengan tempat duduk untuk
berwuduk, air panas dan air biasa.
Selepas
berwuduk aku masuk ke dalam masjid melalui pintu lelaki (gambar kecil atas)
untuk ke dewan solat lelaki. Didalam ada lagi pintu yang memisahkan dewan solat
utama dengan bahagian belakang (gambar kecil bawah). Dewan solat utama memang
luas, lihat saja seperti gambar di atas (tengah). Tiang-tiangnya berwarna
merah, permaidaninya berwarna hijau biru, silingnya dihias cantik, juga
terdapat sebuah mimbar (gambar atas kanan). Semasa kami sampai, solat zohor
berjemaah telah selesai, tok imam pun sudah balik, jadi masjid agak lengang.
Gambar
kecil atas, atas … pintu masuk untuk jemaah wanita yang berasingan dari jemaah
lelaki. Dewan solat wanita juga agak luas yang terletak disebelah kiri
terkebelakang sedikit dan bersambung dengan dewan solat lelaki.
Selesai
solat, aku berpeluang untuk bergambar bersama tok siak masjid Niujie sebelum
menjelajah sekitar masjid. Gambar kecil atas, atas adalah bilik pameran yang
menyimpan barang peninggalan para imam serta cendera hati dari negara luar manakala gambar kecil atas, bawah adalah
bilik mesyuarat.
Bertentangan
dengan pintu masuk ke dewan solat adalah menara masjid (gambar atas tengah) yang
telah dibina semula dalam tahun 1496. Gambar atas kiri … satu lagi bangunan
dibahagian kiri daripada pintu masuk ke ruang solat.
Sebelum
beredar daripada masjid, aku sempat menziarahi makam dua orang imam masjid yang
berasal dari Negara Parsi iaitu Imam Ahmad Burdani dan Imam Ali yang telah
meninggal dunia dalam tahun 1280 dan 1283. Al-Fatihah untuk keduanya.
Dari
Masjid Niujie, Ms Eka membawa kami ke Traditional Chinese Medicine Research
Centre untuk menikmati urutan tapak kaki secara percuma. Kami sampai di
Research Centre matahari sudah condong ke barat (gambar kecil bawah).
Kami
dibawa masuk melalui pintu pagar bulat (gambar kecil atas) sebelum ditempatkan
didalam sebuah bilik. Mula-mula kakitangan pusat penyelidikan tersebut membawa
baldi berisi air suam-suam panas dan mengarahkan kami meremdamkan kaki ke
dalamnya. Sementara kaki direndam dalam air, datang seseorang memberi ceramah
tentang keberkesanan perubatan traditional China. Lebih kurang lima belas minit
kemudian datanglah para tukang urut tapak kaki mengurut tapak kaki kami.
Selesai
urut tapak kaki datang pula para doktor perubatan traditional dan merasa
denyutan nadi. Dengan merasa denyutan nadi sahaja, doktor tersebut mulalah
memberitahu berbagai jenis penyakit yang ada dalam badan seseorang dan
menyarankan untuk membeli ubat daripada mereka. Malangnya tidak ada seorang pun
daripada kami yang membeli ubat kerana harganya mencecah ratusan malah ada yang
ribuan ringgit. Mereka agak kecewa dan kami pun cepat-cepat keluar dari pusat
tersebut.
Destinasi
terakhir pada hari itu ialah melihat Stadium Sarang Burung dan juga Water Cube.
Stadium Nasional Beijing atau
terkenal dengan gelaran Stadium Sarang
Burung dibina sempena Beijing di pilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik
2008. Di stadium tersebutlah acara
perasmian pembukaan dan penutupan sukan olimpik 2008 dijalankan selain dari
acara sukan olahraga dan bola sepak. Stadium yang boleh menampung sehingga
91,000 penonton itu dibina dengan kos lebih kurang 4 bilion Yuan atau 500 juta
USD. Kini menjadi salah satu objek mesti dilawati jika datang ke Beijing
Ketika
kami sampai di dataran stadium hari sudah malam dan kami terpaksa berjalan kaki
hampir satu kilometer kerana bas tak boleh datang dekat ke kawasan tersebut.
Orang sudah mulai membajiri dataran sekitar stadium. Memang kelihatan cantik
stadium tersebut ketika malam hari berbanding siang hari (gambar kecil atas,
bawah).
Bersetentang
dengan stadium sarang burung iaitu diseberang jalan adalah Pusat Akuatik Nasional Beijing atau lebih dikenali dengan panggilan
Water Cube. Juga dibina sempena
penganjuran sukan olimpik 2008 untuk acara sukan air saperti renang, renang
berirama dan terjun. Saperti Stadium Sarang Burung, Water Cube juga kelihatan
lebih menarik diwaktu malam daripada waktu siang.
Lebih
kurang satu jam kami bersantai di dataran stadium, kami meninggalkan kedua
stadium tersebut untuk makan malam dan balik ke hotel untuk berehat. Hari
ketiga, sangat meletihkan kerana dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berjalan
kaki, mungkin lebih 10 ribu langkah kami berjalan kaki pada hari itu, tetapi
kami puas.
wǎnshàng hǎo … selamat
malam
No comments:
Post a Comment