Monday, 2 December 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar



Kami meninggalkan Masjid Kampung Paloh, Ipoh lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Aku memandu terus menuju ke arah Lebuhraya PLUS untuk menuju ke Bandar Diraja Kuala Kangsar. Di lebuhraya PLUS, kami berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak untuk solat zohor dan makan tengah hari. Keadaan di R & R agak sesak maklum sajalah musim cuti sekolah. Lepas makan, solat dan rehat , lebih kurang jam 1.30 petang kami meneruskan perjalanan ke destinasi Masjid Ubudiah Kuala Kangsar. Aku memandu terus di Lebuhraya PLUS sehingga sampai ke jalan susur keluar Plaza Tol Kuala Kangsar. Dari Plaza tol, aku mengambil Jalan Taiping menuju ke Pusat Bandar Kuala Kangsar.


Memandu di Jalan Taiping arah ke Pusat Bandar Kuala Kangsar, kami melalui bawah satu jejantas yang dihias indah seolah-olah pintu gerbang yang dilengkapi dengan kubah bentuk telur berwarna emas. Keindahan hiasan pada jejantas tersebut memaksa aku memberhentikan kereta sabentar untuk merakam gambar jejantas tersebut sebagai kenangan (gambar atas kiri). Aku meneruskan pemanduan memasuki Pusat Bandar sehingga sampai ke satu bulatan kecil yang terdapat menara jam ditengahnya, juga berkubah bentuk telur warna emas (gambar atas kanan). Aku memasuki Jalan Istana dan terus menuju ke Masjid Diraja Ubudiah yang tersergam Indah. Itulah kali pertama kami sampai ke masjid tersebut.






Masjid Diraja Ubudiah (dahulu dikenali sebagai Masjid Ubudiah atau Masjid Negeri) yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia. Masjid Diraja Ubudiah terletak disebelah Makam Diraja Al-Ghufran dan berhampiran dengan Istana Iskandariah, tempat bersemayam raja-raja pemerintah Negeri Perak. Masjid Ubudiah telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917. Nota: Ikuti sejarah pembinaan masjid di akhir coretan.




Masjid Diraja Ubudiah berbentuk segi lapan (oktagon) bergarispusat 96 kaki , berbumbung kubah besar bergaris pusat 60 kaki dengan ketinggian 140 kaki. Empat buah anjung juga dibina disekeliling binaan utama sebagai laluan masuk ke serambi masjid sebelum masuk ke dewan solat. Anjung-anjung tersebut juga berbumbung kubah yang lebih kecil.  Empat buah menara utama setinggi 126 kaki setiap satu juga dibina disekeliling masjid yang juga dilengkapi dengan kubah lebih kecil. Juga terdapat 16 buah menara kecil disekeliling bumbung masjid yang juga dihiasi dengan kubah yang lebih kecil.


Kesemua kubah-kubah di masjid tersebut adalah berbentuk bawang mengambil motif seni bina India Moghul. Manakala jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar Perak iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar Delapan dan Orang Besar Enam Belas.




Disekeliling beranda masjid, terdapat arch berbentuk kunci yang membentuk identiti kukuh terhadap elemen seni bina Moorish pada masjid tersebut. Ini menunjukkan betapa terpengaruhnya penjajah British terhadap seni bina Moorish di dalam setiap reka bentuk bangunan, sama ada bangunan kerajaan mahu pun masjid di negara ini pada waktu itu. Sesungguhnya pertembungan elemen classical seni bina Islam dan Barat telah menghasilkan suatu objek seni bina yang romantis dan menakjubkan.


Apabila Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, Masjid Ubudiah yang pada mulanya adalah Masjid Negeri Perak, kemudiannya dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah. Masjid tersebut ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Diraja Ubudiah dan dipengerusikan oleh individu yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan dan wakil pegawai daripada Pejabat Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Jawatankuasa itu dilantik untuk menguruskan segala pembangunan dan perbelanjaan Masjid Diraja Ubudiah.


Walaupun Masjid Diraja Ubudiah hampir berusia 100 tahun, namun nilai seni rekanya yang bermutu tinggi telah mengangkat Masjid Diraja Ubudiah dikenali sebagai masjid terindah sehingga ia mendapat tempat dalam peta pelancongan Malaysia.


Semasa aku tiba di Masjid Diraja Ubudiah, masih ada para jemaah yang sedang bersolat zohor, jadi aku meluangkan masa diluar masjid buta seketika sebelum aku mengambil wuduk dan masuk kedalam masjid melalui anjung ini. Aku menaiki anak-anak tangga kerana aras lantai masjid ditinggikan sekitar tiga kaki dari aras bumi sekelilingnya. Jelas kelihatan arch berbentuk kunci menghiasai setiap ruang masjid yang membentuk identiti kukuh terhadap elemen seni bina Moorish pada masjid tersebut.


Air pancut di atas dibina dihadapan salah satu daripada anjung yang terdapat di Masjid Diraja Ubudiah, menjadikannya lebih nyaman dan santai untuk di kunjungi. Gambar kanan … satu lagi anjung yang terdapat di masjid tersebut sebagai laluan menaiki anak-anak tangga ke lantai masjid .


Gambar kiri … ini adalah ruang solat yang berbentuk lapan segi bergaris pusat 60 kaki. Lantainya dikemasi dengan marmar berwarna hitam putih, namun kini lantainya dikemasi dengan permaidani yang indah, dindingnya dihiasi dengan bentuk-bentuk arch yang menarik yang kesemuanya melambangkan pengaruh senibina Moorish. Gambar kanan … silingnya kini dihias dengan berbagai bentuk ukiran yang menarik dan lampu chandelier tergantung megah ditengah-tengah siling.


Ruang Mihrab dan mimbar juga dihias cantik dan terletak disalah satu daripada anjung yang empat iaitu tidak didalam lingkungan segi lapan yang bergaris pusat 60 kaki. Laluan ke ruang mihrab dan mimbar juga dibina arch yang cantik. 


Sebelum aku meninggalkan Masjid Diraja Ubudiah, aku sempat merakam beberapa gambar yang menunjukkan beberapa arch berbentuk kunci ditiang-tiang menara. Gambar kanan … laluan ke pintu pagar utama masjid yang kelihatan dibelakang sana adalah Makam Diraja Al-Ghufran.






Makam Diraja Al-Ghufran yang terletak bersebelahan dengan Masjid Diraja Ubudiah juga dibina berkonsepkan Masjid Diraja Ubudiah iaitu kubah berbentuk telor, menara dan juga arch berbentu kunci.









Sedikit Sejarah Masjid Diraja Ubudiah



Diluar pagar masjid, terdapat satu binaan yang memaparkan sejarah Masjid Diraja Ubudiah. 

Ikuti ceritanya …


Masjid Ubudiah dibina atas titah Sultan Perak ke-28 iaitu Sultan Idris Mursyidul’adzam Shah I yang menjadi Sultan Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916, sebagai membayar nazar satelah sembuh daripada penyakit yang dialaminya. Semasa Sultan Idris Murshidul’adzam Shah I beristirahat dalam rawatan di Port Dickson baginda telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.


Dengan izin Allah, penyakit yang dihadapi Sultan Idris telah pulih dan sekembalinya ke Kuala Kangsar, baginda menitahkan W.S. Huxley daripada Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk mereka bentuk sebuah masjid seperti mana dihasratkan. W.S. Huxley mendapatkan khidmat Arthur Benison Hubback, seorang akitek Kerajaan Negeri-Negeri Melayu untuk mereka bentuk masjid yang diingini Sultan Idris. Seni reka yang diilhamkan oleh A.B.  Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi dan indah.


Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul’adzam Shah I telah meletakkan batu asas untuk masjid tersebut. Encik Caufield, Ketua Jurutera Negeri Perak, telah ditugaskan untuk  melaksanakan dan mengawasi pembinaan masjid tersebut sehingga siap.


Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris  dan Raja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.


Perjuangan kedua-dua gajah itu telah melarat sehingga ke tempat simpanan batu marmar menyebabkan batu marmar pecah ranap. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya tanpa boleh dihalang oleh sesiapa sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang.


Oleh sebab batu marmar itu telah pecah ranap, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama. Akhirnya batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan.


Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya pada tahun 1917 oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.) Sultan yang ke-29, yang telah menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916.

Belanja pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah RM200,000.00

No comments:

Post a Comment