Monday, 11 August 2014

Kembara Bumi Kemboja ... akhirnya aku sampai jua ..



Memang telah agak lama aku menyimpan angan-angan untuk menziarahi rakan seagama di bumi Kemboja sehinggalah pada pertengahan Ramadan 1435 H yang baru lepas, aku berkesempatan untuk mengikuti satu rombongan misi bantuan kemanusiaan ke Kemboja yang dianjurkan oleh satu badan NGO bebas.


HARI PERTAMA

Pada hari yang ditetapkan,  pagi itu aku meminta isteriku  menghantar aku sehingga ke Jalan Hj Salleh sahaja, kemudian aku berjalan kaki ke stesen KTM Komuter Sentul.



Aku hanya menaiki KTM Komuter untuk ke KL Sentral. Keadaan di stesen lengang sahaja. Aku membeli tiket dan kemudian menunggu keretapi datang di tingkat bawah. Keretapi tiba mengikut jadual dan aku terus masuk. Keretapi bergerak perlahan-lahan meninggalkan Stesen Sentul. Tak lama duduk di dalam keretapi, dah sampai di Stesen Sentral KL.

Aku tidak perlu terburu-buru ke KLIA 2 kerana penerbangan ke Phnom Penh hanya akan berlepas jam 3.00 petang. Di KL Sentral, aku berehat sebentar sebelum turun ke tingkat bawah untuk menaiki Aerobus ke KLIA 2. Harga tiket hanya rm10.00 sehala.




Bas ke KLIA 2 juga bergerak mengikut jadual. Sejam kemudian, bas pun sampai di KLIA 2. Aku terus turun dan masuk ke dalam. Terpaksa berjalan kaki agak jauh sebelum sampai ke ruang legar dihadapan pintu perlepasan antarabangsa. Disitu sudah ada beberapa orang anggota NGO berkenaan berkumpul menunggu rakan-rakan yang lain. Aku memperkenalkan diri kepada ketua rombongan kerana itulah pertama kali aku berjumpa dengan mereka.

Oleh kerana waktu sudah melangkaui 1.30 tengah hari, aku beredar ke surau untuk mendirikan solat jamak zohor dan asar di surau KLIA 2 yang terletak tidak jauh dari pintu perlepasan antarabangsa.


Masa tu belum ada orang datang solat. Tempat wuduk dan ruang solatnya bersih dan rapi ... mungkin masih baru lagi. Selesai melaksanakan kewajipan kepada Allah swt, aku kembali ke ruang legar perlepasan antarabangsa dan semua anggota rombongan telah sedia berkumpul.



Kami bersama-sama bergerak melalui pemeriksaan di pintu perlepasan antrabangsa. Kami terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk melintasi “aerobridge” sebelum sampai ke pintu perlepasan P. Di situ kami melalui satu lagi pemeriksaan sebelum sampai ke dewan perlepasan. Nasib baik pintu perlepasan P1, jadi tak perlu berjalan jauh lagi. Kelihatan pesawat Air Asia sudah sedia untuk menerima kemasukan kami.

Setelah kami berada didalam pesawat, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Mungkin disebabkan hujan lebat atau sebab-sebab lain menyebabkan berlaku kelewatan perlepasan pesawat Air Asia ke Phnom Penh yang kami naiki. Aku tidak kisah sangat, kerana kita hanya merancang tetapi Allah swt yang menentukan. Akhirnya jam 4.00 petang baru pesawat Air Asia dapat berlepas.


Dari  KAMPUCHEA  Ke  KEMBOJA

Kemboja atau Kampuchea merupakan sebuah negara di Asia Tenggara. Rakyatnya biasa dikenali sebagai Cambodian atau Khmer yang sebahagian besarnya beragama Budda Theravada dan hanya sebahagian kecil sahaja beragama Islam iaitu dari keturunan Islam Cham.

Pada 9 November 1953, Perancis mengakhiri penjajahannya di Kemboja semenjak tahun 1863.  Setahun kemudian, Raja Norodom Sihanouk yang kembali daripada Thailand telah memenangi pilihanraya. Pada tahun 1955, Norodom Sihanouk telah mengembalikan tahta kepada ayahnya, Norodom Suramarit. Norodom Sihanouk kemudian memasuki dunia politik dan memenangi pilihanraya  tahun 1955,1958, 1962 dan 1966.

Pada bulan Mac 1969, tentera Amerika mulai mengebom tentera Vietcong di Kemboja. Pada tahun 1970, semasa Norodom Sihanouk melawat Moskow, Marshal Lon Nol telah menawan Phnom Penh dan menghapuskan kerajaan serta mengistiharkan sebuah negara republik. Norodom Sihanouk tidak balik ke Kemboja dan memilih menetap di Peking, China.

Khmer Rouge merupakan serpihan Parti Komunis Kampuchea.  Pada tahun 1960-an hingga 1970-an, Khmer Rouge melakukan perang gerila melawan rejim Shihanouk dan Marshal Lon Nol. Pada 17 April 1975, Pol Pot yang memimpin tentera Khmer Rouge berjaya menggulingkan kerajaan dan melantik dirinya sebagai pemimpin Kemboja. Pol Pot memerintah secara kejam dengan membunuh sebahagian besar penyokong Shihanouk dan Lon Nol terutama oarng-orang yang berpendidikan. Penduduk Phnom Penh dan daerah lain terpaksa berpindah ke daerah pendalaman.

Selama empat tahun Pol Pot dan Khmer Rouge berkuasa, hampir atau lebih 3 juta rakyat diseksa sebelum dibunuh di lebih 300 padang pembunuhan (Killing Field). Seorang dokter bernama Haing S Ngor telah berjaya melepaskan diri daripada rejim Khmer Rouge dimana dalam tahun 1984 beliau telah menerima Oscar hasil peranannya sebagai pemberita dalam filem “Killing Field”.

Pada 25 disember 1978, tentara Vietnam memasuki Kemboja dan pada 7 Januari 1979, telah menduduki Phnom Penh dan menggulingkan pemerintahan Pol Pot. Pemerintahan boneka dibentuk di bawah pimpinan Heng Samrin, namun tidak diakui oleh negara-negara Barat.

Pada tahun 1982, tiga kelompok utama yang masih bertahan di Kemboja iaitu Khmer Rouge, Barisan Kemerdekaan Kebangsaan dan Pangeran Sihanouk telah membentuk kerjasama dan akhirnya berjaya mengeluarkan tenteran Vietnam  daripada Kemboja pada tahun 1989.

Pada tahun 1992, PBB (UNTAC), mengambilalih sementara pemerintahan negara Kemboja manakala tahun berikutnya PBB mengiktiraf pilihanraya demokrasi yang telah dimenangi oleh FUNCINPEC yang kemudiannya membentuk kerajaan campuran bersama Partai Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen.


Dengan bantuan Negara-negara asing, Kemboja kini berkembang pesat dengan rakyat di bandar dan desa telah mula merasi kehidupan yang lebih selesa dan harmoni.


Lebih kurang dua jam berada dalam penerbangan, ketua peramugari Air Asia mengumumkan yang pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang Phnom Penh. Girang rasanya kerana akhirnya aku akan menjejakkan kaki di bumi Kemboja.


Setelah pesawat mendarat, kami secara berkumpulan bergerak ke tempat untuk mengambil bagasi.

Semasa melalui pemeriksaan kastam, salah satu beg yang mengandungi ubat-ubatan telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut, jadi terpaksalah kami menunggu. Alhamdulillah, akhirnya barangan tersebut diberi pelepasan dan kami meninggalkan lapangan terbang lebih kurang jam 6.00 petang waktu tempatan dan terus menuju ke hotel.



Sampai di hotel hari sudah mulai gelap kerana telah masuk waktu maghrib. Kami menginap di Hotel Holiday Villa, sebuah hotel yang agak lama di Kota Phnom Penh. Kami hanya berbuka puasa dengan buah kurma dan air mineral sahaja pada hari pertama berbuka di Phnom Penh.



Selesai urusan check-in bilik masing-masing, baru kami dibawa keluar untuk makan malam di sebuah Restoran Halal Mamak Malaysia di Khan Doun Penh. Ketua rombongan kami telah menempah makanan di situ, jadi bila kami sampai terus sahaja kami makan. Aku ada berbisik kepada ustaz pengiring kalau boleh hantar ke masjid untuk menunaikan solat terawih, tetapi katanya majoriti mahu balik ke bilik hotel. Aku menurut sahaja. Selesai makan malam, dengan perut kenyang, kami balik semula ke hotel untuk berehat kerana esuk ada misi yang perlu diuruskan. Sementara rakan sebilikku pergi ke pasar berhampiran untuk membeli buah, aku mengambil peluang untuk bersolat terawaih secara solo di dalam bilik sahaja.



Inilah menu makan sahur kami pada malam pertama di Phnom Penh yang disediakan oleh Holiday Villa. Hanya nasi putih dan ayam goreng sahaja. Oleh kerana makan sahur itu sunnah, aku habiskan juga bersama segelas Ali Cafe yang aku bawa dari Malaysia.



HARI KEDUA

Pagi hari kedua di Phnom Penh, 7 orang termasuk aku telah pergi ke kampung dimana misi bantuan kemanusiaan akan dilaksanakan keesukan harinya, manakala yang lain ada yang tinggal berehat di bilik hotel dan ada yang shopping di Central Market.

Kami menunggu lebih satu jam baru van yang penuh dengan barangan makanan sampai menjemput kami di hotel. Kami bertujuh terus manaiki van dan meninggalkan hotel untuk ke Kampong Barain di Daerah Kandal lebih kurang 42 km dari bandar Phnom Penh. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Toul Tom Poung Market atau biasa di panggil Russian Market kerana salah seorang daripada kami ada yang ingin menempah baju melayu untuk raya. Katanya murah dan boleh siap dalam masa satu hari sahaja.



Ini dia Pasar Russia yang sentiasa penuh sesak, gerai jualannya rapat-rapat dengan berbagai barangan, tukang jahit berderetan yang menawarkan harga yang agak murah dan perhidmatan yang cepat. Masaalah utama untuk pengunjung dari Malaysia ialah masaalah bahasa, jadi terpaksa pergi bersama ustaz pengiring sebagai penterjemah. Aku tak sempat mencari jawapan kenapa Toul Tom Poung Market di kenali sebagai Russian Market.

Walaupun tidak begitu jauh, namun sebab keadaan jalan yang kurang baik dan van yang sarat dengan muatan, selepas hampir dua jam dalam perjalanan baru kami sampai. Kami langkah kanan, kerana sampai sahaja, azan zohor dikumandangkan. Jadi kami mengambil kesempatan untuk solat zohor berjamaah bersama penduduk tempatan sebelum kami sama-sama solat jamak takdim asar.


Selepas solat dan para jemaah meninggalkan masjid, aku pun mulalah merakam beberapa pos untuk kenangan. Gambar atas tengah, adalah satu-satunya masjid di kampung tersebut. Gambar kecil atas kanan, ruang dalam masjid yang agak luas dan bersih. Gambar kecil atas kiri (bawah), antara para jemaah masjid.


Sementara itu, kerja-kerja memindahkan barangan yang akan disumbangkan kepada penduduk tempatan pada keesukan hari sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung dan diperhatikan dari jauh oleh dua orang anggota petugas NGO, yang berbaju hijau dan berbaju jalur merah putih. Barangan tersebut disimpan didalam bilik darjah sekolah agama bersebelahan dengan masjid.


Inilah dia antara rumah-rumah penduduk Islam di kampong berkenaan. Ada yang daif tetapi banyak juga yang agak mewah sehingga “railing” tangga diperbuat daripada stainless steel. Kebanyakannya membela lembu di bawah rumah masing-masing. Menurut ketua rombongan, kampung ini tidaklah begitu mundur berbanding dengan kampung yang mereka pernah pergi sebelum ini.


Selesai menghantar barang, kami balik semula ke hotel di Phnom Penh. Kami tidak melalui jalan yang sama sebaliknya kami menyeberangi sungai menggunakan feri kerana van kami telah pun kosong. Gambar atas tengah ... berbaju merah adalah ketua misi bantuan dari Malaysia. Kami terus balik ke hotel untuk berehat.

Disebelah petang, lebih kurang jam empat petang sementara menunggu waktu berbuka puasa, rombongan kami telah dibawa untuk menaiki bot menyusuri Sungai Tonle Sap. Sampai sahaja kami dipengkalan bot, banyak pengusaha bot menyerbu ustaz pengiring kami untuk menawarkan perhidmatan.


Setelah berlaku tawar menawar harga, akhirnya kami dibawa kesebuah bot dua tingkat yang sederhana saiznya. Kami hanya perlu menuruni anak tangga dan berjalan diatas titi papan untuk sampai ke bot berkenaan.  Tiada pengkalan yang khusus untuk bot-bot persiaran berkenaan. Walaupun bot kami hanya menyusuri sungai, namun ianya bergelombang juga apabila berselisih dengan bot-bot yang lain. Oleh kerana aku mudah mabuk bila bot bergoyang, jadi aku hanya duduk dibahagian bawah sahaja bersama dua tiga orang yang senasib dengan ku termasuk ketua rombongan.


Tujuan utama menaiki bot menyusuri Sungai Tonle Sap adalah untuk melihat perkampungan sampan dimana kebanyakan orang Islam menjadikan sampan sebagai tempat tinggal mereka. Sepanjang lebih kurang satu kilometer kami menyusuri sungai, kelihatan rumah sampan berderetan sepanjang tepi sungai. Kehidupan mereka sebagai nelayan sungai mencari ikan untuk dijual bagi membeli barangan keperluan harian yang lain. Mereka hidup dalam serba kekurangan, namun mereka tetap tinggal didalam sampan sehingga beranak pinak. Aku tak dapat bayangkan bagaimana mereka ....


Kelihatan beberapa bot lain juga sedang menyusuri Sungai Tonle Sap. Ada yang mengadakan majlis hari jadi di atas bot, ada juga yang menikmati makan petang di atas bot. Juga terdapat kapal pengorek pasir dan juga kapal pasukan keselamatan Negara Kemboja untuk mengawasi keadaan. Cuaca petang itu begitu nyaman sehingga tidak disedari waktu sudah menghampiri jam 6.00 petang. Waktu berbuka pula jam 6.30 petang sedangkan kami masih lagi berada di atas bot.

Menyedari kelewatan tersebut, ustaz pengiring kami terus mengarahkan pemandu bot untuk berlabuh. Kami bergegas keluar dari bot dan mujurlah bas sudah sedia menunggu kami. Dalam keadaan hujan renyai-renyai kami meninggalkan bot dan berjalan untuk menaiki bas. Bas kami terus bergerak dalam jalan yang agak sesak dan akhirnya kami sampai kesebuah restoran lima minit sebelum waktu berbuka puasa.


Petang itu kami berbuka puasa di Restoran D’Nyonya yang dimiliki oleh usahawan Malaysia yang telah menetap di Phnom Penh. Masakan ala Malaysia, rasa pula sedap, perut pun lapar, jadi tiada masaalah untuk kami menghabiskan juadah yang disediakan.


Selepas selesai berbuka puasa dan makan malam, kami dibawa ke Phnom Penh Night Market. Keadaan begitu sesak dengan para pengunjung. Tujuan kesana hanya untuk minum segelas air tebu madu. Memang sedap, tapi perut masih lagi penuh, jadi satu gelas pun susah nak habis. Kami lepak diatas tikar sahaja malam itu.

Dalam banyak-banyak gerai yang menjual makanan, ada juga gerai yang menjual makanan halal yang diusahakan oleh penjual beragama Islam. Mereka hanya mengharapkan pengunjung Islam saperti kami untuk membeli jualan mereka sedangkan penduduk Islam tempatan sangat sedikit.



Tidak jauh dari Phnom Penh Night Market, satu pertunjukkan bunga api sedang dijalankan. Walaupun rakyat Negara Kemboja agak miskin, tetapi mereka mampu juga mengadakan pertunjukkan bunga api. Juga terdapat satu papan tanda besar “Visit Malaysia 2014” berhampiran dengan Phnom Penh Night Market.

Kira-kira satu jam berlegar-legar di Phnom Penh Night Market, kami balik ke hotel penginapan untuk berehat kerana hari esuk ada misi yang akan kami jalankan. Seperti malam semalam, aku hanya bersolat jamak maghrib dan isyak dan solat sunat terawih didalam bilik sahaja.



Ini pula menu makan sahur malam kedua di Phnom Penh, mee goreng dan sosej sahaja, tanpa kuah atau sos. Namun aku dan rakan sebilik menikmatinya dengan rasa syukur kepada Allah swt.




HARI KETIGA

Keesukan paginya, jam 9.00 pagi semua sudah bersiap di lobi hotel menunggu untuk menaiki bas. Masing-masing bersemangat untuk melaksanakan misi kedatangan kami ke Kemboja. Namun bas tidak kunjung tiba. Jam 10.00 pagi baru bas sampai. Alasannya terpaksa tukar bas kerana bas yang semalam mengalami masaalah alat penghawa dingin.


Sampai sahaja bas gantian yang lebih selesa, kami bergegas naik. Bersedia didalam bas untuk menuju ke destinasi tujuan. Biasalah, aku kalau naik bas, memang jadi backbencher. Bertopi dan berT-shirt biru adalah rakan sebilikku. Gambar kecil atas kanan ... ustaz pengiring sedang memberi taklimat dan juga bacaan doa musafir. Bas memang tidak penuh kerana rombongan kami hanya seramai dua puluh sembilan orang termasuk kanak-kanak.


Perjalanan kami ke destinasi tujuan melalui beberapa pekan kecil dengan jalan yang agak sempit serta berdebu dan belopak-lopak. Jadi bas tidak dapat bergerak laju. Walaupun destinasi tujuan hanya berjarak lebih kurang 42 km daripada kota Phnom Penh, ia mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit baru sampai.


Akhirnya kami sampai jua. Rombongan kami telahpun sampai di pintu gerbang Masjid Al-Naim, Parinkerom. Gambar atas kiri ... paling kiri adalah ustaz yang mengiringi kami sepanjang berada di Kemboja. Nombor tiga dari kanan adalah ketua rombongan dari Malaysia. Gambar kecil atas, adalah anggota squad para medik yang terdiri dari lima orang doktor perubatan bertauliah dan tiga pelajar tahun lima fakulti perubatan UM.

Kami terpaksa berjalan kaki lebih kurang 150 meter untuk sampai ke masjid kerana bas tidak dapat melalui jalan dan pintu gerbang yang sempit.


Sampai di perkarangan masjid, kami dapati penduduk tempatan sedang sebok memasak dan ada yang sedang memanggang lembu untuk dijadikan lauk berbuka puasa. Beruntung sungguh rombongan kami dapat makan lembu golek.

Pasukan kami tidak membuang masa terus memulakan kerja untuk mengubah sebuah bilik darjah menjadi kelinik sementara untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan.


Kelihatan  squad paramedik sedang menyiapkan susunan kedudukan meja doktor, meja mengambil ubat dan kerusi pesakit, sebelum pemeriksaan kesihatan dimulakan. Mereka berkerja sebagai satu pasukan yang pantas dan dalam masa tidak sampai setengah jam kelinik tersebut telah sedia untuk menerima pesakit.



Pemeriksaan kesihatan percuma pun dimulakan. Oleh kerana penduduk tempatan tidak boleh berbahasa melayu dan anggota paramedik juga tidak faham bahasa mereka, hidmat penterjemah terpaksa digunakan untuk berkomunikasi. Ini menjadikan proses pemeriksaan kesihatan agak lambat sedikit, namun segalanya berjalan lancar. Squad paramedik berkerja terus menerus, hanya berhenti untuk solat secara bergilir dan meneruskan semula pemeriksaan kesihatan, kerana begitu ramai penduduk tempatan yang menunggu untuk diperiksa.


Lihat sahaja begitu ramai penduduk tempatan yang hadir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang jarang-jarang mereka dapati. Antara yang menunggu giliran ialah tiga dara yang memberikan pos istimewa bila aku mahu merakam gambar mereka. Lebih kurang jam 5.30 petang baru pemeriksaan kesihatan berakhir. Walaupun squad paramedik keletihan, namun mereka puas kerana dapat menabur bakti kepada penduduk tempatan yang seagama. Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas segala usaha mereka.

Selesai sahaja pemeriksaan kesihatan, maka bermulalah pengagihan bantuan bahan makanan kepada keluarga yang layak menerima bantuan. Di kampung tersebut terdapat lebih kurang 500 keluarga Islam tetapi hanya 370 keluarga sahaja yang layak menerima bantuan bahan makanan. Penilaian serta bancian telah dijalankan oleh ketua kampung berkenaan dan mereka yang layak telah diberikan kupon bagi memudahkan agihan barangan makanan kepada mereka.


Pengagihan dimulakan oleh ketua rombongan (bertopi dalam gambar atas kanan).


Kemudian kami secara bergilir-gilir menyampaikan bahan makanan kepada penerima yang layak sehinggalah selesai.


Selesai mengagihkan barangan makanan, tiba pula masa kanak-kanak tempatan menerima sumbangan duit raya. Lebih kurang 700 kanak-kanak telah berkumpul dan kami sekali lagi secara bergilir-gilir menghulurkan sumbangan ikhlas kepada kanak-kanak yang setia duduk menanti. Memang sungguh meriah mereka menerima sumbangan kami walaupun tidak seberapa.

Aku merasa sebak melihat keadaan mereka dan bersyukur kerana dapat juga menghulurkan sedikit sumbangan mudah-mudah dirahmati dan diberkati Allah swt.


Waktu berbuka puasa sudah hampir dan juadah sudah siap terhidang di atas meja. Nasi putih dengan daging lembu panggang dan ikan toman bakar berserta sambal cecah memang sangat menyelerakan. Walaupun tiada lauk berkuah, habis juga aku makan sepinggan. Aku makan bersama-sama ustaz pengiring dan juga imam masjid tempatan yang telah berusia hampir lapan puluh tahun. Aku makan bersama mereka ... orang dulu-dulu kata untuk mengambil berkat.

Malam itu selepas solat maghrib kami meninggalkan Kampung Barain dengan seribu kenangan dan berharap segala usaha yang sedikit itu dijadikan oleh Allah swt sebagai amalan soleh sebagai bekalan untuk menghadap-Nya kemudian.

Malam terakhir di Phnom Penh, aku dan rakan sebilik terlewat bangun. Agaknya kami kepenatan setelah sehari berhidmat di Kampung Barain. Jaga-jaga sudah jam 4.50 pagi sedangkan waktu subuh masuk jam 4.35 pagi. Pagi itu kami berdua tidak makan sahur namun kami tetap niat berpuasa. Selepas mendirikan solat subuh, kami tidur semula.


HARI TERAKHIR

Hari keempat adalah hari terakhir kami berada di Phnom Penh. Pagi itu tidak ada aktiviti khusus sementara menunggu penerbangan balik ke KL jam 4.40 petang. Ada yang duduk dibilik hotel sahaja dan ada yang ke Central Market. Aku mengambil kesempatan untuk menziarahi masjid yang ada di kota Phnom Penh. Aku pergi berseorangan sahaja kerana rakan sebilik memilih untuk tidur sahaja bila aku mempelawanya pergi bersama.

Di Phnom Penh, masaalah utama ialah pertuturan kerana sangat sedikit yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi aku bernasib baik, kerana pemandu “tuk-tuk” yang aku naiki boleh berbahasa Inggeris walaupun tidak begitu fasih. Setelah menerangkan tempat tujuan ku, ia pun membawa aku ke destinasi pertama.

Masjid ini (gambar bawah kanan) adalah masjid terbesar di Kota Phnom Penh tetapi kerja-kerja ubah suai dan menaik taraf sedang dijalankan.


Masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Al-Azhar (Al-Serkal Mosque) yang merupakan hadiah daripada Kerajaan Arab Saudi selepas kejatuhan kerajaan Khmer Rouge di Kemboja. Terletak di Boeung Kak yang dahulunya sebuah tasik yang kini telah kering. Gambar kecil atas bawah, berkubah kuning adalah masjid asal. Kerja-kerja mengubahsuai bermula seawal tahun 2013 dan dibiayai oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu dan sehingga kini masih belum siap sepenuhnya. Pagar keselamatannya berkunci, jadi aku tak dapat masuk ke dalam.


Selesai di Masjid Al-Azhar, pemandu tuk-tuk membawa aku ke satu lagi masjid iaitu Masjid Jamek Al-Islami (Mosque Al Jamee Al Islami) yang terletak di Khan Chamkarmon. Masjid ni kecil sahaja tidak sehebat masjid Al-Azhar. Namun aku bersyukur kerana dapat mendirikan solat sunat tahiyat masjid dan juga solat sunat dzuha didalamnya. Beberapa buah kereta mewah dipakir di dalam kawasan masjid ... aku tak dapat mencari jawapan siapa pemiliknya.


Dari Masjid Jamek Al-Islami, pemandu tuk-tuk membawa aku ke tempat paling popular di Phnom Penh iaitu Regie Du Marche Central atau Central Market juga dikenali sebagai Pasar Kubah Kuning. Central Market memang lebih besar dan moden berbanding Russian Market, tetapi keadaan dalamannya lebih kurang sama sahaja, kedai-kedai berderetan menjual berbagai barang, memang rambang mata dibuatnya.


Hampir satu jam aku meronda di Central Market, aku hanya membeli sepasang kain sutera, kain selempang dan fridge magnet sebagai ole-ole dari Phnom Penh. Akhirnya aku meminta pemandu tuk-tuk untuk menghantar aku semula ke hotel kerana waktu check-out sudah hampir tiba.



Sampai di hotel aku terus berkemas kemudian turun ke lobi hotel kerana bas telah sedia menunggu untuk menghantar rombongan kami balik ke Lapangan Terbang Phnom Penh.


Lebih kurang jam 2.00 petang kami sudah berada di Lapangan Terbang Phnom Penh. Orang belum begitu ramai dan selepas berbaris lebih kurang dua puluh minit, sampai giliran aku untuk mendapatkan Boarding Pass. Aku terus bergegas ke bilik solat untuk menjalankan kewajipan kepada Allah swt. Alhamdulillah setelah berada didalam penerbangan sekitar dua jam, penerbangan Air Asia AK 535 telah selamat mendarat di KLIA 2.

Demikian sedikit catatan perjalanan ....


No comments:

Post a Comment