Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasehani.
Kehidupan setelah bersara kadang-kadang menyeronokkan tetapi adakalanya membosankan, terutama selepas menghantar anak bungsuku ke sekolah. Isteriku dan anak-anak yang lain pagi-pagi lagi sudah keluar rumah ke tempat kerja. Tinggallah aku bersendirian.
Kehidupan setelah bersara kadang-kadang menyeronokkan tetapi adakalanya membosankan, terutama selepas menghantar anak bungsuku ke sekolah. Isteriku dan anak-anak yang lain pagi-pagi lagi sudah keluar rumah ke tempat kerja. Tinggallah aku bersendirian.
Satu hari, sedang aku mengemas almari buku di bilik bacaan @
bilik solat, hatiku tergerak untuk melihat-lihat album gambar lama yang
terdapat disalah satu rak. Satu demi
satu gambar-gambar lama aku belek. Aku tersenyum sendirian menatap
gambar-gambar lama yang menyimpan seribu kenangan.
Antara gambar lama yang menarik perhatianku ialah gambar yang
dirakam pada 11hb. November 2001. Gambar empat orang anak-anakku. Anak sulungku
berusia 16 tahun (yang menduduk kanak-kanak), anak keduaku (lelaki) yang
berusia 14 tahun, anak ketigaku (depan) yang berusia 10 tahun dan anak bungsuku
(didukung) yang berusia 2 tahun. Kini masing-masing telah pun berusia 29, 27,
23 dan 15 tahun.
Keempat-empat anakku berada di KLIA sebelum kami berlepas ke
Jeddah untuk mengerjakan umrah. Namun aku terpaksa meninggalkan anak bungsuku
dibawah jagaan neneknya (ibu mertuaku) kerana ia masih terlalu kecil untuk aku
bawa bersama. Kenangan semasa mengerjakan umrah cuti sekolah hujung tahun 2001
masih segar dalam ingatanku.
Sekitar bulan Jun 2001, aku dan isteri bersetuju untuk
membawa anak-anak ke Madinah dan Mekah untuk menunaikan umrah pada cuti sekolah
hujung tahun. Setelah mencari-cari dan membuat sedikit perbandingan, akhirnya
aku memilih KSB Travel sebagai syarikat pengendali umrah untuk kami semua. Aku
dan isteri mula membaca dan menonton vcd berkenaan umrah dan ziarah ke Madinah
dan Mekah. Kira-kira sebulan sebelum keberangkatan, seperti yang telah
dijanjikan, wakil syarikat telah membawa seorang ustaz ke rumahku untuk
memberikan ceramah dan kursus umrah kepada kami yang seramai sebelas orang
termasuk tiga orang kakak ipar, seorang biras dan dua orang anak saudara.
Penceramah tersebut merupakan bekas pengarah Tabung Haji Negeri Sembilan yang
telah bersara.
Pada hari yang ditetapkan iaitu 11hb. November 2001 lebih
kurang jam 3.00 petang kami sudah berada di KLIA. Tidak lama kemudian wakil
daripada KSB Travel tiba untuk memberi penerangan dan menyampaikan paspot,
tiket dan boarding pas kepada kami. Bersama rombongan kami ialah keluarga bekas
jurulatih bola sepak kebangsaan iaitu Hj. Abdul Rahman Ibrahim seramai lima
orang. Jadi rombongan kami hanya seramai enam belas orang sahaja.
Dari KLIA, kami menaiki pesawat MAS menuju ke Lapangan
Terbang Jeddah. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 8 jam dan kapal terbang
mendarat di Lapangan Terbang Jeddah lebih kurang jam 3.30 pagi waktu tempatan,
12hb. November 2001. Kami tidak diiringi oleh wakil syarikat pengendali umrah,
dan mereka hanya memaklumkan bahawa seseorang akan menjemput kami di LapanganTerbang
King Abdul Aziz Jeddah.
Semasa kami keluar dari perut pesawat, kami berjalan
berkumpulan agak jauh juga baru sampai ke tempat pemeriksaan imigresen. Di
kaunter imigresen kami terpaksa beratur panjang, mujurlah borang-borang
kemasukan telah kami isi semasa dalam pesawat lagi. Selepas melepasi
pemeriksaan imigresen, Mutawif telah sedia menunggu dan kami pun rasa lega.
Mutawif meminta kami menyerahkan semua paspot untuk disimpan katanya, kemudian
dia membantu kami mengambil bagasi dan meminta kami berkumpul disatu sudut
berhampiran surau untuk menunggu menunaikan solat subuh. Selesai solat subuh,
kami duduk-duduk sementara menunggu
Mutawif membuat urusan mendapatkan bas
untuk membawa kami ke Madinah Al-Munawarah. Mutawif yang membantu kami ialah Ust. Talha
yang masih menuntut di Universiti Madinah.
Hadapan dari kanan … Mak Ngah, isteriku, Mak Lang. Belakang …
Mak Poon dan Pak Lang.
Tidak lama kemudian Ust. Talha meminta kami menolak semua
bagasi untuk mengikutinya menaiki bas diluar bangunan lapangan terbang. Lagi
sekali kami berjalan kaki agak jauh sambil menarik bagasi masing-masing dalam cuaca
yang agak sejuk diawal pagi, namun kami teruskan perjalanan. Sampai di tempat
bas parkir, aku menolong pemandu dan Ust Talha memasukkan bagasi ke dalam perut
bas manakala yang lain mengambil tempat duduk didalam bas. Sebelum bas
bergerak, Ust Talha mengira bilangan kami untuk memastikan tiada sesiapa yang
ketinggalan.
Semasa bas kami meninggalkan Lapangan Terbang Jeddah, hari
masih lagi gelap. Di dalam bas, Ust Talha memberi sedikit penerangan berkenaan
perjalanan ke Madinah Al-Munawarah. Katanya bas akan berhenti di kawasan
hentian sebelah sebanyak dua kali dan akan melepasi sekatan keselamatan sekali
sebelum sampai ke Madinah. Katanya lagi perjalanan dijangka mengambil masa antara
empat hingga enam jam.
Dalam
perjalanan, Ust Talha menerangkan tentang kelebihan Bumi Madinah. Katanya, Yathrib
adalah nama asal bagi Madinah sebelum kedatangan Rasulullah SAW dalam peristiwa
Hijrah pada tahun 622 Masihi. Penduduk asal Yathrib terdiri daripada kaum Arab
dan Yahudi. Bangsa Yahudi terdiri dari 3 puak utama iaitu Bani Qainuqa', Bani
Nadhir dan Bani Qurayzah manakala Bangsa Arab terdiri daripada Qabilah Aus dan
Qabilah Khazraj. Mereka semua selalu bertelagah dan selalu bergaduh di antara
satu sama lain. Setelah kedatangan Rasulullah SAW, mereka semua bersatu melalui
perjanjian antara semua kaum seperti yang terkandung di dalam Piagam Madinah.
Pada masa inilah, nama Yathrib ditukar oleh Rasulullah kepada Madinah.
Ust
Talha menyambung lagi, bumi Madinah mengandungi berbagai-bagai keistimewaan
yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Antaranya:
Rasulullah
SAW menjadikan Madinah sebagai Tanah Haram dan berdoa untuk keberkatan ahlinya
dengan doanya yang bermaksud: “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami
kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih
dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan
bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah” … hadis riwayat
Bukhari dan Muslim.
Rasulullah
SAW juga telah bersabda yang bermaksud: “Madinah adalah tanah haram, letaknya
diantara Bukit E'ir dan Bukit Thur; Barang siapa melakukan kezaliman (maksiat)
didalamnya, maka keatasnya laknat Allah, Malaikat dan manusia seluruhnya dan
semua amalan baiknya yang wajib ataupun sunat tidak diterima oleh Allah kelak
di Hari Kiamat”.
Mereka
yang sanggup bersabar menanggung kesusahan semasa berada di Madinah dijanjikan syafa’at Nabi SAW sebagaimana
sabdaNya yang bermaksud: “Mana-mana individu dari ummatku yang
bersabar menanggung kesusahan dan kepayahan di Madinah, aku akan memberi
syafa’at kepadanya pada Hari Kiamat, atau aku menjadi saksi kepadanya”.
Bagi
mereka yang ditakdirkan meninggal di Madinah, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah hendaklah dilakukannya,
sesungguhnya aku akan memberi syafa’at kepada mereka yang mati di Madinah”.
Rasulullah
SAW juga telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memasuki masjid kami ini untuk
mempelajari satu kebaikan atau mengajarnya adalah umpama mujahid di jalan Allah
dan sesiapa yang masuk dengan tujuan lain adalah umpama orang yang melihat
kecantikan barang orang lain”.
Dalam hadis yang
lain, Nabi SAW memberi jaminan bahawa Madinah merupakan kota yang tidak akan di
masuki oleh Dajjal. Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang maksudnya: “Tidak ada
suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah ,di
keduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali para malaikat akan berbaris
menjaganya. Kemudian Madinah akan menggongcangkan penduduknya sebanyak tiga
kali, lalu Allah SWT mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik”
…hadis riwayat Bukhari.
Di bumi Madinah juga terletaknya Masjid Nabawi yang menempatkan Makam Rasulullah SAW dan dua sahabat yang memperjuangkan Islam. Juga terdapat kawasan yang dipanggil Raudhah atau taman syurga sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman Syurga”.
Jika
sebelum berhijrah, Rasulullah SAW terpaksa berdakwah secara bersembunyi, tetapi
di Madinah, Rasulullah SAW mula menyampaikan dakwah secara terbuka dan lebih
sistematik. Alhamdulillah, penduduk Madinah telah dapat menerima kedatangan
Rasulullah SAW dengan baik. Justru, Ust Talha menyarankan
agar kami memperbanyakkan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW disamping
membaca zikir-zikir yang lain.
Ust Talha menerangkan antara lain, berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah
salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW .
Kelebihan atau keistimewaan berselawat dijelaskan oleh Allah SWT menerusi
firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para
malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai
orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam
dengan penghormatan”… Surah Al-Ahzab, ayat 56.
Ustaz lalu memberitahu satu hadis dari Anas
bin Malik r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa
yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya
sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan
baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” … hadis sahih
riwayat An-Nasa’i No. 1297 dan Ahmad.
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan
berselawat kepada Raulullah SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut. Dalam
hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang Bakhil ialah mereka yang apabila
disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”… hadis sahih riwayat Tirmizi.
Sebagai
mengakhiri penerangannya, Ust Talha berkata Madinah adalah bumi barakah. Itulah
janji Rasulullah SAW. Madinah telah menjadi ibu kota negara Islam yang pertama.
Ia menjadi tempat pentadbiran dan perkembangan tamadun Islam. Madinah Al Munawwarah merupakan kota suci
kedua bagi Umat Islam selepas Kota Suci Mekah Al-Mukarramah.
Setelah mengharungi perjalanan yang agak selesa tetapi
memenatkan, akhirnya kami tiba di Hotel Al-Haram di Madinah Al-Munawarah lebih kurang
jam 11.00 pagi.
Di lobi hotel Al-Haram, Madinah Al-Munawarah … menunggu untuk
mendapatkan bilik. Berdiri dari kanan … isteriku, anak sulungku, Mak Lang, Mak
Ngah, Mak Poon. Depan dari kanan … anak saudara, anak saudara dan anak
ketigaku. Hotel Al-Haram tidaklah berapa jauh daripada Masjid Nabawi dan sangat
mudah untuk kami berulang-alik solat berjemaah di Masjid Nabawi.
Di Madinah kami sama-sama pergi ke Masjid Nabawi setiap waktu
solat. Namun kami berpisah apabila memasuki Masjid Nabawi kerana jemaah lelaki
dan wanita diasingkan dan mempunyai pintu masuk yang berasingan. Selepas solat
Asar, Ust Talha memaklumkan akan membawa kami melakukan ziarah dalaman selepas
makan malam.
Seperti dijanjikan, selepas makan malam kami sudah sedia
menunggu Ust Talha di lobi hotel. Ust Talha akan membawa jemaah lelaki manakala
jemaah wanita dipimpin oleh seorang ustazah. Kami sama-sama berjalan ke Masjid
Nabawi untuk melakukan ziarah dalaman iaitu ke raudah dan juga makam Rasulullah
SAW serta dua sahabat karibnya iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.
Panorama Masjid Nabawi pada waktu malam diterangi oleh lampu-lampu
di sekeliling masjid menambahkan keindahan masjid tersebut. Nota: Kini
lampu-lampu tersebut telah bertukar menjadi payung-payung.
Setelah masuk ke dalam masjid, kami mendirikan solat sunat
tahiyatul masjid dan berdoa. Selesai berdoa, Ust Talha memulakan tazkirahnya dengan
sirah penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah.
Selepas 4 hari Rasulullah SAW berada di Quba,
pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Rasulullah SAW dan
rombongan bertolak ke Yathrib. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda
singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani
Salim bin Auf. Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam solat
tersebut.
Selesai solat Jumaat, Rasulullah SAW
meneruskan perjalanan dan semasa tiba di Yathrib, Baginda telah disambut dengan
sangat meriah oleh penduduk Yathrib. Masing-masing menawarkan diri supaya
Rasulullah SAW singgah dan menetap di rumah mereka.
Namun rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih
menjadi tempat menetap Rasulullah SAW di Yathrib apabila unta Baginda berhenti
di rumah Abu Ayyub di kampung Bani al-Najjar.
Nota: Keadaan dalaman Masjid Nabawi masa kini
Ust Talha menyambung, perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebaik sampai di Yathrib ialah membina masjid diatas tanah yang dibeli oleh Baginda daripada dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhail bin ‘Amar. Masjid yang berukuran 70 hasta panjang dengan lebar 60 hasta hanya berlantaikan tanah yang berbatu, tiangnya dari batang pokok kurma, berdinding batu bata dan tanah manakala atapnya dari pelepah daun kurma, terdapat tiga pintu. Masjid tersebut berkiblat menghadap ke Masjid al-Aqsha manakala disebelah utara masjid adalah bilik Aisyah, isteri Baginda.
Ust Talha menyambung, perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebaik sampai di Yathrib ialah membina masjid diatas tanah yang dibeli oleh Baginda daripada dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhail bin ‘Amar. Masjid yang berukuran 70 hasta panjang dengan lebar 60 hasta hanya berlantaikan tanah yang berbatu, tiangnya dari batang pokok kurma, berdinding batu bata dan tanah manakala atapnya dari pelepah daun kurma, terdapat tiga pintu. Masjid tersebut berkiblat menghadap ke Masjid al-Aqsha manakala disebelah utara masjid adalah bilik Aisyah, isteri Baginda.
Pada tahun ke 7 H iaitu selepas daripada
Perang Khaibar, apabila umat Islam semakin bertambah, Rasulullah SAW telah
membesarkan masjid tersebut menjadi 90 hasta panjang dan 80 hasta lebar dengan
perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Utsman bin Affan. Masjid tersebut
dikenali sebagai Masjid Nabawi dan Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud
“Solat
di masjidku ini lebih utama dari 1000 kali solat di masjid lain, kecuali Masjid
al-Haram.”… hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Masjid
Nabawi mengalami pembesaran-pembesaran seterusnya yang telah dilakukan oleh
Khalifah Umar bin Khattab pada tahun ke 17 H, Khalifah Utsman bin Affan tahun
ke 29 H, Walid bin Abdul Malik tahun ke 88-91 H, Al-Mahdi Khalifah Abbasiyah
tahun ke 161-165H, Al-Asyraf Qayitbay
tahun ke 888 H, Sultan Abdul Majid tahun ke 1265-1277H, Raja Arab Saudi, Abdul
Aziz alu Su’ud tahun 1372-1375 H, Khadimu al-Haramain asy-Syarifain, Fahd bin
Abdul Aziz alu Su’ud tahun 1406-1414 H dan pembesaran terakhir dilakukan oleh
Khadimu al-Haramain asy-Syarifain, Abdullah bin Abdul Aziz. Hingga kini Masjid
Nabawi boleh menampung sehingga 800,000 jemaah.
Ust Talha kemudian membawa kami memasuki kawasan Raudah. Raudah adalah satu tempat yang sangat mulia di
dalam Masjid Nabawi. Selain menjadi lokasi Rasulullah SAW dan para sahabatnya
beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada baginda, ia juga merupakan taman syurga.
Dalam satu hadis dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Ruang antara rumahku dan mimbarku
adalah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku terletak di atas
kolamku”… hadis riwayat Bukhori.
Kedudukan Raudah
adalah di antara rumah Rasulullah SAW dengan mimbarnya yang sejauh 26 meter
dengan lebar 15 meter bermula dari Mihrab Rasulullah SAW dibahagian selatan
hingga ke rumah Rasulullah SAW di bahagian utara. Lantainya dikemasi dengan
karpet berwarna hijau putih.
Walaupun malam sudah melewati jam 10.00 malam, tetapi keadaan
di Raudah sentiasa sesak. Oleh kerana kumpulan kami tidak ramai iaitu hanya kami
berlima, jadi tidak terlalu sukar untuk masuk ke kawasan Raudah. Setelah bersesak-sesak
dan bergerak perlahan-lahan akhirnya kami dapat masuk, tetapi mesti menunggu
dengan sabar sebelum dapat mendirikan solat dan berdoa di Raudah. Oleh kerana
keadaan yang sesak, kami bersembahyang dan berdoa secara sendiri-sendiri.
Aku mengambil kesempatan untuk mendirikan solat sunat taubat
dan solat sunat hajat dan kemudian memanjatkan doa kepada Allah SWT. Lebih
kurang 15 minit berada di Raudah, aku beredar keluar.
Setelah semuanya berkumpul semula, Ust Talha membawa kami
untuk menziarahi Makam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya. Kawasan tersebut juga
sesak. Tetapi kami hanya perlu bergerak mengikut aliran perjalanan keluar
sambil membaca doa sebagaimana buku panduan umrah yang dibekalkan oleh KSB
Travel.
Buku panduan umrah dan ziarah ini masih aku simpan hingga
kini.
Hari kedua di Madinah, rombongan kami dibawa menziarahi Masjid
Quba, Masjid Qiblatain, Makam Syuhada, Masjid Tujuh dan tidak ketinggalan pasar
kurma.
Dalam
perjalanan ke Masjid Quba, Ust Talha mula memberikan tazkirah. Katanya, sejarah
Masjid Quba bermula apabila, Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya Abu Bakar ra
berhijrah dari Mekah ke Yathrib. Pada hari Isnin 8 Rabiul Awal bersamaan 23 Sep
622M, Baginda telah tiba di suatu tempat yang dikenali sebagai perkampungan
Quba, iaitu beberapa kilometer di selatan Yathrib. Rasulullah SAW tinggal
beberapa hari di perkampungan Quba bersama Bani Amru bin Auf di rumah Kalthum
bin Al-Hudri.
Pada
hari pertama sampai di perkampungan Quba, Rasulullah SAW terus membina sebuah
masjid di kawasan tanah lapang, tempat dimana unta yang ditunggangi Baginda berhenti.
Ia berada dibahagian hadapan tanah kepunyaan Kalthum bin Hudri. Sebelum
didirikan masjid, Nabi Muhammad SAW telah meminta keizinan tuan tanah dan
dengan keizinan yang diperolehi, Rasulullah SAW membina sebuah masjid yang sederhana.
Ia
dibina daripada pokok tamar iaitu batang, pelepah dan daun tamar. Bahagian
dindingnya pula diletakkan batu pejal, supaya keadaannya menjadi lebih kukuh. Rasulullah
SAW sendiri turut serta dalam membina masjid tersebut dengan mengangkut batu-batu
dan pasir bersama para sahabat.
Setelah
siap membina masjid, Rasulullah SAW mengimami solat berjemaah secara terbuka
bersama para sahabat di Masjid tersebut, berkiblatkan Masjid al-Aqsa. Rasulullah
SAW telah menamakan masjid tersebut sebagai Masjid Quba bersempena nama sebuah
telaga yang berada di tempat tersebut dan yang merupakan masjid yang pertama
dibina dalam sejarah Islam.
Allah
swt mencintai tindakan Rasulullah SAW ini kerana pembinaan Masjid tersebut atas
dasar ketaatan (taqwa) kepada Allah SWT demi mencari keredhaanNya (iman yang
padu). Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 108, yang bermaksud “Sesungguhnya
ia adalah sebuah masjid (masjid Quba) yang dibina atas dasar taqwa, ia lebih
utama dan dirikanlah solat di dalamnya …”
Masjid
Quba mempunyai beberapa keistimewaannya yang tersendiri . Rasulullah SAW juga
bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang berwuduk dirumahnya, kemudian
pergi ke Masjid Quba dan solat sunat dua rakaat, akan diberi ganjaran pahala
saperti pahala menunaikan umrah”.
Imam
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW selalu
pergi ke Masjid Quba pada tiap-tiap hari Sabtu sama ada dengan menaiki unta
atau berjalan kaki. Adakalanya Rasulullah SAW pergi pada hari Isnin dan Khamis.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat sentiasa menziarahi masjid Quba
dan bersolat disana.
Bangunan
Masjid Quba telah diperbaiki dan dipertingkatkan mutu binaannya pada zaman
Khulafa Al-Rasyidin, Bani Umaiyah dan Bani Abbasiah. Pada abad ke 10H, Masjid
Quba telah diperbaiki lagi sehingga menjadi bentuk empat segi. Semasa
pemerintahan Raja Fahd bin Abd Aziz, baginda telah membina enam buah kubah
besar dan lima puluh lima kubah kecil, empat menara untuk azan yang
ketinggiannya sekitar 47 meter dibina dikeempat-empat penjuru masjid ini. Luas
Masjid Quba juga bertambah menjadi 9,000 meter persegi, dan dapat menampung
kira-kira 11,000 orang jemaah.
Dari Masjid Quba kami di bawa ke Masjid Qiblatain. Masjid Qiblatain termasuk salah satu masjid
yang menjadi tonggak sejarah syiar Islam. Di masjid inilah Nabi Muhammad SAW
menerima wahyu untuk mengubah arah kiblat solat, dari Baitulmaqdis di
Jerussalem, Palestin ke Baitullah di Masjidilharam, Mekah.
Nota: Ini adalah keadaan dalaman masjid pada masa ini
Semasa kami sampai di Masjid Quba, orang belum begitu ramai,
jadi kami tidak perlu bersesak-sesak dan terburu-buru. Dimasjid ini pun
jemaahnya diasingkan. Ustaz hanya memberi masa sekitar lima belas minit untuk
berada di Masjid Quba. Sempat juga aku mendirikan solat sunat tahiyatul masjid,
sunat taubat, sunat hajat dan sunat dhuha.
Masjid yang terletak di atas bukit kecil di
utara Harrah Wabrah, Madinah pada asalnya dikenali dengan nama Masjid Bani
Salamah, karena dibina di atas bekas rumah Bani Salamah. Pada satu pagi hari
isnin bulan Rejab tahun ke 2 Hijriyah, Rasulullah SAW telah mengunjungi
perkampungan Harrah untuk bertemu penduduk Islam disana. Ketika memasuki waktu Zohor,
Rasulullah SAW melaksanakan solat zohor di Masjid Bani Salamah ini.
Sewaktu memulakan solat, Rasulullah SAW saperti biasa menghadap ke
arah Baitulmaqdis. Ketika dirakaat kedua Rasulullah SAW menerima wahyu untuk mengubah arah kiblat tersebut. Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah
ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai.
Palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam. Dan di mana saja kamu berada,
palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang diberi al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahwa
berpaling ke Masjidilharam itu adalah benar dari Allahnya dan Allah sekali-kali
tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan”… Surah Al-Baqarah, ayat
144.
Setelah turun ayat tersebut, Rasulullah SAW
secara berperingkat bergerak bagi mengubah arah kiblat solatnya menghala ke
Masjidilharam di Makkah. Perubahan arah kiblat daripada Baitulmaqdis ke
Masjidilharam menjadi tamparan hebat kepada kaum Yahudi yang sebelum itu begitu
berbangga dengan kiblat mereka di Baitulmaqdis. Selepas daripada peristiwa
tersebut, masjid Masjid Bani
Salamah dikenali dengan nama Masjid
Qiblatain, yang artinya masjid dua kiblat.
Batu
asas pembinaannya dilakukan sendiri Nabi Muhammad SAW dan siap pada tahun 623M.
Baginda pernah bermalam di masjid itu selama 20 hari. Berdekatan Masjid
Qiblatain terdapat sebuah telaga dimiliki seorang Yahudi. Dengan nasihat Rasulullah
SAW, telaga itu ditebus daripada pemiliknya oleh Uthman bin Affan bagi
menjadikannya milik umat Islam sepenuhnya.
Sejarah awal pentadbirannya terletak di bawah Umar al-Khatab, kemudian diserahkan kepada pemerintahan Uthmaniah dengan penyeliaan Sultan Sulaiman yang bertanggungjawab melakukan pengubahsuaian terhadap masjid bersejarah itu. Pada tahun 1987 projek pembesaran masjid dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi mengikut keperluan semasa tanpa mengubah struktur binaan asal. Kini mampu menampung sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid
yang terletak di Jalan Khalid Bin Walid di bahagian barat laut Madinah itu berbentuk
ortogenal itu dihiasi dua tangga masuk bagi membolehkan jemaah lelaki dan
wanita keluar masuk ke masjid melalui pintu berasingan.
Nota: Ini adalah keadaan dalaman masjid pada ketika ini
Aku tidak melepaskan peluang untuk solat sunat tahiyatul
masjid, solat sunat taubat dan solat sunat hajat di Masjid Qilatain. Ust Talha ada menerangkan dalam satu hadis
sahih yang diriwayatkan Ahmad bin Hambal, Al-Nasai, Ibnu Majah dan Hakim bahawa
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat
dua rakaat di Masjid Qiblatain, maka Allah memberikan ganjaran pahalanya
seperti pahala mengerjakan satu umrah.”
Kira-kira dua puluh minit berada di Masjid Qiblatain, kami
dibawa pula menziarahi permakaman Syuhada Uhud iaitu tempat pengkebumian
tentera Islam yang gugur didalam peperangan Uhud.
Ust Talha memulakan dengan sirah peperangan Uhud. Peperangan
Uhud dimulai oleh orang kafir Quraisy Makkah yang ingin membalas dendam
terhadap kekalahan mereka dalam peperangan Badar. Tentera Kafir Quraisy
Makkah seramai 3,000 orang telah berarak
dari Makkah sehingga sampai ke Zulhulaifah dan Lembah Qanaat iaitu di selatan
Bukit Uhud dan di timur bukit Ar-Rumah.
Apabila Rasulullah SAW mendapat berita tentang kemaraan
tentera Quraisy, Baginda telah mengadakan satu perbincangan untuk mengatur
strategi peperangan. Rasulullah SAW
telah menerima pendapat para sahabat untuk menghadapi tentera kafir di luar
kota Madinah.
Rasulullah SAW berjaya mengumpulkan 1000 orang tentera namun Baginda
mendapati ada sekumpulan tentera yang Baginda tidak kenali. Mereka adalah orang
yahudi yang ada kaitan dengan ketua
orang munafik iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Lalu Baginda menyuruh kumpulan
Yahudi tersebut memelok Islam atau keluar daripada pasukan tentera Islam.
Mereka memilih keluar daripada pasukan tentera Islam dan ini diikuti oleh
Abdullah bin Ubai dan pengikutnya.
Rasulullah SAW bersama tentera Islam yang tinggal seramai 700
orang, memulakan perjalanan selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi dan menuju ke
medan uhud. Mereka telah berkemah diantara dua bukit iaitu Bukit Uhud
dibahagian belakang dan menghadap tentera kafir musyrik, Bukit Ar-Rumah
dibahagian kiri dan Bandar Madinah di hadapan mereka.
Gambar Bukit Uhud … tempat berlakunya peperangan diantara tentera
Islam dan orang Quraisy Mekah.
Rasulullah SAW telah mengatur strategi dengan melantik
seorang ketua bagi setiap pasukan dan menempatkan 50 orang tentera pemanah yang
di ketuai oleh Abdullah bin Jubair Al-Ansari, di atas bukit Ar-Rumah bagi
menghalang tentera berkuda Quraisy daripada arah belakang. Baginda SAW berpesan
supaya jangan meninggalkan tempat mereka samada mereka melihat kami kalah atau
menang sehingga Baginda memanggil mereka.
Bukit Ar-Rumah yang menempatkan 50 tentera pasukan pemanah
Rasulullah SAW.
Pertempuran bermula pada hari Sabtu 15 Syawal, tahun ke-3
hijrah , di sebelah barat Bukit Uhud. Disini tentera Islam telah menunjukkan
keberanian yang sangat luar biasa sehingga mereka dapat mengalahkan tentera
kafir Quraisy. Dengan pertolongan Allah SWT, tentera Islam telah berjaya
membunuh 31 orang musuh kafir Quraisy. Tentera Islam berjaya mengawal keadaan
dan mengusir keluar tentera kafir tidak jauh daripada situ. Apabila tentera Quraisy
berundur keluar dari medan pertempuran dan meninggalkan harta benda mereka,
tentera Islam mula mengumpulkan harta yang ditinggalkan oleh pihak musuh. Melihat keadaan tersebut, pasukan pemanah di
atas bukit Ar-Rumah telah mengingkari
larangan Rasulullah SAW dan mula menuruni bukit Ar-Rumah untuk bersama-sama
mengumpul harta rampasan. Hanya tinggal Abdullah bin Jubair berserta beberapa
orang tentera pemanah sahaja yang berkawal.
Kelalaian pasukan pemanah
mematuhi arahan Rasulullah SAW telah diambil kesempatan oleh tentera berkuda Quraisy yang diketuai oleh
Khalid bin Al-Walid untuk berpatah balik
dan melakukan serang hendap dari arah belakang dan berjaya membunuh seorang demi
seorang sehingga gugur syahid kesemua tentera pemanah yang tinggal di atas Bukit
Ar-Rumah. Tentera berkuda Quraisy juga
memanggil semula tentera meraka yang telah berundur untuk datang semula dan
meraka berjaya mengepung dari segenap penjuru akan tentera Islam yang sedang
seronok mengumpulkan harta perang.
Apabila tentera Islam menyedari yang mereka telah terkepong,
mereka menjadi panik dan kacau bilau dan mula berpecah, ada yang lari balik ke
Madinah dan ada yang lari bersembunyi, namun masih ada sekumpulan tentera yang
terus bersama-sama Rasulullah SAW untuk bertempur dengan tentera Quraisy. Demi
menyelamatkan Islam, tentera-tentera Islam telah bertempur dengan perkasa dan
bermati-matian.
Musab bin Omair ra yang bertugas memegang bendera tentera
Islam, apabila tangan kanannya terpotong oleh pedang musuh, ia memegang bendera
dengan tangan kiri. Kemudian tangan kirinya terpotong, ia berlutut dan mengepit
bendera dengan dada dan dagunya sehingga ia gugur syahid. Manakala Anas bin Nadar ra telah bertempur
dengan dahsyatnya sehingga menerima 70 tikaman pedang dibadannya sebelum ia
gugur syahid. Saiyadinah Hamzah juga gugur syahid akibat rejaman lembing Wahsi
yang telah diupah oleh Hindun dengan ganjaran pembebasannya sebagai hamba.
Nasibah Ummu 'Umarah al-Ansoriyyah yang telah meningggalkan tugas memberi minum
tentera yang cedera, juga bertempur menggunakan pedang dan memanah demi
mempertahankan Rasulullah SAW sehingga akhirnya beliau juga gugur syahid.
Dalam keadaan yang sangat genting, tentera Quraisy telah
mengambil peluang menujukan serangan ke atas Rasulullah SAW. Ubai bin Khalaf
telah cuba mendekati Rasulullah SAW, namun Baginda sempat mengambil lembing dan
merejam kearah leher Ubai bin Khalaf yang menyebabkan kematiannya.
Hanya tinggal Talha bin Ubaidullah ra dan Saad bin Abi Waqas
ra yang tinggal bersama Rasulullah SAW. Baginda mengalami kecederaan di kepala
dan muka, disamping gigi depannya patah dan bibirnya luka. Dalam keadaan yang
genting ini, Rasulullah SAW berteriak memanggil tentera-tentera Islam supaya
datang kepadanya. Baginda lalu mengarahkan mereka berundur sehingga sampai ke
tempat tinggi iaitu di atas Bukit Uhud. Tempat yang strategik ini memberi
perlindungan daripada tiga arah manakala tentera kafir hanya dapat menyerang
dari arah selatan sahaja. Strategi Rasulullah SAW itu, bukan sahaja dapat
mempertahan mereka daripada serangan musuh bahkan memaksa pihak musuh berundur.
Tempat perlindungan itu di kenali sebagai “Al-Maharis”.
Tentera kafir Quraisy merasa marah dan kecewa kerana tidak
dapat mengalahkan tentera Islam sepenuhnya, lalu mereka merosakkan mayat para
syuhada. Mereka memotong telinga, hidung
dan bahagian sulit para syuhada bagi memuaskan hati mereka. Hindun binti Utba,
isteri Abu Sufyan, mengelar-ngelar dan membelah dada Hamzah ra dan mengeluarkan
hati dan limpanya lalu mengunyahnya dan cuba untuk menelannya, namun Allah swt
tidak mengizinkan. Tentera-tentera kafir yang kehilangan 23 orang tenteranya,
akhirnya memutuskan untuk kembali ke Makkah kerana pada pandangan mereka misi
utama mereka telah tercapai.
Tentera Islam kemudian mengumpul dan menyemadikan jasad para
syuhada yang telah gugur di medan jihad itu. Seramai 70 orang tentera Islam
yang terdiri daripada 64 golongan Ansar dan 6 golongan Muhajirin telah gugur
syahid dan dikebumikan di kawasan kebun tamar di kaki Bukit Uhud berhampiran
Wadi Qanat iaitu kawasan Masjid Syuhada sekarang ini. Antara yang dikebumikan
ialah Saidina Hamzah ra, Musab bin Umair, Abdullah bin Jahsi serta Hanzallah
yang digelar sebagai “Ghasilulmalaikah” iaitu orang yang dimandikan malaikat.
Pada zaman Saidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah, telah
berlaku banjir besar di kawasan pengkebumian para syuhada tersebut menyebabkan
berlakunya hakisan tanah sehingga jasad-jasad para syuhada timbul. Saidina Umar
telah mengarahkan supaya semua jasad-jasad para syuhada dikebumikan semula di
tempat yang ada sekarang yang dikenali sebagai Makam Syuhada Uhud.
Sebelum meninggalkan Makam Syuhada Uhud, Ust Talha
telah membacakan doa yang kami semua aminkan. “Salam sejahtera ke atas
engkau wahai Saidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah SAW. Salam sejahtera ke
atas engkau wahai penghulu bagi para syahid, salam sejahtera ke atas engkau
wahai singa Allah SWT dan singa Rasulullah SAW”.
"Salam sejahtera ka atas engkau wahai Saidina Abdullah bin Jahsyi, salam sejahtera keatas engkau wakai Saidina Mus’ab bin Umair, salam sejahtera keatas kamu wahai orang-orang yang mati di dalam peperangan Uhud, salam sejahtera ke atas kamu di atas kesabaran kamu menghadapi musuh untuk menegakkan kebenaran Islam iaitu sebaik-baik balasan yang akan kamu terima daripada Allah SWT”.
"Salam sejahtera ka atas engkau wahai Saidina Abdullah bin Jahsyi, salam sejahtera keatas engkau wakai Saidina Mus’ab bin Umair, salam sejahtera keatas kamu wahai orang-orang yang mati di dalam peperangan Uhud, salam sejahtera ke atas kamu di atas kesabaran kamu menghadapi musuh untuk menegakkan kebenaran Islam iaitu sebaik-baik balasan yang akan kamu terima daripada Allah SWT”.
“Ya
Allah Ya Tuhan kami! Gandakanlah pahala amalan mereka yang mereka telah lakukan
untuk kesucian agama Islam dan pemeluk-pemeluknya. Tinggikanlah pangkat dan
darjat mereka dengan kemurahan-Mu wahai Tuhan Yang Amat Pemurah”.
Aku merasa pilu mendengar kehebatan para sahabat Rasulullah SAW
dalam memperjuangkan agama Islam pada waktu itu. Ustaz memberi masa kepada kami
semua untuk membeli belah digerai jualan yang begitu banyak disekitar Makam
Syuhada Uhud.
Dari Makam Syuhada Uhud, kami dibawa untuk melihat-lihat
Masjid Tujuh yang berada di atas Gunung Sila’. Namun bas kami tidak berhenti
dan hanya melalui kawasan tersebut. Sementara itu Ust Talha menceritakan
peristiwa disebalik Masjid Tujuh. Menurut sirah Islam, Masjid Tujuh adalah
masjid-masjid kecil yang dibina di tapak pos-pos pengawasan panglima tentera
Islam semasa peperangan Khandak.
Peperangan
Khandak yang bererti “parit” telah berlaku pada bulan Syawal tahun ke 5 Hijrah.
Peperangan ini juga dikenali sebagai peperangan Ahzab (bersekutu) kerana
tentera kafir terdiri daripada gabungan kafir Quraisy Makkah dengan beberapa
kaum Yahudi Madinah. Sebab utamanya adalah berpunca dari hasutan
kaum -kaumYahudi Madinah yang bersekongkol dengan kaum Quraisy Mekah untuk memerangi
Rasulullah SAW. Dalam peperangan tersebut kaum Muslimin ditimpa dengan pelbagai
cubaan dan dugaan yang sangat hebat.
Ketika Rasulullah SAW mendengar berita tersebut,
Baginda menyuruh kaum Muslimin untuk mengadakan persiapan perang. Dan
diputuskan pula untuk mengadakan pertahanan dalam Kota Madinah. Jumlah tentera
kaum Muslimin hanya terkumpul sebanyak tiga ribu orang sahaja.
Rasulullah SAW menerima cadangan Salman
Al-Farisi agar dibina parit sekeliling Kota Madinah untuk menyekat tentera
ahzab. Rasulullah SAW segera memerintahkan para sahabatnya untuk menggali parit
di sebelah barat daya Madinah iaitu dibahagian yang terbuka yang di khuatiri
musuh akan datang dari arah sana.
Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat dalam
keadaan lapar menggali parit dengan kaum Muhajirin menggali dari Ratij (bukit yang terletak di Jalan
Abu Bakar As-Siddiq) sehingga ke kawasan Bukit Zubab (tapak Masjid Ar-Rayah)
manakala kaum Anshar menggali dari Bukit Zubab ke Jabal Abu Ubaid. Dalam
kesukaran menggali parit disebabkan cuaca sejuk dan kekurangan makanan, Allah
SWT telah mengurniakan beberapa mukjizat kepada Rasulullah SAW.
Ketika
Salman Al-Farisi ra menggali parit, ia terjumpa batu yang sangat besar dan
tidak dapat dipecahkan, lalu Salman ra memberitahu Rasulullah SAW. Baginda datang
membawa peralatan pemukul batu. Rasulullah SAW pun membaca “Dan telah sempurnalah kalimah Tuhanmu (Al-Qur’an) dengan benar dan
adil. Tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatu apapun dari kalimah-kalimah-Nya;
dan Dialah yang sentiasa Mendengar lagi sentiasa Mengetahui” lalu Baginda pun
memukul batu tersebut dan mengulanginya sehingga tiga kali. Setiap kali pukulan
terpancar cahaya yang amat terang seperti kilat dan hancurlah satu pertiga
daripada batu tersebut hingga hancurlah keseluruhan batu tersebut.
Apabila
ditanya oleh Salman al-Farisi ra, Rasulullah SAW menjawab “Pada pancaran cahaya
pertama, aku melihat Istana Syria. Jibril as memberitahuku bahawa para
pengikutku akan menakluki Empayar Syria. Pada pancaran cahaya kedua, aku
melihat Istana Rom. Jibril as memberitahuku bahawa para pengikutku akan
menakluki Empayar Rom. Pada pancaran cahaya ketiga, aku melihat Istana San’aa
di Yaman. Jibril as memberitahuku bahawa para pengikutku akan menakluki Empayar
Yaman”.
Kaum Muslimin
bersorak keriangan mendengar berita yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW
yang telah menyuntikkan semangat orang-orang Islam untuk terus menggali parit.
Diketika yang lain seorang sahabat bernama
Jabir telah menjemput Rasulullah SAW untuk makan dirumahnya. Tanpa pengetahuan
Jabir, Baginda telah membawa semua para sahabat datang kerumahnya. Jabir sangat
terkejut kerana makanan hanya cukup untuk beberapa orang sahaja. Rasulullah SAW
yang sedia mengetahui keadaan tersebut segera meminta kebenaran agar Baginda
yang membahagi-bahagikan makanan tersebut kepada para sahabat. Setelah semua
para sahabat yang bekerja menggali parit makan sehingga kenyang tetapi makanan
tersebut masih berbaki lagi lalu Baginda bersabda “Berikanlah makanan yang lebih
itu kepada jiran-jiran kerana sekarang musim sejuk”.
Ada
riwayat mengatakan bahawa Nouman bin Bashir ra membawa beberapa kurma ke lokasi
penggalian parit lalu Rasulullah SAW meminjam kurma-kurma tersebut dan
menebarkan diatas sepotong kain yang dibentangkan di atas tanah. Semua kaum
Muslimin yang berada di medan penggalian parit datang dan memakan kurma
sehingga kenyang, semakin mereka makan, semakin banyak buah kurma tersebut
sehingga melempahi kain tersebut.
Diriwayatkan
parit yang digali panjangnya 5000 hasta, lebarnya 40 hasta dan dalamnya 20
hasta, dengan itu parit tersebut tidak dapat dilepasi oleh lompatan kuda atau
unta. Dengan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW,
kerja-kerja menggali parit telah dapat disiapkan dalam masa enam hari sahaja.
Ada riwayat yang mengatakan ia siap dalam masa lima belas hari.
Apabila angkatan musuh yang diketuai oleh Abu
Suffian bin Harb bersama 10,000 tentera kufar menghampiri kota Madinah, mereka
terkejut kerana terdapat parit yang menghalang mereka. Orang-orang kufar
tersebut berkhemah di Majmaa’ Al-Asyal diluar Kota Madinah. Apabila Rasulullah
SAW bersama pasukannya keluar ke medan Khandak dan berkhemah di utara Jabal
Sila’, mereka hanya dipisahkan oleh parit yang digali oleh kaum Muslimin. Ternyata
strategi yang dicadangkan oleh Salman Al-Farisi berjaya mennyekat tentera
kufar. Rasulullah SAW dan enam orang
Panglima tentera Islam telah membina pos-pos penjagaan di atas bukit Sila’
untuk mengawasi pergerakan-pergerakan tentera kufar.
Pertempuran
bermula apabila para pemanah mula memanah dengan panah dan batu dari jarak
seberang parit. Beberapa panglima perang
kufar berjaya melepasi parit antaranya Amru bin Abdul al-Amiri, Ikrimah bin Abi
Jahal, Dirar bin Al-Khattab, Hubairah bin Abi Wahab dan Naufal bin Abdullah lalu
mencabar untuk bertanding. Cabarannya disambut oleh Saidina Ali bin Abi
Thalib dan para sahabat dan terjadilah perlawanan antara mereka yang akhirnya
Amru dan Naufal berjaya dibunuh oleh tentera Islam.
Sementara itu kaum Yahudi Banu Quraizah telah melanggar perjanjian dengan kaum Muslimin dan bersekongkol dengan kaum Yahudi Bani Nadhir hasil muslihat Huyay bin Akhtab. Kumpulan ini juga bertindak mengepung tentera Islam dari dalam Kota Madinah menjadikan tentera Islam terkepung dari segenap penjuru.
Namun Rasulullah SAW dan kaum Muslimin tetap berada di medan Khandaq. Begitu juga dengan tentera musuh. Mereka mengadakan pengepungan selama sebulan. Sehinggakan kaum Muslimin merasa semakin sukar dan tersepit. Ketika Rasulullah SAW dan para sahabatnya sedang dicekam oleh rasa takut tiba-tiba datang seorang yang bernama Nuiam bin Masud yang telah memeluk Islam ingin membantu Rasulullah SAW. Dengan persetujuan Rasulullah SAW, Nuaim mula menjalankan muslihatnya untuk memecah belahkan kesepakatan Kaum Quraisy, kamu Yahudi Bani Quraizah dan Yahudi Banu Ghatfan. Ternyata hasutan yang dijalankan oleh Nuaim berjaya menimbulkan perpecahan dikalangan tentera ahzab.
Rasulullah
SAW telah berdoa selama tiga hari berturut-turut dengan sepenuh hati kepada
Allah SWT “Ya Allah, ya Tuhanku yang
menurunkan kitab dan yang azab-Nya adalah segera, kalahkanlah tentera Ahzab”.
Allah SWT mengkabulkan doa Nabi Muhammad SAW dengan
mengirimkan angin yang bertiup kencang dimalam hari yang amat dingin kepada
pihak musuhnya. Angin tersebut dapat memporak-perandakan kuali-kuali dan
khemah-khemah kaum kufar. Melihat keadaan tersebut, Abu Syufyan bangun dan memerintahkan
bala tenteranya untuk beredar meninggalkan medan pertempuran.
Khudaifah Ibnul Yaman yang diutuskan oleh Rasulullah
SAW untuk mengintip barisan musuh segera
memberitahu Baginda tentang pengunduran pasukan ahzab dari medan perang. Pada
waktu paginya Rasulullah SAW beserta seluruh pasukannya segera meninggalkan
medan peperangan Khandaq menuju Madinah untuk meletak senjata.
Peperangan itu berakhir dengan berundurnya
bangsa Quraisy untuk selama-lamanya dan mereka tidak pernah datang lagi untuk
memerangi kaum Muslimin selepas itu. Diriwayatkan dalam peperangan Khandaq tersebut
kaum Muslimin yang terbunuh sebanyak tujuh orang sedangkan pasukan musuh hanya
empat orang.
Selepas daripada peperangan Khandak,
Rasulullah SAW pernah singgah dan bermalam di pos-pos penjagaan yang berada di
Bukit Sila’. Semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, telah dibina
masjid-masjid kecil ditapak pos-pos penjagaan dan diberi nama sesuai lokasi dan
nama sahabat yang menempati tempat pertahanan tersebut iaitu Salman al-Farisi, Abu Bakar As-Siddiq
, Umar Al-Khatab, Utsman bin Affan,
Ali bin Abi Thalib, Saad bin Muadz dan Rasulullah SAW sendiri. Masjid-masjid
inilah yang kemudiannya dikenal sebagai Masjid Tujuh. Masjid ditapak pos
Rasulullah SAW dikenali sebagai Masjid Fatah (kemenangan).
Nota: Kini telah dibina sebuah masjid di kaki Gunung Sila’ yang dikenali sebagai Masjid Sab’ah (Masjid Tujuh) hasil gabungan ketujuh-tujuh masjid yang berada di atas Gunung Sila’. Tahun 2001, masjid ini belum dibina lagi.
Nota: Kini telah dibina sebuah masjid di kaki Gunung Sila’ yang dikenali sebagai Masjid Sab’ah (Masjid Tujuh) hasil gabungan ketujuh-tujuh masjid yang berada di atas Gunung Sila’. Tahun 2001, masjid ini belum dibina lagi.
Destinasi terakhir ziarah luar Madinah kami ialah Pasar
Kurma. Sampai sahaja di pasar kurma, kami pun meronda. Pelanggan tidak berapa
ramai, jadi para penjual membuat bermacam-macam cara supaya kami masuk kekedai
mereka. Ustaz dah bagi tahu, para penjual di pasar kurma boleh bertutur bahasa
melayu, jadi tak ada masaalah kami menawar harga. Bermacam-macam jenis kurma,
gula-gula, buah tin, buah zaitun dan banyak lagi.
Nota: Keadaan pasar kurma tidak berubah dari dulu hingga sekarang
Selesai di pasar kurma, kami terus balik ke hotel untuk
bersiap-siap pergi ke Masjid Nabawi untuk solat zohor berjemaah. Petang itu
kami hanya menjalankan aktiviti bersolat asar, maghrib dan isyak di Masjid
Nabawi.
Selepas makam malam, Ust Talha mengadakan taklimat ringkas
untuk persiapan perjalanan ke Makkah pada keesukan harinya.
Seperti dijanjikan, jam 6.30 pagi hari ketiga di Madinah, kami telah berkumpul di
lobi hotel menunggu Ustaz untuk menziarahi perkuburan baqi’ dan kemudian ziarah
wida. Sebaik Ust Talha sampai, kami terus sahaja berjalan mengikutnya menuju ke
perkuburan baqi’. Di perkuburan baqi hanya jemaah lelaki dibenarkan masuk
manakala jemaah wanita hanya dibenarkan melihat dari luar pagar.
Sambil kami berjalan di perkuburan Baqi’, Ust
Talha menyatakan bahawa Baqi’ ialah kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah
dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di Madinah, termasuk para jamaah haji
atau umrah. Perkuburan Baqi’ terletak di sebelah tenggara (kiri) Masjid Nabawi
dan dilingkungi oleh pagar yang tinggi. Waktu melawatnya ialah selepas solat
subuh dan selepas solat asar.
Semasa hayatnya, Rasulullah SAW sering menziarahi perkuburan Baqi’, Baginda mengucapkan salam, berdoa memohon keampunan serta rahmat Allah kepada mereka yang dikebumikan di situ.
Semasa hayatnya, Rasulullah SAW sering menziarahi perkuburan Baqi’, Baginda mengucapkan salam, berdoa memohon keampunan serta rahmat Allah kepada mereka yang dikebumikan di situ.
Imam Malik meriwayatkan bahawa kira-kira
10 ribu sahabat yang meninggal dunia dikebumikan di perkuburan Baqi’. Di antara
mereka termasuklah keluarga Rasulullah SAW seperti Fatimah binti Rasulullah,
Hasan bin Ali, Abbas bin Abdul Muttalib, Jaafar as-Sodiq, Ruqayyah binti
Rasulullah, Ummu Kalthum binti Rasulullah, Zainab binti Rasulullah dan Ibrahim
bin Rasulullah SAW.
Begitu juga para isteri Baginda seperti Aisyah
binti Abu Bakar, Sauda binti Zam’ah, Hafsah binti Umar, Zainab binti Khuzaimah,
Ummu Salamah binti Abu Umayyah, Juwairiyyah binti al-Harith, Ummu Habibah,
Safiyyah binti Huyai dan Zainab binti Jahsyh.
Antara sahabat terkemuka yang dikebumikan di
kawasan ini ialah Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Fatimah binti Asad
(ibu Sayyidina Ali), Sayyidina Uthman bin Affan, Abu Said al-Khudri, Saad bin
Muaz, Abdullah bin Mas’ud dan lain-lain Radhiyallahu anhum ajma’in.
Maulana Zakariya, pengarang kitab Fadhail Amal
adalah antara ulama dalam jemaah tabligh yang telah dikebumikan di perkuburan
Baqi’, bersebelahan kubur Imam Malik.
Kami
dapat juga mengaminkan doa yang dibacakan oleh Ustaz “Salam sejahtera ke atasmu wahai tempat tinggal orang-orang
beriman,sesungguhnya kami akan mengikutimu, kamu adalah orang-orang yang
terdahulu daripada kami dan kami adalah pengikut kamu, mudah-mudahan Tuhan
mengampunkan kami juga kamu dan mengasihi mereka yang terkemudian. Ya Allah!
Janganlah Engkau kecewakan kami daripada mendapat pahala amalan mereka dan
janganlah Engkau fitnahkan kami selepas mereka. Ampunilah dosa kami dan dosa
mereka serta ampunilah dosa ahli baqi’ Al-Gharqadi”.
Dari perkuburan baqi’, Ustaz membawa kami kearah kubah hijau
dimana dibawahnya terdapat makam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya untuk
melakukan ziarah wida’ (selamat tinggal). Kami hanya ziarah dari luar sahaja
dan Ustaz mengetuai bacaan doa ziarah wida’ “Ya
Allah! Janganlah Engkau jadikan ziarah kami ke tempat mulia ini sebagai kali
terakhir. Kurniakanlah bagi kami kepadanya ziarah untuk sekalian kalinya dalam
kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan”.
“Jika kami mampu, InsyaAllah
kami datang. Jika kami mati, kami titipkan pada sisi-Mu syahadah (kesaksian
kami, amanah kami, perjanjian kami, timbangan kami) pada hari itu untuk hari
kiamat. Dengan ini kesaksian bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Esa.
Tiada sekutu bagi-Nya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hamba-Nya lagi
utusan-Nya”.
“Maha Suci Tuhan yang mulia
daripada apa-apa yang mereka sifatkan. Salam untuk sekalian utusan
(Rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah, Tuhan bagi sekalaina alam”… Amin.
Dengan bacaan doa tersebut, selesailah ziarah wida’ kami dan
Ustaz meminta kami balik ke hotel untuk bersiap-siap keberangkatan ke Mekah.
Bergambar setelah selesai ziarah wida. Gambar atas dari kiri … anak sulungku, Mak Ngah, rakan sepakej, Mak Poon dan isteriku. Gambar kanan … belakang anak sulungku, depan anak ke tiga, kanan kiri adalah anak buah.
Bergambar setelah selesai ziarah wida dihadapan salah satu pintu Masjid Nabawi.
Bergambar setelah selesai ziarah wida. Gambar atas dari kiri … anak sulungku, Mak Ngah, rakan sepakej, Mak Poon dan isteriku. Gambar kanan … belakang anak sulungku, depan anak ke tiga, kanan kiri adalah anak buah.
Bergambar setelah selesai ziarah wida dihadapan salah satu pintu Masjid Nabawi.
Tepat jam 9.00 pagi 14/11/2001 kami telah berada dilobi
hotel dengan pakaian ihram masing-masing untuk meneruskan perjalanan ke Makkah
Al-Mukaramah bagi mengerjakan umrah.
Gambar kiri… keluargaku (dari kanan … aku, anak sulung, anak kedua, anak ketiga didepan dan paling kiri adalah isteriku). Gambar tengah … dari kanan (belakang.. isteriku, Mak Ngah, anak sulungku, Mak Lang, Mak Poon. Depan … anak ketigaku, anak saudara, anak saudara). Gambar kanan … dari kanan ..Pak Lang, aku dan anak lelakiku.
Gambar kiri… keluargaku (dari kanan … aku, anak sulung, anak kedua, anak ketiga didepan dan paling kiri adalah isteriku). Gambar tengah … dari kanan (belakang.. isteriku, Mak Ngah, anak sulungku, Mak Lang, Mak Poon. Depan … anak ketigaku, anak saudara, anak saudara). Gambar kanan … dari kanan ..Pak Lang, aku dan anak lelakiku.
Ikuti memori seterusnya dalam bahagian ke dua…..
No comments:
Post a Comment