Wednesday, 22 July 2015

XPDC Makam Wali Songo Dis 2014 - Hari Ke 5: Semarang&Cirebon



Sekarang baru ada kesempatan untuk menghabiskan bahagian akhir dari XPDC Makam Wali Songo Dis 2014.


Malam keempat kami menginap di Hotel Quirin yang terletak di Jalan Gajah Mada, Kota Semarang. Biliknya agak selesa walaupun hanya hotel bertaraf dua bintang.

Hotel Quirin … tempat kami bermalam si Semarang

Jam 7.30 pagi hari kelima, kami semua telah siap sarapan pagi dan bersedia untuk melanjutkan XPDC Makam Wali Songo. Hari kelima merupakan pengembaraan yang akan menempuh perjalanan yang paling jauh iaitu lebihkurang 270 kilometer.


1)Masjid Agung Semarang @ Masjid Agung Jawa Tengah

Saperti yang telah dipersetujui, pagi itu kami memulakan perjalanan dengan berkunjung semula ke Masjid Agung Semarang untuk melihat keadaannya di waktu siang.  Perjalanan dari Hotel Quirin hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja.



Masjid Agung Jawa Tengah atau Masjid Agung Semarang terletak di jalan Gajah Raya, Desa Sambirejo, Kecamatan Gayamsari, Kota Semarang. Dibina disatu kawasan seluas lebih kurang 10 hektar.



Masjid Agung Jawa Tengah merupakan salah satu masjid terindah di Indonesia. Mula dibina dalam tahun 2001 dan siap sepenuhnya pada 2006.  Telah dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, pada tahun 2006.

Kompleks masjid terdiri dari bangunan utama seluas 7,669 meter persegi yang boleh menampung sehingga 15,000 jemaah dan dataran terbuka seluas 7,500 meter persegi yang dilengkapi dengan 6 payung raksaksa saperti yang terdapat di Masjid Nabawi, Madinah.



Disebelah kanan bangunan utama masjid, adalah bangunan yang menempatkan dewan auditorium yang biasa digunakan untuk upacara pameran, pernikahan dan kegiatan lain. Manakala disebelah kiri adalah bangunan yang menempatkan perpustakaan serta beberapa ruang pejabat untuk disewakan.


Keistimewaan lain masjid ini ialah Menara Asmaul Husna dengan ketinggian 99 meter yang terletak dibahagian kiri komplek masjid. Tak hanya itu, ada juga replika beduk raksasa  terletak di bahagian kanan komplek masjid yang dibuat oleh para pelajar Pesantren Alfalah Mangunsari, Jatilawang, Banyumas, Jawa Barat.

Di masjid ini juga terdapat Al qur`an raksasa tulisan tangan karya H. Hayatuddin, seorang penulis kaligrafi dari Universitas Sains dan Ilmu Al-qur`an dari Wonosobo, Jawa Tengah.

Selain digunakan sebagai tempat ibadah, Masjid Agung Jawa Tengah juga merupakan satu destinasi pelancungan yang menarik kerana rekabentuknya hasil gabungan artistik Jawa, Rom dan Arab.

Selesai mengambil gambar di sekitar Masjid Agung Semarang, kami tidak membuang masa dan terus memulakan perjalanan untuk menuju ke Cirebon.


2)Masjid Al-Fairus, Pekalungan

Selepas menempuh perjalanan hampir 2 jam 30 minit kami sampai di Pekan Pekalungan. Kami singgah disebuah masjid dikenali sebagai Masjid Al-Fairus.


Masjid Al-Fairus diasaskan oleh pengusaha batik terkenal di Kota Pekalungan iaitu Hj. Abdullah Machrus bin Hj. Machrus Dubyan Al-Hafiz. Dibina diatas tanahnya sendiri seluas 7,500 meter persegi yang terletak di Jalan Doktor Sutomo, Kota Pekalongan, yang kemudiannya diwakafkan sebagai tapak masjid. 



Semasa Hj. Abdullah Machrus mengunjungi Madinah, beliau sangat tertarikh dengan keindahan Masjid Nabawi  dan bertekad untuk membina masjid yang mirip Masjid Nabawi ditempatnya. Beliau mula membina Masjid Al-Fairus dalam tahun 2003 menggunakan perbelanjaan sendiri dan sumbangan daripada orang ramai. Sebelum pembinaan dimulakan, beliau telah membawa akitek dan juga kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk merekabentuk masjid, mengunjungi Kota Madinah untuk melihat dengan lebih dekat reka bentuk Masjid Nabawi.

Masjid berbentuk empat segi, mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah untuk dewan solat Jemaah lelaki manakala tingkat atas untuk jemah wanita. Mempunyai sebuah kubah ditengahnya dan 4 menara disetiap penjuru. Bilik air dan tempat wuduk ditempatkan ditingkat bawah tanah.


Pada hari Jumaat bersamaan 7hb. Febuari 2014, Tn Hj. Abdullah Machrus iaitu pengasas Masjid Al-Fairus telah meninggal dunia dan jasadnya di semadikan dibahagian belakang Masjid Al-Fairus.



3)Restoran Puri Minang (Masakan Padang)

Dari Masjid Al-Fairus, kami meneruskan perjalanan sambil mencari-cari restoran untuk makan tengah hari. Akhirnya kami ternampak satu papan tanda sebuah restoran yang terletak di tepi jalan utama.


Restoran Puri Minang menyediakan masakan padang. Kami duduk disatu meja dengan berbagai jenis lauk penuh satu meja. Asalkan tidak disentuk, lauk tersebut tidak dikira. Kenyang kami makan, kami pun mengambil kesempatan untuk solat zuhur di ruang solat yang disediakan di tingkat atas bangunan restoran tersebut.


4)Makam Sunan Gunung Jati

Kami meneruskan perjalanan lagi. Masing-masing mengantuk selepas makan tengah hari. Aku pun sekejap tertidur sekejap terbangun. Pak Rubby dan pemandu van tetap memandu dengan ceria. Kadang-kadang terdengar juga gelak ketawa mereka, tanpa aku ketahui puncanya.

Setelah mengharungi perjalanan hampir 3 jam, akhirnya kami sampai di perkarangan Makam Sunan Gunung Jati yang terletak di Jalan Sunan Gunung Jati, Kota Cirebon.

Setelah meletakkan kenderaan di tempat parkir, kami berhenti sebentar untuk minum kopi disebuah warung berhampiran. 



Kami sudah sampai di kawasan komplek Makam Sunan Gunung Jati. Gambar kanan … merupakan pintu utama untuk ke kawasan komplek makam.


 Selepas sahaja melewati pintu utama, ada pula kaunter pendaftaran dan tabung sumbangan ikhlas.  Tanpa membuang masa Pak Rubby terus mendaftar dan memasukkan sedikit sumbangan ke dalam tabung yang disediakan, baru kami dibenarkan melanjutkan perjalanan kearah kiri. Disitu terdapat beberapa tempayan berisi air guna untuk mengambil wuduk. Kami pun mengambil wuduk disitu.



Ini merupakan pintu ketiga dikira dari pintu masuk utama tadi. Ada lagi enam pintu untuk sampai ke Makam Sunan Gunung Jati tetapi kami hanya dibenarkan masuk hingga kesini sahaja. Kami dimaklumkan, untuk sampai ke Makam Sunan Gunung Jati, kami terpaksa membayar sebanyak enam juta rupiah setiap orang. Oleh itu kami membuat keputusan untuk membaca tahlil dan doa di depan pintu ini sahaja.



Selesai bertahlil dan berdoa, kami mengunjungi pula masjid Sunan Gunung Jati yang terletak ditepi sebelah kiri komplek makam.

Sejarah ringkas Sunan Gunung Jati
Sunan Gunung Jati atau nama asalnya Syarif Hidayatullah adalah anak Syarifah Mudaim dengan seorang raja Mesir bernama Sultan Syarif Abdullah. Dikisahkan bahawa nama asal Syarifah Mudaim adalah Rara Santang anak kepada Prabu Siliwangi seorang raja di Panjajaran. Satu hari Rara Santang dan kekandannya Pengeran Walangsungsang telah meninggalkan istana untuk belajar agama islam dengan seorang ulama bernama Sheikh Kahfi di Gunung Jati.

Setelah beberapa lama, mereka berdua telah membuka perkampungan baru di selatan Gunung Jati. Hari demi hari, penduduk perkampungan tersebut semakin bertambah dengan datangnya ramai para pedagang dari luar. Sebahagian besar penduduk di perkampungan tersebut bekerja mencari udang untuk dijadikan petis udang. Dalam bahasa Sunda, petis udang disebut “cai rebon”. Kemudian perkampungan tersebut dikenali sebagai Cirebon sehingga sekarang.

Rara Santang dan Pengeran Walangsungsang kemudian berangkat ke Makkah untuk mengerjakan haji. Semasa mereka berdua mengerjakan tawaf, mereka telah bertemu dengan seorang raja Mesir bernama Sultan Syarif Abdullah. Dalam pertemuan tersebut, Sultan Syarif Abdullah telah tertarik dengan kejelitaan Rara Santang. Selesai musim haji, Sultan Syarif Abdullah telah menikahi Rara Santang. Dengan pernikahan tersebut, Rara Santang telah diberi gelaran Syarifah Mudaim. Dalam pada itu kekanda Rara Santang iaitu Pengeran Walangsungsang pulang semula ke Cirebon untuk meneruskan pemerintahan dan perluasan Daerah Cirebon sehingga menjadi terkenal di seluruh Pulau Jawa.

Hasil perkahwinan Sultan Syarif Abdullah dengan Syarifah Mudain, mereka telah dianugerahi dua orang anak iaitu Syarif Hidayatullah dan adiknya Syarif Nurullah.

Semasa diusia remaja Syarif Hidayatullah telah banyak berguru kepada beberapa ulama besar di Daerah Timur Tengah. Dalam usia sangat muda, beliau telah menguasai ilmu yang sangat banyak.

Semasa Syarif Hidayatullah berusia lingkungan 20 tahun, Sultan Syarif Abdullah telah meninggal dunia. Beliau telah ditabalkan untuk menggantikan mendiang bapanya, tetapi beliau menolak dan menyerahkan kedudukan tersebut kepada adiknya iaitu Syarif Nurullah.

Pada tahun 1475M, Syarif Hidayatullah dan ibunya, Syarifah Mudaim telah meninggalkan Negara Mesir untuk pulang ke Cirebon yang diperintah oleh Pengeran Walangsungsang. Mereka disambut dengan gembira oleh Pengeran Walangsungsang dan keluarganya. Ketika itu, gurunya iaitu Sheikh Kahfi telah meninggal dunia dan jasadnya telah dikebumikan di atas Gunung Jati.

Syarifah Mudaim meminta kebenaran kekandanya untuk tinggal di Gunung Jati bersama anaknya. Mereka berdua telah membuka pesantren Gunung Jati bagi meneruskan usaha dakwah Sheikh Kahfi. Tidak lama kemudian, Syarif Hidayatullah telah bernikah dengan Nyi Pakungwati yang juga sepupunya iaitu anak kepada Pengeran Walangsungsang.

Pada tahun 1479M, Pangeran Walangsungsang karena usianya sudah lanjut, telah menyerahkan kekuasaan Cirebon kepada Syarif Hidayatullah.

Beliau telah memerintah dengan sangat bijaksana sambil meneruskan usaha dakwah. Dalam masa yang singkat, pesantren Gunung Jati menjadi terkenal sehingga Syarif Hidayatullah dikenali sebagai Sunan Gunung Jati.

Pada tahun pertama pemerintahannya, Syarif Hidayatullah telah pergi ke Panjajaran untuk mengunjungi datuknya, yaitu Prabu Siliwangi. Hasrat untuk mengislamkan datuknya tidak berjaya, tetapi ia berjaya menyebarkan Islam kepada penduduk Panjajaran.

Dalam menyebarkan Islam keseluruh Tanah Jawa, Syarif Hidayatullah tidak keseorangan. Ia sering bermusyawarah dengan anggota wali lainnya dan bersama-sama dalam mendirikan Masjid Demak. Dari pergaulannya dengan Sultan Demak dan para walinya, Syarif Hidayatullah akhirnya  mendirikan Kesultanan Pakungwati di Cirebon.

Dengan berdirinya kesultanan tersebut, Cirebon tidak lagi menghantar ufti kepada kerajaan Panjajaran. Ini telah menimbulkan kemarahan Prabu Siliwangi yang mana akhirnya Prabu Siliwangi telah menghantar pasukan tentera untuk menangkap Syarif Hidayatullah. Usaha tersebut gagal kerana pasukan tentera tersebut akhirnya memeluk agama Islam dan menjadi rakyat Cirebon. Ini menjadikan Kesultanan Pakungwati bertambah kuat dan berjaya meluaskan penguasaannya.

Banyak pedagang besar dari negeri asing datang menjalin persahabatan. Diantaranya dari negeri China. Bahkan Syarif Hidayatullah pernah diundang ke negeri China untuk mengembangkan agama Islam dan telah berkawin dengan puteri Maharaja China dari Dinasti Ming yang beragama Islam, bernama puteri Ong Tien yang kemudian diberi gelaran Nyi Ratu Rara Semanding.

Syarif Hidayatullah juga telah membina Masjid Agung Sang Ciptarasa dan membina jalan menghubungkan Cirebon dengan daerah-daerah penguasaannya.
Semasa pemerintahannya, pasukan tentera Cirebon penah bergabung dengan pasukan Kesultanan Demak yang dipimpin Fatahillah untuk menyerang Portugis di Pelabuhan Sunda. Mereka telah memperolehi kemenamgan.

Ketika usia Syarif Hidayatullah sudah semakin tua, beliau telah mengangkat putranya, iaitu Pengeran Muhammad Arifin, sebagai Sultan Cirebon dan melantik Fatahillah sebagai penasehat Sultan. Namun, lima tahun kemudian, Pengeran Muhammad Ariffin telah meninggal dunia dan digantikan oleh adiknya iaitu Pengeran Sebakingking.

Syarif Hidayatullah @ Sunan Gunung Jati lebih menumpukan kepada penyebaran dakwah Islam di Tanah Jawa.

Syarif Hidayatullah telah meninggal dunia pada tahun 1568M dalam usia 120 tahun. Ia dimakamkan di Cirebon bersama dengan ibu Syarifah Mudaim dan datuknya Pengeran Walangsungsang.



Lebihkurang jam 5 petang, kami meninggalkan Makam Sunan Gunung Jati dan terus menuju ke Hotel Sidodadi untuk check-in.  Masing-masing dalam keadaan kepenatan setelah seharian menempuh perjalanan yang jauh.



Hotel Sidodadi, Cirebon … biliknya agak selesa walaupun sedikit kecil.
 


 Jam 7.00 malam, kami berkumpul di bilik solat Hotel Sidodadi untuk solat berjemaah yang kemudian kami mengadakan bacaan tahlil ringkas. Kebetulan malam tersebut adalah malam Jumaat.

Jam 8.00 malam Pak Rubby membawa kami untuk makan malam disebuah restoran yang menyediakan makanan istimewa daerah Cirebon iaitu Nasi Jamblang.



Ini dia Restoran Ibu Nur yang menyediakan menu Nasi Jamblang yang terkenal di Cirebon.



Restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan kerana rasa Nasi Jamblangnya memang sedap. Nasi diletak didalam pinggan yang dilapik dengan daun dan kita boleh memilih apa sahaja lauk yang kita sukai. Harganya pun sangat berpatutan.

Selepas makan Nasi Jamblang di Restoran Ibu Nur, kami mengambil keputusan untuk terus balik ke hotel. Hari semakin malam dan mata kami pun semakin mengantuk. Malam itu aku tidur dengan nyenyaknya.


No comments:

Post a Comment