XPDC hari
ketiga akan menempuhi perjalanan yang jauh. Oleh itu selepas sarapan pagi kami
telah bersedia dilobi hotel menunggu Pak Robby.
Tepat jam
8.30 pagi, kami meninggalkan Hotel Grand Sumatera untuk menuju ke Lamongan.
Perjalan ke Lamongan mengambil masa hampir 2 jam walaupun jaraknya hanya
sekitar 75 km. Di Lamungan kami menziarahi Makam Sunan Drajat yang terletak di
Desa Paciran, Lamongan, Jawa Timur.
1)Makam Sunan Drajat
Sunan Drajat dilahirkan pada tahun 1470M dan semasa mudanya
dikenali sebagai Raden Qasim. Dia adalah anak Sunan Ampel dengan Nyi Ageng
Manila (Dewi Chondrowati), oleh itu banyak menghabiskan masa mudanya belajar
ilmu dengan bapanya di Ampel Denta.
Setelah
dewasa, ia diperintahkan ayahnya, Sunan Ampel, untuk berdakwah di pesisir barat
Gresik. Raden Qasim menumpang perahu nelayan untuk ke Gresik. Di tengah
perjalanan, perahunya telah dipukul ombak dan pecah berhampiran daerah
Lamongan, sebelah barat Gresik. Sekonyong-konyong datang seekor ikan talang
menolongnya sehingga sampai ke Kampung
Jelak, Banjarwati. Di sana, Raden Qasim disambut baik oleh ketua kampung
bernama Mbah Mayang Madu dan Mbah Banjar.
Raden Qasim kemudian menetap di Jelak, dan berkahwin dengan Kemuning, putri Mbah Mayang Madu. Di Jelak, Raden Qasim mendirikan sebuah surau, dan akhirnya menjadi pesantren tempat mengaji ratusan penduduk. Kampung Jelak kemudiannya berkembang menjadi besar dan namanya berubah menjadi Banjaranyar namun kampung tersebut sering dinaiki air semasa musim hujan.
Selepas
tiga tahun, Radin Qasim berpindah ke selatan Jelak, satu kawasan yang lebih
tinggi dan mendirikan pesantren untuk mengajarkan agama Islam kepada masyarakat
setempat. Perkampungan tersebut dinamakan Desa Drajat dan sempana nama
perkampungan tersebut, Radin Qasim dikenali sebagai Sunan Drajat. Beliau
menghabiskan sisa hidupnya di Desa Drajat sehingga meninggal dunia pada tahun
1522M.
Kami telah sampai di kawasan
Makam Sunan Drajat dan kena berjalan melalui lorong-lorong yang disediakan
untuk ke Makam Sunan Drajat.
Makam Sunan
Drajat ditempatkan didalam bangunan berdinding kayu dan mempunyai pintu yang
kecil dan rendah. Semasa kami sampai, beberapa kumpulan sedang berzikir dan
berdoa dikeliling bangunan tersebut.
Berhampiran
dengan makam, terdapat sebuah masjid Sunat
Drajat yang telah dibina semula menggantikan masjid yang asal dan dirasmikan
pada 27 Jun 1993.
2)Muzium Sunan Drajat
Dalam
perjalanan keluar, kami singgah di Muzium Sunan Drajat. Muzium tersebut telah
dibina oleh Pemerintah Daerah
Tingkat II Lamongan dan dirasmikan oleh Gubernor Jawa Timur pada 1 Mac 1992
bertujuan menyimpan hazanah tinggalan Sunan Drajat supaya dapat di manafaatkan
oleh masyarakat akan datang.
Saya dihadapan pintu masuk
ke Muzium Sunan Drajat.
Antara tinggalan Sunan
Drajat ialah beduk
Walaupun koleksi muzium tidak
terlalu banyak, namun dapat menunjukkan tentang jejak sejarah masa lampau Sunan
Drajat dan sejarah Islam di Lamongan khususnya di daerah Drajat.
Setelah meluangkan masa
lebih satu jam menziarahi Makam, Masjid dan Muzium Sunan Drajat, kami meneruskan perjalanan
untuk kedestinasi berikutnya iaitu Makam Syeikh Ibrahim Asmarakandi.
3)Makam Ibrahim Asmarakandi
Kenderaan dipandu agak
perlahan kerana suasana di Jalan Tuban – Gresik agak sibuk tetapi akhirnya
sampai juga ke kawasan Makam Ibrahim Asmarakandi setelah menempuh jarak lebih
kurang 35 kilometer. Makam Ibrahim Asmarakandi terletak di Desa Gresikharjo,
Paling, Tuban.
Syeikh
Ibrahim Asmarakandi atau nama asalnya Sayyid Ibrahim al-Ghozi berasal dari
Samarqand di Daerah Bukhara, Uzbekistan. Mendapat gelaran as-Samarqandy kerana
berasal dari Samarqand, namun dikalangan masyarakat Jawa Indonesia memanggilnya
Asmarakandi kerana kesukaran menyebut as-Samarqandy.
Sekitar tahun
1379, bapanya Syeikh Jamaluddin Akbar al-Husain telah menghantar Sayyid Ibrahim
al-Ghozi untuk berdakwah ke wilayah timur dan tiba di Champa (sekarang Kemboja)
dan berjaya mengislamkan Raja Champa. Ibrahim al-Ghozi kemudiannya berkahwin
dengan putri raja Champa yang bernama Dewi Chandrawulan. Dewi Candrawulan adalah saudara kandung permaisuri Raja Majapahit ketika
itu iaitu Dewi Andorowati. Hasil
perkahwinan dengan putri Champa, telah dianugerahkan dua orang anak iaitu Raden
Ahmad Ali Murtadho (Raden Santri) dan Raden Ali Rahmatullah (Sunan Ampel).
Selepas 13
tahun berdakwah di Champa, pada tahun 1392 Sayyid Ibrahim al-Ghozi yang
kemudian bergelar Syeikh, berhijrah ke Pulau Jawa bersama keluarganya.
Rombongan mendarat di Tuban, tempat mereka berdakwah beberapa lama, sampai
akhirnya Syeikh Ibrahim al-Ghozi yang kemudian dikenal sebagai Syeikh Ibrahim
Asmarakandi jatuh sakit dan meninggal dunia. Jasadnya dimakamkan di Desa Gesikharjo,
Palang, Tuban, Jawa Timur.
Kami memasuki pintu gerbang
sebelum sampai ke Masjid Ibrahim Asmarakandi. Ketika itu, hampir masuk waktu
zuhur dan orang ramai sedang menunggu untuk mendirikan solat zuhur.
Kami
mengambil wuduk dan terus ke makam Ibrahim Asmarakandi yang terletak dibahagian
kiblat masjid. Keadaan dikeliling makam juga begitu ramai dengan pengunjung.
Makamnya terletak didalam bangunan berdinding kayu. Kami amat bertuah kerana
telah dibenarkan masuk kedalam bangunan yang hanya dapat menempatkan lebih
kurang enam orang sahaja.
Berdasarkan
silsilah keluarga yang tergantung berhampiran makam, Syeikh Ibrahim Asmarakandi
merupakan keturunan yang ke 22 dari Nabi Muhammad SAW.
4)Masjid Al-Kahfi, Tuban
Selepas solat jamak zuhur dan asar di Masjid Ibrahim Asmarakandi, kami
di bawa pula untuk menziarahi sebuah masjid bawah tanah (masjid dalam gua) yang
juga terletak di Tuban lebihkurang 10 km dari Makam Ibrahim Asmarakandi.
Tuban yang masih berada di wilayah Jawa Timur, dikenali sebagai Kota
Wali kerana pernah menjadi pusat penyebaran ajaran Agama Islam oleh tokoh-tokoh
Islam lampau antaranya Sunan Bonang, Syeikh Ibrahim Asmarakandi dan Sunan
Bejagung. Selain dikenali sebagai kota Wali, Tuban juga dikenali sebagai Kota Seribu Goa kerana terdapat banyak
gua di pergunungan kapur bahagian utara Tuban.
Salah satu gua yang menjadi terkenal
ialah Gua Gedongombo yang terletak ditepi Jalan Gedongombo, Tuban. Menurut satu
riwayat, dikhabarkan bahawa seorang kiyai bernama Kiyai Haji Subhan Al-Mubarok
berkeinginan untuk mengajarkan ilmu al-quran dan hadis didalam gua sebagaimana
turunnya wahyu kepada para nabi-nabi terdahulu. Umpamanya
penurunan pertama ayat-ayat suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW adalah
semasa baginda berada di dalam gua.
Satu
hari, KH Subhan Al-Mubarok mendapat
bisikan ghaib dari Syeikh Maulana Maghribi yang makamnya berada di desa
Mancingan, untuk membina pesantren didalam sebuah gua. KH Subhan
al-Mubarok mula membersihkan Gua Gedongombo dan kemudiannya membina pesantren
dan masjid didalamnya yang meliputi kawasan hampir tiga hektar. Beliau
menjadikan tempat tersebut untuk mengajar al-quran dan hadis kepada masyarakat
setempat.
Pesantren tersebut
dikenali sebagai pesantren Syeikh Maulana Maghribi atau Masjid Dalam Gua atau
Masjid Ashabul Kahfi Perut Bumi Al-Maghribi.
Kami masuk kedalam masjid
melalui satu pintu gerbang dan berjalan menuruni laluan ke dalam gua.
Semasa kami masuk, masjid
tersebut dipenuhi orang ramai kerana satu kelas pengajian sedang dijalankan,
jadi tidak dapat menjejakkan kaki di dewan solat dibahagian tengah masjid.
Kami kemudian keluar melalui
lorong dibahagian belakang dan keluar melalui pintu belakang.
5)Makan Tengahari
Atas
permintaan ramai, selepas melawat Masjid Dalam Gua Al-Kahfi, kami terus dibawa
kesebuah restoran makanan laut kerana ada yang mengidam makan ketam.
Warung Cak
Mad Jaya di pekan Tuban menjadi pilihan Pak Robby untuk menjamu kami dengan
makan laut. Warung tersebut menyediakan berbagai jenis makanan laut saperti kepiting
(ketam) masak gulai, ikan goring, cumi (sotong) goring tepung dan ayam kampung
goring.
Masing-masing
makan tengah hari dengan penuh selera.
6)Makam Sunan Bonang
XPDC
selanjutnya ialah menziarahi makam Sunan Bonang yang terletak hanya 6 km dari
warung Cak Mad Jaya. Sunan Bonang atau nama asalnya adalah Raden Makdum Ibrahim.
Lahir sekitar tahun 1465 M dari perkahwinan bapanya Sayyid Ali Rahmatullah (Sunan Ampel) dengan putri
dari keturunan Raja Majapahit bernama Dewi Chondrowati (Nyi Ageng Manila). Sayyid
Ali Rahmatullah kemudian mendapat gelaran Raden Rahmat.
Sejak
muda Raden Makdum Ibrahim belajar agama dalam pelbagai cabang ilmu dari
pesantren ayahnya di Ampel Denta. Setelah cukup dewasa, ia bersama Raden Paku
(Sunan Giri) telah pergi ke Mekah untuk menimba ilmu daripada ulamak-ulamak
besar Mekah. Kemudian beliau berdakwah di berbagai pelosok Pulau Jawa. Mula-mula
ia berdakwah di Kediri, yang kebanyakan masyarakatnya beragama Hindu. Di sana
ia mendirikan Masjid Sangkal Daha.
Pada tahun 1498M, Sultan Demak iaitu Raden
Patah telah melantik Raden Makdum Ibrahim menjadi imam Masjid Agung
Demak. Di bawah pimpinannya masjid Demak segera berkembang menjadi pusat
keagamaan dan kebudayaan terkemuka di pulau Jawa. Tetapi beberapa tahun
kemudian, dia berselisih pandangan dengan Sultan Demak dan memutuskan untuk
mngundurkan diri dari jawatan sebagai imam masjid agung.
Dari Demak, Raden Makdum Ibrahim berpindah
ke Lasem, dan memilih desa Bonang sebagai tempat kegiatannya yang baru dan
mendirikan tempat pertapaan dan pesantren. Namun dia sering berkunjung ke daerah-daerah terpencil di
Tuban, Pati, Madura termasuk Pulau Bawean. Di Pulau inilah, pada 1525 M ia
meninggal dunia. Berlaku perebutan jenazah antara murid-muridnya di Pulau
Bawean dan Tuban namun akhirnya murid-muridnya dari Tuban telah berjaya membawa
pulang jenazah Sunan Bonang dan dimakamkan di Tuban, di sebelah barat Masjid
Agung,
Semasa hayatnya, Sunan Bonang banyak
menghasilkan syair sufi mirip Jalaluddin Ar-Rumi didalam menjalankan usaha
dakwahnya. Puisi-puisi sufinya berkisar kepada keruhanian dengan ungkapan-ungkapan
simbolik menggambarkan kecintaan kepada Allah swt yang disampaikan melalui
alunan gamelan Jawa yang telah diubah dengan penambahan intrumen bonang,
daripada alunan hindu kepada alunan zikir sufi yang menyentuh hati. Antara
syair sufi beliau yang terkenal ialah “Tombo Aati”. Daripada situ Raden Makdum
Ibrahim mendapat gelaran Sunan Bonang.
Syair sufi Tombo Ati (Ubat hati).
“Tamba
ati iku lima ing wernane. kaping pisan maca quran angen-angen sak maknane.
Kaping pindho shalat wengi lakonono. Kaping telu wong kang saleh kancanana.
kaping papat kudu wetheng ingkang luwe. Kaping lima dzikir wengi ingkang suwe.
Sopo wonge bisa ngelakoni. Insya Allah gusti Allah nyembadani”.
Sampai
sahaja berhampiran lokasi parkir, kami terus berjalan kaki agak jauh juga untuk
sampai ke kawasan makam.
Kawasan makam terletak di bahagian kiblat Masjid Agung
Sunan Bonang.
Bangunan
yang menempatkan makam sudah dikerumuni begitu ramai orang dan kami terpaksa
menunggu kumpulan ziarah yang telah selesai berzikir, baru kami dapat mengambil
tempat. Makam Sunan Bonang ditempatkan didalam bilik yang berkelambu putih.
Ini Masjid Agung Sunan Bonang yang agak luas dan
kerja-kerja baik-pulih sedang dijalankan.
7)Makan Malam Nasi Bakar
Semasa kami
meninggalkan Makam Sunan Bonang, hari sudah agak petang, jadi kami tidak
berlengah lagi untuk meneruskan perjalanan menuju Kota Kudus yang jauhnya
lebihkurang 150 km lagi.
Selama
hampir dua jam duduk didalam kenderaan, kami sudah mulai letih, haus dan lapar.
Pak Robby memang sedia maklum, lalu beliau berhenti di satu restoran ditepi
jalan besar, Waroeng Pati namanya.
Pak Robby mengesurkan
agar kami makan nasi bakar iaitu makanan istimewa di restoran tersebut. Nasi tersebut
dibungkus dengan daun pisang bersama segala lauk ikut kegemaran masing-masing
dan dicampur dengan herba. Bungkusan tersebut kemudiannya dibakar untuk
memanaskannya. Rasanya memang sungguh
sedap hingga menjliat jari.
Selepas
makan dan berehat sebentar, kami meneruskan perjalanan semula, sedar-sedar kami
sudah sampai di hotel penginapan kami di Kota Kudus iaitu Salam Asri Hotel.