Wednesday, 9 July 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 1 ... ku jejaki bumi Ash Shin ...Lei Hooma



Semasa aku dan isteri serta anak bungsuku menginap di Hotel Flamenggo Taiping tempoh hari, atas persetujuan bersama, aku telah membeli tiket penerbangan ke Beijing untuk aku, isteri dan tiga orang anakku. Anak sulungku tidak ikut bersama kerana khuatir tidak dapat cuti pada hujung tahun. Rupa-rupanya bukan keluargaku sahaja yang akan pergi, ramai lagi kakak-kakak ipar serta anak-anak buah yang ikut serta, kesemuanya enam belas orang. Biasalah rombongan Mak Dara.

Satu perkara penting yang perlu kami lakukan sebelum berangkat ke Beijing ialah memohon visa lawatan ke China. Oleh kerana rombongan kami tidak mengikuti mana-mana pakej pelancungan, jadi kami terpaksa memohon visa sendiri. Untuk memohon visa, borang visa boleh diisi secara on-line atau manual, kesemuanya ada 4 muka surat (seperti dibawah).


Dokumen yang perlu disertakan semasa mengemukakan borang permohonan adalah:
- Borang yang telah lengkap diisi.
- Paspot yang masih sah tempoh sekurang-kurangnya untuk enam bulan.
- Salinan fotokopi paspot.
- Dua keping gambar berukuran paspot.
- Salinan tiket kapal terbang.
- Pengesahan tempahan hotel.
- Jadual lawatan (itinerary) semasa di Beijing dan
- Bayaran sebanyak rm85.00 bagi setiap visa (visa fee = rm30.00, service fe = rm55.00)

Menjadi tugas aku sebagai ketua rombongan tak rasmi untuk memohon visa. Setelah semua borang siap diisi, aku pun pergi ke pejabat Chinese Visa Application Service Centre. Sebelum pergi ke Visa Centre, aku dah “google” dulu untuk mengetahui lokasi pejabat supaya tak sesat.



Berpandukan kepada pelan jalan, aku terus sahaja pergi ke bangunan Hampshire Place Office di Jalan Mayang Sari of Jalan Tun Razak. Aku letak kereta di tingkat bawah.

Di lobi lift ada ditampal kenyataan saperti di bawah dan aku terus sahaja naik ke tingkat enam.


Sampai di Visa Centre masih awal pagi, jadi pejabat masih lagi lengang. Mereka menyemak semua borang dan alhamdulillah semua borang yang aku bawa lengkap diisi. Mereka memberi nombor giliran. Belum panas aku duduk menunggu, nombor aku dah dipanggil. Tak sampai dua puluh minit berada di Visa Centre urusan dah selesai. Cuma aku kena datang balik pada hari keempat untuk mengambil visa.

Sampai tarikh yang dijanjikan, kami bersiap ke Terminal Tambang Murah Sepang kerana kami menaiki penerbangan Air Asia. Namun pada saat akhir seorang daripada anak buah tidak dapat pergi kerana terpaksa menghadiri kursus. 


Penerbangan kami ke Beijing telah berlepas pada jam 7.10 malam, dan alhamdulillah telah sampai keesukan paginya jam 1.15 pagi.


Sebaik melepasi pemeriksaaan imigresen, kami tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar pemandangan tembok besar Negeri China yang dilukis didinding luar sementara menunggu bagasi kami sampai.


Masing-masing sebok mengumpulkan bagasi sebelum beredar melepasi pemeriksaan kastam dan terus keluar. Jurupandu kami yang bernama Ms. Eka telah sedia menanti kami.


Oleh kerana waktu pun sudah larut malam, lebih kurang jam 2.00 pagi, Ms Eka terus membawa kami menaiki bas untuk menuju ke hotel penginapan. Walaupun mata sudah mengantuk, tetapi kami tetap ceria. Aku pertama kali sampai ke Beijing, isteri dan anak-anakku, ini kali kedua mereka datang ke Beijing.

Coi Kin ... jumpa lagi


No comments:

Post a Comment