Untuk
anak-anak ayah yang ayah sayangi di bumi Allah SWT. Segala puji bagi Allah SWT, yang telah memudahkan ayah untuk
beribadah kepada-Nya. Selawat serta salam, ayah sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW,
keluarga, dan para sahabat sekalian.
Wahai anak-anak ayah…
Luahan
rasa ini ini datang dari lubuk hati ayahmu, yang selalu dirundung keresahan. Satelah
berpikir panjang, ayah mencuba untuk
menulis dan menekan papan kekunci menggunakan jari-jari ayah yang semakin
kendur, sekalipun keraguan dan rasa malu menyelimuti diri ayahmu ini.
Setiap
kali meluahkan isi hati melalui papan kekunci yang usang ini, setiap itu pula jari-jari
ayah terhalang oleh tangis. Dan setiap kali menitiskan air mata, setiap itu
pula, hati ini terluka.
Wahai anak sulung ayah…
Tanggal
26 Disember 1985, engkau telah dilahirkan wahai anak sulungku. Ayah masih ingat,
ayah berada disisi ibumu didalam bilik bersalin ketika engkau mula menjengah
dunia ini dan bercampurlah air mata kebahagiaan ayah dengan air mata tangismu.
Ayah masih ingat bahawa arwah datukmu yang telah mengalunkan azan ke telingamu.
Sesungguhnya bait-bait suci itulah yang mula-mula engkau dengar dan terukirlah kalimah tauhid
di kanvas hatimu yang masih suci. Itulah bekal utama, jati dirimu yang
pertama. Dan maktub sudah janji insan di sisi Tuhan. Wahai anak ayah, kau adalah
hamba Allah SWT dan khalifah-Nya. Dan ayah adalah ayahmu, pemegang amanah kehidupanmu
yang fana. Ayah merasa sungguh gembira pada
ketika itu kerana telah bergelar “ayah” dan bertambahlah
tanggungjawab ayah. Ayah bersyukur kepada Allah SWT.
Apabila
telah berlalu setahun dari usiamu, pada tanggal 8 Ogos 1987, lahirlah adikmu,
seorang bayi lelaki sebagai penyambung zuriat ayah. Ketika itu, ayah sendiri
yang telah mengalunkan azan ke telinga adikmu. Masa pantas berlalu tanpa boleh
dikejar dan setelah empat tahun berselang, iaitu pada tanggal 16 Ogos 1991
seorang lagi adikmu dilahirkan, seorang bayi perempuan yang periang. Masa
berlalu lagi yang tidak pernah sepi dari gelombang dan setelah agak lama berlalu
iaitu pada tanggal 6 Oktober 1999, lahir seorang bayi perempuan iaitu adikmu
yang bungsu.
Wahai anak-anak ayah…
Ketika
diawal-awal usiamu, ayah masih ingat bahawa ayah selalu menolong ibumu
memandikanmu dengan kedua tangan kasih sayang ayah, memakaikan lampinmu dan
pakaianmu, membancuh air minummu dikala engkau kelaparan, menyapu minyak angin
dan mengurut dadamu ketika kembung perutmu. Kehidupan ayah, ayah berikan
kepadamu. Ayah tidak tidur, demi tidurmu, berletih demi kebahagiaanmu. Harapan
ayah pada setiap hari, agar ayah selalu melihat senyumanmu. Kebahagiaan ayah
setiap saat, adalah setiap permintaanmu agar ayah berbuat sesuatu untukmu.
Itulah kebahagiaan ayah.
Lalu
berlalulah waktu, hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti
tahun, selama itu pula, ayah setia menjadi pelayanmu yang tidak pernah lalai,
setiap permintaanmu ayah penuhi, menjadi
dayangmu yang tidak pernah berhenti, kemana sahaja kamu nak pergi, ayah menjadi
pemandumu, menjadi pekerjamu yang tidak pernah lelah, setiap kehendakmu ayah
turuti dan saban hari ayah mendoakan kebaikan dan taufiq untukmu. Harapan ayah supaya
anak-anak ayah semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Wahai
anak-anak perempuan ayah…
Ayah
selalu memperhatikan dirimu, hari demi hari, minggu demi minggu, tahun demi
tahun, dan waktu pun terus berlalu, seakan-akan ayah menyeretnya dengan berat sekali seakan tidak mampu ayah harungi. Sepanjang
masa yang telah engkau lalui, ayah lihat anak-anak ayah semua telah menjadi semakin
dewasa. Namun perasaan hati ayah berbaur bahagia dan duka. Bahagia kerana
anak-anak ayah semuanya cerdas dan
bijaksana, sedangkan duka kerana anak-anak ayah sering berpenampilan tidak saperti
yang ayahmu harapkan. Tatkala itu, hati ayah serasa teriris-iris, air mata ayah
mengalir, entah apa rasanya hati ini. Bahagia telah bercampur dengan duka.
Tangis telah bercampur pula dengan tawa.
Dimanakah
silap ayah? Apakah ayah tidak menghantarmu ke sekolah agama hingga perilakumu
sedemikian rupa? Seingat ayah, akademikmu cemerlang, pelajaran agamamu terbilang!
Apakah ayahmu tidak bekalkan ilmu buatmu menyuluh? Ayah mendidikmu bagaikan menatang air yang penuh! Agar kamu tahu menilai pahala
dan arif mengenal dosa. Ayah
selalu berdamping dengan mu, mendengar luahan kata yang tersurat dan memahami
syarat dalamannya yang tersirat. Apakah itu tidak mampu membantumu? Fikiran
ayah semakin kontang. Sudah
beberapa dekad amanah Allah SWT ayah genggam. Ayah cuba perkukuhkan amanah ini hari
demi hari. Adakalanya ayah tegak berdiri dengan ampuh. Tetapi banyak masanya ayah
terjatuh, ayah dilanggar dan dirempuh.
Wahai
anak-anak perempuan ayah…
Melalui rintihan
ayah ini, ayah ingin melihat kiranya anak-anak ayah berpenampilan sebagaimana yang ayah inginkan, agar sejuk mata ayah memandang, hati tidak rasa radang, perasaan tidak terus karuan, kiranya ayah pergi tidak kempunan dengan dosa yang diampun Tuhan.
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali bahagian yang biasa nampak
Kerana ini adalah firman
Allah dalam surah al-Ahzab ayat 59: yang bermaksud “Hendaklah mereka menghulurkan
jilbabnya ke seluruh tubuh”
sedang jilbab itu pakaian yang menutupi seluruh tubuh.
Juga terdapat
dalam firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31: yang bermaksud“
Katakanlah kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangan
mereka, memelihara kemaluan mereka dan jangan
menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak.”
Ibnu Katsir dalam
menafsirkan ayat diatas sebagai “mereka tidak menampakkan sedikitpun
perhiasannya kepada orang-orang ajnabi (bukan mahram), kecuali bahagian yang
tidak boleh disembunyikan”.
Namun ulamak
berbeza pendapat tentang “kecuali yang
biasa nampak” ada yang mentafsirkannya sebagai pakaian-pakaian luar, celak,
cincin, gelang dan muka dan kedua tapak tangan.
Pendapat yang
lebih tepat adalah muka dan tapak tangan, kerana celak letaknya dimuka manakala
cincin dan gelang di tangan.
Kesimpulannya, wajib
bagi seluruh wanita, baik yang merdeka atau hamba abdi untuk menutupkan pakaiannya
ke seluruh tubuh ketika mereka keluar. Mereka hanya dibolehkan menampakkan muka
dan kedua telapak tangannya sahaja berdasarkan kebiasaan yang berlaku pada
zaman Nabi saw kerana adanya persetujuan beliau terhadap mereka.
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak untuk berhias.
Kerana ini adalah firman
Allah dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Janganlah
mereka menampakkan perhiasan mereka”.
Secara umum ia mengandungi larangan menghiasi pakaian yang dipakai sehingga
menarik perhatian laki-laki.
Ayat di atas
dikuatkan oleh firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu semua tetap tinggal
dirumah! Juga, janganlah kamu berhias
dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dulu”.
Juga sebuah hadis
Nabi yang bermaksud: “ Ada 3 golongan
manusia yang tidak ditanya (kerana mereka sudah pasti termasuk orang-orang yang
celaka): pertama orang laki-laki yang meninggalkan jemaah dan mendurhakai
imamnya serta meninggal dalam kedurhakaan itu; kedua, seorang budak perempuan
atau lelaki yang melarikan diri dari Tuannya lalu mati; ketiga, wanita yang
ditinggalkan pergi oleh suaminya, dimana suaminya itu telah mencukupi keperluan
dunianya, namun (ketika suaminya tiada dirumah) dia bertabarruj.” [Hadith riwayat al-Hakim & Ahmad]
Kalimah tabarruj bererti perbuatan wanita menampakkan perhiasan
dan kecantikannya, serta segala sesuatu yang harus ditutup dan disembunyikan
kerana boleh membangkitksn syahwat laki-laki. Jadi maksud perintah mengenakan pakaian
yang menutup aurat (jilbab) adalah perintah untuk menutup perhiasan wanita.
Maka tidak masuk akal bila jilbab yang berfungsi untuk menutup perhiasan wanita
itu menjadi pakaian untuk berhias.
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang kainnya tebal dan tidak nipis.
Kerana pakaian yang
menutup aurat disyaratkan diperbuat daripada kain yang tebal, sebab sesuatu
yang menutup itu hendaklah daripada yang tebal. Adapun kain yang nipis akan
hanya menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit yang menjadi tarikan lelaki
untuk memandangnya. Pakaian seperti ini tidak berfungsi sebagai menutup aurat
kerana tidak dapat menghalangi daripada pandangan mata.
Ibnul Abdil Bar
berkata “Yang dimaksudkan oleh Nabi saw
adalah para wanita yang mengenakan pakaian nipis yang menggambarkan bentuk
tubuhnya, belum menutup atau menyembunyikan tubuh yang sebenarnya. Mereka itu
berpakaian, namun pada hakikatnya masih telanjang”
Ini diperkuatkan
oleh sebuah hadis yang mana Aisyah meriwayatkan, bahawa Asma’ bt Abu Bakar
pernah masuk kerumah Rasulullah saw, sedang ia memakai baju nipis, lalu
Rasulullah saw berpaling daripadanya. [Hadith riwayat Abu Daud dengan sanad Mursal]
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang longgar dan tidak ketat.
Kerana pakaian
yang menutup aurat mesti longgar, kerana maksud dan tujuan seseorang wanita
berpakaian adalah untuk menghilangkan fitnah dan tarikan orang laki-laki.
Pakaian yang ketat meskipun tebal kainnya dan boleh menutup warna kulit namun
tetap menggambarkan bentuk tubuh badan pemakainya dan masih bolih
mempesona, menarik perhatian dan
menaikkan berahi laki-laki yang memandangnya. Oleh itu pakaian wanita harus
longgar, tidak ketat.
Usamah bin Zaid
pernah berkata: “Pernah Rasulullah saw memberi saya baju qibthiyah yang tebal
hadiah dari Dihyah Al-Kalbi. Baju itupun saya pakaikan pada isteri saya. Nabi
bertanya kepada saya, “Mengapa kamu tidak pernah memakai baju qibthiyah ? Saya
menjawab, “Baju itu saya beri isteri saya pakai” Beliau lalu berkata,
“Perintahkan isterimu agar memakai baju dalam ketika memakai baju qibthiyah,
kerana saya khawatir baju qibthiyah itu masih boleh menggambarkan bentuk
tulangnya (bentuk tubuh)”.
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak di beri wangi-wangian.
Kerana pakaian
yang menutup aurat disyaratkan tidak diberi wangi-wangian berdasarkan
hadis-hadis yang melarang wanita memakai wangi-wangian ketika mereka keluar
rumah. Pakaian yang diberi wangi-wangian akan dapat meransang syahwat laki-laki
apabila terbau wangian tersebut.
Dari Abu Musa
Al-Asy’ari bahawasanya dia berkata, “ Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya perempuan apabila memakai
wangi-wangian lalu ia berjalan di hadapan suatu kaum (dengan tujuan) supaya
mereka mencium baunya maka ia berzina”
[Hadith riwayat at-Tirmidhi, An-Nasai, Abu Dawud].
Daripada Abu
Hurairah r.a. bahawasanya dia berkata, Rasulullah saw pernah bersabda: “Perempuan yang memakai bakhur (sejenis
pewangi pakaian), janganlah solat Isya bersama kami”. [Hadith riwayat Muslim dan Abu Awanah]
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki.
Kerana pakaian
yang menutup aurat disyaratkan tidak menyerupai pakaian lelaki iaitu pakaian yang
lazimnya dipakai oleh lelaki saperti seluar dan kemeja atau baju T.
Daripada Abu
Hurairah r.a. katanya “ Rasulullah saw melaknat laki-laki yang
berpakaian seperti pakaian perempuan dan perempuan yang berpakaian seperti
pakaian laki-laki”. [Hadith riwayat
Abu Daud dan Nasai].
Daripada Abdullah
bin Amru, katanya “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bukan termasuk golongan kami laki-laki yang menyerupai wanita, dan
wanita yang menyerupai laki-laki”.[Hadith riwayat Ahmad]
Kedua-dua hadis di
atas dengan jelas menunjukkan haramnya wanita menyerupai laki-laki dan
laki-laki menyerupai wanita. Hadis
pertama menghusus kepada masaalah pakaian manakala hadis kedua kepada masaalah
umum.
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak menyerupai pakaian orang kafir.
Kerana pakaian
yang menutup aurat disyaratkan tidak menyerupai pakaian orang kafir sebab
didalam syariat Islam telah ditetapkan bahawa kaum muslimin, baik laki-laki
mahupun perempuan, tidak boleh tasyabbuh (menyerupai) orang-orang kafir, baik
dalam hal ibadah, perayaan hari raya, dan pakaian yang menjadi pakaian khas
mereka.
Firman Allah SWT
dalam Surah Al-Hadid ayat 16, yang bermaksud: “ … Janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah
diturunkan al-Kitab kepada meraka, lalu berjalanlah masa yang panjang, sehingga
hati mereka menjadi keras dan kebanyakkan dari mereka menjadi orang-orang yang
fasik”.
Syaikhul Islam
Ibnu Taimiyah berkata: “Firman Allah, ‘Janganlah mereka seperti…’ merupakan
larangan mutlak terhadap tindakan menyerupai orang yang kafir; disamping itu
merupakan peringatan yang khusus bahawa hati mereka boleh menjadi keras akibat
dari kemaksiatan’”
Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang bukan pakaian syurah (mencari populariti).
Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan bukan merupakan pakaian untuk mencari populariti berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, dia berkata, “Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ‘Barangsiapa memakai pakaian untuk mencari populariti di dunia, maka Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka” [Hadith riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah]
Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan bukan merupakan pakaian untuk mencari populariti berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, dia berkata, “Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ‘Barangsiapa memakai pakaian untuk mencari populariti di dunia, maka Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka” [Hadith riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah]
Wahai
anak-anak perempuan ayah…
Jagalah penampilan dirimu. Janganlah memakai pakaian yang
dilarang kerana ianya tidak dapat berfungsi sebagai menutup aurat atau tubuh
pemakainya daripada sorotan mata yang beracun, yang memancar dari orang-orang
yang hatinya berpenyakit dan orang-orang yang rendah akhlaknya.
Kerana
sesungguhnya, mereka yang memakai pakaian yang dilarang, dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah
r.a. katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya
iaitu (1) Suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang dipukulkan
kepada manusia. (2) Perempuan-perempuan
yang berpakaian (tetapi hakikatnya) telanjang, jalannya lenggang-lenggok,
kepala (rambutnya) seperti ponok unta yang miring. Mereka tidak akan masuk
syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal sesungguhnya bau syurga itu
tercium dari jarak yang sangat jauh. Dalam lain riwayat (dikatakan): dan sesungguhnya
baunya tercium dari jarak perjalanan (sejauh) lima ratus tahun”. [Hadith
Riwayat Muslim].
Oleh itu,
wahai anak-anak perempuan ayah…
Berpenampilanlah dengan pakaian yang boleh menutup
seluruh tubuh (tidak singkat), pakaian yang tebal (tidak nipis), pakaian yang
longgar (tidak ketat), pakaian yang dikhususkan untuk perempuan sahaja (seperti
baju kurung, jubah), pakaian yang tidak berwarna – warni dan pakaian yang tidak diberi
wangi-wangian dan dilengkapkan dengan tudung sehingga menutupi dada kerana sesungguhnya
memakai pakaian dari jenis pakaian yang tersebut, akan memutuskan
keinginan-keinginan gila dan meluap-luap dari lelaki fasiq, agar tidak sampai
kepada anak-anak ayah.
Ingatlah
amaran Nabi SAW supaya selamat dunia akhirat dan kehidupan menjadi berkat,
kerana kasih sayang ayah kepada kamu semua tidak pernah luntur, masih seperti
dulu, masih seperti lautan yang tidak pernah kering, masih seperti angin yang
tidak pernah berhenti. Harapan ayah, agar kamu semua dimuliakan satu hari nanti,
nescaya engkau akan dibalas dengan kebaikan, sedangkan ayahmu tidak
mengharapkan apa-apa balasan. Ayah hanya ingin melihatmu berubah menjadi wanita
solehah.
Terasa
lama hari-hari yang ayah lewati, hanya untuk melihat perubahan dalam penampilan
dirimu. Detik demi detik tidak dapat ayah hitung dengan jari, hanya setia
menanti. Akan tetapi penantian ayah seakan sangat panjang, seakan-akan semua
itu tidak ada, mampukah ayah bertahan. Penantian ayah hanya sia-sia, dan harapan ayah hancur belaka. Yang
ada hanya keputus-asaan. Yang tersisa hanya kesedihan dari semua keletihan yang
selama ini ayah rasakan, sambil menangisi diri dan nasib yang memang
ditakdirkan oleh Tuhan.
Sampai
begitukah keras hatimu, dan sudah begitu jauhkah dirimu setelah berlalunya hari
dan berselangnya waktu. Apakah hatimu tidak tersentuh, terhadap seorang lelaki tua
yang lemah dimamah usia, sudah putih rambut dikepala, sudah berkedut garis di muka,
sudah menggigil kaki dan tangan, sudah kabur mata memandang. Usia sudah diambang senja, entah esuk entahkan lusa, mentari hidup kian
redup, sudah hampir episode penutup. Itulah ayahmu yang masih engkau belum
kenal.
Wahai
anak-anak ayah…
Ayahmu
tidaklah meminta banyak, ia tidaklah menagih padamu yang bukan-bukan. Yang ayah
pinta kepadamu, jadilah anak-anak yang soleh dan solehah yang sejuk mata ayahmu
memandang, yang memanjangkan doa bila ayah di alam kubur . Jadikanlah teguran ayahmu sebagai nasihat, agar engkau tidak
tersesat. Jangan jadikan ia sebagai tempat sampah yang tidak pernah engkau singgah.
Dosa apakah yang telah ayah perbuat, sehingga nasihat ayah tidak engkau genggam
erat. Atau pernahkah ayah berbuat lalai dalam melayanimu, sehingga kehidupanmu
melarat!
Bangunlah
wahai anak-anak ayah. Bangkitlah! Bertakwalah kepada Allah, takutlah kepada Allah.
Uban-uban sudah mulai merambut di kepalamu. Akan berlalu masa, sehingga kamu
semua akan menjadi tua pula saperti ayahmu. Sebagaimana kamu semua akan
berbuat, seperti itu pula anak-anakmu akan berbuat kepadamu kelak. Ganjaran itu
sesuai dengan amal yang kamu semua telah lakukan. Kamu semua akan memetik
sesuai dengan apa yang kamu semua tanam.
Senyummu
yang selama ini menjadi pelipur duka dan kesedihan ayah, sekarang telah mulai suram
bagaikan matahari yang ditutupi oleh kegelapan malam. Tawamu yang selama ini ayah
jadikan buluh perindu, sekarang telah tenggelam, seperti batu yang dijatuhkan
ke dalam kolam yang hening, dengan dedaunan yang berguguran.
Wahai
anak-anak ayah…
Ayah tidak akan panjatkan keluhan ini ke langit, ayah tidak akan adukan duka ini
kepada Allah SWT, karena jika seandainya keluhan ini telah membumbung menembus
awan, melewati pintu-pintu langit, maka ayah risau akan menimpamu kebinasaan dan
kesengsaraan, yang tidak ada ubatnya dan tidak ada doktor yang dapat
menyembuhkannya…hanya Allah jua.
Ayah
tidak akan melakukannya wahai anak-anak ayah. Bagaimana ayah akan melakukannya,
sedangkan engkau adalah jantung hati ayah. Bagaimana ayah boleh menengadahkan
tangan ke langit, sedangkan engkau adalah pelipur lara hati ayah. Bagaimana ayah
sampai hati melihatmu merana terkena doa mustajab, padahal engkau bagi ayah
adalah kebahagiaan hidup ayah.
Ayah
tidak ingin anak-anak ayah menulis rintihan saperti ini. Ayah tidak ingin
anak-anak ayah menulis rintihan yang serupa dengan air matamu kepada
anak-anakmu kelak, sebagaimana ayah telah menulisnya kepada kamu semua.
Wahai
anak-anak ayah…
Andainya kamu semua telah membaca rintihan ayah ini, terserah padamu. Apakah kamu semua akan sedar dan kamu semua akan kembali merobah diri, atau kamu semua akan pergi sepantas kuda berlari.
Andainya kamu semua telah membaca rintihan ayah ini, terserah padamu. Apakah kamu semua akan sedar dan kamu semua akan kembali merobah diri, atau kamu semua akan pergi sepantas kuda berlari.
Namun ayah akan terus menghadapi taufan kehidupan
ini yang tidak sudi simpati. Dengan sepercik iman, sekelumit keyakinan, ayah
akan harungi badai penderitaan. Sesungguhnya titipan Tuhan ini bukan khayalan
tetapi ia adalah kenyataan. Walaupun perjalanan peristiwa kekadang
sepantas igauan.
Walaupun sekali-sekali terasa gian
berkejar-kejaran di tepian denai. Atau berenang-renang di sungai. Tapi siapakah
mampu memutar jarum waktu. Yang berlalu, terus berlalu, perginya begitu laju.
Yang tinggal hanya turisan kenangan, yang kekal sebagai ingatan. Ah, musim
bermain hujan telah berlalu. Kini musim… bermandi ujian .... akan tenggelamkah ayah !.
“Ya Allah, Ya Tuhan Kami, hanya Engkau yang mampu memberi taufik dan hidayah kepada hamba-hambaMu,
maka anugerahkanlah kepada kami taufiq dan hidayahMu, agar kami menjadi ibu
bapa yang dihormati dan dicontohi oleh anak-anak kami, tambahkanlah kasih
sayang diantara kami, jauhkanlah rasa benci, hasad dan iri hati, hiasilah diri
kami seperti peribadi Nabi, serta lindungilah kami dari syaitan yang dilaknati”.
“Ya Allah, Ya Tuhan Kami Yang Maha Pengampun,
Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kami terhadap kedua ibubapa kami, mereka bersusah payah membesarkan kami Ya Allah, tetapi kami telah berbuat salah kepada mereka, kami telah abaikan mereka, kami sering mengherdik mereka, ampunkanlah dosa
kedua ibu bapa kami Ya Allah, janganlah mereka diazab kerana perbuatan kami, Ya Allah, ampunkanlah dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli
keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat”.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, Perbaikilah akhlak anak-anak kami.
Tanamkanlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buangkanlah sifat mazmumah
dalam diri mereka”.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami hamba yang lemah lagi hina, memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon, redhailah permohonan kami”.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami hamba yang lemah lagi hina, memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon, redhailah permohonan kami”.
“Ya
Allah Ya Tuhan kami, Berilah kami kekuatan
untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai
mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu”.
No comments:
Post a Comment