Monday 23 December 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang



Kami menginap di Sandy Paradise Beach Hotel di Tanjung Bungah untuk dua malam. Selepas sarapan pagi di hotel, saperti dirancang, pagi itu aku akan menziarahi beberapa masjid bersejarah disekitar Bandaraya Georgetown.

Dari Sandy Paradise Beach Hotel aku memandu melalui Jalan Tanjung Bungah, menghala ke pusat Bandar melalui Jalan Tanjung Tokong, Jalan Kelawei, Jalan Sultan Ahmad Shah, Lebuh Farquhar, Lebuh Light  dan akhirnya membelok ke Jalan Kapitan Keling. Kawasan meletak kenderaan disekitar Masjid Kapitan Keling memang terhad, jadi hanya aku seorang sahaja yang masuk ke kawasan masjid manakala isteri dan anakku menunggu di dalam kereta.
 
Masjid Kapitan Kling terletak di Jalan Lebuh Pitt di Daerah Timur Laut Pulau Pinang dan merupakan masjid tertua di Pulau Pinang. Pada 26 Disember 1989 nama jalan Lebuh Pitt telah ditukar kepada Jalan Masjid Kapitan Keling dan perasmiannya dilakukan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu YB Tuan Mohd Zain Bin Haji Omar.


Mula-mula aku meronda sekitar luaran masjid dan merakam beberapa gambar daripada beberapa arah.


Masjid Kapitan Keling yang asal telah mengalami beberapa perubahan. Pada tahun 1910an, kerja-kerja penaiktarafan telah dilakukan dengan mengadaptasikan senibina Moghul iaitu penambahan kubah-kubah, menara-menara kecil, sebuah menara besar dan madrasah. Walaupun reka bentuknya mengikut seni bina Moghul, bumbung masjid ini dibina berdasarkan reka bentuk piramid atau lebih menjurus kepada reka bentuk bumbung tempatan. Kerja-kerja penambahbaikan ini telah disiapkan pada tahun 1916.

Masjid Kapitan Keling terus mendapat perhatian dan penaiktarafan seterusnya telah dilakukan pada tahun 1930 yang memberikan rekabentuk Masjid Kapitan Keling seperti rekabentuk sekarang ini. Pengubahsuaian tersebut telah dilakukan kerana rekabentuk asalnya dianggap sebagai kurang praktikal. Bagi mengekalkan ciri-ciri tradisi asalnya, masjid ini tidak dibina semula tetapi hanya diperbesarkan. Di antara kerja-kerja utama yang dilakukan pada waktu itu ialah meninggikan siling di ruang solat utama, meningkatkan sistem pengudaraan dan memperbaiki sistem pencahayaan. Seni hiasan dan rekabentuk luaran dan dalaman masjid ini pada asalnya menggadaptasikan seni geometrik.

Masjid Kapitan Keling telah menjalani satu lagi fasa pembinaan apabila kerja-kerja membaik pulih telah dilakukan pada tahun 2003 yang menelan belanja sebanyak RM5 juta. Kerja-kerja baikpulih terpaksa dilakukan kerana berlaku banyak kebocoran serta kerosakan pada sebahagian besar bangunan dan masjid ini terpaksa ditutup selama setahun semasa kerja-kerja baikpulih. Di antara kerja-kerja tambahan lain ialah pembinaan lorong pejalan kaki berbumbung menuju ke tempat wudhuk jemaah wanita, pemasangan hiasan kaligrafi Islam di dinding-dinding serta kubah utama dan pembinaan Pusat Maklumat Islam di bahagian bawah menara dihadapan masjid. Pusat Maklumat Islam itu membekalkan banyak penulisan tentang islam dalam berbagai bahasa yang untuk diedarkan kepada para pengunjung.

Semoga kerja-kerja untuk memperelokkan serta memakmurkan masjid ini akan terus dipertingkatkan di masa ini dan akan datang.



Gambar atas kiri … laluan masuk utama bahagian hadapan dari Jalan Kapitan Keling. Gambar atas kanan … adalah Dewan Makam Noordin yang khabarnya terdapat khazanah masyarakat India Muslim dipamerkan antaranya seni bela diri kalari payat, warisan tulisan Arab-Tamil dan adat perkahwinan. Dewan tersebut juga digunakan sebagai tempat untuk mengadakan majlis-majlis ucapan dan sebagainya.

Gambar atas kiri … Sebelum masuk kedalam masjid, aku mengambil wuduk di tempat wuduk yang merupakan sebuah kolam wuduk yang masih dikekalkan sehingga sekarang. Dari kolam wuduk aku berjalan masuk ke ruang solat yang lantainya dikemasi dengan jubin lantai manakala lembaran permaidani diletakkan diatasnya … gambar atas kanan. 



Gambar atas kiri ... Ini pula ruang mihrab dan juga mimbar masjid yang dihias indah dengan kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran. Gambar atas kanan ... Antara tiang dengan tiang dibina arch yang melambangkan senibina moghul.

Lagi gambaran bahagian dalam ruang solat. Aku sempat juga solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat dzuha di Masjid Kapitan Keling. Aku bersyukur kerana itulah pertama kali aku dapat masuk ke masjid tersebut. Ketika itu tiada orang kerana waktu masih awal untuk para jemaah datang iaitu sekitar jam 11.30 pagi. Harap-harap bilangan jemaah yang hadir untuk solat setiap waktu melebehi bilangan tiang yang terdapat di Masjid Kapitan Keling.


Ditengah-tengah iaitu di bawah kubah utama masjid, tergantung megah lampu “chandelier” yang menghiasi ruang solat masjid.

Aku keluar dari ruang solat dan melalui satu kawasan perkuburan diluar masjid. Khabarnya ia menempatkan kubur tiga isteri Kapitan Kling yang dikenali sebagai Che Minah iaitu isteri pertama, Mak Ma (isteri kedua) dan Tengku Maheran (isteri ketiga) yang juga merupakan kerabat Diraja Kesultanan Kedah.

Aku berjalan keluar dari kawasan masjid melalui pintu pagar utama dan melewati menara utama Masjid Kapitan Keling.


Gambar atas kiri … Dibahagian hadapan iaitu disebelah kiri pintu masuk utama dari Jalan Kapitan Keling ada sebuah menara yang tinggi. Dibahagian bawah menara tersebut terdapat sebuah bilik yang dijadikan sebagai tempat penerangan islam dan pusat dakwah yang dikendalikan oleh Saudara Kamaruddin Abdullah, bekas penganut kristian yang telah memeluk islam. Kerja dakwah yang dijalankan di situ sangat dinamik, pengunjung boleh dapatkan banyak artikel tentang Islam dalam pelbagai bahasa. Khabarnya ramai juga di kalangan pelancong asing dan pengunjung yang memeluk Islam, apabila didakwahkan di situ.

Aku terus berjalan sehingga ke persimpangan Jalan Kapitan Keling dengan Jalan Buckingham dimana terdapat satu binaan yang menceritakan sejarah masjid tersebut.


Sejarah Masjid Kapitan Keling ….

Masjid Kapitan Keling yang terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling merupakan sebuah masjid tertua dan bersejarah di Pulau Pinang. Ia dibina oleh tentera Syarikat Hindia Timur yang tiba di Pulau Pinang pada suku abad ke – 18.

Memandagkan penduduk kaum India Muslim di Pulau Pinang pada masa itu semakin bertambah maka Caudeer Mohudeen seorang ketua kaum India Muslim (Kapitan Keling) telah memohon sebidang tanah supaya sebuah masjid yang lebih  besar dan tetap dapat didirikan.

Pada tahun 1801 Syarikat HIndia Timur telah memberi sebidang tanah seluar 18 ekar dimana buruh dan bahan binaan dari India telah dibawa untuk kerja-kerja pembinaan. Masjid tersebut dibina di atas halaman yang luas bersama dengan kawasan tanah perkuburan dan perkampungan dimana sewa yang dikenakan adalah untuk kegunaan penyelenggaraan masjid dan kerja-kerja amal.

Selepas kematian Caudeer Mohudeen pada tahun 1834, sebahagian tanah tersebut telah diambil balik untuk pembinaan jalan-jalan awam dan rumah-rumah di kawasan masjid yang mengakibatkan pengecilan keluasan tanah menjadi 8 ekar pada tahun 1903.

Masjid kini adalah dibina pada tahun 1916 bagi menggantikan masjid lama dengan minaret yang berbentuk kubah memaparkan gaya seni bina Islam yang dipengaruhi oleh unsur-unsur dari India.

Masjid Kapitan Keling merupakan pusat beribadat bagi kaum India Muslim yang telah menetap dan bekerja di sekeliling masjid dengan nilai sejarah yang berlanjutan sejak 200 tahun dahulu.

2 comments:

  1. Salam. Ribuan terima kasih atas tulisan artikel ini. Saya adalah piut kepada Noordin.

    ReplyDelete
  2. thanks for this information

    ReplyDelete