Sebulan sebelum bermulanya cuti sekolah Jun 2015, isteriku
meminta aku menjengok-jengok laman web AirAsia, kalau-kalau ada tiket murah ke
Seoul, Korea. Saperti biasa, aku layari
laman web AirAsia mengunakan komputer usangku. Beberapa minit kemudian,
aku maklumkan pada isteri, harga tiket ke Seoul pada minggu pertama cuti
sekolah Jun 2015 adalah rm1,200.00 seorang. Setelah mencongak-congak jumlah kos
untuk aku, isteriku dan dua orang anakku, agak besar juga, hasrat ke Seoul pada
minggu pertama cuti sekolah dibiar beralu bergitu sahaja tambahan pula kami
sudah menempah tiket penerbangan untuk ke Kundasang, Sabah untuk minggu kedua
cuti sekolah.
Selang dua minggu, satu hari isteriku bergegas pulang
ke rumah untuk memaklumkan AirAsia memberi potongan harga tiket sebanyak 50
peratus, mungkin kerana musim panas di Seoul telah bermula. Tanpa membuang masa,
aku terus mengadap komputer usangku untuk mendapat kepastian. Memang benar,
harga tiket yang pada awalnya rm1,200.00
menjadi rm 600.00 sahaja seorang. Tanpa berfikir panjang, aku terus
membeli tiket ke Seoul untuk empat orang.
Seterusnya aku telah membuat tempatan tempat tinggal secara
on-line sahaja iaitu satu bilik untuk empat orang yang dilengkapi dengan dapur
sekali kerana isteriku kata nak masak sendiri. Khabarnya kos makanan siap
dimasak di Seoul adalah agak mahal.
Sejak itu aku mula merangka jadual perjalanan kami semasa di
Seoul nanti. Sampai hari yang ditentukan iaitu 31 Mei 2015, jam 10.00 malam
kami sudah berada di KLIA 2. Selepas check-in bagasi, kami masuk melalui pintu
P&Q untuk memulakan percutian ke Seoul.
Kami dihadapan pintu Perlepasan Antarabangsa. Penerbangan
kami berlepas dari KLIA 2 pada jam 12.01 pagi 1 Jun 2015.
Lebih kurang jam 8.30 pagi waktu Seoul, penerbangan AirAsia
dari KL selamat mendarat di Lapangan Terbang Incheon, Seoul. Keluar sahaja dari
pesawat, para penumpang berlari-lari kearah stesen Shuttle Train. Kami tak
perlu tergesa-gesa kerana tiada apa yang perlu dikejarkan. Kami hanya mengikut
mereka dari belakang. Kami mengambil masa kami sendiri kerana kami tidak
mengikuti mana-mana pakej.
Akhirnya, kami sampai juga di stesen Shuttle Train yang akan
membawa semua penumpang ketibaan antarabangsa ke Terminal Ketibaan Penumpang.
Aku dan isteri sedang menunggu ketibaan Shuttle Train.
Penumpang yang lain semua dah naik tren untuk ke Terminal Ketibaan.
Kami hanya menunggu beberapa minit sahaja sebelum ketibaan
tren berikutnya. Tidak sampai 10 minit kami berdiri di dalam tren, kami dah sampai
di Terminal Ketibaan.
Keluar sahaja dari shuttle train, tempat pertama yang kami
cari adalah bilik air. Sempat juga kami bergambar berhampiran bilik air.
Kemudian kami meneruskan perjalanan. Papan tanda memang banyak dan mudah sahaja
untuk kami mengikutinya.
Kemudian kami meneruskan perjalanan. Kami berjalan menuju ke
kaunter imigrisen.
Sampai di kaunter imigresen, kami terpaksa beratur, tetapi
tidak terlalu panjang. Lebih kurang 15 minit kami sudah melepasi kaunter imigresen
berbanding dengan jangkaanku yang akan mengambil masa yang lebih lama kerana ketika
itu agak ramai penumpang.
Kami terus berjalan lagi kearah tempat pengambilan bagasi.
Disini kami tidak menunggu lama kerana dalam masa sekejap sahaja bagasi kami
sudah sampai.
Kami pun berjalan keluar dan ramai juga orang menunggu
penumpang, tetapi bukan menunggu kami. Kami dengan selamba terus sahaja
berjalan seolah-olah macam dah biasa sahaja sedangkan itulah kali pertama kami
menjejakkan kaki di Incheon Airport.
Aku terus sahaja mencari-cari kedai 7-Eleven, nak bertanya
segan pula. Setelah mundar-mandir, akhirnya jumpa juga kedai 7-Eleven tu.
Disinilah aku membeli empat keping T-Money Card yang
berharga 2,500 won setiap kad. Kemudian aku tambah nilai 20,000 won setiap kad.
T-Money Card sangat berguna untuk menaiki subway tren dan mendapat potongan
harga berbanding kalau kita beli tiket untuk menaiki subway tren.
T-Money Card sudah ada ditangan dan tanpa membuang masa kami
menyorong bagasi kami menuju ke Airport Railroad Station.
Kami hanya mengikut papan tanda yang ada. Kami menuruni
tangga kerana stesen subway berada di tingkat bawah.
Ini dia stesen subway tren di lapangan terbang Incheon. Kami
terus masuk dan menunggu tren sampai. Keadaan di dalam tren memang selesa dan
bersih.
Kami menaiki subway tren untuk ke setesen Itaewon, tetapi kami
terpaksa turun di stesen Gongdeok kerana tren tersebut akan terus ke stesen
Seoul. Oleh itu kami mesti berhati-hati kerana tren tersebut akan berhenti di lapan
stesen sebelum sampai ke stesen Gongdeok.
Sampai di stesen Gongdeok, kami pun turun. Tidak perlu
keluar stesen kerana kami hanya perlu tukar tren tetapi terpaksa berjalan kaki agak
jauh juga mengikut papan tanda dan akhirnya kami sampai di lobi menunggu tren yang
menuju ke arah Itaewon.
Bila tren tiba, kami terus bergegas naik kerana tren hanya
berhenti sekejap sahaja. Tren yang kami naiki akan berhenti di tiga stesen
sebelum tiba di stesen Itaewon.
Tiba di tesen Itaewon, kami pun turun dan keluar sambil
mencari-cari pintu keluar no. 1. Terpaksa pula naik tangga dengan membawa
bagasi yang agak berat untuk keluar di pintu keluar no. 1 yang terletak betul-betul
dihadapan Hamilton Shopping Centre.
Berpandukan kepada gambar yang dikirim oleh pemilik Cozy
Place, rumah tumpangan yang telah aku tempeh, keluar sahaja dari pintu keluar no.1
stesen Itaewon, kami terus sahaja berjalan kehadapan, macam dah biasa. Sambil
menarik bagasi, kami berjalan terus. Kami tak kisah orang pandang pun.
Kami berjalan kaki sambil menarik bagasi dihadapan deretan
bangunan perniagaan antaranya Hamilton Shopping Centre dan New Balance Store.
Selepas Aurora Store kami belok ke kanan. Disini jalan agak mendaki dan kami
teruskan sahaja mendaki jalan tersebut dan
kemudian kami pusing ke kiri.
Jalan semakin mendaki. Sampai di tangga pertama, kami pusing
kiri lagi. Bila sampai anak-anak tangga kami pun naik dan kami pun dah nampak
papan tanda Cozy Place. Termengah-mengah juga kami mendaki jalan yang berbukit.
Tak sangka pula Cozy Place terletak di tempat tinggi.
Ini dia bilik yang kami sewa dengan satu katil double, satu
katil lipat dan satu sofa dan peralatan dapur yang memuaskan. Masing-masing
tertidur keletihan lagi pun waktu baru jam 12.30 tengah hari.
Petang itu kami tertidur dengan nyenyaknya. Sedar-sedar
sudah jam 3.00 petang. Isteriku bangun dan mula memasak barangan makanan yang kami bawa dari Malaysia untuk kami makan kerana
perut pun sudah mulai berkeroncong.
Jam 4.30 petang setelah makan dan solat, kami telah bersiap
sedia untuk memulakan pengembaraan hari pertama di Seoul. Dari Cozy Place, kami
berjalan kaki ke stesen tren Itaewon. Tidak terasa penat kerana jalannya
menurun walaupun jaraknya lebih kurang 400 meter.
Petang itu kami bercadang untuk membeli tiket bas untuk ke
Nami Island. Pejabat jualannya terletak di Insadong. Dari stesen Itaewon, kami
menaiki subway ke arah Yaksu. Sampai di
setesen Yaksu kami turun untuk tukar tren ke arah Jongno 3(sam)-ga. Sampai di
stesen Jongno 3(sam)-ga, kami turun dan keluar mengikut pintu no. 5. Dari situ
kami berjalan kami untuk kepejabat jualan tiket yang terletak di no. 157,
Insadong-gil. Kami kurang bernasib baik, kerana pejabat jualan telah pun tutup,
jadi kami bercadang untuk datang semula esuk paginya.
Dari Insadong-gil, kami terus sahaja berjalan kaki melalui
jalan Samil-daero untuk ke Cheonggyecheong-ro iaitu sistem perparitan yang
direkabentuk dengan lanskap yang begitu menarik sehingga menjadi tempat orang
ramai bersiar-siar.
Kami turun melalui tangga yang disediakan dan berjalan kaki
di kaki lima perparitan yang airnya sangat jernih. Kelihatan air terjun
tersebut adalah permulaan sistem perparitan tersebut.
Kami naik semula keatas dan berehat didataran yang terdapat
arca siput sedut yang sangat besar.
Bila hari mulai gelap, dari dataran siput sedut, kami
berjalan kaki ke arah stesen Gwanghwamun
untuk balik ke rumah penginapan. Dari stesen Gwanghwamun, kami menaiki subway
ke arah stesen Gongdeok, kemudian kami
tukar tren ke arah stesen Itaewon.
Sampai di Itaewon, isteri dan anak2 terus balik ke rumah penginapan manakala
aku pergi ke satu-satunya masjid yang ada di Itaewon untuk solat. Aku berjalan
kaki berpandukan peta jalan dan dalam masa 20 minit aku dah dapat jumpa masjid
tersebut. Terletak diatas kawasan yang tinggi juga.
Semasa aku sampai di masjid, para Jemaah solat maghrib telah
pun beredar. Jadi aku solat jamak maghrib dan isyak sekali sendirian. Keadaan dewan solat
masjid agak indah dan besar juga. Selepas melakukan sujud syukur kerana dapat
menjejakkan kaki di masjid tersebut, aku beredar untuk balik ke rumag
penginapan.
Saya sudah membaca itnerary kek Korea encik! Bagus sekali. Saya akan ke Korea tahun hadapan kalau ada rezeki.
ReplyDelete