Kami menginap di Sandy Paradise Beach
Hotel di Tanjung Bungah untuk dua malam. Selepas sarapan pagi di hotel, saperti
dirancang, pagi itu aku akan menziarahi beberapa masjid bersejarah disekitar
Bandaraya Georgetown.
Dari Sandy Paradise Beach Hotel aku memandu melalui Jalan
Tanjung Bungah, menghala ke pusat Bandar melalui Jalan Tanjung Tokong, Jalan
Kelawei, Jalan Sultan Ahmad Shah, Lebuh Farquhar, Lebuh Light dan akhirnya membelok ke Jalan Kapitan
Keling. Kawasan meletak kenderaan disekitar Masjid Kapitan Keling memang
terhad, jadi hanya aku seorang sahaja yang masuk ke kawasan masjid manakala
isteri dan anakku menunggu di dalam kereta.
Masjid Kapitan Kling
terletak di Jalan Lebuh Pitt di Daerah Timur Laut Pulau Pinang dan merupakan masjid
tertua di Pulau Pinang. Pada
26 Disember 1989 nama jalan Lebuh Pitt telah ditukar kepada Jalan Masjid
Kapitan Keling dan perasmiannya dilakukan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau
Pinang iaitu YB Tuan Mohd Zain Bin Haji Omar.
Mula-mula aku
meronda sekitar luaran masjid dan merakam beberapa gambar daripada beberapa
arah.
Masjid Kapitan Keling yang asal telah mengalami beberapa perubahan.
Pada tahun 1910an, kerja-kerja penaiktarafan telah dilakukan dengan mengadaptasikan
senibina Moghul iaitu penambahan kubah-kubah, menara-menara kecil, sebuah
menara besar dan madrasah. Walaupun reka bentuknya mengikut
seni bina Moghul, bumbung masjid ini dibina berdasarkan reka bentuk piramid
atau lebih menjurus kepada reka bentuk bumbung tempatan. Kerja-kerja penambahbaikan ini telah
disiapkan pada tahun 1916.
Masjid Kapitan Keling terus mendapat
perhatian dan penaiktarafan seterusnya telah dilakukan pada tahun 1930 yang
memberikan rekabentuk Masjid Kapitan Keling seperti rekabentuk sekarang ini.
Pengubahsuaian tersebut telah dilakukan kerana rekabentuk asalnya dianggap
sebagai kurang praktikal. Bagi mengekalkan ciri-ciri tradisi asalnya, masjid
ini tidak dibina semula tetapi hanya diperbesarkan. Di antara kerja-kerja utama
yang dilakukan pada waktu itu ialah meninggikan siling di ruang solat utama,
meningkatkan sistem pengudaraan dan memperbaiki sistem pencahayaan. Seni hiasan
dan rekabentuk luaran dan dalaman masjid ini pada asalnya menggadaptasikan seni
geometrik.
Masjid Kapitan Keling telah
menjalani satu lagi fasa pembinaan apabila kerja-kerja membaik pulih telah
dilakukan pada tahun 2003 yang menelan belanja sebanyak RM5 juta. Kerja-kerja
baikpulih terpaksa dilakukan kerana berlaku banyak kebocoran serta kerosakan
pada sebahagian besar bangunan dan masjid ini terpaksa ditutup selama setahun
semasa kerja-kerja baikpulih. Di antara kerja-kerja tambahan lain ialah
pembinaan lorong pejalan kaki berbumbung menuju ke tempat wudhuk jemaah wanita,
pemasangan hiasan kaligrafi Islam di dinding-dinding serta kubah utama dan
pembinaan Pusat Maklumat Islam di bahagian bawah menara dihadapan masjid. Pusat
Maklumat Islam itu membekalkan banyak penulisan tentang islam dalam berbagai
bahasa yang untuk diedarkan kepada para pengunjung.
Semoga kerja-kerja untuk
memperelokkan serta memakmurkan masjid ini akan terus dipertingkatkan di masa
ini dan akan datang.
Gambar atas kiri … laluan masuk utama bahagian hadapan dari
Jalan Kapitan Keling. Gambar atas kanan … adalah Dewan Makam Noordin yang
khabarnya terdapat khazanah masyarakat India Muslim
dipamerkan antaranya seni bela diri kalari payat, warisan tulisan Arab-Tamil dan adat
perkahwinan. Dewan tersebut juga digunakan sebagai tempat untuk mengadakan
majlis-majlis ucapan dan sebagainya.
Gambar atas kiri … Sebelum
masuk kedalam masjid, aku mengambil wuduk di tempat wuduk yang merupakan sebuah
kolam wuduk yang masih dikekalkan sehingga sekarang. Dari kolam wuduk aku
berjalan masuk ke ruang solat yang lantainya dikemasi dengan jubin lantai
manakala lembaran permaidani diletakkan diatasnya … gambar atas kanan.
Gambar atas kiri ... Ini pula ruang mihrab dan juga mimbar masjid yang dihias indah dengan kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran. Gambar atas kanan ... Antara tiang dengan tiang dibina arch yang melambangkan senibina moghul.
Lagi gambaran
bahagian dalam ruang solat. Aku sempat juga solat sunat tahiyatul masjid dan
solat sunat dzuha di Masjid Kapitan Keling. Aku bersyukur kerana itulah pertama
kali aku dapat masuk ke masjid tersebut. Ketika itu tiada orang kerana waktu
masih awal untuk para jemaah datang iaitu sekitar jam 11.30 pagi. Harap-harap
bilangan jemaah yang hadir untuk solat setiap waktu melebehi bilangan tiang
yang terdapat di Masjid Kapitan Keling.
Ditengah-tengah
iaitu di bawah kubah utama masjid, tergantung megah lampu “chandelier” yang
menghiasi ruang solat masjid.
Aku keluar dari ruang solat dan melalui satu kawasan
perkuburan diluar masjid. Khabarnya ia menempatkan kubur tiga
isteri Kapitan Kling yang dikenali sebagai Che Minah iaitu isteri pertama, Mak
Ma (isteri kedua) dan Tengku Maheran (isteri ketiga) yang juga merupakan
kerabat Diraja Kesultanan Kedah.
Aku
berjalan keluar dari kawasan masjid melalui pintu pagar utama dan melewati
menara utama Masjid Kapitan Keling.
Gambar atas kiri … Dibahagian
hadapan iaitu disebelah kiri pintu masuk utama dari Jalan Kapitan Keling ada sebuah menara yang tinggi. Dibahagian bawah menara tersebut
terdapat sebuah bilik yang dijadikan sebagai tempat penerangan islam dan pusat
dakwah yang dikendalikan oleh Saudara Kamaruddin Abdullah, bekas penganut
kristian yang telah memeluk islam. Kerja dakwah yang dijalankan di situ
sangat dinamik, pengunjung boleh dapatkan banyak artikel tentang Islam dalam
pelbagai bahasa. Khabarnya ramai juga di kalangan pelancong asing dan
pengunjung yang memeluk Islam, apabila didakwahkan di situ.
Aku terus berjalan
sehingga ke persimpangan Jalan Kapitan Keling dengan Jalan Buckingham dimana terdapat
satu binaan yang menceritakan sejarah masjid tersebut.
Sejarah Masjid Kapitan Keling ….
Masjid Kapitan Keling yang terletak di
Jalan Masjid Kapitan Keling merupakan sebuah masjid tertua dan bersejarah di
Pulau Pinang. Ia dibina oleh tentera Syarikat Hindia Timur yang tiba di Pulau
Pinang pada suku abad ke – 18.
Memandagkan penduduk kaum India Muslim di
Pulau Pinang pada masa itu semakin bertambah maka Caudeer Mohudeen seorang
ketua kaum India Muslim (Kapitan Keling) telah memohon sebidang tanah supaya
sebuah masjid yang lebih besar dan tetap
dapat didirikan.
Pada tahun 1801 Syarikat HIndia Timur telah
memberi sebidang tanah seluar 18 ekar dimana buruh dan bahan binaan dari India
telah dibawa untuk kerja-kerja pembinaan. Masjid tersebut dibina di atas
halaman yang luas bersama dengan kawasan tanah perkuburan dan perkampungan dimana
sewa yang dikenakan adalah untuk kegunaan penyelenggaraan masjid dan
kerja-kerja amal.
Selepas kematian Caudeer Mohudeen pada
tahun 1834, sebahagian tanah tersebut telah diambil balik untuk pembinaan
jalan-jalan awam dan rumah-rumah di kawasan masjid yang mengakibatkan
pengecilan keluasan tanah menjadi 8 ekar pada tahun 1903.
Masjid kini adalah dibina pada tahun 1916
bagi menggantikan masjid lama dengan minaret yang berbentuk kubah memaparkan
gaya seni bina Islam yang dipengaruhi oleh unsur-unsur dari India.
Salam. Ribuan terima kasih atas tulisan artikel ini. Saya adalah piut kepada Noordin.
ReplyDeletethanks for this information
ReplyDelete